Wednesday, 11 September 2013

Kriteria Cek Yang 'Menggembirakan' Bank

Teks    :  Monalita Mansor
Gambar: Bidikan Sendiri





Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga


Apa yang bakal kita kongsi sebentar lagi mungkin sudah dimaklumi oleh sebahagian kita.  Terutama sekali para peniagawati dan sesiapa juga yang mempunyai kemudahan akaun semasa di bank.  Bagaimanapun, ada baiknya kita mengulangkaji semula kriteria-kriteria yang digariskan oleh pihak bank sebagai panduan. 

1. A/C Payee Only - perkataan ini bermaksud akaun penerima sahaja.  Ia memaksudkan bahawa cek ini hanya boleh dimasukkan ke dalam AKAUN dan tidak boleh DITUNAIKAN. 

KECUALI terdapat tanda tangan pemegang akaun di sebelah perkataan tersebut.  Jika anda mendapat cek sebegitu bermakna pemegang akaun setuju untuk membayar tunai kepada anda.  



2.  Tarikh - tulis tarikh di dalam petak yang disediakan.  Tempoh laku sekeping cek biasanya enam bulan, kecuali cek waran atau dividen.  Jangan terhegeh-hegeh tulis tarikh dua tahun yang lepas.  Cek tersebut akan ditendang dan penerima akan dikenakan caj cek dikembalikan.  Selepas itu bersedia untuk ditendang oleh penerima cek!

Jika ada menulis cek tertunda (post dated cheque) maklumkan kepada penerima/pelanggan anda.  Jika dia mendeposit akaun sebelum tarikhnya, cek tersebut akan dikembalikan dan penerima akan dicaj.  Sekali lagi, bersedia untuk ditendang oleh penerima cek!


3.  Or Bearer/ Atau Pembawa - sepanjang saya bertugas, banyak pelanggan keliru dengan perkataan ini.  Bagi kes cek tunai, cek yang ditulis tanpa dibatalkan perkataan Or Bearer/Atau Pembawa boleh ditunaikan oleh sesiapa sahaja, walaupun pada ruangan penerima terdapat nama dan nombor kad pengenalan orang lain. 

Begitupun, pihak bank tidaklah wewenangnya akan meneruskan transaksi tanpa melakukan pemeriksaan terlebih dahulu.  

Oleh itu, sangat digalakkan sekiranya anda menulis cek (kecuali cek tunai) perkataan tersebut dipotong terus dan seterusnya menjadikan cek tersebut - cek tertutup.  Apabila dianggap cek tertutup hanya penama yang tertera namanya pada cek sahaja yang boleh menerima dana daripada cek tersebut. 

NAMUN

jika anda mengeluarkan cek tunai jangan sesekali dibatalkan perkataan tersebut.  Perbuatan ini akan menyebabkan cek tersebut ditendang dan dianggap sebagai pengeluaran tidak sekata (irregularly drawn) - maaf...maaf.. kerana terjemahan yang kurang menyenangkan ini.  Ia bermaksud sesuatu yang pelik, anda membayar tunai tetapi menutup cek tersebut.  Tiada penama yang bernama TUNAI ataupun CASH di dalam dunia ini!

4.  Inilah ruang kedua yang dibaca oleh seseorang penerima cek selepas melihat amaun.  Nama hendaklah ditulis serapat mungkin dari sebelah kiri.  Dinasihatkan apabila anda menulis cek kepada orang perseorangan, sertakan sekali nombor kad pengenalannya.  Ini adalah langkah keselamatan tambahan bagi anda sebagai pengeluar cek dan bagi bank sebagai pembayar.  

Saya kira, kita sambung perbincangan kita di entri yang akan datang.  

Catatan Sambil Mendengar 'What A Wonderful World by Louis Amstrong"


No comments:

Post a comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung