Saturday 23 August 2014

Menulis Di Luar Kotak Realiti

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.

Nur Syahidah Wan Mahassan, adalah personaliti misteri di kalangan protege Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif di dalam kelas saya. Kredibiliti beliau dalam bidang berblog memang tidak dinafikan. Sila klik di sini. Entri-entrinya pelbagai dan kedengarannya sangat tegas dengan pendirian beliau.

Sepanjang mengikuti kelas, dia bertanyakan saya sendiri, boleh tak satu-satu karya itu ditulis menggunakan watak satu jantina sahaja. Apa yang dimaksudkan ialah, dia tidak mahu ada sebarang percampuran jantina yang menjadikan karya itu rosak dan menjejaskan imej penulis di 'sana' esok.

Saya nyatakan, ia tak mustahil tetapi sukar. Kebiasaannya, walaupun tiada watak berlainan jantina, penulis masih cenderung untuk berimaginasi mengenai pasangan lawan jantina, kerana itu adalah realiti hidup. Berpasangan.

Namun, Nur Syahidah atau saya panggil Cikgu Syida, membuktikannya di dalam cerpen Cikgu Mawar. Kisah seorang guru yang buruk sangka terhadap pelajar asrama puteri yang mewakili suara generasi Y yang lantang dan tidak gentar mempertahankan pendiriannya.

Lebih menarik, cerpen ini memperlihatkan kemampuan guru muda ini menggunakan analogi istilah biologi dalam mengaitkan persoalan iman dan amal di kalangan pelajar. Selebihnya kenalah dibaca sendiri. Bukan puji lebih, tapi ini pengalaman saya sepanjang mengedit cerpen tersebut. Setidak-tidaknya, Cikgu Syida mengorak langkah menulis sesuatu di luar kotak.

Alhamdulillah.

Bagi anda yang ingin mengikuti kelas ini, hubungi mana-mana pengurus online (PO) atau mana-mana guru online di akademi dan pastikan anda ada DETERMINATION AND PASSION. Gajet semahal mana pun tidak akan membantu anda seandainya kedua-dua aset itu tiada dalam diri anda.

Friday 22 August 2014

Belasungkawa Sahabat : 37 Hari Dalam Hitungan

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.

2014 banyak mencatat sejarah buat Malaysia. Pahit atau manis. Pada hari ini 22/8/2014 telah diisytiharkan sebagai Hari Berkabung Malaysia. Ini berikutan kembalinya 20 buah keranda yang mengisi jenazah warga Malaysia yang terkorban di dalam insiden korban MH17.

Buat generasiku (seandainya aku sudah tiada) Inilah tahun kesedihan baik buat Malaysia secara umumnya, sudah tentulah buat ahli keluarga mereka yang terlibat di dalam tragedi MH 17 dan MH 370. Sekali lalu, ini antara kemalangan udara paling dahsyat yang melanda Malaysia.

MH370 dikesan hilang daripada radar sebaik meninggalkan KLIA ketika dalam penerbangan menuju ke Beijing pada 1.30 pagi dalam kdudukan longitud 06 darjah 55 minit 15 saat Utara (065515N) dan  latitud 103 darjah 34 minit 43 saat Timur (1033443E). 120 batu nautika dari Kota Bharu. Pesawat malang itu terus hilang dalam misteri, anggapan dan pelbagai fakta juga spekulasi.

Ketika Malaysia masih menangisi kehilangan MH370, sahur umat Islam di Malaysia dikejutkan dengan sidang akhbar mengenai MH17 yang didakwa ditembak jatuh di Kiev, Ukraine. Pesawat yang meninggalkan negara tulip untuk ke Malaysia itu tidak sampai ke destinasi, sebaliknya berkubur di ladang gandum di kawasan terpencil ditambah lagi medan perang saudara di sana.


Ketika ini, seluruh rangkaian televisyen tertumpu ke Kompleks Bunga Raya, KLIA Sepang menanti saat tercecahnya tayar kapal terbang MH6129. Kapal terbang yang membawa 20 jenazah mangsa pesawat MH17 pulang bersemadi. Tidak tergambarkan perasaan sanak saudara melihat kepulangan kesayangan mereka dalam keadaan begini. Aku pasti, Malaysia diladungi duka dan air mata. 

AL FATIHAH. 

Thursday 21 August 2014

Macam-Macam Ada 22 : 101 Kesalahan Yang Biasa Dilakukan Oleh Penulis

Ambil Nyawa!

Teks : Monalita Mansor
Gambar  : Carian Google

Assalamualaikum. Salam Kreatif dan Bismillah.

Anda nampak tak tanda ni? (.) dan tanda ini (,). Apakah maksud kedua-dua tanda dan agak-agaknyalah kenapa kedua-dua tanda yang di dalam hukum tatabahasa itu dipanggil noktah dan koma diwujudkan dalam hukum penulisan?

Secara mudahnya, saya selalu memberitahu Affan apabila dia membaca petikan karangan. "Ambil nyawa! Tarik nafas, baru baca." Maksudnya noktah. Kalau saya beritahu, "berhenti sekejap...okay...sambung," maksudnya terdapat koma dalam petikan tersebut. Sila perhatikan betul-betul kedudukan tanda bacaan ini.

Noktah, koma, pembuka kata, penutup kata, elipsis, tanda soal dan tanda seru semuanya TIDAK BERJARAK dengan perkataan sebelum atau selepasnya. Secara mudahnya kesemua tanda baca TIDAK BERJARAK seperti ini:


" saya suka awak "                                    - SALAH

Cepat-cepat PM saya .                             - SALAH

Hoi ! jangan tinggalkan aku .                      - SALAH

... kenapa awak tinggalkan saya ?              - SALAH

Produk berwarna krim , hijau , hitam dan
biru adalah bersaiz XL                               - SALAH

Beribu kali tangan anda gatal hendak mengetik kekunci 'space' sekalipun, sila pastikan 'space' itu diketik SEKALI SELEPAS NOKTAH ATAU KOMA, BUKANNYA SEBELUM ATAU MEMBAHAGI KOMA supaya ia betul-betul simetri. Hey, ini bukan pelajaran lukisan. Ini tatabahasa. Lebih-lebih lagi kalau tulisan anda itu bertujuan untuk menyakinkan orang lain mengenai sesuatu. Lebih-lebih lagilah karya kreatif!

SEPATUTNYA, kedudukan tanda-tanda bacaan tersebut ialah begini;


"saya suka awak."                 

Cepat-cepat PM saya. 

Hoi! jangan tinggalkan aku.      

...kenapa awak tinggalkan saya?              

Produk berwarna krim, hijau, hitam dan
biru adalah bersaiz XL                               

Banyakkan membaca sebagai langkah mengatasi masalah tatabahasa sebegini. Bacalah bahan bacaan apa sekalipun, waima karangan anak sendiri kalau mereka lebih baik daripada kita. 


Kelas Asas Blog anjuran Akademi Bekerja Di Rumah masih membuka pendaftaran untuk suri yang berminat. PM atau whatsapp 011-19737269 atau emel : monalitamansor@gmail.com


Wednesday 20 August 2014

Resensi : Mangsa karya Gina Yap Lai Yoong

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi.

Assalamualaikum. Salam Kreatif. Bismillah.

Novel ini antara novel yang paling cepat saya baca. Kenapa begitu? Ceritanya begini. 
Ini adalah novel Fixi yang kedua yang saya baca. Menghabiskan bab pertama, mak aaiii...! saya rasa macam tak nak sambung lagi. Memang bukan makanan saya, apatah lagi menceritakan perilaku perlakuan intro-seks dan beberapa persoalan seks lainnya yang saya rasa tak dapat hadam. 

Namun, saya selak ke bab ke dua, ada kisah lain kerana sudut pandangan novel ini sudah beralih terus daripada sudut pandangan orang pertama ke sudut pandangan orang ketiga. Maka, saya mengambil keputusan meneruskan pembacaan ke bab seterusnya dan 'menanggalkan' apa-apa yang tidak perlu di sepanjang pembacaan saya. Ternyata, tanpa kisah perlakuan seks yang ringan (saya kira ringan dibandingkan dengan novel popular lain) novel ini masih mampu mengait pembacaan saya sehingga ke akhirnya.

Namun, semakin menuju ke klimaks, jaluran plot sedikit melonggar apabila ada kejutan demi kejutan yang saya kira kurang menjadi kerana sebagai pembaca, saya sudah dapat menduga kaitan di antara satu sama lain. Malah, 'pengumuman' mengenai siasatan kes Ngeri di tangan Detektif Hema (daripada novel sebelumnya, Ngeri) sebenarnya menjadi kunci kepada semua misteri. Malangnya ia diberitahu terlalu awal dan ia sudah menawarkan sedikit mod untuk menghabiskannya.

Kendatipun begitu, penulis menguasai gaya penulisan dengan baik, sesuai untuk bacaan generasi yang mudah melentur. Baik naratif, mahupun dialog. Alur cerita tersusun kemas, malah perwatakan dan latar dilukis dengan baik. Plotnya lurus dan senang untuk difahami. Ia tetap memberikan ilmu hanya perlukan kebijaksanaan pembaca untuk menilai ilmu tersebut.

Ingin beriklan di grup SOHO, Akademi Bekerja di Rumah?
hubungi

whatsapp : 011-1973769
atau 
e-mel
monalitamansor@gmail.com

Tuesday 19 August 2014

Resensi : Kumpulan Cerpen Pemberani Karya Norhisham Mustaffa

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum. Salam Kreatif. Bismillah.

Mutakhir, ada banyak sangat buku-buku menarik di rak Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor. Tak kisahlah, saya terlambat setahun atau dua tahun, asalkan saya baca! Saya baca tau, dari kulit ke kulit. Lepas tu tak berani nak kelepet-kelepet, buat macam novel sendiri. Hati ingin sangat, nak-nak bila terjumpa perkataan baru atau babak-babak menarik. Tapi mak tak berani, you. Halus aja amaran daripada PPAS di belakang buku. 'Terima kasih kerana menjaga buku perpustakaan dengan cermat untuk generasi akan datang.' 

Kumpulan cerpen Pemberani ini mengandungi 16 buah cerpen. Cerpennya bervariasi tetapi sangat dekat dengan dunia kepengarangan pengarang itu sendiri. Cerpennya tidak jauh mengejar bintang di langit, sekadar cerita biasa tetapi sangat sinonim dan relevan dengan kemanusiaan. Gaya penceritaannya mudah, bahasanya tidak berkerawang benar tetapi masih sinikal. Menyentuh dan membuka minda kita untuk mengorak fikir tentang apa yang ingin disampaikan beliau. 

Setiap cerpennya bercerita jujur, tentang realiti, tentang sesuatu yang memang berlaku di dalam dunia. Sebagai contoh cerpen bertajuk 'Pemberani' yang mengisahkan tentang Mahbub. Sebuah kisah yang memberi simetri baru kepada golongan marhaen. Sesungguhnya, biarpun pengarang membawa kisah sejagat, di bandar, pinggir bandar, desa mahupun nun di pinggir desa. Teladan yang dibawa tidak boleh dipertikaikan.

Untuk mengetahuinya, anda perlu nikmati sendiri. Baru percaya. 



Untuk mendaftar di Kelas Asas Blog, Akademi Bekerja di Rumah, anda boleh sahaja menghubungi kami di facebook atau whatsapp 011-19737269 atau emel : monalitamansor@gmail.com

Monday 18 August 2014

Macam-Macam Ada 22 : 101 Kesalahan Biasa Yang Dilakukan Oleh Penulis

Sinkope Tersungkup!

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.

Sinkope bukan sungkup atau tudung saji, ya. Sila eja betul-betul. Sinkope bermaksud pengguguran suku kata atau huruf dari tengah-tengah kata. Contoh yang paling biasa ialah:

sahaja     : saja/aja
itu           : tu
ini           : ni
tidak       : tak
hendak    : nak

Tapi yang ini bukan sinkope. Yang ini memang nak kena sungkup!

sahaja     : ajer

begitu      : giteww
begini      : cenggini
aku         : aq
kau         : ko


Sinkope sebaik-baiknya digunakan di dalam dialog, kerana dialog biasanya berlangsung santai. Jarang kita berdialog dengan dialog bangsawan, "wahai tuan hamba, sudikanlah kiranya pinjamkan hamba barang RM10 untuk hamba berbelanja?" Sanggup? Atau dalam sesetengah drama, "pihak polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh untuk mengenalpasti suspek-suspek itu."  Ha! itu kalau pegawai polis yang bercakap atau memberitahu umum. Kalau bercakap dengan isteri, dengan kawan, nak bercakap begitu juga....hai, tak tahulah pulak kan?Kecuali kalau naskhah yang ditulis itu naskhah monolog yang menggunakan ganti nama diri 'aku'. 


Pendaftaran kelas-kelas online seperti kelas asas akaun, kelas blog penulisan, rakan niaga, dropship dan banyak pakej kelas terus dibuka. PM di facebook atau whatsapp 011-19737269 ataupun emel : monalitamansor@gmail.com


Sunday 17 August 2014

Merdeka Cara Kami

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.

Ini merupakan kunjungan kali kedua ke sini, dalam dekad 40 tahun umur kami (masih muda, alhamdulillah) dan selepas 57 tahun merdeka, kasihannya. Untuk pengetahuan anda sekelian juga, tempat ini hanya dikunjungi oleh pelancong asing, terutama sekali warga China. Susah nak jumpa pelancong berbahasa Melayu ataupun Manglish. Mungkin lokasi ini termasuk di dalam itinerari percutian mereka. Pelancong tempatan (kamilah, kononnya), sekitar hanya 10%.

Tempat yang saya maksudkan ialah Tugu Negara. Apa ada di Tugu Negara? Tak ada apa-apa pun. Saya dah tak ingat subjek apa masa kecil-kecil dulu, tapi pernah belajar tentang Tugu Negara ni, di sekolah. Ada sebuah tugu tembaga dan sebuah batu mencatat senarai nama yang terkorban pada perang sebelum merdeka. Itupun tiada tercatat nama warga Malaysia, selain warga British adalah nama yang bunyinya ke Asia Tengah sikit. Sila semak buku sejarah, siapa balaci British ketika menjajah Malaya dulu. Sebab itu agaknya orang Malaysia jarang datang ke sini.

Hari ini, kami menghitung hari, 13 hari menuju dekad merdeka rindu - 17 tahun lalu. Sekejapnya masa berlalu. Rasa baru semalam dok memangkah kalendar dalam diari, membilang hari. 'Gediks' ooo! Hari ulang tahun perkahwinan kamilah! Jatuh pada 31 Ogos setiap tahun. Tiga hari selepas itu pula kami meraikan ulang tahun kelahiran saya. Tahun ini, sudah 40 tahun. Alhamdulillah. Semoga setiap hari yang berlalu menjadi hari yang bermanfaat kepada diri dan manusia sekitarnya. 


Anak-anak memang tidak kisah dengan percutian sebegini. Percuma. Hanya duduk dalam kereta, lepas tu bergumpal, beramuk, memekak sampai abahnya suruh diam, barulah mereka diam. Lepas tu, tahu-tahu dah sampai aje. Apa susah? Harapnya percutian begini menjadikan mereka selangkah ke depan dalam pengetahuan am, insya-Allah. Jika tidak ke sini pun, kami menghabiskan masa di Muzium Negara, bersantai-santai mencari ilmu baru pada setiap pameran yang diadakan di sana. Nota : yang percuma sahaja ya.

Jika anda belum pernah ke sana, jemputlah datang. Percuma sahaja. Tempat parkirnya mungkin sukar sikit pada hujung minggu. Perlukan kemahiran 'mencilok' yang baik juga sebab sempit sikit. Kawasan sekitar tugu lapang namun berhati-hati kalau membawa anak kecil. Tugu negara itu dikelilingi air sebab dibina di dalam kawasan tasik yang dikelilingi air pancut. Nanti, hendak menghayati sejarah negara punya hal, anak kita pula yang terjun tiruk kat dalam tasik tu...Nauzubillah
.

oh ya, hari ni ada kru TV3, ternampak Aidid Marcelo untuk program ala-ala Amazing Race sempena merdeka, agaknya la...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung