Saturday 14 November 2015

Mencari Ikhlas Maziah di dalam 3 Wanita Yang Aku Cinta

RM30 termasuk caj pos
3 hadiah misteri menanti pembeli bertuah
Teks dan Gambar : Monalita Mansor

“Pernah?” tanya lelaki berbadan kurus yang hanya berbaju t tanpa dimasukkan di dalam seluar jeans yang melusuh. Leher baju t-nya juga sudah hilang regangan.
            “Awak memang pandai cari alasan kan? Dasar lelaki tak bertanggungjawab.” Wanita yang bertudung bawal berbaju t muslimah itu melengkingkan suara. Meski tidak tinggi, masih membuatkan lelaki berkepala gondol itu memanggung kepala.
            “Saya cuma tanya, sepanjang usia per- kahwinan kita ni, pernah tak awak berperasaan begitu?” Afendy melepakan jasad di sebelah perempuan yang sedang duduk bersandar di kerusi batu menghadap ke arah tasik yang tenang itu.
            “Apa yang awak nak sebenarnya? Selama ni, awak seksa saya. Saya dah lakukan apa yang terbaik, sebagai isteri.” Suara perempuan yang masih isterinya itu tidak meninggi lagi, tetapi berbaur sebak.
            “Awak ikhlaskah menyeksa diri? Atau awak paksa diri awak  tapi awak bayangkan orang lain semata-mata sebab terpaksa berkahwin dengan saya?” Afendy tegakkan tubuh. Menanti-nanti jawapan dari ulas bibir wanita yang bakal ditalak tidak lama lagi.
Dia bukanlah sesiapa sewaktu mengangguk bersetuju untuk mengahwini Maziah. Harta tiada, rupa apatah lagi. ‘Muka pecah bumbung rumah orang!’ kata kawan-kawannya tatkala mereka berkumpul di depan bengkel kimpalannya sekali-sekala.
            Maziah perempuan baik-baik. Tuturnya sopan, lakunya berpekerti walaupun kelihatannya agak kasar pada luarannya. Maziah juga tidak berkata tidak mahu pun berjumpa dengan Afendy, berbincang jika sekiranya tidak bersetuju dengan perkahwinan itu. Maziah, malahan akur dengan kehendak emak saudaranya. Dia juga antara orang yang tersibuk menyediakan perlengkapan perkahwinan walaupun duit hantaran disediakan oleh emak saudaranya. Cuma beralih tangan ke telapak tangan Afendy untuk menjaga air muka semua pihak.

Ulasan Buku : Janda 916

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Dah lama tak paksa diri baca novel. Dah baca, tak boleh berhenti. Inilah hasilnya. 


Kisah-kisah berdasarkan ibu tunggal atau bahasa biasanya, janda kebiasaannya membawa pandangan skeptical terhadap mereka. Janda, dalam persekitaran kampung biasanya akan digambarkan gedik. Berkebaya ketat, berpayung dan beg jinjit dengan lenggang itik balik petang.

Janda 916, mengalih definisi tersebut secara keseluruhan. Baik secara lahiriah mahupun batiniah. Penulis, menggambarkan Melah @ Mellia seorang janda muda peniaga emas sadur yang berjualan di Kampung Kemboja mengangkat nilai diri janda yang berbeza.  Dia tinggal di kampung tersebut dengan bekas ibu mertuanya (?) dan digilai ramai jejaka, jetua, jeduda (gurau ok). Aura Melah melarut sehingga ke pekan sehingga diintai pula oleh Po Chong, tauke kedai emas 916. Tidak ketinggalan juga, Jelan, pemuda separuh tiang yang selalu ada membantu Melah ketika diganggu.
Penulis kelihatannya sangat bersungguh-sungguh mengangkat citra Melah sebagai wanita kental. Pada kebanyakan ketika, doa adalah kekuatan Melah. Dan, doa itu pula dizahirkan dan relevan pula untuk pembaca berdoa sama. Dugaan demi dugaan yang ditanggungnya tidak mematahkan semangatnya untuk terus berdikari sementelahan sedar diri yang dia anak yatim piatu, janda dan pendatang di kampung tersebut.

Bagaimanapun, penulis tidak membiarkan Melah terlalu hebat.  Melah, masih juga manusia. Ada ketikanya, perlakuan buruk yang dilakukan oleh bekas ibu mentuanya membuatkan hatinya sakit. Ada ketikanya, dia teringat saat-saat manisnya bersama bekas suaminya. Dan, ada ketikanya dia menjadi terlalu garang dengan mengocoh mulut Zara dengan cili api di rumah Kak Gayah dan membalun Pak Sood dengan payung apabila maruahnya dipersenda.

Janda 916 diperkuat pula dengan antagonis-antagonis yang bisa. Berperanan menghuru-harakan hidup Melah dengan matlamat masing-masing yang berbeza. Tetapi, perlakuannya mereka tetap bertujuan menjatuhkan Melah.  Kadang-kadang penulis memberikan peluang kesemua antagonis itu bersepakat membuli protagonist. Babak itulah yang menjadikan pembaca boleh sesak dada.
Pak Sood, digambarkan tua renta tak sedar diri, berlagak muda. Penulis tidak berlebih-lebih menggambarkan Pak Sood. Cukup sekadar beberapa frasa seperti motor cabuk, produk zaman Jepun,  gigi tak cukup, romeo tua. Ditambah pula dengan beberapa babak yang lucu tetapi sebenarnya mendatangkan jengkel kerana di dalam dunia realiti masih kedapatan watak sebegitu.

Zara dan Arief dua lagi watak antagonis yang saling bersaing mempamerkan kejahatan masing-masing. Zara, anak Pak Sood digambarkan lepas laku dan keterlaluan sehingga beberapa kali ‘terlepas’ menggoda Cikgu Ejul.  Perwatakan tipikal janda sudah dipindahkan oleh penulis kepada gadis berusia 24 tahun.  Arief pula, ada ketikanya menggugah perasaan pembaca dengan simpati kerana gila talak. Lebih menyedihkan talak yang dihadiahkannya kepada Melah itu adalah hasil hasutan orang lain.

Penulis juga bijak mentransformasi watak antagonis dan protagonist. Di tangannya, simpati dan benci bersilang pangkah. Ada ketikanya ada rasa marah terhadap Mak Chah yang merupakan master-mind perceraian Arief dengan Melah. Ada ketikanya pula, kita berasa simpati dan insaf dengannya kerana menerima ‘kifarah’ yang bukan kepalang. Begitu juga dengan watak Arief. Ada ketikanya,  simpati mencurah-curah terhadapnya kerana segala yang berlaku, bukan di atas kehendaknya. Bagaimanapun, pada ketika-ketika yang lain, terutama ketika dia menganggu Melah, kebencian yang amat sangat tak dapat nak dizahirkan padanya.

Penulis juga tidak lupa memberikan peranan besar kepada watak sampingan seperti Cikgu Khairil, Kak Gayah, Mak Biah, Sarina dan Po Chong. Kesemua watak-watak ini berupaya menggerakkan keseluruhan cerita dengan menopang watak utama dan memberi warna di dalam karya ini.

Dugaan demi dugaan, terutama dugaan fitnah terhadap Melah mengingatkan saya terhadap kisah yang berlaku kepada Saidatina Aisyah R.A. Saya tidak pasti adakah penulis melakukan rujukan terhadap kisah tersebut. Ia sangat mirip terutama babak suami baru Melah mencari ketenangan dengan menjauhinya sebaik sahaja fitnah tersebut tersebar.  Biasan perasaan tertekan Saidatina Aisyah tergambar dalam watak Melah yang tertekan mencari tongkat kekuatan ketika diri diuji sebegitu.

Penulis mengalirkan plot dengan cantik. Bermula dengan memperkenalkan satu persatu watak-watak dan diselang-seli dengan teknik imbas semula kehidupan Melah bersama Arief dan Mak Chah dan kronologi gangguan Pak Sood, Arief dan Sara. Fitnah demi fitnah, sokongan dalaman dan luaran daripada Jelan, Kak Gayah dan Mak Biah. Elemen-elemen kejutan dan saspen juga disuntik namun ada satu elemen yang tak mampu mengejutkan saya. Orang lain saya tak tahu. Sebabnya, penulis sudah terkucil memberikan klu dan membongkarkan kejutan tersebut di awal-awal bab lagi.
Bagaimanapun, ia tidak menghentikan pembacaan saya kerana ada banyak sebab lagi Janda 916 ini perlu dibaca. Penulis juga tidak lupa memasukkan beberapa tips dan resepi yang digarap secara bersahaja.  Penting, penulis membawa mesej bahawa, setiap sesuatu yang berlaku membawa hikmah yang tersendiri. Sama ada hikmah tersebut dapat dilihat oleh mata manusia yang mahu berfikir, terpulang kepada pemikiran masing-masing.

Tanpa menyelitkan waima sebaris ayat Quran atau hadis (selain doa) penulis menyebarkan dakwah tentang akhlak, penyerahan diri dan motivasi untuk diperhalusi oleh pembaca.  Anda harus baca sendiri karya ini untuk memahaminya. Gaya bahasa yang dibawa penulis tidak terlalu berkerawang. Santai dan mudah dihadam dengan sekali baca. Namun, ceduklah mesej yang hendak dibawanya.

Kesilapan-kesilapan lain yang perlu diperhalusi ialah mengenai perwatakan Jelan. Ada beberapa persoalan yang boleh ditimbulkan terutama dari aspek logika. Bukan kerana watak pemuda separuh tiang itu klise. Tetapi, mungkin penulis perlu menempek lebih banyak perwatakannya  supaya apabila identitinya didedahkan, pembaca akan berkata, ‘eh… takkanlah watak utama tu tak perasan?”

Kebaikan watak Melah yang dianiayai ibu mentuanya, kemudian membawa pula bekas ibu mentuanya tinggal bersama juga boleh dipersoalkan. Adakah manusia begitu dalam dunia? Lebih-lebih lagi, tempoh perceraian antara Melah dengan Arief, tidaklah lama. Bagaimanapun, tempang itu diampu dek naratif  dan dialog Melah sendiri yang masih sukar mengikis rasa marah dan dendam kepada Mak Chah.  Penulis membawa mesej penghormatan kepada orang tua melebihi segala-galanya.
Di kampung tersebut, bagaikan tidak berpemimpin. Antagonis, bukan penduduk kampung pula seperti Arief, boleh sesukanya menyebarkan fitnah, sesukanya menyerang rumah orang lain, pada waktu malam pula. Penulis setidak-tidaknya memasukkan peranan pemimpin sebagai ejen neutral sebagai penasihat luar selain daripada watak-watak terdekat.


Kesalahan ejaan, kesalahan nama watak juga kedapatan dan harap dapat dibetulkan pada cetakan seterusnya. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung