Thursday 19 February 2015

Hijrah Kasih Bahagian 4


Teks : Monalita Mansor
Gambar : Sendiri 

“Dung ni macam adik Aman mak.” Sela Hijrah membahasakan dirinya Aman dengan emaknya.  Aku pura-pura tidak mendengar.
“Kata kau orang.  Dari segi syarak, kau bukan mahram.  Jangan lupa.  Hukum Tuhan jangan diperolokkan.”  Amaran emak Hijrah.  Aku dan Hijrah saling menujah-nujah pandangan.  Kemudian tersenyum.
Entah.  Aku memang tiada perasaan langsung pada Hijrah.  Sekelumitpun.  Hijrah memang comel.  Wajahnya kebudak-budakan, kulit putih kejawaan.  Tapi sudah agak kelam kerana sering berjemur.  Kalau dikatakan kami bercinta, memang nampak begitu.  Tetapi hakikatnya amat sukar membezakan pergaulan dua sahabat berlawanan jantina.  Salah anggapan mengenai keintiman itu ada di mana-mana.
Hijrah sahabatku yang paling akrab.  Apa yang merapatkan kami.  Mungkin sikap berterus terang dan ringan tulangnya.  Mungkin dia mendasarkan keikhlasan persahabatan harus dinaungi dengan rasa tanggungjawab dan saling percaya.  Selain itu, aku tidak pasti hati Hijrah.  Tetapi dari redup matanya, aku tidak pernah silap menafsirnya setakat ini.  Hanya sahabat.
“Nyet ni baik makcik.  Susah nak dapat kawan macam dia.  Lagipun kulit dia tahan maki!”  aku ketawa.  Ibunya pun ketawa sambil tangannya lincah mengoyak kulit pisang.

IV
Badanku terasa sakit sekali.  Tetapi melihatkan ibu mentuaku terbongkok-bongkok menyediakan masakan untuk jualan, aku matikan niatku untuk berehat.  Hari ini, hari kedua aku bekerja sebagai juruwang di pasar raya, setiap hari dihantar dan diambil Hijrah meskipun jaraknya tidak jauh.
“Kau tanggungjawab aku!” tegasnya ketika aku suarakan niat untuk tidak menyusahkannya.  Aku terkesima pula.  Hijrah tidak pernah mempersoalkan mengenai tanggungjawab sebelum ini.  Dia sudah jatuh hati padaku kah?  Argh…Parah!
Tetapi kalaupun dia jatuh cinta denganku pun tidak menjadi dosa besar.  Aku isterinya dan boleh disentuh apatah lagi dicnitai sepenuh hati.  Cuma kami masih perlukan masa untuk menyesuaikan diri.
“Sempatkah?”  tanyanya pula.  Bimbang aku tak mampu membahagi masa.  Siang bekerja sebagai kerani di pejabat guaman di Bandar.  Waktu kerja tetap, tetapi gaji sedikit.  Masa terluang kugunakan untuk menyumbang tenaga buat keluarga ini.  Lagipun aku memang malas melangut di rumah.  Menghadap muka si bibir mungil yang bermulut lepas itu.  Bukan takutkan dia.  Aku takutkan diri sendri tidak boleh bersabar dengan cakap-cakap lepas sebegitu.
“Kau belum tidur…kau tunggu aku, eh?”  Hijrah membetulkan silaannya di sebelahku yang menghadap kain menimbun.
“Ni…seluar dalam siapa ni? Takkan itu pun kau nak tolong lipat!”  suara Hijrah meninggi sambil melemparkan semula seluar kecil berenda itu.
 Aku mencubit lengannya.  Nampak macam bergurau, tetapi dia tidak tersenyum. 
“Dia ingat kau hamba tebusan ddalam rumah ni?”  Tanpa merujuk kepada sesiapa dia terus menyinga.

Wednesday 18 February 2015

Hijrah Kasih Bahagian 3


Teks : Monalita Mansor
Gambar : Sendiri

“Kenapa?” 
Hijrah seakan bingung.  Inilah Hijrah.  Dalam comel ada dungunya. 
“Nanti mak kau pelik.”  Ujarku.

III
“Inilah orang cakap, tak ada beban batu digalas.  Sebulan dua lagi mak berhentilah jual nasi lemak.  Jadi pengasuh pulak!”
Kalau aku tak mengenangkan yang bersuara itu adik Hijrah, yang juga adik iparku, memang aku sumbatkan cili padi masak ke mulutnya.  Kalau yang mendengar itu pula bukan ibu mertuaku, sudah tentu aku bercekak pinggang melontar maki hamun pada anak sekolah awal 17 itu.Tetapi, aku menjadi begitu tabah.  Mendengar sahaja sambil melipat kain di dalam bilik.  Petang masih tenang kerana kebanyakan kanak-kanak di perkampungan ini sedang menghadiri kelas agama.
“Cakap tu biar berlapik, Nana.”
“Lapik?...lapik apanya mak?  Abang Hijrah tu langsung tak sedar diri.  Dia tak nampakkah mak bersusah payah bersengkang mata jual nasi lemak.  Dia?  Siang malam hilang.  Merempit!  Dah tu, tak menyempat-nyempat nak berbini.  Bawak pulak duduk di sini, menyusahkan!” 
Berat tuduhan gadis itu terhadap abangnya.  Begitu juga terhadap aku.  Aku mengenali Nana lama.  Tapi tidaklah mesra.  Sekadar berbasa-basi dan bertukar senyum apabila terserempak di gerai emak Hijrah. 
“Semua kawan-kawan Nana kata abang dah buntingkan dia sebelum kahwin, mak.  Nana malu…”
“Kawan-kawan kau yang menuduh tu pernah tolong kita masa susah, Nana?” 
Pendek soalan ibu mertuaku tetapi amat tajam.  Aku menahan sebak di hati.  Kalau tak kuat iman, mahu aku histeria.  Tapi aku berastaghafar.  Kata Atuk, astaghafar itu menyiram amarah, seperti air sejuk menyiram besi yang baru dicanai.  Teringatkan atuk, aku rindu.  Atuk memang tak banyak cakap.  Meski bukan pendiam sangat.  Aku tahu atuk sayangkan akuyang boleh kami buat di atas
Tetapi aku masih tidak memahami kenapa dia menyetujui cadangan nenek untuk mengahwinkan aku secara ‘koboi’ begini.  Aku memang tidak sekuat mana.  Memang hatiku menangis sambil melayan tanda soal.  Kenapa suara nenek lebih dominan daripada atuk setelah mendapat aduan kononnya aku berkelakuan tidak senonoh dengan Hijrah.  Di mana?  Di atas motor?  Apalah yang boleh kami buat di atas motor yang bergerak laju. 
Itu rutin harian Hijrah sebaik sahaja aku menjejakkan kaki di tingkatan enam.  Pagi dia  menghantarku ke sekolah.  Kemudian dia terus menuju ke tempat kerja.  Tengah hari kemudiannya, menjemputku.  Meninggalkan aku di gerai emaknya.  Kemudian, aku sendiri akan balik dengan berjalan kaki atau melepak sampai ke petang di situ.  Membantu apa-apa yang patut.   Kadang-kadang apabila Hijrah pulang kerja dan aku masih lagi di situ, dia yang menghantar aku balik ke rumah.  Ibunya pun tahu mengenai rutin itu.  Malah pernah menegurku dan Hijrah mengenainya.
“Tak manis berdua ke sana sini.”

Tuesday 17 February 2015

Hijrah Kasih Bahagian 2


Teks : Monalita Mansor
Gambar : Sendiri

“Kau dengar tak?” 
Cuma ‘beraku engkau!’  Tiada romantik selayaknya pengantin baru yang menanti-nanti tirai malam.  Aku cuma menggigit kuku.  Bersila di atas katil bujang di dalam bilik yang kemas waima tidak dihias indah.  Entah bila dia ada di sebelahku, akupun tak tahu.  Bahu kami berlaga.  Aku mengengsot.
“Aku belum bersedia nak kongsi apa-apa dengan kau, Nyet!”  Aku bertegas tetapi dalam nada mesra.  Memanggilnya Nyet.  Singkatan ‘monyet’ yang memang kami gunakan sejak sekian lama.  Dia memandangku lama. 
“Aku tak nak paksa kau Dung.  Akupun keliru.  Tapi, macam biasa.  Kalau kau perlukan aku, aku ada kat sini.” 
Dia memanggilku Dung.  Kependekan daripada perkataan hidung.  Dari mana kami mendapat nama jolokan tidak semenggah itu, panjang ceritanya dan amat menyakitkan hati.  Akan kuingati sampai kini ketawanya yang tak henti-henti petang itu.
Ketika itu kami menghadiri Gerko Mingguan untuk Persatuan Bulan Sabit Merah.  Jerawat besar betul-betul di atas hidungku tidak pula dapat menyabarkan diri untuk menjengulkan diri.  Hanya kerana seketul jerawat itu, aku dimalukan Hijrah dalam perjumpaan itu.  Di depan kawan-kawan dan guru.  Seminggu aku tak menyapanya.  Dia mencapai bantal dan sehelai selimut daripada dalam almari sengetnya.
“Kau nak ke mana tu?” tanyaku, cemas.
“Tidur kat luarlah!”
“Jangan.” Halangku.

Monday 16 February 2015

Hijrah Kasih Bahagian 1


Teks : Monalita Mansor
Gambar : sendiri




“A
ku terima nikahnya Noor Asweeta binti Kamaruddin dengan mas kahwinnya 22.50 ringgit tunai!” 
Senafas dia melafaz, serentak kata-kata, ‘sah’, keluar daripada mulut Atuk.  Gembirakah aku?  Menitis air mata daraku tatkala ini?  Girangkah hatiku menanti tiba suami menyarung cincin menyempurnakan adat membatal air sembahyang?
Tidak!  Jawapannya tidak.  Aku tidak pernah bersetuju dengan perkahwinan ini.  Hijrah Kamarulzaman muncul di muka pintu bilik dengan senyuman manis.  Diiringi ibunya yang berwajah sendu.  Pandangan kami beradu.  ‘Kita mangsa keadaan!’  Hatiku menjerit.
Sebentuk cincin belah rotan tersarung dan itu sahaja.  Tiada kompang, tiada bersanding berarak.  Aku kemudiannya menyertai yang lain keluar dari bilik tanpa pengapit.  Menghadap jamuan yang seperti kenduri tahlil 100 hari kematian layaknya.
Nenek yang kukasihi dan perancang hari indah untukku ini juga duduk menghadapi hidangan bersama kroninya.  Tiada sebarang reaksi di wajah berkedutnya.  Kehadiranku di situpun seolah-olah dinafikan.  Aku bersama-sama ibu Hijrah yang kulihat menyuap lambat-lambat.  Selambat hatinya menerima kenyataan ini.  Alangkah bersalah hatiku melihat wajahnya!
Kenduri doa selamat dengan hidangan tidak sampai sepuluh dulang itu pun berakhir.  Aku mencapai beg yang kusiapkan sejak semalam dan membonceng Hijrah balik ke rumahnya.
Marah?  Orang gila sahaja yang tidak marah diperlakukan begini.  Anak haramkah aku?  Tidak! Anak tirikah aku?  Tidak.  Aku cucu halal Hajah Ramlah dan Haji Manaf, imam masjid Kampung Tersusun ini.  Emak, ayah di mana?  Entah.  Itu yang aku tahu walaupun aku teringin benar ingin tahu.  Apa yang melukakan sangat hati nenek sehingga segala tindak-tandukku seakan arang yang menghidupkan api dendam.  Bara kesumat.

II
“Aku minta maaf Dung…” Hijrah baru selesai mandi tetapi sudah lengkap berpakaian. 
Acapkali dia mengelap rambut yang mencecah bahu.  Berdua-duaan begini merimaskan.  Di dalam bilik yang sempit dan terpengap begini.  Bukan masalah sempit.  Masalahnya aku bersama Hijrah.  Hijrah Kamarulzman.  Teman baik yang kini jadi suami.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung