Friday 26 August 2016

Subuh Berdarah - Catatan Sejarah Yang Terpinggir

‘Subuh Berdarah’ - Serangan Balai Polis Kuala Krau

Balai Polis Kuala Krau, di sini, mungkin kelihatan sama seperti balai polis yang lain, namun apabila disingkap kembali sejarah 53 tahun lalu, ia sebenarnya menyimpan satu kisah tragik yang tidak diketahui ramai.

Balai itu pernah diserang hendap komunis pada awal pagi 11 September 1949 dan drama tembak-menembak sama seperti apa yang berlaku ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Johor, itu mengorbankan seorang anggota polis.

Lebih menyedihkan, anggota polis yang dikenali dengan nama Hamzah itu sedang menghitung hari untuk bergelar raja sehari dan merancang untuk pulang ke kampung halamannya di Kuala Krai, Kelantan, sehari sebelum kematiannya.

Penghulu Mukim Jenderak 1, Zainal Azman Bidin berkata, ramai yang tidak mengetahui kisah yang menyayat hati itu kerana umum menganggap satu-satunya balai yang pernah diserang komunis hanya Balai Polis Bukit Kepong.

Katanya, apa yang membezakannya kedua-dua tragedi itu adalah pihak berkuasa menang di Balai Polis Kuala Krau manakala di Bukit Kepong, semua polis yang bertugas di balai berkenaan, meninggal dunia.

“Apa yang berlaku di Balai Polis Kuala Krau itu digelar ‘Subuh Berdarah’. Ketika itu, balai berkenaan dikepung kira-kira 250 pengganas komunis sedangkan polis pula hanya mempunyai kekuatan kira-kira 30 anggota.

“Bayangkan dengan anggota sedikit dan kelengkapan senjata terhad, mereka terpaksa berjuang untuk mempertahankan balai polis itu dan masing-masing tidak berganjak biarpun sehingga ke titisan darah yang terakhir.

“Serangan itu bermula sekitar jam 4 pagi dan berlarutan sehingga dua jam. Ketika azan Subuh berkumandang, barulah pengganas komunis berundur,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Menurutnya, dia mendapat maklumat lengkap mengenai tragedi itu menerusi dua anggota polis yang terbabit dalam kejadian berkenaan, iaitu Allahyarham Koperal Wok Zainal dan Baharin Md Duhun.

Katanya, sebelum serangan itu, komunis menutup jalan utama di pekan berkenaan untuk melumpuhkan sistem perhubungan polis dengan kawasan lain.

“Mereka turut menyerang dan menterbalikkan sebuah kereta api yang membawa pasukan bantuan dari Balai Polis Mentakab di Tanjong Kubu kerana mereka sudah dapat menghidu bantuan akan tiba menerusi kereta api.

“Bukan hanya anggota polis, komunis turut membunuh ahli keluarga barisan hadapan negara itu dan paling menyayat hati apabila isteri kepada seorang anggota polis yang hamil lima bulan turut dibunuh kejam,” katanya.

Zainal berkata, serangan itu mungkin dapat dijangka oleh polis berikutan kelibat ketua komunis ketika itu yang dikenali dengan nama Ah Kit mula kelihatan beberapa hari sebelum serangan.

Sebelum serangan kali pertama pada 28 Jun 1948, kelibat ketua pengganas itu juga dikesan di pekan berkenaan, namun dalam serangan itu hanya membabitkan jumlah komunis yang kecil.

Menurutnya, kejadian itu wajar diketahui oleh setiap rakyat di negara ini untuk mengingati dan menghargai segala pengorbanan pihak berkuasa dalam mempertahankan negara daripada pihak musuh.

Sumber - Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Nota : catatan ini saya peroleh dari grup whatsapps. Disalin seperti nota asalnya. Sengaja saya simpan di sini untuk nota saya.

Sumber dinyatakan.

Wednesday 24 August 2016

Pontianak Menghilir

Assalamualaikum.

Saya tidak minta anda percaya. Ini kisah lisan. Pak Kaso, kawan ayah selama hampir 50 tahun mempunyai hobi yang sangat dekat dengan alam.

Selain daripada berburu, beliau juga aktif dengan aktiviti menjala dan menjaring di Sungai Pahang. Biasanya ayah akan diajak menjadi teman.

Udang galah Sungai Pahang, satu ketika dahulu dapat memberikan pendapatan super lumayan. Namun, setiap yang mahal itu ada harganya.

Kata ayah, biasanya mereka mencari udang selepas tengah malam. Risiko berjumpa buaya memang ada. Tetapi risiko disakat pontianak lebih besar.

Secara umumnya makhluk Allah yang satu ini tentulah boleh merupai sesukanya kerana jisim mereka sebegitu. Lagu-lagu sendu dan hilai sayu di tengah sungai pada tengah malam ketika berdayung bukan benda pelik di telinga ayah ketika itu.

Ayah tak takut ke? Saya tanya.
Mula-mula takut. Tapi lepas tu dah biasa.

Sekarang masih ada ke? Atau sudah berhijrah sebab sungai sudah kekurangan sumber.

Monday 22 August 2016

Peneroka Awal Batu 7, Jalan Karak, Mentakab

Lama sebelum saya lahir, ayah dan emak sudah menetap di pinggiran Sungai Pahang tetapi di lokasi yang berbeza. Yang sama ialah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir pada setiap tahun.

Oleh itu, pada tahun seterusnya ayah telah membeli sebidang tanah di Kg  Baru Batu 7 Jalan Karak. Sebuah kampung baru yang peneroka asalnya terdiri daripada pekerja awam di Kem Batu 5.

Peneroka awalnya termasuklah ayah, Almarhum Pak Cik Majid, almarhum Pak Cik Yusuf, Almarhum Pak Cik Ramli Mat Zali, Almarhum Pak cik Ramly Ismail, Almarhum Pak Cik Hassan Almarhum Pak We Sulaiman dan Pak Ngah Mat Lani.

Kesemuanya pekerja awam di Kem Batu 5 (saya juga bersekolah di tadika Kemas di dalam kem) kecuali Pak Cik Yusuf. Beliau berkhidmat sebagai tukang masak dan meninggalkan Mak Cik Meriah sebagai balu pada awal 80-an.

Di Kampung Buntut Pulau sendiri, ayah mempunyai seorang sahabat dunia akhirat yang kami panggil Pak Kaso. Nama sebenarnya ialah Mansor, sama dengan nama ayah. Isterinya Mak Uda Jemah (kami sebut : Mok De Jemah) kembali ke rahmatullah tahun lepas kerana diabetes.

Utuhnya persahabatan mereka akan saya ceritakan di entri akan datang.

Yang saya nak beritahu ialah nama saya Monalita ialah gabungan nama emak dengan ayah. Li untuk Lijah dan Ta untuk Mokhtar.

Kedua-dua itu adalah nama gelar untuk Puan Khadijah Abdullah dan Tuan Mansor Samsudin.

Sunday 21 August 2016

Sungai Pahang Mengamuk

Saya kira, banjir 2014 merupakan banjir paling traumatik buat rakyat Malaysia amnya dan rakyat negeri terlibat khususnya.

Saya berpeluang melewati Sungai Pahang pasca banjir dan tergamam dengan kemusnahan yang berlaku.

Namun, Sungai Pahang bukan asing dengan banjir. Dulu-dulu, ketika banjirnya masih jinak airnya hanya mencecah ke tepi jalan raya.

Musim cuti sekolah bulan 12 memang masa yang ditunggu-tunggu. Biasanya ayah akan hantar saya ke rumah We di Kampung Durian Tawar. Sebenarnya rumah We beralamat di Kg Jelam. Betul-betul di selekoh selepas Masjid Kg Jelam.

Dulu-dulu, kalau naik bas, masjid itulah landmarknya untuk kami bersedia menekan loceng bas. Rumah We, bertiang tinggi di atas bukit yang jaraknya lebih kurang 500 meter dari Jalan Temerloh-Triang.

Begitupun sebab ia bersebelahan dengan Kg Durian Tawar, kami gelar Durian Tawar sahaja. Pak We Lias, bekas guru besar SK Durian Tawar.

Kalau balik ke sana, tentulah mandi sungai perkara yang paling seronok dibuat. Istilahnya 'kair' atau 'diair' maksudnya mandi.

Pernah, saya, Kak Intan dan Kak Kida mandi di tepi jalan raya semasa banjir disebabkan air besar mencecah hingga ke jalan raya.

Allah, kalau kenangkan...langsung tak terfikirkan bahaya. Allah sahaja yang mengetahui.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung