Friday, 13 September 2013

Ummi Pergi 'Camping'

Teks   :   Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.

Malam ini, pasti lena Ummi terganggu.  Terganggu dek mimpi indah keriangan yang ingin diciptakan bersama Athirah dan Nabila, juga rakan-rakan lain.  Anak gadis kedua saya, begitulah keadaannya.  Apa-apa acara yang sedikit berbeza dengan acara di sekolah, sambutan yang diberikan memang luar biasa.  Keterujaannya akan jelas kelihatan.

Esok, dia dan rakan-rakan tingkatan satunya akan berkhemah di sebuah kem bina semangat di Batu 14 Hulu Langat.  "Duit lagi,"  kata saya apabila dia meminta duit untuk membiayai kos perkhemahannya.  Dia pun memperlihatkan aksi wajah ayunya.  Melengung dengan muka berkerutnya, masuk ke dalam bilik.

Apabila abahnya menghulurkan wang, cerahlah mendung yang tadinya hampir hujan.  Menjelang malam tadi, dua buah beg disediakan.  Kasut juga sudah diletakkan ke tepi siap-siap.

"Beg troli mak ada, nak tak?"  tanya saya.



Muncungnya maju ke depan.  Sedepa.  Sungguh saya hairan.  Perkhemahannya cuma dua hari satu malam.  Tetapi persiapannya, seperti mendapat tawaran pertukaran pelajar ke Korea Selatan!

Begitupun, saya tetap juga memberi pesanan.  Pesanan biasa.  Sebelum tidur, kalau boleh ambil wudhuk.  Makan dan minum dijaga.  Sentiasa berzikir, paling tidakpun sebutlah Allah selalu.  Dia sahaja yang dapat melindungi kita daripada malapetaka.  Tidak akan terjadi sesuatu tanpa izin-Nya.

Sayang Ummi saya, memang sudah teruja.  Apa lagi, laju sahaja anggukan tanda mengingat sungguh.

"Nanti Ummi ambil gambar tempat tu, Ummi tunjuk pada mak,"  katanya sekejap tadi.

"Hmm, nak buat apa?"

"Saja..."  Dia tersengih-sengih.  Agaknya, pagi nanti, lima pagi dia sudah terjaga.  Pagi-pagi sudah terdengar deruan air.  Tak percaya, tengoklah pagi esok!

*Ummi menyertai Kem Pemantapan Sahsiah 2013 anjuran sekolahnya.

No comments:

Post a comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung