Saturday 26 September 2015

Mesin Taip, Aku dan Kenangan

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Monalita Mansor

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.

Selain daripada suka membaca, mesin taip sebenarnya antara item yang mengobar-ngobarkan semangat aku untuk menjadi penulis. Tak tahulah kenapa aku obses sangat dengan mesin taip pada waktu  itu.
Mesin taip ini ayah beli daripada arwah Aki Kadir. Harganya RM70/
Dengan mesin taip ini, terhasillah cerpen yang meraih hadiah Sastera Siswa anjuran DBP dan Bank Rakyat sebanyak tiga kali. Dengan mesin taip inilah aku gunakan untuk menaip manuskrip Seindah Lukisan Hati dan Dilema Hasrat yang diterbitkan oleh CESB.

Mungkin, ia tak dah tak dapat berkhidmat lagi. Namun, kalau nak dikatakan harta yang memberi manfaat, inilah harta aku, salah satunya. 

Friday 25 September 2015

'Mengeteh' Dengan Ayoh

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Monalita Mansor

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah. Salam Aidil Adha

Mengeteh, memang aktiviti aku dengan ayah. Sejak zaman anak dara lagi. Dulu, tiap-tiap petang aku akan siapkan secawan teh yang tak perlu ditarik dan kami sama-sama duduk minum. Tak pun aku akan buatkan ayah secawan dan aku secawan. Aku bawa lari tengok tv.
Aku memang rapat dengan ayah. Ayah yang ajar aku buat teh terbaik. Sukatan susu banyak mana, sukatan teh banyak mana. Aku ingat lagi, petang hari pertama aku jadi menantu sulung keluarga suami. Mak-mak saudara kami order ‘teh kaw’ untuk minum petang. Silap banyaklah nak dera aku! Hihihi… Dah berbulu tapak tangan ni bancuh teh…


Terima kasih ayah.

Wednesday 23 September 2015

Pena GMM Mula Menari

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Sendiri.

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.
Semalam, hari yang indah buat pengasas dan seluruh kerabat kerja Grup Mari Menulis. 22/9/2015, tertubuhlah sebuah syarikat penerbitan bernama Pena GMM Resources. Syarikat ini ditubuhkan dengan hasrat untuk memayungi ahli GMM khususnya dan penulis tanahair amnya yang berhasrat menerbit sendiri tetapi mempunyai kekangan masa, modal dan khidmat nasihat.

Cahaya mata pertama GMM dengan kolaborasi 50 orang penulis sudah pun bertapak di persada dunia penulisan dengan tajuk Komplot Menulis. Antologi tersebut diterbitkan oleh TISS. Syarikat penerbitan kepunyaan alumni Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif yang dipayung pula oleh Akademi Bekerja Di Rumah.

Antologi kedua yang bakal lahir, insya-Allah bertajuk Sedegup Cinta dengan kolaborasi 20 orang cerpenis tanahair, prolifik dan hijau bugar bergabungjalin. Di antara penulis tersebut ialah

  1. Nurrassyi, cerpenis prolifik.
  2. AC Jaffrie, novelis Salju Rindu dan Datang Dengan Cinta, terbitan Karystos
  3. Raiza Khairina, novelis Di Penjara Rindu, terbitan Karangkraf
  4. Intan Yumerza, alumni Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif
Dan ramai lagi.

Proses pendaftaran syarikat berjalan lancar di SSM UTC Pudu Sentral.


Alhamdulillah.

Tuesday 22 September 2015

Memilih Tema


Teks : Monalita Mansor
Gambar: Carian Google

Assalamualaikum. Salam ABDR. Bismillah.

Jika anda penggila hiasan dalaman, anda tentu tak kisah berhabis untuk memastikan laman anda memenuhi tema yang anda inginkan. Tak kisahlah tema English, Bali, Jawa, Melayu Asli atau Sehati Sejiwa (campur-campur)

Begitu juga dengan blog, dengan penulis. Blog yang bertema spesifik akan menyebabkan pengunjung lebih fokus dan tahu apa yang ingin disampaikan oleh pemiliknya. Malah, dengan mudah, seandainya kena dengan jiwa mereka, mereka akan seronok. Mereka akan suka berlama-lama di blog anda.
Contoh; jika blog kita bertema penulisan, bahan-bahannya harus seputar dengan dunia penulisan. Ceritalah tentang pengalaman bertemu penulis lain. Pengalaman membaca buku penulis lain. Walaupun entri tersebut di bawah label catatan harian.

Sebagai penulis pula, seandainya mengambil sesuatu tema sebagai ‘hidangan atau makanan’, perlu fokus dan sentiasa menggilap kelebihan itu. Caranya ialah dengan menulis setiap hari dan membaca genre yang sama.

Contohnya; jika anda penulis genre kemasyarakatan. Anda boleh fokus dengan tema tersebut. Namun, idea-idea segar, di luar kotak, unik dan indah harus disuntik. Malah tidak salah bereksperimen dengan mengadunjalinkan dengan gaya bahasa, diksi dan teknik plot yang berbeza

Selamat Datang, Siti Zaiton Ahmad.


Catatan protege terkini, Puan SIti Zaiton Ahmad yang belum dimurnikan. Semoga dengan menyertai kelas kreatif, ia membantu Puan Siti Zaiton memperbaiki permainan bahasanya.



Teks : Siti Zaiton Ahmad


Nama saya Siti Zaiton binti Ahmad seperti yang telah tercetak dalam kad pengenalan yang kemana-mana saya bawa. Semasa di sekolah rendah kawan-kawan selalu mengejek saya dengan panggilan ‘ratu minyak’. Yelah kan zaiton itu kedengaran macam minyak zaiton jer. Apabila ustazah yang mengajar di kelas memberitahu yang nama zaiton ni bagus kerana  terdapat dalam Al-Quran kawan-kawan kecil saya itu mula cemburu kerana nama mereka tiada dalam Al_Quran. Apa-apapun saya bersyukur dengan nama yang telah diberikan oleh kedua ibu bapa saya.

Saya belajar cuma sampai tingkatan lima  setakat SPM sahaja. Walaupun begitu saya pernah mengikuti kelas menaip sampai memperolehi sijil perkeranian. Malangnya saya tidak pernah menjadi kerani mungkin sudah tersurat yang saya akan menjadi minah kilang. Walaupun cuma berkerja kilang saya memperolehi banyak pengalaman  yang tersendiri. Saya belajar berdisiplin, menepati masa, mengejar target dan menutamakan qualiti yang paling penting halal.Mula-mula saya rasa menyesal kerana tidak belajar bersungguh-sungguh. Terpaksa besengkang mata apabila tiba syif malam. Orang lain sedap-sedap tidur saya kena berjaga. Kalaulah saya belajar tinggi tak payah bersusah-payah seperti itu. Selepas berhenti kerja di kilang elektronik saya mengorak langkah yang lebih panjang apabila mengikut teman-teman sekampung bekerja di Seremban sebagai operator pengeluaran juga. Agaknya sudah takdir saya  akan menjadi minah kilang lagi.  Genap setahun bekerja di Seremban saya dilamar dan terus berhenti kerja dan mengikut suami ke Tapah Perak.

Rupanya suami seorang ‘bisnes man’ walaupun cuma  penjual ikan. Saya hanya tinggal di rumah melayan anak-anak yang semakin bertambah bilangannya. Mula-mula saya langsung tidak meminati pokok bunga. Kalau adapun umpama ‘hidup segan mati tak mahu’ tetapi saya jatuh hati pada pokok bunga ketika mengandungkan anak kelima pada tahun 2000. Barulah saya sedar jiwa saya kearah itu mencintai keindahan bunga. Dari bermain-main akhirnya saya bersungguh hingga wujudlah nursery di kampong saya biarpun cuma di hadapan rumah.Sampai sekarang saya masih menjalankan perniagaan tersebut. Saya menyemai bunga dan menjualnya kepada pelanggan yang datang. Bangga juga saya dengan hasil tangan sendiri.

Disamping itu saya memang berminat dengan dunia penulisan. Dari kecil lagi saya sudah mula menulis. Ada masa terluang sahaja saya akan menulis. Dulu saya gemar menulis diari. Hampir.setiap hari saya mencatat perjalanan hidup saya. Berbagai pengalaman yang saya catat.  Tulisan  pertama saya tersiar di Bacaria saya sudah lupa apa tajuknya. Apa yang saya ingat saya telah menerima cek sebanyak RM30 untuk bayaran tulisan tersebut. Ketika itu saya baru bekerja di Kuantan.Semasa di Seremban hampir setiap minggu puisi saya tersiar di Radio 3 Seremban. Kawan-kawan sekerja semua tahu minat saya. Setiap petang minggu kami duduk di depan radio untuk mendengar sajak yang saya hantar. Seronok sangat mendengar sajak  saya disampaikan oleh Chuari Selamat dengan penuh gaya dan perasaan., kembang hati saya ketika itu..Kawan-kawan tumpang berbangga.

Pernah juga coretan pengalaman saya tersiar di Majalah Remaja. Wah! Tidak terhingga gembiranya ketika itu. Kawan serumah siap belikan majalah tersebut untuk saya. Awal perkahwinan saya curi-curi meminjam mesin taip bapa mertua saya yang ketika itu menjawat jawatansebagai ketua kampong. Tidak menyangka itulah sajak saya yang pertama tersiar dalam majalah wanita bertajuk “Di Bendang Sukma Senyummu Tumpah”. Sajak itu khas buat suami saya. Tersenyum-senyum suami saya membaca sajak tersebut. Saya hampir berhenti menulis apabila mesin taip yang dibeli oleh suami saya rosak. Tokey kedai menyuruh kami membeli komputer kerana sudah  jarang  orang menggunakan mesin taip lagi. Saya menyambung menulis semula setelah salah seorang anak saya mendapat net book percuma dari pihak sekolah. Dunia penulisan saya bersinar semula.

Saya juga minat menjahit, setiap tahun saya menjahit sendiri baju raya anak-anak saya. Saya pernah mencuba membuat kaktus dari perca kain dan hasilnya tidak menghampakan. Saya gemar mengait, membuat ‘cross t’ Naik penuh dinding rumah saya dengan pelbagai gambar. Apabila suami sudah mula merungut saya terus hentikan aktiviti tersebut.. Saya belum ada kepakaran tertentu kerana banyak sangat benda yang saya minat. Melukis juga memang menjadi minat saya cuma masa tidak mengizinkan. Disamping itu saya membaca berbagai genre buku yang saya suka baca tentang perjalanan hidup seseorang, motivasi dan lain-lain lagi. Antara novel yang memberi kesan pada saya ialah ‘Andai itu takdirnya’. Saya suka membaca kisah rumah tangga yang pelbagai cerita.

Saya ada juga menulis di blog, itupun apabila salah seorang adik ipar saya menyarankannya setelah mendapati saya gemar menulis. Saya buat blog sendiri main hentam kromo sahaja. Malangnya sudah lama saya tidak menulis di situ. Saya selesa menulis di fb sahaja. Saya menghadapi kesukaran untuk mencari bahan yang pernah saya tulis kerana di fb tulisan yang lama akan tenggelam dan memakan masa untuk mencarinya. Alamat blog saya ialah zaitonhappy@gmail.com dan matlamat utama saya menyertai kelas ini ialah saya ingin buktikan suri rumah seperti saya boleh berjaya jika saya berada atas landasan yang betul. Setakat minat tanpa ilmu pasti tidak ke mana. Saya ingin menjadi seorang yang berilmu dan berjaya. Semoga Allah memberi kejayaan buat saya mengorak langkah yang lebih jauh.

Monday 21 September 2015

Logika dalam Karya Kreatif Bertema Kemasyarakat/Cinta


Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.

Abaikan jika anda penulis dalam genre berbeza. Lupakan entri ini jika anda penulis aliran mujarad.
Namun, jika anda bercerita tentang kehidupan sekitar anda, sila baca entri ini.
Apabila menulis menggunakan latar masyarakat wujud @ masyarakat nyata, pastikan elemen logika dalam latar dititikberatkan.


Latar Masa

Latar tahun : 1970

Gambaran penulis : spesifikasi kenderaan abad ke-21 (Proton, motor besar, kenderaan import jenama terkini)
                                : LRT, KLCC, Terowong Smart
                                : Restoran-restoran francais terkini, Secret Receipe, Old Town White Coffee, Marrybrown

Contoh : Ketika itu, aku baru berumur 3 tahun. Pada tahun 1970, emak dan ayah berpindah ke Kuala Lumpur. Kami terpaksa berpindah kerana ayah telah dinaikkan pangkat menjadi pegawai khas kementerian. Untuk menghabiskan masa lapang, pada setiap hujung minggu, ayah dan emak membawa aku bersiar-siar. Kami menaiki LRT dari rumah kami di Petaling Jaya.  Jika ayah tidak sempat membawa aku bersiar-siar, dia akan menggantikannya dengan membelikan kek Secret Receipe yang sangat enak.


Latar Masyarakat

Latar : Masyarakat kampung/luar Bandar


Gambaran penulis : bahasa pertuturan/Manglish/American English
                                Watak berstatus Tan Sri/Dato’/ahli korporat yang bercerita tentang tender, golf, skandal dan seputarnya.

Kampung yang terletak di pinggir Bukit Batu itu kecoh lagi. Kali ini tentang lembu hilang. Lembu Usin Sengau yang ditambat berhampiran pokok leban di tepi sungai kecil, hilang lagi.
“Pukul berapa mesyuarat saya pagi ni?” Tan Sri sedang bercakap di telefon. Isterinya, sedang menyiapkan hidangan pagi sambil mendengar pembantu rumah bercerita tentang lembu Usin Sengau yang gemuk gadang itu.
Golf? Nobody inform me…! What time? What’s the problem with all of you, ha?”


Latar Tempat

Latar : Hospital

Gambaran Penulis : menggunakan terma-terma umum yang berbeza dengan terma yang digunakan di hospital.
Kronologi sesuatu prosedur perubatan yang salah ; seperti, lepas daftar, terus jumpa doktor. Walhal terdapat beberapa peringkat saringan yang perlu dilalui.

Saya memandang sekitar. Sekejap lagi saya akan dibawa ke bilik bedah menggunakan stretcher. Sebelum itu, saya telah diarahkan menelan pil khas sebelum masuk ke bilik bedah.

Latar Situasi

Latar : Majlis Kenduri Arwah


Gambaran penulis : watak sedang bergembira meraikan kejayaannya melanjutkan pelajaran ke luar negeri dan teman-temannya datang mengucapkan tahniah. Ahli keluarga yang sedang bersedih juga menjadi gembira dan saling berpelukan. Boleh?

Tiket Ketik-Ketik

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Sendiri

Assalamualaikum dan Salam Cuti-Cuti Aidil Adha. Bismillah.

Hari ini, disebabkan Airiel tak sihat (demam) maka tidaklah dia datang ke rumah aku. Maka aku pun ambil kesempatan untuk keluar ke Old Town, PJ untuk menyelesaikan beberapa urusan.
Dah lama juga aku tak ke Pejabat Pos Petaling Jaya yang terletak di PJ Old Town ni. Sejak dulu, aku memang suka berurusan di pejabat pos ni. Tak tahulah kenapa. Sebab kerani-kerani kaunternya nampak tenang  aje kot?
Dalam perjalanan balik, bas RapidKL ditahan di Seri Sentosa. Betul-betul di perhentian bas di depan Pejabat Pos Mini Seri Sentosa. Aku ingatkan kenapa, rupa-rupanya inspektor tiket naik untuk periksa tiket.
Bagus…bagus… aku sokong.

Untuk elakkan salah laku pemandu dan kes penumpang naik curi-curi. Tapi, insiden ini mengundanglah pula nostalgia naik bas masa kat kampung. Ada konduktor, ada tiket ketik-ketik…aduhai. 
koyak : lepas kena check

Sunday 20 September 2015

Rangka Dan Cerita


Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum. Salam Kreatif. Bismillah.

Merangka plot atau draf DENGAN menulis kreatif adalah dua perkara yang berbeza. Hasil ‘rangkaan’ kita itu digelar draf. Draf pula akan melalui beberapa proses kreatif, barulah ia akan digelar cerpen, puisi, novel dan sebagainya.
Anda tentu pernah membaca kan, ada penulis-penulis tersohor melakukan proses edit beratus-ratus kali sebelum berani mengenengahkan hasil karyanya.
Anda tak boleh dakwa diri anda penulis hanya berdasarkan kemahiran anda membuat draf. Kemudian anda tulis berjela-jela dengan bahasa draf. Pada akhirnya, anda dakwa ia sebagai karya kreatif seperti yang tersebut di atas.
Contoh draf :
Contoh 1
saya dalam perjalanan ke pusat belia. Dalam perjalanan, saya sakit perut. Sakit perut saya kuat sangat.
tapi bukan sakit nak ter……. Tapi sakit lain. Saya berhenti di tepi jalan. Saya ambil telefon. Saya telefon kakak saya. Kakak saya pergilah klinik. Saya tanya klinik mana. Kakak kata, Klinik Bandar.

kemudian anda tulis begini :
Contoh 2
Saya dalam perjalanan ke pusat belia. Dalam perjalanan, saya merasa sakit perut yang amat sangat sehingga saya rasa hendak menangis tetapi saya tidak menangis. Tapi, sakit perut saya itu bukan sakit hendak ter…. Sakitnya macam kena cucuk-cucuk. Saya pun berhenti di tepi jalan dan mengambil telefon bimbit ZenPhone2 yang dihadiahkan oleh ayah saya pada minggu lepas kerana lulus periksa lalu menelefon kakak saya yang tengah lepak di kafe kat kolej dia. Kakak saya suruh pergi ke klinik tempat klinik keluarga yang biasa mak dan ayah pergi kalau saya atau kakak demam atau sakit.

Contoh 3
Semasa di dalam perjalanan menuju ke pusat belia, saya sudah merasakannya. Ada sesuatu yang aneh di dalam perut. Sepertinya ada pisau tajam yang menikam-nikam tali perut. Kesakitannya bisa sekali. Ia merengat-rengat dan menyebabkan sendi terasa lemah. Ia seperti menyerang ke seluruh tubuh sehingga peluh-peluh kecil merenek di dahi.
Langkah saya menjadi perlahan. Adakalanya terhenti terus apabila tali perut saya seperti dipulas dan diperah. Saya berhenti dan bersandar di dinding perhentian bas. Dengan tangan yang menggigil-gigil, saya meraba perut beg. Saya keluarkan telefon bimbit dari dalam beg.
“Kau pergi Klinik Bandar, sekarang,” arah kakak saya sebaik saja mendengar aduan saya yang payah.



Contoh 1 ialah draf
Contoh 2 ialah draf juga tetapi saya pernah jumpa dimajukan untuk sebuah antologi cerpen
Contoh 3 ialah draf yang dimurnikan untuk kali pertama. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung