Sunday 4 September 2016

Sepotong Tembikai

Ketika wanita lain fokus untuk menjadi suri rumah sepenuh masa, emak membuat keputusan sebaliknya. Ketika baru berpindah ke tempat baru, emak bekerja di Mentakab Veneer % Plywood. Nama kampungnya -kilang plywood.

Ketika itu, MVP masih menggunakan tenaga tempatan sepenuhnya. Di seberang jalan berdepan dengan kilang tersebut berceracak umpama cendawan tumbuh rumah-rumah setinggan sehingga ke kilang sawmill. Di tepi jalan pula kedapatan kedai runcit kepunyaan Pak Cik Mad Shah.

Emak bekerja syif. Jujur, banyak masa saya dihabiskan bersama ayah. Ayah bawa saya bersama-sama ketika bekerja di kem. Saya kenal kebanyakan kawan-kawan ayah. Saya tahu aktiviti senggang mereka ketika itu.

Cuma saya ingat satu perkara. Kalau emak bekerja syif petang (balik sebelah malam) mak akan bawa balik sepotong tembikai yang sejuk, di dalam plastik. Berbeza dengan tembikai sekarang yang dipotong kecil-kecil.

Walaupun di tengah malam, saya akan bangun atau dikejutkan ayah atau emak. Dan saya akan makan tembikai itu sehingga air dan kulitnya mencecah pipi.

Saya rindu emak. Saya rindu ayah.
Semoga Allah mengasihani mereka sebagaimana mereka mengasihani saya semasa kecil.

Thursday 1 September 2016

Suami Acuan Islam Merentas Zaman

Saya berpindah ke Kampung Batu 7 atau nama barunya Kampung Desa Bakti sekitar umur 3-4 tahun saya kira.

Saya ingat lagi. Kami menaiki lori dan lori tu diparkir di depan rumah arwah Pak Cik Majid dan De Kama. Masa tu, anak-anaknya menjenguk di tingkap. 8 orang semuanya.

Ayu, Iza dan Yai, semuanya kemudian jadi kawan-kawan sepermainan saya. Pak Cik Majid bekerja di kem sama dengan ayah. De Kama pulak kerja di kilang Mardec. Tapi susuk Pak Cik Majid yang rajin tolong De buat kerja rumah saya ingat sampai sekarang.

Zaman tu, kalau orang lelaki angkat kain atau jemur kain waima buat kerja rumah pun jadi benda pelik.

Pak Cik Majid dah kembali ke pangkuan Penciptanya beberapa bulan lepas. Sebulan selepas Yai kembali ke rahmatullah. Namun figura kurus dan berwajah manis ini kekal dalam memori saya sebagai suami acuan Islam idaman merentas zaman.

Al fatihah

Wednesday 31 August 2016

Kenangan Kemerdekaan Yang Berbalam

Kampung Buntut Pulau yang saya diami selama 2 tahun lebih sebenarnya mengisi lebih daripada nilai sejarah diri saya.

Di kampung ini selain Kampung Tengah, Pengkalan Manggis dan Pangsenam mencatat keberadaan individu pejuang kemerdekaan yang tak didendang. Malahan, tidak terkecuali diiktiraf petualang kerana bersekongkol dengan pihak-pihak berhaluan kiri.

Mungkin kerana kedudukannya yang tidak jauh daripada Kuala Semantan atau Temerloh atau mungkin faktor-faktor lain.

Bagaimanapun, rumah yang mengisi ahli keluarga kecil kami itu sudah lama menyembah bumi. Status tanah tersebut tidak diketahui dan tiada keperluan untuk saya mengambil tahu.

Bagaimanapun, padang di tepi jalan utama Triang-Temerloh itu masih membawa kenangan yang berbalam-balam untuk saya ketika kecil.

Friday 26 August 2016

Subuh Berdarah - Catatan Sejarah Yang Terpinggir

‘Subuh Berdarah’ - Serangan Balai Polis Kuala Krau

Balai Polis Kuala Krau, di sini, mungkin kelihatan sama seperti balai polis yang lain, namun apabila disingkap kembali sejarah 53 tahun lalu, ia sebenarnya menyimpan satu kisah tragik yang tidak diketahui ramai.

Balai itu pernah diserang hendap komunis pada awal pagi 11 September 1949 dan drama tembak-menembak sama seperti apa yang berlaku ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Johor, itu mengorbankan seorang anggota polis.

Lebih menyedihkan, anggota polis yang dikenali dengan nama Hamzah itu sedang menghitung hari untuk bergelar raja sehari dan merancang untuk pulang ke kampung halamannya di Kuala Krai, Kelantan, sehari sebelum kematiannya.

Penghulu Mukim Jenderak 1, Zainal Azman Bidin berkata, ramai yang tidak mengetahui kisah yang menyayat hati itu kerana umum menganggap satu-satunya balai yang pernah diserang komunis hanya Balai Polis Bukit Kepong.

Katanya, apa yang membezakannya kedua-dua tragedi itu adalah pihak berkuasa menang di Balai Polis Kuala Krau manakala di Bukit Kepong, semua polis yang bertugas di balai berkenaan, meninggal dunia.

“Apa yang berlaku di Balai Polis Kuala Krau itu digelar ‘Subuh Berdarah’. Ketika itu, balai berkenaan dikepung kira-kira 250 pengganas komunis sedangkan polis pula hanya mempunyai kekuatan kira-kira 30 anggota.

“Bayangkan dengan anggota sedikit dan kelengkapan senjata terhad, mereka terpaksa berjuang untuk mempertahankan balai polis itu dan masing-masing tidak berganjak biarpun sehingga ke titisan darah yang terakhir.

“Serangan itu bermula sekitar jam 4 pagi dan berlarutan sehingga dua jam. Ketika azan Subuh berkumandang, barulah pengganas komunis berundur,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Menurutnya, dia mendapat maklumat lengkap mengenai tragedi itu menerusi dua anggota polis yang terbabit dalam kejadian berkenaan, iaitu Allahyarham Koperal Wok Zainal dan Baharin Md Duhun.

Katanya, sebelum serangan itu, komunis menutup jalan utama di pekan berkenaan untuk melumpuhkan sistem perhubungan polis dengan kawasan lain.

“Mereka turut menyerang dan menterbalikkan sebuah kereta api yang membawa pasukan bantuan dari Balai Polis Mentakab di Tanjong Kubu kerana mereka sudah dapat menghidu bantuan akan tiba menerusi kereta api.

“Bukan hanya anggota polis, komunis turut membunuh ahli keluarga barisan hadapan negara itu dan paling menyayat hati apabila isteri kepada seorang anggota polis yang hamil lima bulan turut dibunuh kejam,” katanya.

Zainal berkata, serangan itu mungkin dapat dijangka oleh polis berikutan kelibat ketua komunis ketika itu yang dikenali dengan nama Ah Kit mula kelihatan beberapa hari sebelum serangan.

Sebelum serangan kali pertama pada 28 Jun 1948, kelibat ketua pengganas itu juga dikesan di pekan berkenaan, namun dalam serangan itu hanya membabitkan jumlah komunis yang kecil.

Menurutnya, kejadian itu wajar diketahui oleh setiap rakyat di negara ini untuk mengingati dan menghargai segala pengorbanan pihak berkuasa dalam mempertahankan negara daripada pihak musuh.

Sumber - Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Nota : catatan ini saya peroleh dari grup whatsapps. Disalin seperti nota asalnya. Sengaja saya simpan di sini untuk nota saya.

Sumber dinyatakan.

Wednesday 24 August 2016

Pontianak Menghilir

Assalamualaikum.

Saya tidak minta anda percaya. Ini kisah lisan. Pak Kaso, kawan ayah selama hampir 50 tahun mempunyai hobi yang sangat dekat dengan alam.

Selain daripada berburu, beliau juga aktif dengan aktiviti menjala dan menjaring di Sungai Pahang. Biasanya ayah akan diajak menjadi teman.

Udang galah Sungai Pahang, satu ketika dahulu dapat memberikan pendapatan super lumayan. Namun, setiap yang mahal itu ada harganya.

Kata ayah, biasanya mereka mencari udang selepas tengah malam. Risiko berjumpa buaya memang ada. Tetapi risiko disakat pontianak lebih besar.

Secara umumnya makhluk Allah yang satu ini tentulah boleh merupai sesukanya kerana jisim mereka sebegitu. Lagu-lagu sendu dan hilai sayu di tengah sungai pada tengah malam ketika berdayung bukan benda pelik di telinga ayah ketika itu.

Ayah tak takut ke? Saya tanya.
Mula-mula takut. Tapi lepas tu dah biasa.

Sekarang masih ada ke? Atau sudah berhijrah sebab sungai sudah kekurangan sumber.

Monday 22 August 2016

Peneroka Awal Batu 7, Jalan Karak, Mentakab

Lama sebelum saya lahir, ayah dan emak sudah menetap di pinggiran Sungai Pahang tetapi di lokasi yang berbeza. Yang sama ialah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir pada setiap tahun.

Oleh itu, pada tahun seterusnya ayah telah membeli sebidang tanah di Kg  Baru Batu 7 Jalan Karak. Sebuah kampung baru yang peneroka asalnya terdiri daripada pekerja awam di Kem Batu 5.

Peneroka awalnya termasuklah ayah, Almarhum Pak Cik Majid, almarhum Pak Cik Yusuf, Almarhum Pak Cik Ramli Mat Zali, Almarhum Pak cik Ramly Ismail, Almarhum Pak Cik Hassan Almarhum Pak We Sulaiman dan Pak Ngah Mat Lani.

Kesemuanya pekerja awam di Kem Batu 5 (saya juga bersekolah di tadika Kemas di dalam kem) kecuali Pak Cik Yusuf. Beliau berkhidmat sebagai tukang masak dan meninggalkan Mak Cik Meriah sebagai balu pada awal 80-an.

Di Kampung Buntut Pulau sendiri, ayah mempunyai seorang sahabat dunia akhirat yang kami panggil Pak Kaso. Nama sebenarnya ialah Mansor, sama dengan nama ayah. Isterinya Mak Uda Jemah (kami sebut : Mok De Jemah) kembali ke rahmatullah tahun lepas kerana diabetes.

Utuhnya persahabatan mereka akan saya ceritakan di entri akan datang.

Yang saya nak beritahu ialah nama saya Monalita ialah gabungan nama emak dengan ayah. Li untuk Lijah dan Ta untuk Mokhtar.

Kedua-dua itu adalah nama gelar untuk Puan Khadijah Abdullah dan Tuan Mansor Samsudin.

Sunday 21 August 2016

Sungai Pahang Mengamuk

Saya kira, banjir 2014 merupakan banjir paling traumatik buat rakyat Malaysia amnya dan rakyat negeri terlibat khususnya.

Saya berpeluang melewati Sungai Pahang pasca banjir dan tergamam dengan kemusnahan yang berlaku.

Namun, Sungai Pahang bukan asing dengan banjir. Dulu-dulu, ketika banjirnya masih jinak airnya hanya mencecah ke tepi jalan raya.

Musim cuti sekolah bulan 12 memang masa yang ditunggu-tunggu. Biasanya ayah akan hantar saya ke rumah We di Kampung Durian Tawar. Sebenarnya rumah We beralamat di Kg Jelam. Betul-betul di selekoh selepas Masjid Kg Jelam.

Dulu-dulu, kalau naik bas, masjid itulah landmarknya untuk kami bersedia menekan loceng bas. Rumah We, bertiang tinggi di atas bukit yang jaraknya lebih kurang 500 meter dari Jalan Temerloh-Triang.

Begitupun sebab ia bersebelahan dengan Kg Durian Tawar, kami gelar Durian Tawar sahaja. Pak We Lias, bekas guru besar SK Durian Tawar.

Kalau balik ke sana, tentulah mandi sungai perkara yang paling seronok dibuat. Istilahnya 'kair' atau 'diair' maksudnya mandi.

Pernah, saya, Kak Intan dan Kak Kida mandi di tepi jalan raya semasa banjir disebabkan air besar mencecah hingga ke jalan raya.

Allah, kalau kenangkan...langsung tak terfikirkan bahaya. Allah sahaja yang mengetahui.


Saturday 20 August 2016

Kuala Semantan Tempat Koi

Assalamualaikum.

'Koi' ialah ganti nama diri pertama yang bermaksud 'saya' di dalam dialek Pahang sebelah Temerloh.

Kenapa saya katakan sebelah Temerloh? Sebab setiap daerah di dalam negeri Pahang ada signatur dialeknya sendiri. Malahan di Temerloh sendiri, 'kawan', 'kome' atau 'keme' adalah variasi ganti nama diri pertama selain 'koi'.

Apa ada dengan Sungai Pahang?
Sungai Pahang ada cerita kasih, ada cerita derita, ada cerita cinta.

Sehingga berumur dua tahun, saya dibesarkan di tebing Sungai Pahang. Sebuah kampung kecil yang besar namanya dalam peta perjuangan pra dan pasca merdeka. Di dadanya lahir pejuang dengan ideologi dan visi pelbagai tapi dengan misi nan satu. Bebas Merdeka.

Kampung Buntut Pulau, dalam jajaran Pengkalan Manggis, Kg Tengah dan Pangsenam.

"Takut saya nak sebut nama kampung dia ni," gurau Tuan Chuari Selamat satu ketika dulu. Satu dewan Hotel Holiday Inn ketawa.

Malu? Tak. Saya bangga.

Thursday 11 August 2016

Pelayaran Kasih - Sebuah Ulasan Seorang Marhaen

Pelayaran Kasih
Berlayar : 1230
Berlabuh: 1915

Karya ini hanya untuk pembaca matang. Diulangi pembaca MATANG.

Kisahnya sangat dekat di hati masyarakat Melayu. Persoalannya sekadar berlegar dalam keluarga Kamaruzaman, Kartina dan Ahmad Adham. Konflik yang mengocak damai setiap watak juga konflik lumrah. Fitnah. Lebih sadis apabila fitnah itu keluar dari mulut seorang anak terhadap ibu kandung.

Bagaimanapun apakah peleraiannya peleraian yang klise? Tidak!

Rohani Deraman bermain dengan plot twist yang banyak. Cerita yang rancak walaupun bacaan terganggu kadang-kadang dengan kaburnya pandangan dek air mata.

Rohani Deraman sebagai otai menyajikan banyak tips mendepani konflik rumahtangga. Namakan apa sahaja, kecurangan, poligami, fitnah, dengki, - semuanya disimpulkan dengan satu jawapannya.

Pelayaran Kasih mesti dibaca untuk menyegarkan daya juang seorang serikandi di dalam diri buat wanita-wanita di luar sana. Tak kiralah apa yang sedang anda tanggung sekarang

Thursday 24 March 2016

Titik Mula Bengkel Pengurusan Jenazah

Assalamualaikum dan Salam Khamis

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Anis Suraya Maznum

Kisahnya begini. Saya mula nak ambil tahu tentang pengurusan jenazah ni semenjak pemergian almarhum nenek sebelah suami.

Apa yang terjadi, biar saya simpan seorang.

Kemudian saya cari buku. Tapi dalam buku ada banyak tatacara yang saya kira komplikated dan saya kira orang awam macam saya tak mampu buat.

Dalam satu kelas mengaji, saya jumpa Kak Azizah, pengurus jenazah berpengalaman. Dia bercerita. Ada banyak perkara yang tak perlu, kita buat jadi 'perlu' sesangat semasa proses menguruskan jenazah.

Kemudian, dimudahkan Allah lagi, guru mengaji kelas saya adalah pembimbing kursus jenazah Muslimah yang diiktiraf MAIS, Ustazah Zaemah Kasbi.

Saya ditanya, kenapa kena bayar? Mahal pulak tu.

Ini jawapan saya - saya melakukannya tanpa bantuan dana mana-mana pihak.

Kenapa tak minta peruntukan kanan dan kiri atas dan bawah?

Ini jawapan saya - Biar saya buat dulu. Biar saya menggunakan dana yang disumbangkan oleh sahabat-sahabat saya sebagai peserta mahupun penaja.

Saya nak sahabat saya yang tak dapat turut serta secara lahiriah, bersama dengan saya secara batiniah melalui aliran pahala melalui tajaan dan infak mereka.

Saya takut tak punya banyak masa dan disoal, apakah satu kebaikan yang saya dah buat masa di dunia?

Kalau jawapannya 'tak ada' - maka ada guna tak kita ni diciptakan?

Salam sayang.

Wednesday 23 March 2016

Bengkel Pengurusan Jenazah

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.

Alhamdulillah. Bengkel ni mendapat sambutan menggalakkan. Baik dari segi penyertaan, mahupun tajaan.

Bagi anda yang nak turut serta tapi berhalangan, anda boleh turut serta dengan menaja peserta dengan amaun sebanyak RM30.00

Maklumat lanjut mohon hubungi saya melalui whatsapps

Thursday 10 March 2016

Bengkel Penulisan Kreatif di DBP

Dengan usaha Puan Asmah Hashim sebuah bengkel Penulisan Kreatif dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka akan berlangsung pada :

21dan 22 Mac 2016
(8.00 pagi sehingga 4.30 petang)
Lokasi : Dewan Bahasa & Pustaka

Yuran : RM100 (kos makan untuk 2 hari)

Bagi peserta luar Lembah Kelang yang memerlukan penginapan sila hubungi Nur Dila

sijil akan disediakan

Pertanyaan dan pendaftaran - rujuk Puan Asmah Hashim, Puan Nur Dila, Cik Norika Kadir

Friday 26 February 2016

Mari Berselawat

Assalamualaikum dan Salam Jumaat.

Muslimah dijemput hadir beramai-ramai memeriahkan suasana.

Rezeki Emosi

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga

Teks. : Monalita Mansor
Gambar : Peribadi

Beberapa lama selepas berhenti kerja dan kerjaya penulisan juga hampir teguh, beberapa ujian melanda. Kewanganlah terutamanya.

Kerjaya penulisan juga bertemu gelombangnya apabila terlibat dengan isu-isu semasa dunia kepengarangan seperti royalti, hak cipta dan manuskrip.

Lalu, emosi memang merudum dan saya terus berenang di lautan duka. Datang seorang kawan, memujuk saya berhijrah. Berhijrah dalam ertikata menukar segala-galanya yang berkaitan dengan dunia kepengarangan saya.

Pada masa yang sama, si kecil yang manis ini hadir di depan pintu. Kulitnya putih, matanya sepet, hidungnya kembang dan mukanya masam. Tapi, pertama kali didukung dia tak menangis.

Perasaan jadi berbunga dan itulah mulanya. Rupa-rupanya Allah bagi bonus dengan caranya sendiri.

Semenjak kehadiran si kecil yang kini berumur hampir lapan bulan, saya telah menyiapkan dua manuskrip, dua masih lagi dalam bikinan, beberapa buah cerpen dan semuanya itu berlaku dalam tempoh 6 bulan.

Walaupun ada yang mencebir mengatakan kerjaya mengasuh bayi ini low class, kerjaya untuk mereka yang hilang harapan- dan ia sangat menyinggung perasaan, saya harus menerima bahawa manusia punya kesakitan tersendiri dan mereka menyalurkannya dengan komen-komen negatif.

Abaikan, mereka memang sakit!

Natijahnya, saya bahagia dengan kehadiran si manis kecil ni.

Wednesday 24 February 2016

Daripada Penulis Kepada Penerbit

Assalamualaikum dan Salam Kreatif

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Bismillah.

Angin petang membawa sebahagian cerita bahawa kebanyakan penulis yang menerbit sendiri adalah kerana 'kuciwa' 'nestapa' atau duka lara kerana konflik dengan penerbit atau manusia-manusia yang seputar dalam dunia penulisan itu sendiri.

Tak kisahlah atas alasan apa. Hanya apakah kita betul-betul bersedia. Tak perlu tanya khalayak. Tanya diri kita sendiri.

Saya melihat perlunya ilmu bantu untuk penulis yang menerbit sendiri. Ilmu bantu itu tentu sahaja berkaitan dengan strategi, kewangan dan mentor.

Dinasihatkan kita mencermin kedudukan kita dalam bidang ini. Jika kita tak mampu, cari orang yang mampu dan mulakan kolaborasi atau kalau mampu, bayar mereka.

Jangan melulu kerana terluka atau kerana tersangat ingin melihat nama sendiri dalam daftar syarikat.

Doa, fikir dan kaji.

Catatan Menggunakan Telefon Pintar.

Tuesday 23 February 2016

Tahniah Siti Zaiton Ahmad

Assalamualaikum dan Salam Kreatif.

Malam tadi, semacam nak melompat kegembiraan. Sebuah cerpen milik protege KABPK tersiar di majalah Mingguan Wanita.

Cerpen ditulis oleh Puan Siti Zaiton Ahmad yang puisinya baru sahaja tersuar di Berita Minggu, beberapa minggu sudah.

Dia sudah membuktikan. Umur dan status bukan halangan.

Sunday 21 February 2016

Ke Laut Kita

Assalamualaikum dan Salam Karya

Teks : Monalita Mansor
Gambar :

Bismillah.

Istilah 'ke laut' memang sinonim dengan penulis. Tak kisahlah ke laut lepas, laut dalam atau dasar laut sekalipun.

Istilah ini boleh jadi bersangkutan dengan mood ataupun inti karya yang tiba-tiba kita rasakan tawar.

Mood penulis paling cepat menjunam kalau berkaitan dengan manuskrip. Biasanya sebab manuskrip ditolak, minta dibaiki, mintak dirombak - iaitu seribu satu 'term of rejection'.

Automatik, ia berkaitan dengan inti karya itu juga yang mungkin bersalahan dengan kemahuan penerbit.

Maka,
Ada baiknya, penulis merajin dan merapatkan diri dengan khalayak pembaca yang sebenar-benarnya mempunyai kuasa beli, kuasa minda dan kuasa emosi untuk mengetahui kehendak pasaran.

Penerbit juga bereaksi berdasarkan respon yang diterima daripada pembaca.

Jangan merasa gah dapat duduk di dalam kelompok penulis kerana pada kebanyakan  ketika mereka jarang  membeli karya anda kecuali

1. Kawan baik anda
2. Anda bagi diskaun gila-gila
3. Penulis tu mak abah anda/anak anda
4. Penulis tu memang menulis mahakarya

Buka mata, buka minda, buka langkah.

Wallahu alam

Friday 19 February 2016

Berbisnes Dengan Perkataan

Assalamualaikum dan Salam Karya

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Grup Perkampungan Penulis

Dunia penulisan memasuki dimensi baru pada ambang 2016 daripada cetusan idea Bonda Nur untuk memeriahkan 14 Februari dengan idea hadiah buku.

Bertempat di Auditorium Karangkraf seramai hampir 150 individu terdiri daripada pengarang pelbagai genre, editor dan artis berkampung sehingga ke petang. Selingan hidangan tajaan daripada para pengkarya ini juga menyaksikan acara hari itu mewah dengan sillaturrahim dan ilmu, juga menu yang menyelerakan.

Program dibahagikan kepada 3 slot. Slot pertama menampilkan wajah-wajah penting industri perbukuan arus perdana negara sepertj Puan Sri Diah Shaharuddin, Pengurus Besar Editorial Grup Buku Karangkraf dan Tuan Arief Hakim Sani, Timbalan Presiden MABOPA.  Slot yang membicarakan tentang realiti, kehendak dan langkah drastik yang perlu dilakukan oleh penulis ini dilancarkan dengan usaha moderator, Puan Azzah Abd Rahman.

Boleh dikatakan, pengisian di dalam perbi ncangan pada sebelah pagi ini banyak mengetuk minda bawah sedar penulis agar membelingas pandang dan cakna dengan situasi kronik dunia penulisan bagi mereka yang masih beratapkan tempurung.

Slot kedua membawa para penulis menjengah ke satu sisi dunia penulisan yang dipelopori oleh Generasi Y yang diwakilkan oleh Siti Noridah atau ET, penulis buku, 'Travelog ET - Kembara ke Afghanistan dan Muaz Fariz daripada tim Tarbiah Sentap. Moderator untuk slot ink ialah Tuan Zamree Mohamad.

Rumusan daripada perbincangan yang saya kira relatif singkat itu ialah:

1. Penulis perlu unik - terutama dari segi 'content' karya. Perkara yang sama ditegaskan oleh Puan Sri Diah.

2. Penulis perlu tahu kehendak pembaca. Untuk mengetahuinya, pagar keegoan perlu dirobohkan. Dekati pembaca dengan pelbagaj cara

3. Kerja berjemaah adalah nilai tambah dalam menjayakan sesuatu perkara seperti yang dilakukan oleh tim Tarbiah Sentap

4. Berani mencuba dan sentiasa menghargai pandangan dan pendapat pihak ketiga.

Slot seterusnya, usai solat Zohor adalah slot paling hangat pada kali ini. Bersama Bukhari Ramli, pakar strategi dan Izwan Robotys membawakan topik Berbisnes Dengan Perkataan yang sinonim dengan silabus Akademik Bekerja Dari Rumah.

Di dalam perkongsian santai tersebut beberapa perkara yang ditekankan oleh kedua-dua mereka ialah : ilmu dan strategi.

Dapatan diskusi yang saya kira relevan untuk semua

1. Penjenamaan diri - Rasulullah menempa akhlak mulia sebelum memulakan dakhwah.

2. Setelah mendapat percaya, - barulah perkenalkan produk @ boleh melakukannya serentak jika produk sudah siap. Untuk penulis, buka grup, cari follower dan pos karya di grup

3. Untuk menjual, pastikan peratusan pengikut dalam nisbah 4:100
( ini perkiraan peribadi saya) anda perlu 100 orang pengikut untuk mendapatkan 4 orang pengikut setia. Yang lain, adalah pengikut atas pagar

4. Kreatifkan persembahan anda, kalau perlu bagi percuma seperti strategi kumpulan muzik One Inch Nails, lakukan. Ia bertepatan dengan konsep sedekah.

5. Pegang pengikut setia, pupuk dan belai mereka. Sementara itu, perkukuhkan isi atau produk untuk meraih perhatian pengikut atas pagar.

Kesemua tips di atas sangat relevan dengan suri berbisnes yang menjual kepakaran dan produk.

Bagaimanapun, saya tetap menegaskan segalanya perlu dimulakan dengan doa. Segalanya perlu BERMULA.

Jika anda baca sahaja catatan ini dan kemudiannya anda tak buat apa-apa, tiada apa-apa yang akan berlaku pada diri anda.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung