Wednesday 11 September 2013

Kriteria Cek yang 'Menggembirakan' Bank 2


Teks   :   Monalita Mansor
Gambar:  Koleksi Persendirian

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga

Menyambung kembali catatan semalam, kita teruskan kelas mengenal cek kita.  Saya alu-alukan sebarang komen, sekiranya terdapat kemusykilan di ruangan komen.

5.  Ringgit Malaysia - Inilah ruang pertama yang dilihat oleh penerima/pelanggan anda.  Ruangan yang paling menyeronokkan.  Tetapi, tidaklah berapa seronok bagi tuan punya cek tersebut.  Pastikan setiap perkataan ditulis dengan jelas dan betul.  Sentiasa tulis perkataan SAHAJA atau ONLY pada akhir perkataan.

http://peraktoday.com

Tulislah secara profesional, jangan ulang perkataan RINGGIT atau DOLLAR di dalam ayat anda kerana perkataan itu telah dicetak siap-siap di sebelah kiri cek anda.  

Jika ingin menulis dalam bahasa Malaysia, tulislah di dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.  Jika ingin menulis di dalam bahasa Inggeris, tulislah di dalam bahasa Inggeris sepenuhnya.  Jangan tulis bercampur-campur.  Tidak salah, cuma membuatkan pejuang bahasa seperti saya naik angin (?)

Cek juga boleh ditulis di dalam bahasa Cina, Tamil dan Jawi.  Bagaimanapun penggunaan ketiga-tiga tulisan tersebut tidak digalakkan kerana tidak semua pekerja bank boleh membaca tulisan Cina, Tamil dan Jawi.  Juga sebarang kesalahfahaman akan membawa masalah terdapat perjalanan urusniaga akaun anda.  

Setelah ditulis, ada baiknya anda baca semula berkali-kali untuk mengelakkan kesilapan perkataan.  Seandainya berlaku, cek anda akan ditendang dengan alasan Words and Figure Differ (Perkataan dan Angka Berbeza) dan caj akan dikenakan terhadap akaun anda.  

6.  Ini juga perkara pertama yang dilihat penerima.  Amaun dalam angka.  Pastikan anda meletakkan palang atau .00 selepas menuliskan amaun.  sebagai contoh: 

200.00 
200/
200/xx

Sila ambil perhatian terhadap peranan kosong yang anda tulis.  Jika kurang jelas dan mengelirukan, ia akan membuka ruang terhadap manipulasi pihak ketiga ataupun risiko cek ditendang.  

Pastikan ia ditulis sekali sahaja.  Jangan tebalkan tulisan dengan alasan nanti pegawai bank tak nampak atau mesin CQM tak boleh baca.  Silap haribulan, duit anda juga tidak dapat 'dibaca' oleh penerima atau pelanggan.

Penting sekali, apabila menulis cek, tulis dengan dakwat yang terang biasanya hitam dan biru.  Dan jangan campur adukkan penggunaan dakwat, kecuali atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.  Dakwat pen biru dah habis, kedai jauh, hari hujan, payung tak ada, Maghrib dah masuk, hanya tinggal pen hitam aja sebatang...bla..bla..

Ada baiknya tulis dengan menekan sedikit kerana tulisan yang 'terlayang' atau terlalu nipis akan menyebabkan imbasan pada muka cek menjadi kabur.  

7.  Nombor akaun dan nama penerima-  ruangan ini diwujudkan untuk memudahkan anda mengingat nombor akaun dan nama pemegang akaun, lebih-lebih lagi jika anda mempunyai lebih daripada satu akaun.
http://wpmedia.arts.nationalpost.com

8.  Tanda tangan  -  inilah ruangan terpenting yang menentukan nilai cek tersebut.  Cek tanpa tanda tangan akan menjadi tidak bermakna.  Pastikan tanda tangan anda tidak melebihi garisan bawah (ada dinyatakan di dalam cek) kerana ia akan menganggu proses imbasan cek.  

Pastikan syarat penandatangan dipatuhi - terutama untuk pemegang akaun syarikat/akaun perkongsian/sdn bhd.  Jika cek memerlukan dua tanda tangan, pastikan terdapat dua tanda tangan.  Jika anda meletakkan syarat untuk had-had tertentu bagi penanda tangan, sila akur dengan syarat tersebut.  

Pastikan tanda tangan anda tidak berbeza dengan sampel yang ada di bank.  Ini bukan buku autograf yang anda boleh tukar-tukar tanda tangan sesuka hati.  Jika tanda tangan anda berbeza dan pihak bank tidak dapat menghubungi anda untuk pengesahan, cek tersebut akan ditendang di bawah alasan Signature Differ (tanda tangan berbeza)

Jika anda berhasrat menukar tanda tangan, sila kemaskini maklumat tersebut dengan pihak bank dengan segera.  Proses sistem penukaran tanda tangan mungkin mengambil masa seminggu.

Elakkan menandatangani cek kosong - walaupun si dia tu boyfriend/girlfriend yang anda sayang gila (untuk kes kekasih mata duitan!)

9.  Nombor-nombor ini adalah untuk kegunaan bank.  Bagaimanapun enam digit nombor di sebelah kanan adalah no cek.  Nombor itu merupakan identiti kepada cek tersebut dan sepatutnya berada di dalam turutan di dalam buku cek anda.  Jika ia tidak berlaku, sila hubungi pihak bank dengan segera. 

10.  Nombor ini juga adalah untuk kegunaan pihak bank. 

11. Ini adalah nombor akaun anda.  Tidak kira sepanjang manapun nombornya, itulah nombor akaun anda KECUALI dua digit berasingan di sebelah kanan nombor tersebut.  Itu juga untuk rujukan pihak bank sahaja. 

12.  Ini adalah nombor unik bagi setiap bank dan cawangannya.  Ia merupakan identiti untuk bank dan cawangan dan tidak ada kena mengena dengan pelanggan.

Saya kira, sudah tamat sesi mengenal cek untuk kali ini.

Jika anda ingin membina keyakinan memberi maklumat seperti saya, anda boleh sertai kelas Asas Blog yang masih dibuka pendaftarannya.

Hubungi saya untuk sertai kelas.  

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung