Saturday 26 April 2014

PBAKL 2014 - Hari Berjalan Kaki Sedunia

Alamat booth sudah bertukar ke M37 bukan MH307 ya
Teks : Monalita Mansor
Gambar: Koleksi Peribadi dan Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung dari 24 April sehingga 4 Mei 2014 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur tidak dinafikan merupakan hari kebesaran bagi para pencinta buku. Selain hari raya buku, sepanjang dua minggu ini adalah hari menyeksakan bagi warga yang akan sentiasa tersekat di dalam kesesakan, juga ditambah hari berjalan kaki sedunia.

Pesta Buku 2014 adalah sejarah baru bagi saya. Selama bertahun, tanpa alpa (kecuali 2012) saya mendatangi dewan serba gah itu sebagai pengunjung. Namun hari ini, 26/4/2014 saya hadir sebagai seorang penulis untuk mengisi slot sesi ramah mesra bersama penulis dipayungi Fumi Edar. Bohonglah kalau dikatakan saya tidak gementar.

Sepanjang perjalanan menuju ke PWTC, saya membisu sehingga ditegur suami. Saya nyatakan kerisauan saya seperti biasa,"ada ke orang nak ambil tanda tangan saya?" "ada ke orang kenal saya?" lantas dia ketawa.

"Lapangkan fikiran. Bukan kerja awak nak fikir tu semua. Kalau tak ada, tak apalah, kita datang suka-suka...kenapa nak stres?"

Hujan merintik kemudian merimbunkan air matanya ketika kenderaan kami diparkir berhampiran simpang masuk ke Sek Seri Puteri. Aduhai, trafik memang melekat bagai digam, berjalan kakilah jawabnya. Hujan terus membasahi biarpun tidak sehingga melencunkan tubuh. Diam-diam, doa saya panjatkan, semoga seagalanya dipermudahkan.

Sesampai di sana, Najwa Abd Rahman penulis "Dia Imanku" belum usai tugasannya. Terserempak pula dengan AC Jaffry atau Ayahanda Chik, penulis "Salju Rindu". Booth ini walaupun terletak di lokasi yang kurang strategik (tingkat empat berkongsi dengan kategori buku antarabangsa) tetap kencang dikunjungi dan petugasnya juga tidak menang tangan.
Bersama Najwa Ulfah Abd Rahman

Kabus Rindu, akhirnya berpindah ke tangan dua orang pembeli. Syukur alhamdulillah. Ditambah berita gembira lagi, booth Fumi Edar akan berpindah ke Dewan Mawar pada keesokan hari 27/4/2014 berdekatan dengan booth Kaki Novel.

Andai berkelapangan, jemput menyertai saya pada jam 12.00 tengah hari, esok.
Dapatkan Kabus Rindu beserta tanda tangan penulisnya sekali...


Nota : Pengimbuhan Membentuk Kata Terbitan.

Wednesday 23 April 2014

Menugal Janji - Hari ke 2

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Monalita Mansor

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Hari kedua berkampung di Dewan Banquet Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hari ini kami dibahagikan kepada dua kumpulan untuk sesi cerah minda dan latih tubi menghasilkan skrip. Saya berada di dalam grup bersama beberapa nama besar dalam bidang penghasilan skrip di DBP seperti Roziah Adama, tak ketinggalan juga 'otai' di DBP, Zurina Shafie. Grup kami dibimbing oleh tuan Zakaria Ariffin dan kami diminta membentangkan sinopsis masing-masing.

Saya membentangkan sinopsis cerpen 'Anak Juang' sebuah karya yang agak berat dan memerlukan upaya memikir justifikasi mesej di dalamnya. Namun begitu, saya percaya remaja Malaysia sudah matang dalam menanggapi sebuah karya.

Bagaimanapun, sehabis baik saya cuba mengolah cerpen tersebut menjadi drama yang tidak terlalu berat dengan menyuntik unsur humor di dalam watak-watak pembantu di dalam cerpen tersebut. 'Anak Juang' menjadi lebih mudah di dalam minda saya memandangkan ia pernah dipentaskan di Hotel Pan Pacific jauh ke belakang pada tahun 1991 sempena penyampaian Hadiah Sastera Siswa ketika itu yang menyaksikan saya salah seorang pemenangnya.

Barulah saya faham kini mengapa sesebuah karya apabila dilepaskan ke layar perak ataupun layar kaca tidak dapat menyamai naskah asal 100%. Kesemua peserta diminta menyudahkan skrip ini di dalam masa sebulan daripada tarikh 20/5/2014 untuk tujuan pemurnian dan penilaian Bahagian Buku Kanak-Kanak dan Remaja.

Sejujurnya, masa yang diberikan agak ketat berdasarkan hari kalendar saya yang tidak lagi kosong dari masa ke semasa. Bagaimanapun, pembahagian masa adalah jalan terbaik buat WAHM seperti saya, sebagaimana manusia lain juga yang dikurnia 24 jam sehari.

Nota : Jika ingin menulis tentang manusia, maka bergaullah dengan manusia - Ismail Kassan

Tuesday 22 April 2014

Jom Baca Bersama untuk 10 Minit di PPAS Pekan Seri Manja

Teks: Monalita Mansor
Gambar : Monalita Mansor

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.




Sekarang, jam 10.30 waktu Petaling Jaya, sedang berlangsung program di atas yang dianjurkan oleh Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Semalaysia dengan penglibatan seluruh perpustakaan negeri di Malaysia.

Di sekitar saya sekarang, seramai 30 orang kanak-kanak dari tadika berdekatan sedang tekun mewarna dan bersama kanak-kanak dan kenaifan mereka merupakan sesuatu yang amat indah bagi saya.

Program ini sebenarnya diserukan kepada seluruh rakyat Malaysia dengan seruan yang tertera seperti berikut:

Pada pukul 10.00 pagi hari Selasa 22 April 2014 semua individu pejabat dan komuniti adalah dipohon untuk berhenti sebentar daripada melakukan apa jua pekerjaan atau aktiviti untuk MEMBACA selama 10 MINIT.

Objektif program ini sudah tentunya tidak lain tidak bukan untuk memupuk semangat membaca secara berfokus dengan dimulai langkah awal selama 10 minit. Langkah 10 minit ini merupakan titik tolak pada gerakan membaca yang lebih menyeluruh pada masa akan datang.


Monday 21 April 2014

Bermain dengan Persoalan Tahu - Hari Pertama

Kita tahu orang tahu kita tahu,
Kita tak tahu orang tahu kita tahu,
Kita tahu orang tahu kita tak tahu,
Kita tak tahu orang tak tahu kita tak tahu...



Teks : Monalita Mansor
Gambar : Zakaria Ariffin


Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Di atas tu, bukanlah pantun ke, syair ke, tapi adalah teori psikologi yang dipanggil Tingkap Jauhari yang diperkenalkan oleh tuan Ismail Kassan dalam pencerahan sebuah bengkel yang saya sertai pada 19 dan 20 April 2014 lalu.

Bengkel tersebut adalah anjuran Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka. Dihadiri oleh lebih kurang 15 orang peserta dari seluruh negara dan daripada pelbagai latar. Bengkel Penerbitan Berpakej Penulisan Skrip Drama Remaja ini dirangka dengan objektif meningkatkan bahan persuratan Melayu dan sekali gus membanyakkan buku berbahasa Melayu. Objektif lainnya ialah menghasilkan pelbagai buku bermutu dalam pelbagai bidang/subbidang ilmu dan mempercepat proses penerbitan dengan kaedah kerja yang terancang. 

Pemudahcara terdiri daripada tuan Zakaria Ariffin dan tuan Ismail Kassan. Biodata tuan Zakaria Ariffin boleh dibaca di sini. Kali terakhir saya bertemu dengan beliau ketika berusia 17 tahun sewaktu menghadiri Minggu Penulis Remaja pada tahun 1991. Ternyata, berbengkel semula di DBP, begitu banyak menguak harumnya kenangan sewaktu hasrat menulis masih ranum dan bugar. 

Pemudahcara kedua, Tuan Ismail Kassan, baca profil beliau di sini memberikan pelbagai input segar buat penulis seperti saya. Pendekatan psikologi yang digunakan beliau begitu dekat dengan penulis dan mudah difahami. 

Nota paling mudah yang ingin saya perturunkan ialah penulis perlu menulis dengan 4 isteri dan 1 suami. Saya tak mengajak anda masuk kelab poligami ya.! 

yang saya maksudkan menulis dengan pendekatan 4W - Who, When, What, Where atau kalau mahu dilebihkan dengan Which, Whom dan 1 suami ialah 1 How.Beliau juga membuka minda penulis dengan menyenaraikan input-input yang boleh dijadikan 'cerita' bagi penulis yang mengaku 'tiada idea'

Hari pertama berlalu pantas dan sillaturrahmi juga berlangsung pantas. Alhamdulillah.

Jangan bataskan kemahuan minda untuk berandaian dan berimaginasi - Ismail Kassan


sumber sokongan :

http://annyss.blogspot.com/2012/10/ismail-kassan-penerima-anugerah-sea.html

http://dbp.gov.my/lamandbp/main.php?Content=articles&ArticleID=941


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung