Friday 18 July 2014

Belasungkawa MH17

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.

Tepat jam 4.45 pagi sewaktu kami sedang baru bersila menghadap hidangan sahur, media arus perdana melaporkan berita tragedi MH17 di Ukraine berhampiran sempadan Russia. Saya besar-besarkan biji mata, dengan harapan, ada perkembangan terbaru mengenai MH370. Namun rupa-rupanya pandangan saya tidak silap, kaca televisyen memaparkan MH17 bukan 370.

Allah hu Akbar.

Serentak dengan itu, pelbagai catatan, doa dan spekulasi berlegar di laman maya terutama facebook. Ramai yang mengungkapkan ini sebagai antara dugaan Ramadan terbesar setakat ini. Belum lagi spekulasi tentang berpulangnya ulama tersohor negara, Tuan Guru Nik Aziz yang ternyata TIDAK BENAR. 

Entri ini tidak mencatatkan berita, sekadar sebuah diari menyimpan info-info pada masa kejadian itu berlaku. Pesawat tersebut berlepas dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur dan membawa 280 penumpang bersama 15 orang kru. Spekulasi yang berlegar ialah pesawat malang itu ditembak dan tidak sempat memasuki ruang udara Russia. Itu spekulasi, buat masa ini.

Buat orang awam seperti saya, Allah sedang mengirimkan ingatan kerana ingin hamba-Nya terus menghantar doa, merintih, merayu memohon kekuatan hati menerima dugaan. Allah ingin lontaran suara mengalunkan bacaan suci bersemarak di bulan yang mulia ini. Allah ingin setidak-tidaknya serangkap Al-Fatihah meniti di bibir hamba-Nya yang biasanya hanya diungkap saat menunaikan solat 5 waktu. Allah ingin kita kembali. Allah ingin kita kembali pada-Nya.

Buat keluarga yang terlibat, percayalah ketentuan ini sudah siap tertulis, lama dahulu. Mereka pergi dengan membawa ingatan tentang kematian, tentang kehilangan yang akan berlaku pada sesiapa juga. Sahabat, renungkan sejenak tentang hakikat kehilangan ini. Hindarkan diri sebentar dari keriuhan maya, basahkan wajah dengan wuduk, lakukan dua rakaat solat sunat taubat dan dalam sujud terakhir, mohon keampunan buat diri sendiri dan mereka yang terlibat. Anda akan temui sesuatu. Insya-Allah.





Thursday 17 July 2014

Ahlan Wa Sahlan, Lailatul Qadar

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.

Lailatul Qadar sinonim dengan masyarakat Melayu dengan kepercayaan Malam Tujuh Likur. Kebiasaannya pada malam ke 27, pelita dipasang di sepanjang jalan menuju ke rumah dengan kepercayaan dan harapan bahawa malaikat akan 'nampak' rumah kita. Kepercayaan seolah-olah malaikat itu makhluk Allah yang sama Zatnya dengan manusia, perlu bantuan,perlu petunjuk. Nauzubillah.

Lama kepercayaan itu bertapak dalam minda, sehinggalah ketika angin hidayah perubahan menderu pada pertengahan 80-an, saya kira. Pada masa itu, bertudung dianggap ganjil, hantu kum-kum, hantu kopek, sehinggakan untuk menjawat jawatan sebagai petugas kaunter pun, saya diminta untuk menanggalkan tudung. Huh! Pernah juga saya diminta bertudung pada hari Jumaat sahaja dengan alasan hari Jumaat 'orang pergi sembahyang Jumaat'. 

Alhamdulillah, semakin menginjak dewasa dan semakin menuju ke penghujung hayat, semakin banyak pengisian dan ilmu dipermudahkan. Buka sahaja televisyen, malah untuk menempah tiket melalui laluan raudah ini (Majlis ilmu itu merupakan taman syurga) selama 24 jam, anda bisa dengan kemudahan Youtube. 
Bermula dengan pengisian malam hari raya yang saya isi sepenuhnya berpandukan artikel di dalam majalah Iman pada tahun 2012 di katil hospital, kehadiran malam-malam indah dan penuh pahala ini ingin dirai dengan cara yang sepatutnya.

Tidak perlu dihairan dengan keajaiban pokok tunduk, waima kubah masjid sujud sekalipun, isi sahaja malam-malam ke sepuluh dalam fasa pembebasan daripada api neraka ini dengan zikir, tahlil dan tahmid bagi perempuan yang diberi cuti. Bagi yang tidak, ayuh isikan dengan terawikh, witir, solat sunat taubat, hajat, tahajjud, istikharah atau sunat mutlak sekalipun dan letakkan dahi dengan keseluruhan rasa rendah diri. Mohonlah, bercakaplah dengan Yang Maha Pemberi, Yang Maha Penyayang dan Yang Maha Pengasih.

Sudah-sudahlah dengan langsir baru, baju baru, semua apa pun yang baru kerana peluang keemasan begini datang setahun sekali. Sedang yang 'baru' itu boleh dibeli dan dicium harum kedainya hari-hari.

Bagi yang rusuh hatinya, tergugat resah, mengharap sesuatu yang tak pasti, atau terduga dengan sesuatu yang dirasakan teramat berat, bolehlah ringankan kepala tunduk sujud mengharap Allah memberikan jawapan dan penyelesaian yang terbaik buat semua masalah kita.


Wallah hu alam.


Suri rumah atau bakal suri rumah

#Nak bekerja dari rumah
#Anak-anak merengek-rengek 'duduk taska tak best!'?
#Penat dengan politik pejabat?
#Rasa tak dihargai lagi dek kawan-kawan sekerja?
#Nak jana pendapatan pasif?


sertai Akademi Bekerja di Rumah. Tanya saya di monalitamansor@gmail.com


Wednesday 16 July 2014

Sekeping Kad Raya, Seribu Makna

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.

Tradisi menerima dan memberi kad raya sebenarnya sudah lama pupus dalam kamus hidup saya. Kali terakhir saya menghantar kad raya ialah tujuh belas tahun lepas. Ditujukan buat seorang lelaki bernama bakal suami yang kini sudah pun bertukar gelar menjadi suami dan bertukar saiz bajunya sekali....hihi...


Pagi tadi, saat menerima sekeping kad raya, hati saya dipagut sebak. Minda manusiawi saya berkata, apalah sangat dengan sekeping kad raya. Namun minda insani saya pantas menebarkan selebar mungkin keinsafan bahawa sillaturrahmi itu manis dalam caranya tersendiri.

Pengirimnya salah seorang pembeli novel saya. Bukan novel saya sahaja, rasanya jika ada sejuta penulis novel di Malaysia ni, ada sejuta jugalah koleksi novel dalam almari rumahnya, biar sampai runtuh pun. Cuma kad raya yang ringkas dan tentunya dibuat sendiri itu sangat meninggalkan kesan mendalam, sangat mengharukan. Di saat kita terjebak dengan segala macam gajet di hujung jari, dia masih tega bersengkang mata, menyiapkan kad raya, kemudian menyediakan setem dan mengepos pula...Hey! bagi saya ia satu 'effort' yang bukan kepalang untuk seorang insan seperti dia. 

Dari kejauhan, saya hanya mampu mendoakan agar kebahagiaan dunia akhirat, kesihatan tubuh badan, rezeki terus dimurahkan dan bala bencana dijauhkan untuk Bica Bie Comel dan suami. Untuk dibalas, 'cut-off time' mengepos kad raya dan dokumen jatuh pada hari ini. Jika dipos juga, alamatnya akan sampai selepas raya. 


Untuk Intan Hj Daud dan kak Zara Aluwi juga, terima kasih.

***Mahu serunding pusu untuk jamuan hari raya, pm saya di facebook ya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung