Tuesday, 10 September 2013

Pilihan Terbaik

Teks    :  Monalita Mansor
Gambar: Carian Google


Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.

Pernah anda mendengar akaun simpanan atau lebih mesra disapa 'saving account'.  Pernahkah juga ada mendengar akaun simpanan tetap? atau nama baratnya, 'fixed deposit account'.  Apakah beza kedua-duanya.  Eh...eh...ada juga yang garu kepala, ada beza ke?

Untuk suri rumah tangga, wajar anda tahu perbezaan kedua-duanya.  Terutama, kalau anda masih tercari-cari akaun yang sesuai untuk anak-anak yang di dalam perut atau di luar perut.  Mula-mula, teliti tujuan anda menabung dahulu.  Untuk jangka panjang atau untuk jangka pendek.  Untuk keperluan hari hujan atau keperluan hujan panas, ribut petir, tsunami dan sebagainya (harap analogi saya difahami)


1.  Akaun Simpanan.

a.  Akaun jenis ini adalah yang paling popular.  Senang dibuka, hulurkan kad pengenalan, isi borang, serahkan wang di kaunter, anda akan diberikan buku akaun/nombor akaun dan sekeping kad debit.

b.  Kalau anda mempunyai pembantu rumah warga asing, untuk simpanan gajinya, adalah lebih baik anda buka satu akaun simpanan untuknya.  Saya lihat, ramai suri rumah yang merupakan pelanggan bank di tempat saya bekerja dahulu melakukannya.

Pemegang akaun utama adalah pembantu rumah (syarat utama pembukaan akaun dengan warga asing ialah penama penama dalam akaun ialah nama warga asing tersebut - ia dinamakan external account) External Account tertakluk kepada syarat-syarat khas di dalam BAFIA atau Akta Bank dan Badan Kewangan.

Akaun simpanan menawarkan kadar faedah yang sangat minima, kecuali dengan syarat-syarat tertentu yang digariskan oleh bank sendiri.  Jadi, jika puan-puan mempunyai wang beratus ribu yang tidak digunakan, sila fikirkan alternatif supaya wang puan-puan tidak disimpan begitu sahaja.  Bnk menyimpan di dalam sarung bantal di bawah bantal!

Bagaimanapun, kenyataan di atas tidak mencakupi simpanan di Tabung Haji.  Tabung Haji menawarkan kadar keuntungan daripada simpanan yang lebih tinggi.  Sementelahan pula, zakat juga dibayarkan oleh mereka, sekaligus. 

Hanya cawangan pejabat Tabung Haji agak terhad dan pelanggannya sentiasa ramai.  Mungkin itu yang menyebabkan anda sesak nafas dan berfikir sepuluh kali untuk membuka akaun di sana.  Bagaimanapun, terkini, terdapat kerjasama dua hala di antara Tabung Haji dan bebeberapa buah bank konvensional yang memudahkan urusan anda.  Sila rujuk bank-bank berkenaan ya.

Manfaatkan simpanan anda agar dapat membantu ekonomi umat Muslim lainnya.  Bagaimana?

Alternatif yang jarang difikirkan oleh penyimpan wang ialah akaun simpanan tetap.  Bagaimanapun akaun ini juga tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

2. Akaun Simpanan Tetap

a.  Masih ingat kes penipuan yang melibatkan akaun simpanan tetap di Melaka yang menyebabkan kerugian kepada seorang guru beberapa bulan yang lepas?  Jangan anda gusar jika anda melakukan transaksi mengikut jalan yang lurus dan benar.
Apakah jalan yang lurus dan benar?  Tekan nombor, tunggu giliran dan buat transaksi di kaunter!  Sekalipun pengurus bank itu bapa saudara anda! Kalau tak ingat, saya ingatkan di sini
http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130614/je_01/Guru-rugi-RM82j-ditipu-rakan

b.  Akaun simpanan tetap mensyaratkan simpanan minima biasanya sebanyak RM500.00 atau RM1000.00 dan ke atas.  Wang tersebut berada di dalam akaun tersebut dalam tempoh yang disyaratkan seperti daripada 1 bulan dan ke atas.  Selepas tempoh matang, kadar faedah dalam jumlah tertentu akan dibayar kepada anda tertakluk kepada syarat pembayaran pilihan anda.

c.  Yang saya nyatakan di atas ialah akaun simpanan tetap konvensional.  Bagi akaun simpanan tetap Islami, pihak bank akan membayar jumlah keuntungan di atas perkongsian yang dinyatakan seperti 70:30 atau apa-apa jumlah yang dinyatakan oleh pihak mereka.

d.  Bagi akaun simpanan tetap konvensional, pengeluaran pra-matang akan menyebabkan anda tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada segi faedah.  Malahan kadang-kadang merugikan pula kerana anda akan dikenakan penalti.

e.  Tetapi, ia tidak berlaku kepada akaun simpanan tetap Islami.  Jika anda menyimpan deposit untuk enam bulan katakan, dan tiga bulan selepas itu anda membuat pengeluaran.  Kadar keuntungan berdasarkan 'profit-ratio' yang ditetapkan tetap akan dibayar berdasarkan kiraan tertentu.

Secara umumnya, masyarakat pengguna sudah diberikan banyak pilihan dalam memilih bentuk tabungan yang difikirkan sesuai untuk diri mereka.  Jika anda ragu-ragu, dapatkan khidmat nasihat daripada mereka yang anda fikir menyakinkan.  Nanti saya kongsikan panduan melangkah ke dalam bank dan membaca watak-watak petugas di dalamnya. 

No comments:

Post a comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung