Saturday 16 November 2013

Teaser Amatur Kabus Rindu

Teks  : Monalita Mansor
Video : Koleksi Sendiri



Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Alhamdulillah.  MasyaAllah.  Tabarakallah.  Hasil percubaan 'menggodek-godek' di sana sini tanpa pengalaman sebesar zarahpun, saya siapkan teaser (sedutan) novel Kabus Rindu yang saya hasilkan sendiri sepenuhnya.  (cuma untuk download lagu Meniti Suratan, saya minta pertolongan Anis Suraya)

Ini adalah sebahagian usaha saya sebagai promo awal untuk novel terbaru  Kabus Rindu yang diwar-warkan akan terbit beberapa minggu lagi.  Saya menyakinkan diri yang kerajinan tetap memberi pulangan tidak kira dalam apa bentuk selagi diberkati dan halal. 

Cerita Raya Yang Belum Habis

Teks  : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Menyambung entri lepas tentang kesungguhan kita menyambut raya sehinggakan mengorbankan 'setahun' gaji dan sengsara sebulan selepas raya.  Belanjawan yang perlu difikirkan seterusnya ialah duit raya.  Perkara yang paling disukai oleh kanak-kanak. 

Untuk tidak menyesakkan poket dan nyawa, juga untuk mengelakkan insiden tersilap bagi, ada baiknya kita menetapkan amaun yang sama tanpa mengira peringkat umur.  Biasanya kita meletakkan kasta dengan nilaian yang berbeza untuk ahli keluarga.  Boleh, jika berkemampuan.  Tetapi jika tidak, berikan sahaja jumlah yang sama.  Bukan nilaian yang menentukan amalan kita, tetapi keikhlasan memberi menjadi keutamaan. 

Friday 15 November 2013

Bajet Rumahtangga : Nilai Seketul Sabun

Teks  : Monalita Mansor

Gambar : Koleksi Peribadi dan Carian Google


Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.


Masih ingat pada sabun berwarna hijau di dalam gambar di sebelah kanan?  Bagi generasi 1990-an dan 2000-an, mungkin tidak pernah tahu bahawa benda itu adalah sabun.  Sabun yang digunakan untuk membasuh pinggan, membasuh baju, membasuh badan satu ketika dahulu.


Hari ini, jika kita menggunakan sabun buku daripada jenama terkenal untuk membasuh pingganpun, hati sudah was-was.  'Bersih ke tidak, bersih ke tidak'?  Perasan atau tidak, kita melakukan pembaziran menggunakan sabun yang berjenis untuk berbagai cucian, walaupun sebenarnya tujuan sabun itu sendiri untuk 'mencuci.'  


Serbuk pencuci dijadikan khas sebagai sabun pencuci kain - harganya RM8.50

Pekatan pinggan mangkuk khas untuk mencuci pinggan      -  harganya RM4.50

Sabun mandi memang khas untuk mencuci badan               - harganya RM1.20

Pencuci muka memang khas untuk mencuci muka              -  harganya RM5.50

Katalah ada pencuci-pencuci 'khas' lainnya                        -  harganya RM10.00

 

Mari kita berapakah jumlah yang kita gunakan untuk 'mencuci' - lebih kurang RM30.00!

 

Berapa pula harga sabun serba guna jenama Cap Kapak dan Cap Buruh yang boleh mencuci segala-galanya sebelum semua bahan di atas dicipta?  Mungkin RM5.00 bersamaan RM0-80 puluhan tahun dahulu.

 

Hakikatnya, minda kita telah diperangkap dengan anggapan 'khas' sebegitu.  Menjadi satu kehinaan pula apabila kita terjumpa seseorang itu masih menggunakan sabun basuh yang dipotong dua untuk membasuh pinggan.  "Eii...bersih ke?  Nanti pinggan berbau sabun basuh kain.  Nanti tangan mengelupas. Nanti itu, nanti ini."  


Lalu, ada baiknya kita berfikir semula tentang keperluan bahan pencuci yang banyak ini.  Keperluan dan kemewahan atau sekadar perangkap minda?  Saya sekadar membuka minda, tindakan seterusnya untuk mengubah wajah kewangan keluarga di tangan anda.


Wallah hu alam.


Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif akan bersiaran pada Disember 2013.  Pra-pendaftaran dibuka sekarang dan anda akan mendapat e-book kumpulan cerpen Rautan Takdir tulisan Monalita Mansor dan e-book kelas Asas Blog tulisan pn. Masayu Ahmad.


Thursday 14 November 2013

Raya Setahun

Teks  : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Tajuk di atas tidak memaksudkan agar kita bergembira sepanjang tahun.  Raya dalam pengertian entri ini ialah merasa bahagia dengan kedudukan kewangan setelah beraya sakan beberapa hari di dalam bulan Syawal.  (Atau mungkin sebulan kerana rumah terbuka dibuka sebulan).

Untuk beraya dalam tempoh selama itu, perlulah kita merancang kewangan sebaik mungkin.  Perkara lain yang perlu diambil kira selain pakaian (lihat entri lepas - Selamat Hari Berpada)  ialah makanan.  Kebiasaannya pada hari raya pertama, pada setiap rumah yang kita ziarahi boleh dikatakan meja makan tidak dapat menampung 'kepenuhan' aneka makanan yang menyesak dan menyantak di atas meja. Penziarah pula, tidak boleh makan banyak kerana perlu memberi ruang kepada perut kerana banyak lagi rumah berada di dalam senarai.

Bolehkah pada hari raya akan datang, kita menyediakan tiga jenis kuih sahaja.  Bersama nasi impit, rendang dan kuah kacang.  Cukup.  Jika anda memberi jawapan tidak boleh, saya merasakan anda patut berusaha lagi.  Sememangnya boleh.

Cukuplah untuk berasa rendah diri kerana rumah kita tidak berkuih, tidak seperti jiran A, tidak segah jiran B.  Hentikan.  Lebih baik duit yang kita bazirkan untuk membeli kuih yang kadang-kadang indah rupa dari rasa kita gunakan untuk bersedekah di masjid ataupun pada anak-anak yatim yang tidak terbela.  Bukankah itu strategi dua dalam satu?  Berjimat di dunia, melabur di akhirat.

Wallah hu alam.

Bersedia Untuk Bebaskan Diri

Teks  : Monalita Mansor

Gambar : Carian Google

 

Jangan berhenti dahulu sebelum bersedia

Teks: Masayu Ahmad

Salam puan.saya sekarang bingung sangat.saya seperti tak bermotivasi. Saya sudah tidak ada hati mahu meneruskan kerja lagi.

Puan Kasih Aisya

10 jangan
bacaan penuh di sini

Saya tertarik dengan entri Puan Masayu mengenai 10 persediaan sebelum berhenti kerja.  Inilah dilema yang saya hadapi selama 5 tahun yang saya panggil tahun-tahun kemurungan dan lebih hebat lagi setahun kebelakangan sebelum tawaran pemberhentian sukarela datang.

Semua gulatan masalah bagaikan bersatu-padu, satu demi satu memberikan kekuatan untuk saya terus meninggalkan alam pekerjaan.  Apa yang termampu saya lakukan ketika itu, hanyalah menadah tangan.  Sudah tiada air mata untuk ditumpahkan saban hari.  Setiap kali tubuh dihenyak di atas kusyen sebelah pemandu, akan ada yang saya rungutkan,itu dan ini sehingga saya keguguran empat kali.

Untuk meninggalkan pekerjaan ketika itu, tidak mungkin kerana komitmen yang mendesak.  Ditambah pula faktor usia walaupun sekian banyak resume saya hantar untuk melamar pekerjaan di tempat lain, setidak-tidaknya, tetapi hampa.

Akhirnya rezeki itu datang tanpa dijangkakan.  Alhamdulillah.  Sebulan saya membalas dendam pada 17 tahun yang saya habiskan pada setiap pagi.  Saya lakukan apa yang ingin saya lakukan dan saya bahagia.

Lebih membahagiakan, sebuah kelas baru iaitu Asas Blog dan Penulisan Kreatif akan bersiaran pada Disember 2013 dan salah seorang pengajarnya ialah saya.  Jika ingin berkongsi ilmu, belajar menulis bersama saya, anda bolehlah PM saya di facebook (nama seperti di atas) ataupun menjenguk-jenguk di FanPage Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif.

sekian

Wednesday 13 November 2013

Selamat Hari Berpada

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Kemungkinan entri ini tidak begitu relevan buat masa ini.  Ramadhan dan Syawal hanya akan hadir tujuh ke lapan bulan lagi.   Bagaimanapun entri ini sekadar pengingat atau mungkin apabila tiba masanya nanti, ia akan timbul umpama ilham bergentayangan di atas kepala.  Membantu anda berjimat di kala hari raya tiba.  

Kalau diikutkan hati, bersesuaian pula dengan istilah raya, semuanya nak dirayakan.  Termasuklah perbelanjaan untuk rumahtangga dan keperluan lain, semuanya hendak 'diraya-rayakan' sekali harung.  Akhirnya masuk 2 Syawal, sudah berkira-kira untuk mengendeng duit raya anak-anak untuk belanja menjelang gaji.

Jika raya tahun lepas, perbelanjaannya masih tergelincir, apa kata mulai hari ini kita bertaubat dan bermuhasabah sementara masih ada tujuh bulan di dalam jangkauan.  Penting sekali ialah menyenaraikan perbelanjaan.  Di antaranya;

Pakaian - kewajipan terutama orang Melayu golongan pertengahan dan ke bawah, hari raya adalah hari membeli baju baru.  Baju baru itu bukan dipakai untuk hari raya sahaja malahan dipakai pada Deepavali, Krismas, Tahun Baru Cina, maka jangan hairan kalau perbelanjaannya adalah menyamai  kadar perbelanjaan untuk 12 bulan!  Berpada-pada berbelanja tambahan jika mempunyai anak yang ramai dan pelbagai kehendak.  Cadangan saya, ringankan jari untuk berlegar-legar di Google mencari maklumat mengenai jualan gudang yang sebenarnya menawarkan mutu yang sama dengan harga yang lebih rendah.  Iman Shafie, ulama tersohor menukilkan bahawa; 
         
Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.
Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.

tidak disebutkan pula 'memakai baju baru' sebagai syarat menyambut raya yang menjadikan ia seolah-olah kewajipan.  Apabila kehendak ini tidak dapat dipenuhi oleh sebilangan ibu bapa, ia mendatangkan rasa rendah diri yang berpanjangan kepada anak-anak dan keluarga itu sendiri.  

Rancang perbelanjaan daripada awal.  Ada baiknya baju kurung atau baju melayu ditempah daripada dibeli siap di kedai.  Beli kain sendiri dan hantar kepada tukang jahit dengan meminta mereka melebihkan beberapa inci untuk anggaran tambahan ketinggian anak-anak menjelang hari raya.  Bunyinya agak keterlaluan tetapi praktikal.  Jangan dihantar sekaligus kerana ia akan memberi kesan kepada bajet rumahtangga anda pada bulan itu.  Kecualilah tukang jahit itu kenalan anda dan anda boleh membuat bayaran ansuran sehingga menjelang hari raya.  

Kasut raya - jika kasut raya itu hanya dipakai sekali sahaja, ada baiknya anda belikan anak-anak alas kaki yang lebih praktikal seperti sandal atau capal atau apa sahaja alas kaki yang selesa dan memudahkan pergerakan mereka.  Kasut yang lengkap hanya menyusahkan mereka untuk ditanggal dan dipakai terutama ketika berziarah dari rumah ke rumah pada hari raya sambil mengutip duit raya.  

Aksesori tambahan -  tidak sah namanya raya kalau tiba-tiba ada perasaan ingin menunjukkan hebat.  Itu juga yang berlaku apabila di hari raya semua benda baru hendak ditayangkan.  Bagi anak-anak yang tidak biasa menggunakan aksesori pada hari biasa, ada baiknya kekalkan begitu.  Kerana, kebanyakan kanak-kanak mungkin akan mencampakkan aksesori tersebut entah ke mana dan ia adalah satu pembaziran. Contoh aksesori ialah jam tangan, cekak rambut, barang kemas dan sebagainya.

Demikianlah sebahagian daripada panduan berhari raya.  Yang disentuh di atas hanya sebahagian daripada 6 senarai yang panjang.  

Jumpa di lain entri.  

Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif akan dibuka.  Jika anda berbakat dan berminat, sertai kami.

sumber;
http://www.islamgrid.gov.my/articles/ibadah/Amalan_sunnah_aidilfitri.php
Rohani Mohd Shahir.  2009.  Ke Mana Wang Anda.  Galeri Ilmu Sdn Bhd.  Selangor

Tuesday 12 November 2013

Deria Sepasang Merbuk - Penjimatan Masa

Teks   : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.


Dek kerana kekangan dan tuntutan tugas, waktu kerja saya kini kian berangkat mengambil sebahagian daripada waktu tidur.  Malam tadi, saya terjaga jam 2 pagi.  Melakukan apa yang sepatutnya seorang hamba lakukan, kemudiannya meneruskan tugasan.

Pagi tadi saya menyiapkan 2 scheduled entry dan satu bab daripada manuskrip Sutera Dewangga.  Alhamdulillah.  Di dalam kepala, ada dua lagi manuskrip yang akan menyusul.  Salah satunya ialah berkenaan syair Siti Zubaidah.  Satu lagi ialah projek bersama Affan.  Saya juga sibuk menjemput rakan-rakan ke page Asas Blog dan Penulisan Kreatif, kelas baru yang akan bermula Disember depan.

Sementara itu, minggu depan, sebuah bengkel anjuran grup Mari Menulis yang melibatkan kerjasama di antara Grup Mari Menulis dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor cawangan Pekan Seri Manja akan berlangsung.  Tugasan mengenai penulisan sepanjang 18 muka surat juga baru disiapkan dan memerlukan sedikit lagi pemurnian.

Pagi ini, selepas jam 10.00 saya akan ke PPAS untuk menyiapkan sijil penghargaan buat peserta bengkel di atas.  Nampaknya saya perlu menyediakan beberapa lagi scheduled entry untuk menampung hari-hari yang akan saya gunakan untuk menyiapkan tugasan lain.  Itu namanya penjimatan dan perancangan masa.  Phew...what a life!

Tetapi, di dalam keharu-biruan ini, sedang saya larut dalam perwatakan seorang anak angkat yang menagih kasih abang angkatnya, tiba-tiba sepasang merbuk peliharaan kami berbunyi.  Nyaring sekali.  Hati berkata sendiri, mungkin ia memberitahu kedatangan sesuatu yang tidak kenampakan.  Begitulah sepasang merbuk ini, setiap kali beberapa minit sebelum azan, ia akan berbunyi.  

Daripada pembacaan saya mendapati burung dikatakan mempunyai deria magnetoresepsi iaitu kemampuan mengesan perubahan di dalam medan magnet.  Burung juga dikatakan mempunyai kelebihan mendengar frekuensi yang jauh lebih kecil dan tajam daripada manusia.  

Percaya atau tidak, beberapa minit selepas itu hujan pun turun.  Menikmati hujan di kala malaikat turun mencari hamba pendosa menadah tangan dalam zon makbul doa adalah sesuatu yang sangat mengasyikkan.  Segera sebaris ayat daripada surah Ar-Rahman mengetuk minda saya.  

Rahmat Allah yang mana lagi yang hendak kamu dustakan?

Wallah hu alam

&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&

Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif akan bermula pada Disember 2013.  Pelajar akan diajar untuk berblog secara sistematik dan kemudiaannya akan diajar pula untuk menulis secara kreatif.  Bagi anda yang meminati bidang penulisan, boleh menghubungi saya Monalita Mansor atau Mazlia Murat di facebook untuk pendaftaran. 

Sumber : 
http://birding.about.com/od/birdbehavior/a/Bird-Senses.htm
http://ms.wikipedia.org/wiki/Deria

Memanfaatkan Kad Diskaun

Teks   : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Berbanding tahun 90-an, kad diskaun ataupun yang seumpamanya yang mungkin digelar kad ganjaran atau apa juga jenis kad yang menyediakan diskaun dan ganjaran sudah tidak popular dewasa ini.  Berdasarkan pengalaman, saya mendapat manfaat yang maksimum dengan penggunaan kad ganjaran atau kad diskaun ini.

Kad ganjaran adalah kad yang menyediakan ganjaran berbentuk mata yang apabila dikumpulkan boleh ditukarkan semula dengan barangan atau perkhidmatan yang disediakan sama ada oleh penyedia produk ataupun rakan sekutunya.  Ia adalah salah satu penjimatan yang menguntungkan dari segi jangkamasa panjang.

Jika anda pembeli aktif yang setia dengan sesebuah produk atau perkhidmatan, ada baiknya anda mendapatkan perkhidmatan ini jika ada sebagai salah satu pulangan terhadap kesetiaan kita terhadap produk mereka.

Begitu juga dengan kad diskaun.  Kad diskaun terutamanya untuk pembelian di stor-stor buku terpilih memang saya manfaatkan sepenuhnya.  Tambahan pula, semakin besar jumlah pembelian, semakin tinggi nilai diskaun yang diperoleh.

Senang cerita, manfaatkan apa sahaja tawaran jangka panjang yang menguntungkan seperti ini sebagai langkah penjimatan, setidak-tidaknya untuk sebotol kicap, sebulan.

Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif akan bersiaran tidak lama lagi.  Modul pembelajaran akan bertumpu kepada proses berkarya secara kreatif dan beberapa latih tubi yang berkaitan.  Peluang untuk anda yang berminat di dalam bidang penulisan.  Hubungi Monalita Mansor atau Mazlia Murat di facebook.   

Monday 11 November 2013

Affan Yang Istimewa

Teks  : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Affan
saya berikan contoh dan saya suruh Affan lukiskan gigi menangis

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Dah namapun anak bongsu, Affan memang menjadi kebanggaan saya dan suami.  Tanpa angin tanpa ribut, dia boleh datang memeluk pinggang saya erat-erat atau datang mengendeng saya yang sedang berbaring sambil berbaring di sebelah dan memeluk saya.  Bukanlah anak-anak lain tidak istimewa, mereka tetap istimewa dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing.  
'Awan tak larat' itu adalah hasil ilhamnya sendiri

Blog Azura Abdullah, sangat memberi ispirasi apabila membicarakan hal anak-anak ini.  Affan ditakdirkan ketinggalan serba serbi.  Dia yang paling lambat membaca, paling lambat membesar (sampai sekarang tak gemuk-gemuk) paling lambat mengaji.  Tetapi dia, tetap anak saya yang hebat.  Kelebihan Affan ialah dia pandai melukis, dalam ertikata lain dia boleh melukis dengan hanya meniru tanpa perlu menekap (saya dulu kalau nak melukis memang kena tekap).  Pada peringkat anak seusianya kelebihan itu saya sambut dengan kesyukuran.
Dia memang lambat membaca sebab itulah fakta diejanya fatta

Affan juga mempunyai stor leksikon (kosa kata) yang sangat luas.  Tetapi saya mengagak dia memperolehinya melalui kemahiran mendengar, bukan membaca.  Ada beberapa ketika perkataan yang keluar daripada bibirnya bertaraf Bahasa Melayu standard sepenuhnya, kita yang mendengarnya bagaikan berada di dalam majlis rasmi!

Sengaja saya kongsikan catatan ini kerana ingin menjadikan tarikh ini titik temu karya saya dengan karya Affan di dalam sebuah manuskrip novel kanak-kanak, insyaAllah.

Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif akan bersiaran mulai Disember.  Anda yang berminat untuk menjadi penulis atau ingin memperbaiki mutu tulisan anda dan mempercayai kami, boleh menghubungi kami untuk pra-daftar.  Yuran dikenakan berpatutan dan berkonsepkan pengajaran kelas blog.  Fleksibel dan santai.  Anda tidak perlu hadir ke bengkel, semuanya online.  


tengoklah gelagat Affan bersama Anis, Ummi dan Umar
Bertindak sekarang, hubungi saya dengan meninggalkan komen SAYA MAHU di ruangan komen. 

Berjimat Semasa Makan di Luar

Teks    : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Persendirian

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Sila baca tajuk betul-betul ya.  Saya memaksudkan makan di luar dan bukan makan luar.  Ia seakan fenomena yang menentukan status rakyat Malaysia apabila merwar-warkan keberadaan mereka di satu-satu tempat makan yang semestinya di luar rumah.  Tidak kira di hotel atau di gerai, mahupun pasar malam, di mana-manapun, ramai beranggapan makan di luar adalah satu pembaziran yang memberi dampak besar kepada perbelanjaan rumah tangga, lebih-lebih lagi jika kita mempunyai anak-anak yang ramai dan masih kecil.

Agak menyedihkan juga apabila kita (wanita) dilabel suka makan di luar kerana malas memasak, sudah kaya benar atau beberapa tanggapan negatif dan sinis lainnya.   Terdapat banyak faktor lain yang menyebabkan sesebuah keluarga itu terpaksa berbelanja untuk makan di luar.  Salah satunya ialah waktu kerja kaum ibu yang tidak menentu.  Ada yang perginya awal pagi dan harus pulang larut malam berikutan menyelesaikan lebihan tugas.  Tidak dinafikan ada imbalan bayaran lebih masa tetapi ia tidak berbaloi dengan kepenatan yang tidak tergambar di wajah tetapi terasa di tubuh.

Sesampai sahaja di rumah, sebaik beg tangan diletak harus terus ke dapur.  Buka peti ais, keluarkan lauk-pauk, sayur-mayur untuk dimasak, solat, memasak nasi, menyediakan bahan dan seterusnya memasak.  Kemudian, tidak habis lagi, selesai membersih diri, lihat pula kain yang menggunung tinggi, baju sekolah anak yang belum diseterika (lebih-lebih lagi kalau tidak mempunyai anak perempuan yang boleh diharap). Sambil menjalankan mesin basuh atau mencangkung tertonggeng di bilik air kalau ada kain yang tidak boleh dibasuh dengan mesin dan tugasan akhir yang nampak mudah tetapi kadang-kadang menjadi isu besar berpunca daripada tubuh yang penat, melayan suami.

Lantas, satu alternatif biarpun bukan solusi ialah makan di luar.  Saya kongsikan beberapa tips yang mungkin boleh dipraktiskan untuk mengurangkan belanja sekaligus menurunkan kadar kekerapan kita makan di luar.

1. Bawa air mineral sendiri dari rumah.  (Sebab itu ada baiknya selepas membeli botol air mineral, simpan untuk kegunaan begini)

2. Biasanya anak-anak kecil sukakan ayam. Kongsi lauk tersebut dengan anak anda.  SILA berkorban sedikit wahai ibu dan bapa.  Kurangkan lauk di dalam pinggan anda.  Minta satu pinggan kosong dan letakkan sebahagian lauk tersebut di dalam pinggan kosong tersebut untuk anak anda.

3.  Kongsi minuman.  Pesan minuman yang sama dan jika anak kecil, bahagikan di dalam gelas/cawan lain.  Jika anak yang sudah boleh memahami perintah ibu bapa, minta mereka berkongsi.  

4.  Amalkan bertanya harga makanan sebelum makan terutama untuk makanan panas yang disediakan dengan permintaan.  Ini dapat memudahkan anda membuat congakan belanja makan pada ketika itu dan anda boleh mengubahsuai menu.  

5.  Jangan menyambil makanan lain.  Fokuskan dan rancang apa yang hendak dimakan.  Jika anda hendak memakan char kuey tiaw misalnya, pesan sahaja char kuey tiaw walaupun di sebelah anda ada kukus pau mencecah bumbung yang harum baunya sekalipun.

6.  Tapau.  Selain menjimatkan masa, anda boleh menjimatkan belanja membeli minuman.  

7.  Makan berbilang tempat makan untuk semakan bandingan.  Tetapi pastikan, jika boleh lihat senarai harga.  Jika lebih mahal daripada restoran biasa yang kita makan, ada baiknya kita angkat kaki.  

8.  Makan perlahan-lahan.  Sunnah Rasulullah S.A.W. agar kita mengunyah makanan sebanyak empat puluh kali bukan sesia.  Selain ia membantu pengaliran makanan ke dalam perut, ia membuatkan kita berasa kenyang dengan kadar masa yang lebih lama.  


9.  Masak di rumah.  Saya kira, selepas kita berusaha mengurangkan perbelanjaan jalan akhir penjimatan ialah memasak di rumah.  Ada beberapa tipsnya yang diberikan Hjh Rohani untuk ibu-ibu bekerja boleh memasak dengan pantas.

  • Masak sup atau tom yam.  Masukkan semua ramuan di dalam slow cooker sebelum masuk tidur.  Ataupun masak sup tanpa tumis.  Biasa saya lakukan. Setelah bahan disiapkan, saya campakkan semua bahan sekali dan saya boleh membuat kerja lain.  Saya namakan ia sup campak-campak.
  • Masak kari/kurma dan asing untuk dibekukan dan boleh dipanaskan apabila diperlukan.
  • Masak serunding ikan/ayam dalam jumlah yang banyak dan simpan untuk dimakan dengan nasi.  (bagaimanapun teknik ini hanya praktikal untuk mereka yang mempunyai anak di bawah 7 tahun)
  • Sesekali masak bubur lambuk atau bubur nasi ataupun goreng mi atau goreng nasi.
Ada waktunya, ketika teringat ingin merasa makanan mewah dan mahal, eloknya kita mengingatkan diri bahawa, ada keluarga walaupun tinggal di rumah pangsa di Lembah Kelang, hanya menikmati lempeng pada setiap hari kerana tidak mampu membeli beras!

Kelas Asas Blog dan Penulisan FanPage untuk anda yang berbisnes kecil dan besar masih terus berjalan.  Rangkaian blog pelajar juga sudah mencecah 200 orang dan semakin membesar.  Rebut kesempatan untuk meluaskan jaringan bisnes anda dengan menyertai kami.  Hubungi monalitamansor@gmail.com atau PM Monalita Mansor untuk maklumat yuran dan masuk kelas.

Sunday 10 November 2013

Bukan Kempen Nonton Filem.

Teks  : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Badan Kebajikan Pekerja JTI Malaysia Sdn Bhd akan mengadakan hari keluarga santai dengan menonton wayang di panggung-panggung terpilih di Lembah Kelang.  Dua tahun sebelumnya kami sekeluarga menonton Puss In Boot 3D di TGV Sunway Pyramid, Life of PI di MBO Subang Parade dan pada tahun ini sekali lagi kami menikmati kecanggihan sistem bunyi pawagam di TGV Sunway Pyramid sambil menonton Thor, The Dark World.

Acara sebegini memang dinantikan anak-anak kerana semenjak dewasa, mereka tidak didedahkan dengan dunia 'kepanggungwayangan' dan boleh dibilang berapa kali sahaja mereka dibawa menonton.  Maaf, mungkin bunyinya terlalu konservatif, tetapi saya tetap merasakan banyak yang buruk daripada baiknya berada di persekitaran sebegitu.  

Berbalik kepada filem Thor, The Dark World yang kami tonton bersama bertih jagung dan minuman percuma itu, jika difikirkan daripada segi gagasan cerita, Hollywood tidak pernah mengubah dasarnya sejak dulu.  Yang gelap itu antagonis dan yang putih itu protagonis.  Titik.  Malah, pembahagian wataknya juga begitu.

Sila abaikan aspek kecanggihan sinematografi, CGI dan kisah dongeng fizik dan kesejajaran sembilan planet dan hero dengan tukul besinya, heroin dengan teori saintifiknya dan entah apa-apa lagi.  Juga abaikan dialog-dialognya yang menyesatkan.  Saya lebih tertumpu kepada aspek penceritaannya, watak dan perwatakan, sari kata, plot dan beberapa teknik yang boleh diadaptasi dalam penciptaan karya bertinta atau bertaip yang dipanggil novel atau cerpen.  

Watak utama di dalam filem ini digambarkan bersifat manusia.  Walaupun ia mempunyai kelebihan terbang ke sana-sini dengan tukul besinya, sisi manusianya dimasukkan ketika dia kematian ibunya serta adiknya juga ketika berdiskusi mengenai kedudukan takhta bersama ayahandanya.    Dia (saya tak tahu namanya walaupun wajahnya iras Brad Pitt) digambarkan sebagai manusia biasa yang ada peri kemanusiaan dan peri kebinatangan. 

Perkara kedua, saya terkesan dengan plotnya yang awalnya di dalam alur sejajar tetapi apabila semakin ke tengah, ia memperlihatkan beberapa teknik flash forward yang sangat cantik tetapi saya istilahkan 'licik' kalau dapat dicerapkan di dalam karya.    Saya tidaklah begitu mahir dengan teknik pembikinan karya di layar tetapi ada beberapa perkara yang boleh dipelajari oleh penulis apabila menonton filem ini.

Ketiga, sari kata yang menggunakan Bahasa Melayu standard atau BMT (Bahasa Melayu Tinggi) - perkataan yang berdasarkan dialog-dialog yang menggunakan Bahasa Inggeris standard dalam slanga British.  Apa yang ingin saya sampaikan ialah, penggunaan bahasa yang standard akan memudahkan penterjemahan.  Begitu juga untuk menarik perhatian pembaca bukan pengguna Bahasa Malaysia, untuk mudah membaca karya kita.

Perkara keempat yang digelar 'twist' atau saya istilahkan sendiri sebagai gasing cerita.  Karya ini bersifat lurus dan terus tetapi ketika hampir klimaks, satu gasing cerita yang membabitkan watak Thor dan adiknya Loki dijalin dengan sangat menarik dan saya terkesan sehinggalah pada saat cangkuk minda disangkutkan pada akhir cerita dan cerita pun tamat.

Saya masih tertanya-tanya dengan muslihat penulis cerita ini dan sangat ingin menggarap karya sebegitu.  Ini bukan kempen nonton filem ya.  Ini hanya catatan harian dan pengalaman saya bersesuaian dengan teori yang saya pelajari semalam di Bengkel Penulisan Islami.

Bermula Disember 2013, satu lagi kelas akan dibuka iaitu Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif.  Kelas akan bertumpu kepada teknik menulis karya kreatif dengan bimbingan guru-guru online yang berpengalaman dalam bidang penulisan dan penerbitan.  Jika berminat, hubungi monalitamansor@gmail.com atau PM saya di facebook.

Al Kisah Suel anak Gasan

Teks : Monalita Mansor
Gambar ;  Suel a/k Gasan

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Sudah lama juga saya tidak bercerita tentang laman indah tempat mencari rezeki satu ketika dahulu.  Ternyata hari-hari berlalu sebagai suri rumah cukup menyeronokkan, sehingga kenangan lalu bagai tak terhimbau dek ingatan.

Suel anak Gasan adalah pengawal keselamatan di bank tempat saya bekerja dahulu.  Beliau berketurunan Iban dan berasal dari Sarawak.  Seingat saya, saya mengenali Suel sebaik habis pantang anak kedua.  Pada awalnya saya menyangkakan dia berbangsa Melayu kerana raut wajahnya memang kemelayuan.  Suel sangat berhemat di dalam perbelanjaannya walaupun ketika dia bujang.  Sebaik berkahwin, isterinya ditinggalkan di Sarawak.  Katanya, kos hidup di Semenanjung terlalu mahal.  Serba serbi mahu dibeli.  Di Sarawak, padi ditanam sendiri, hasil hutan sudah cukup menjadi pasar raya yang paling besar tanpa perlu mengeluarkan wang.

Percaya atau tidak, dengan pendapatannya yang sedikit dan hasil berjimat-cermat, dia mampu membelikan sebuah kereta Kancil untuk bapanya di Sarawak.  Memandangkan dia seorang diri di sini, dia tinggal di asrama.  Datangnya awal pagi jauh lagi awal daripada kakitangan lain.  Ketika bertugas menggalas senjata, tidak pernah sekalipun dia meletakkan senjatanya sesukanya, seperti yang pernah dilakukan oleh pengawal lain.  Senjata itu sentiasa tersandang di bahunya.

Untuk pulang ke kampung, sesekala dia menggunakan perkhidmatan tambang murah dan Irene, PFC yang bertugas di kaunter hadapan pintu akan melakukan transaksi.   Kebiasaannya, dia akan sedaya-upaya mendapatkan tambang sehabis murah yang sudah tentulah tempahan awal dibuat lama sebelum itu.  Suel juga sangat terang hati, kami sebenarnya banyak merujuk kepadanya apabila berhadapan masalah dengan mesin ATM, CDM dan CQM.  Mana tidaknya, setiap kali servis bulanan atau servis baikpulih mesin, dia akan berdiri dan berlegar di sekitar juruteknik tersebut dan pada masa yang sama akan belajar.  Esok lusa, apabila kami menghadapi masalah yang sama, dia akan memberitahu apa yang dilakukan oleh juruteknik.  Kebiasaannya menjadi pula. 

Suel menjadi sebahagian daripada kami, kakitangan cawangan kecil ini.  Dia seorang yang ringan tulang, baik hati, walaupun mulutnya kadang-kadang lepas juga.  Kejadian rompakan di sebuah bank beberapa minggu lepas begitu mengesankan hati.  Betapa beruntungnya kami ketika itu, memiliki pak guard, kawan, guru dan lelaki rajin dan gagah seperti Suel. 

Rokok dan Isu Membazir

Teks  : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Bagi saya yang tidak merokok dan bersuamikan lelaki yang juga tidak merokok walaupun tugasnya mengadun tembakau untuk membuat rokok, kenaikan harga rokok walaupun beribu kali ganda tidak mendatangkan apa-apa dampak kepada kami. 

Syahdan, sudahpun dimaklumi di dalam beberapa status di laman Facebook tentang tabungan yang dibuat oleh perokok tegar yang tidak mendatangkan apa-apa.  Sekadar habuk dan asap.  Sekalipun perbuatan merokok itu difatwakan sebagai haram sekalipun, mereka menyediakan alasan mereka tersendiri.  Wallah hu Alam. 

Ada juga sahabat kita yang mengambil langkah penjimatan bijak dengan membeli rokok yang lebih murah harganya sebagai menyahut seruan dan bebelan isteri menjelang kenaikan harga rokok di pasaran.  Untuk pengetahuan anda, rokok NDDP atau Non Domestic Duty Paid adalah termasuk rokok seludup, rokok yang tidak dilesenkan untuk dipasarkan, rokok yang dibungkus menyamai paket sebenar, rokok bebas cukai atau illicit whites iaitu rokok yang mempunyai lesen pengeluaran tetapi dikeluarkan untuk tujuan penyeludupan. 
Syarikat-syarikat rokok besar seperti JTI International, British American Tobacco, Imperial Tobacco dan Philip Morris International mengeluarkan belanja yang besar untuk menjayakan Empty Pack Survey yang diadakan dua kali setahun untuk kaji selidik mengenai kebanjiran rokok NDDP di dalam pasaran.

Bayangkan isu rokok yang pada awalnya hanya menyalahi peraturan agama, kini berjangkit pula dengan peraturan negara.  Tetapi, sehingga sekarang belum pernah lagi perokok yang menghisap rokok seludup dikenakan tindakan.  Pembaziran yang kita sangkakan hanya pembaziran kecil di dalam rumah tangga sebenarnya melibatkan kos yang lebih besar yang terpaksa dikeluarkan oleh syarikat rokok dan juga kerajaan.  Alangkah bagusnya kalau kos tersebut kita gunakan untuk menaik taraf institusi pendidikan di negara ini, bolehkah begitu?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung