Saturday 21 December 2013

Meraikan Rasa Bahagia Cara Kami

kek karot hadiah Andak. Sesiapa yang berminat boleh tempah di rhashim578@gmail.com (Rosma Hashim 0163224900)
Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Malam tadi, seluruh adik-beradik suami, kecuali adiknya yang tinggal di Tanjung Malim berkumpul di rumah meraikan anakanda Anis Suraya Maznum. Ala, makan-makan saja. Andaknya belikan kek. Ayah Hamnya (pak lang) belikan rambutan. Ibu Ham (mak lang) gorengkan mee sebab maknya yang ini 'apa pun tak boleh' semalam. 
Al Fateh yang terpaksa 'digari' sebab sibuk nak menculik kek

Sudah lama juga tak berkumpul begini. Semenjak kami berpindah ke sini dan adik-adik suami semuanya sudah berumahtangga, kami hanya berkumpul di rumah Nyah (adik kedua suami, sepatutnya Ngah, tapi dipelatkan dek anak-anak saya dari kecil, sampai ke sudah dipanggil Nyah).

Berita manis yang dibawa Anis 19 Disember lalu, begitu manis juga dikongsi bersama keluarga. Bukan keluarga kami sahaja, malah keseluruhan keluarga, inilah rahmat berita manis itu. Kami berkongsi bahagia cara kami, kecil-kecilan.
Ibu Yoi (mak uda) fokus memotong kek, Afiq tengah sabar sambil Ibu Ham (mak lang) dan wan bersantai sambil menonton tv. 

Anis sudah berpesan pada saya awal-awal lagi sebelum keputusan PMR diterimanya.
"Mak jangan up apa-apa kat facebook."
"Kenapa pulak?"
"Along tak nak nanti ada sedih!"
"Siapa yang sedih?"
"Yelah. Nanti sedihlah kawan-kawan Along yang tak dapat keputusan bagus. Along tak nak mereka rasa rendah diri." Beritahu along dengan yakinnya. 
"Buat apa nak sedih? PMR aje," kata abahnya pula.
"Manalah tahu. Ada yang hilang pertimbangan. Terlalu berharap." jawab Along. 
Ayah Yoi (pak uda) dan acu

Saya diam. Ibu bapa berhak untuk merasa bangga, salah satu caranya dengan berkongsi status di facebook atau laman sosial lain. Bagi yang mendapat satu A pun, anggaplah ia sebagai cabaran, jangan bersedih. Saya, sebagai ibu pun memperolehi banyak pengajaran sepanjang mengenali sahabat anak-anak saya yang kuat-kuat semangatnya ini. 

Jadi, kita pun perlu kuat semangat seperti mereka. 

Mencari medium untuk mengiklan atau ingin mengiklan secara tuntas (menyeluruh)
Anda boleh, sama ada menghubungi Monalita Mansor untuk mengiklan di http://sohodirectory.blogspot.com/
atau terus mendaftar di kelas Asas Blog dan Beriklan di mudah.my yang dikendalikan oleh guru berpengalaman. 

sebarang pertanyaan boleh PM terus ke : FB Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif
atau
monalitamansor@gmail.com

Buku Sekolah Terpakai Boleh Dipakai

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Jika anak-anak belajar di sekolah menengah, buku lebihan tingkatan 1 atau 2 boleh digunakan sehingga tingkatan tiga, pesan cikgu Sarimah. Inilah salah seorang cikgu prihatin, sahabat saya. Di sekolah menengah, buku berkulit tebal lebih mahal daripada buku tulis biasa. Bayangkan kalau anda perlu membeli buku baru sedangkan ada berpuluh lagi muka surat yang boleh digunakan, rugi 'kan?

Apa yang saya lakukan untuk anak-anak di sekolah rendah semenjak seminggu lalu ialah;

1. kenalpasti buku-buku, saring di antara yang boleh digunakan, boleh diguna semula, dibuang terus
2. Untuk guna semula - terpakai beberapa muka surat, saya koyakkan.
3. dapatkan senarai buku-buku yang hendak dibeli daripada sekolah
4. semak senarai, dapatkan pendapat anak-anak sama ada buku tersebut penting, tidak berapa penting atau kurang penting.
5. kurangkan kuantiti yang hendak dibeli.
6. Oh ya, jika ada di antara buku-buku itu dikatakan  out of stock, atau tak sampai lagi, dapatkan maklumat penerbit daripada kedai buku sekolah dan cari di kedai buku di luar. Anda mungkin boleh membelinya dengan harga yang lebih rendah kerana kedai-kedai buku sedang giat menghabiskan stok sekarang.
7. Jika masih tidak berpadanan dengan bajet, guna congakan secara logik. Kebiasaannya mata pelajaran Bahasa seperti Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang memerlukan lebih daripada sebuah buku. Bagi mata pelajaran lain, masih sebuah buku, maka tidak perlu membeli sehingga 20 buah buku sekaligus. Apabila tiba masanya, suruh anak berdikari membeli sendiri buku di kedai buku.

Wallah hu alam

Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif juga tidak ketinggalan memberikan tips-tips menjana pendapatan secara konsisten dengan menulis cerpen. Untuk maklumat lanjut PM Monalita Mansor atau Mazlia Murat.

emel : monalitamansor@gmail.com
        : mazliamurat@gmail.com

Page : Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif.

Friday 20 December 2013

Sekolah Akan Dibuka

Teks : Monalita Mansor
Foto :  Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Saya akan terus menulis mengenai persediaan buka sekolah. Mungkin satu ketika dahulu saya tidak peduli sangat kerana saya bekerja. Sekarang tidak lagi kerana hanya suami bekerja dan saya seorang suri rumah. Begitupun semasa saya bekerja dahulu, saya tetap kedekut dengan persediaan pakaian sekolah anak-anak.

Beberapa hari sebelum hari bonus suami, saya akan bersama anak-anak, menyemak semula semua seragam sekolah, mengacu dan mengasingkan. Kemudian, barulah disenaraikan pakaian baharu yang harus dibeli. Bagi anak-anak yang tidak kritikal tumbesarannya, insyaAllah akan mendapat sepasang seorang. Bagi yang kritikal, yang langsung tidak boleh digunakan lagi, dapatlah seorang dua pasang. Kalau ada tambahan, tunggulah bonus emak pula. Kasut sekolah untuk anak bongsu, memang saya serik untuk belikan yang mahal. Dalam satu insiden, dia tertukar kasutnya dengan pelajar lain dan sampai ke sudah tidak ditemuinya. Sebagai denda, saya suruh dia pakai kasut yang kurang kualiti itu dan apabila koyak tapaknya barulah saya ganti.

Mungkin kejam bunyinya, tapi itulah saya. Bila dah tak bekerja, lagilah kejam! (hahaha...ketawa bergaung-gaung sampai dengar ke Gunung Angsi!)

Saya faham kalau anda mahu sediakan sehingga lima pasang - sepasang untuk setiap hari. Terpulang kepada kemampuan anda, tetapi saya minta anda pandang sedikit sahaja ke hadapan. Tidak tahu apa yang akan dinaikkan lagi tahun depan. Apa salahnya kita bersedia dengan bijaksana, sekarang. 

Antara matlamat awal kelas online ini berdasarkan masalah suri yang mengadu kepada saya
-Tidak ada masa untuk hadir kelas offline
-Tidak pandai perkara asas untuk mula bisnes internet, tidak tahu buat email, mahu buat blog, mahu buat facebook
-Tidak tahu macam mana mahu pos barang

PM untuk masuk kelas asas blog dan fan page bisnes

Thursday 19 December 2013

Debaran Memencak Semangat

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Hari ini 19/12/2013. Hari penting buat calon PMR. Menjelang 10 pagi, kami sekeluarga tanpa Umar tiba di sekolah. Kata kawan-kawan along, keputusan diumum jam 11.00. Pulak. Sambil menunggu keputusan tu, saya dan Ummi pergi ke kedai buku. Melunasi senarai semalam.

Terjumpa seorang cikgu yang juga ibu kepada seorang pelajar sekolah menengah.  Saya sudahpun selesai membeli dan mencuri dengar perbualannya. 
"Yang ini kena beli, puan." Taukeh kedai buku itu menunjukkan perkataan WAJIB di dalam senarai panjang buku-buku yang harus dibeli. Tajuknya Jurnal Pelajar.
"Tak naklah, tak gunapun nanti. Saya cikgu, saya tahulah!" 
"Yakah? tak tahulah saya. Ini katanya arahan kementerian." Kata taukeh itu lagi.

Saya capai buku seakan-akan buku nota itu. Seingat saya tahun sebelumnya ibu bapa dipaksa membeli buku catatan harian. Ia seakan-akan diari yang mencatat tentang kerja sekolah dan kegiatan harian pelajar. Siapakah yang akan memantau semua itu?

Dalam berjimat-jimat, makan juga ratus-ratus. Itupun ada juga buku-buku yang 'belum sampai' atau 'tiada stok'. Tapi alhamdulillah, bagi saya, saya sudah melakukan yang terbaik. Saya mengikut tips yang saya tulis sendiri di dalam blog ini beberapa bulan lalu. 

Sementara itu, keputusan PMR diumumkan dan anak gadis saya meraih 7A 1B. Sebuah kejayaan yang manis buat saya. Anis Suraya Maznum, ibu bangga dengan kamu! Di dalam status FB sempat saya mencoret kisah anak manis ini. Nur Ain Syafira namanya. 
Nur Ain Syafira, tudung putih 8A, Nur Qhosrina 7A IB mengesat air mata sebab maknya dah telefon beritahu keputusan melalui SMS dan Anis.

Ketika keputusan UPSR diumumkan tiga tahun lalu di sekolah sebelah, dia mendapat 4A 1B. Dia meminggir diri sambil menangis daripada sahabat-sahabatnya yang sedang meraikan 5A ketika itu. Saya bertanya padanya, 
"Dapat berapa A?"
"4A IB, mak cik."
"Tak apa. PMR ada lagi."

Dia senyum tawar. Hari ini, dia menangis meminggir juga tetapi setelah mendapat slip keputusan 8A-nya. Sendirian, tanpa ayah dan ibunya. Dia satu-satunya pelajar Melayu yang mendapat 8A di sekolah itu. Saya tahu ibu dan ayahnya bangga dan ada alasan tersendiri untuk tidak hadir.



Saya dekati dia, ucap tahniah dan dia menangis dalam pelukan saya. MasyaAllah, sebaknya saya ketika itu. Tentu dia mengharapkan yang dipeluknya itu bonda dan ayahandanya. Saya sangat terkesan dengan peristiwa ini. Sampai sekarang hati saya masih berkata-kata, entah mengapa.


Sudah lebih 300 blog, 21 kelas, 13 guru online bertugas, kami menawarkan kategori kelas berikut
1. kelas asas blog dan penulisan
2. kelas asas blog dan fanpage mula bisnes
3. kelas belajar iklan mudah.my
4. kelas penulisan kreatif
5. Pendaftaran rakan niaga/pengurus online
6. Pendaftaran kelas urus akuan bisnes kecil/wahm soho bulan Januari




Penunggu Jeram Tengkek

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Mee sudah sekuali digoreng. Tapi destinasi tidak ditentukan lagi. Saya dah suruh anak-anak tanya. Baik anaknya sendiri, mahupun anak saudara kesayangannya, Afiq Haikal yang keletah dan homeh. Encik suami sekadar jawab 'hmm' aje. 

Tiba-tiba sahaja dia muncul dan bertanya,
"eh, kenapa tak siap lagi?"
Saya dan Cik Na, biras saya berpandangan. Nasi belum ditanak. Mee tadi sudah luak separuh. Cepat-cepat nasi ditanak dan lempeng telur disediakan. Dengan terhencot-hencot, saya bantu juga apa yang patut. Cawan, sambal tumis semalam yang dah dihangatkan, tumis sardin semalam semuanya dihangatkan dan diisi dalam bekas. Termasuk juga kerdas, ulam pencuci perut. Hihi

Perjalanan melalui Pertang dan Kg Geylang, membelah banjaran Titiwangsa menuju ke pendaerahan Batu Kikir. Tiada kedapatan perumahan sepanjang mengharung kehijauan alam. Hanya ada satu penempatan orang Asli. Memang kalau melalui jalan itu pada waktu malam, perlukan konvoi berkereta. Kalau sendirian, wallah hu alam.

Kami singgah dulu di rumah mak ngah, emak saudara suami. Teruja dia melihat kehadiran kami dan kami dengan tak malunya meminjam pinggan. (Boleh lupa bawak pinggan! dalam kereta baru teringat). Menuju ke Jeram Tengkek, kami diperlihatkan dengan transformasi masyarakat Orang Asli di sepanjang perjalanan. 

Tiba di air terjun tersebut (di Negeri Sembilan disebut jeram), kami terus mencari lokasi terbaik. Hanya di kawasan cetek memandangkan kami membawa anak-anak kecil. Sambil berendam, saya terjumpa sebatang kayu bengkok yang saya jadikan tongkat. Maka Along menggelar saya Penunggu Jeram Tengkek, lebih-lebih lagi kalau saya berpakaian serba hitam.

Formasi air dan batuan begitu menakjubkan. Itu yang boleh saya katakan. Hati terus melafaz hamdallah, merasa kerdil diri. Yang terpele'ot mungkin urat kecil mungkin sebesar cacing tanah sahaja, tapi apa yang mampu saya lakukan? tak ada apa-apa!

Wallah hu alam.

Rangkaian blog kami sudah menjangkau sehingga 340 blog. Beriklan dengan kami dengan kadar pakej serendah RM50. Hubungi saya untuk maklumat lanjut. 

Wednesday 18 December 2013

Cik Mon Terpele'ot La Pulak

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Selesai urusan melekatkan cukai jualan untuk tahun 2014, perjalanan menuju ke tanah Jelebu bermula. Hari Isnin, waktu Zohor kami tiba di kampung. Rumah kampung kini dihuni oleh adik ipar dan isteri. Jadi seronok sebab semakin meriah, lebih-lebih lagi ketibaan kami disambut bau harum durian.

Petang, dengan tajuk untuk beriadah, saya mencapai raket badminton, dengan kain batik dan selipar licin. Sudahnya berdebuk, terpele'ot. Jatuh dengan kaki terlipat. Cepat-cepat capai minyak panas dan minta Ummi urutkan. 

Risau, takut esok hilang upaya nak berjalan sebab ada aktiviti menarik nak dilakukan. Tapi, senang ceritanya kalau nak beriadah, pakailah pakaian sesuai dan janganlah beriadah di tempat licin lagi memudahkan anda jatuh. 

Monday 16 December 2013

Boling - Menetapkan Matlamat

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi


Assalamualaikum. Salam Serumahtangga. Bismillah.

Tajuk asalnya nak menonton Ustaz, Mu Tunggu Aku Datang. Rupa-rupanya, hari ini hari terakhir dan tayangan berakhir siang tadi. Aduhai. Maka kami bergerak ke kedai buku Popular di sebelah GSC Mall di IOI Mall Puchong.

Dah masuk kedai buku, seorang demi seorang menyorong buku,

"Mak, boleh tak along beli ni?"
"Mak boleh tak ummi beli buku ni, ada diskaun."
"Mak, Umar ambil satu je, boleh tak?"
"Affan nak buku ni mak..."
Berat, menentukan mutu balingan

"Eh, mak dah tak kerja la. Pergi tanya abah," jawab saya. Zaman saya bekerja dahulu, kalau bawa mereka ke kedai buku, wah! macam pengarah syarikat buku tu ada syer dengan saya, dibuatnya. Bila jadi suri rumah, saya selektif sikit, nak-nak ada buku-buku tu nanti bertebaran merata-rata. Lagilah angin saya dibuatnya. 
Kasut, sebagai fungsi keselamatan dan keselesaan

Daripada kedai buku, kami bergerak ke pusat boling. Entah apa namanya, tapi popularlah di sekitar Puchong ini. Setelah enam belas tahun saya kembali ke sini, dan kali pertama memegang dan 'melempar' bola boling. Kebanyakannya semua ke longkang. 
Colour doesn't matter

Begitupun, bila dapat buat jatuhan, saya mula memerhati beberapa faktor yang menyumbang kepada jatuhan tu. Jarak, berat bola, teknik 'melempar' semuanya diambil kira. Penting sekali, bertenang, pesan suami saya. Pagi tadi, Puan Masayu Ahmad melampirkan pautan blog mengenai menetapkan matlamat secara terperinci dan fokus. 
Juara malam tadi, tengok, berapa banyak botol oren kat belakang tu belum jatuh!

Jadi, saya memang mendapat pelajaran berguna malam tadi selain membarakan kasih sayang di antara kami sekeluarga. Alhamdullilah. 
Gaya 4 beradik yang menang bergaya-gaya

Sunday 15 December 2013

Sentimental Value With A Value

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Sekali bahasa 'omputeh' daaa...
(Nak juga guna tajuk macam novel-novel yang ada sekarang ni - peace no war!)

Pandang kiri tengok basikal along masa kecil dulu. Pandang kanan tengok kereta sorong angah yang masih elok, tapi berhabuk. Pandang belakang, kereta lumba adik masih ada kat situ. Mulalah berair mata, mulut berkata,
"sekejap benar masa berlalu. Macam semalam aje lahirkan mereka."

Mulalah perasaan berlagu. Sayanglah, nanti bila mereka dah kahwin tak ada apa yang nak ditengok. BERHENTI. Tolonglah Cik Tipah, Cik Simah! Lorong ke dapur dah tinggal satu kaki aje. Rumah dah macam gudang tembakau. Nak tunggu apa lagi.

Di hari Ahad yang indah ni, mari kita masuk stor, kemas-kemas apa yang patut, dan campak apa-apa yang tak boleh dipakai tapi masih elok ke mudah.my. Atau, abang-abang seiras hero filem Tamil kat tepi jalan yang beli barang lusuh tu ramai, jual sahaja pada mereka. Atau, kalau barang-barang tu benar-benar elok, anda boleh jual semula pada kedai barang terpakai seperti Cash Converters. 

Selain meluaskan lorong ke dapur, melapangkan stor, dapat juga imbalan walaupun tak banyak. Lepaslah duit minyak masak sekampit, paling tidak. Tunggu apa Cik Tipah, moh le
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung