Monday, 22 August 2016

Peneroka Awal Batu 7, Jalan Karak, Mentakab

Lama sebelum saya lahir, ayah dan emak sudah menetap di pinggiran Sungai Pahang tetapi di lokasi yang berbeza. Yang sama ialah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir pada setiap tahun.

Oleh itu, pada tahun seterusnya ayah telah membeli sebidang tanah di Kg  Baru Batu 7 Jalan Karak. Sebuah kampung baru yang peneroka asalnya terdiri daripada pekerja awam di Kem Batu 5.

Peneroka awalnya termasuklah ayah, Almarhum Pak Cik Majid, almarhum Pak Cik Yusuf, Almarhum Pak Cik Ramli Mat Zali, Almarhum Pak cik Ramly Ismail, Almarhum Pak Cik Hassan Almarhum Pak We Sulaiman dan Pak Ngah Mat Lani.

Kesemuanya pekerja awam di Kem Batu 5 (saya juga bersekolah di tadika Kemas di dalam kem) kecuali Pak Cik Yusuf. Beliau berkhidmat sebagai tukang masak dan meninggalkan Mak Cik Meriah sebagai balu pada awal 80-an.

Di Kampung Buntut Pulau sendiri, ayah mempunyai seorang sahabat dunia akhirat yang kami panggil Pak Kaso. Nama sebenarnya ialah Mansor, sama dengan nama ayah. Isterinya Mak Uda Jemah (kami sebut : Mok De Jemah) kembali ke rahmatullah tahun lepas kerana diabetes.

Utuhnya persahabatan mereka akan saya ceritakan di entri akan datang.

Yang saya nak beritahu ialah nama saya Monalita ialah gabungan nama emak dengan ayah. Li untuk Lijah dan Ta untuk Mokhtar.

Kedua-dua itu adalah nama gelar untuk Puan Khadijah Abdullah dan Tuan Mansor Samsudin.

Sunday, 21 August 2016

Sungai Pahang Mengamuk

Saya kira, banjir 2014 merupakan banjir paling traumatik buat rakyat Malaysia amnya dan rakyat negeri terlibat khususnya.

Saya berpeluang melewati Sungai Pahang pasca banjir dan tergamam dengan kemusnahan yang berlaku.

Namun, Sungai Pahang bukan asing dengan banjir. Dulu-dulu, ketika banjirnya masih jinak airnya hanya mencecah ke tepi jalan raya.

Musim cuti sekolah bulan 12 memang masa yang ditunggu-tunggu. Biasanya ayah akan hantar saya ke rumah We di Kampung Durian Tawar. Sebenarnya rumah We beralamat di Kg Jelam. Betul-betul di selekoh selepas Masjid Kg Jelam.

Dulu-dulu, kalau naik bas, masjid itulah landmarknya untuk kami bersedia menekan loceng bas. Rumah We, bertiang tinggi di atas bukit yang jaraknya lebih kurang 500 meter dari Jalan Temerloh-Triang.

Begitupun sebab ia bersebelahan dengan Kg Durian Tawar, kami gelar Durian Tawar sahaja. Pak We Lias, bekas guru besar SK Durian Tawar.

Kalau balik ke sana, tentulah mandi sungai perkara yang paling seronok dibuat. Istilahnya 'kair' atau 'diair' maksudnya mandi.

Pernah, saya, Kak Intan dan Kak Kida mandi di tepi jalan raya semasa banjir disebabkan air besar mencecah hingga ke jalan raya.

Allah, kalau kenangkan...langsung tak terfikirkan bahaya. Allah sahaja yang mengetahui.


Saturday, 20 August 2016

Kuala Semantan Tempat Koi

Assalamualaikum.

'Koi' ialah ganti nama diri pertama yang bermaksud 'saya' di dalam dialek Pahang sebelah Temerloh.

Kenapa saya katakan sebelah Temerloh? Sebab setiap daerah di dalam negeri Pahang ada signatur dialeknya sendiri. Malahan di Temerloh sendiri, 'kawan', 'kome' atau 'keme' adalah variasi ganti nama diri pertama selain 'koi'.

Apa ada dengan Sungai Pahang?
Sungai Pahang ada cerita kasih, ada cerita derita, ada cerita cinta.

Sehingga berumur dua tahun, saya dibesarkan di tebing Sungai Pahang. Sebuah kampung kecil yang besar namanya dalam peta perjuangan pra dan pasca merdeka. Di dadanya lahir pejuang dengan ideologi dan visi pelbagai tapi dengan misi nan satu. Bebas Merdeka.

Kampung Buntut Pulau, dalam jajaran Pengkalan Manggis, Kg Tengah dan Pangsenam.

"Takut saya nak sebut nama kampung dia ni," gurau Tuan Chuari Selamat satu ketika dulu. Satu dewan Hotel Holiday Inn ketawa.

Malu? Tak. Saya bangga.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung