Saturday 14 December 2013

Hari Ini Hari Gaji

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi dan Carian Google
Ummi Zahra 'acuan' maknya 100% daripada semua segi. 

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Hari ini saya membayar gaji Ummi Zahra. "Wah! Cik Mon dah ada pekerja la."
"Pekerja la sangat!"  
Ummi Zahra, puteri kedua saya. Dia saya lantik menjadi admin page Mundam Ilmu. Tugasnya mudah sahaja, muat naik gambar-gambar buku yang saya pilih di page dan blog Mundam Ilmu. Kalau ada pembelian, adalah gaji. 

Bukan banyak manapun, tapi ini adalah galakan untuknya berniaga. Sebelum cuti persekolahan, dia juga membawa buku-buku cerita ke sekolah untuk dijual. Laris dan habis. Sesuatu yang tidak pernah saya lakukan semasa saya remaja dulu.

Kini, (selepas bergelar WaHM SOHO dan bercampur dengan grup Akademi Bekerja Di Rumah) segala apa yang saya nampak semuanya hendak saya bisneskan. Terbaru, sebuah lagi page yang saya usahakan bersama ipar dan biras akan bersiaran. Fokus menjual produk yang dihasilkan oleh omak kami. Nantikan, apabila tiba masanya.

Saya ingin anak-anak saya mengikut resmi kaum Cina, bijak menyifir dan mencongak, menjana peluang dalam masa yang sama memberi manfaat dan berkongsi rezeki sesama insan. InsyaAllah. Semoga apabila dewasa nanti, mereka lebih berhemah dan menyantuni setiap sen dan ringgit yang diperoleh dengan berniaga.
Semoga Ummi Zahra menjadi 'payung' melindungi sahabat-sahabatnya.

Kelas Asas blog akan terus berkembang dengan tambahan modul-modul baru tahun hadapan. Sertai kami untuk merasai aura jemaah yang semakin menyala-nyala. Alhamdulillah.

Masak Air : Cerita Sedih

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Kata mak saya, masak air ni, masakan orang sakit.

"kat hospital aje masak macam ni!"

Apakah bendanya yang dinamakan masak air tu?  Masak air sefaham saya ialah masakan yang tidak menggunakan santan. Sebenarnya kata-kata mak tu sindiran kepada saya akibat 'kerajinan' tahap 'raksasa berkepala dua lawan Ultraman', suatu ketika dahulu. Sekarang pun, masih bersisa, hehe.

Cumanya pada pendapat saya yang 'gila membajet' sekarang, masak air lebih relevan dengan situasi kewangan golongan bekas setinggan seperti saya dan jiran-jiran.

1. Sup ayam
2. Masak singgang
3. Masak asam pedas
4. Masak kari (masakan kari tanpa santan ni diajar oleh Aci, teman sekerja saya dulu)
5. Kembung masak stim
6. sup sayur
7. Ayam masak paprik

Ini adalah antara menu yang saya tahu yang tidak menggunakan santan. Semasa bekerja dulu, balik kerja bersama bulan, manalah sempat nak menggulai bagai. Sekarang, saya terus praktiskan memandangkan harga santan untuk sekuali masakan 'sekali rap' ialah RM3.00 sebungkus. Nak lebih, tambah lagi sebungkus,dah RM6.00. Sehari RM3.00 x 7 hari? menyamai jumlah lauk untuk dua hari!

"Abang kita tak boleh makan nasi tak bergulai ni. Tak selera."

Beritahu abang kita tu, "abang, Nabi Muhammad kalau nak berkuah, baginda cicah cuka aje. Berhenti sebelum kenyang, mula sebelum lapar."  Tapi, cakaplah elok-elok ya. Perut orang tua ni susah nak dipujuk selera. Tapi mengenangkan kita akan menanggung caj letrik stesen LRT tahun depan, fikir-fikirkanlah.

Friday 13 December 2013

Sifir dan Congak.

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah. 

Saya ini Melayu tipikal. Lahir pada awal 70-an dan masuk sekolah pada era 80-an. Di sekolah mata pelajaran yang paling saya menyampah ialah Ilmu Hisab. Sekarang dipanggil Matematik. Tapi saya sayang cikgunya, Cikgu Aminah, sebab dia lembut orangnya.

Saat yang paling 'mengembirakan' ialah ketika menghafal sifir. Siap berlagu-lagu.

"satu kali satu satu,
dua kali satu dua,
tiga kali satu tiga..."

sampai ke sifir dua belas? bayangkan berapa suku kata nak disebut "dua belas kali dua belas, seratus empat puluh empat!"

Ketika itu (rasanya sampai sekarang) kita tidak diberitahu apa keperluan menghafal sifir dan congak ini. Sangka kita, hafal sifir atau mahir mengira hanya untuk lulus periksa. Sampai kepada peperiksaan besar, "tak lulus matematik, tak boleh masuk kelas ni, kelas tu," kata cikgu. 

Apabila masuk ke dunia dewasa dan bekerja, barulah saya tahu kegunaan sifir, yang sepatutnya boleh diberitahu awal-awal lagi kepada anak-anak. Hari ini, mari kita beritahu anak-anak. 

"Sayang-sayang semua, kalau hafal sifir, mudah nak kira. Kalau pergi mana-mana, tak membazir masa!"
"Macam mana tak membazir masa?"

Situasi 1
"Nak beli kuih sebiji. Kalau mak cik tu kata RM1.20 tiga biji, jadinya jatuh berapa sen sebiji?"  Jadinya, keluar aja siling empat puluh sen. Tak perlu mengagau keluarkan duit RM10.00 semata-mata malas dan tak tahu nak kira."

Situasi 2
Pergi pasar malam. Mahu membeli empat bungkus nasi ayam berharga RM4.50.  Cepat, gunakan kemahiran congak kita. RM4.50 x2 : RM9.00.  9 x 2, berapa (takkan nak baca sifir 4.5 atau nak kira pakai jari kaki, dan-dan kat situ jugak?)
Jadi, keluarkan sahaja not RM20.00 dan semasa mengeluarkan ia, congak balik berapa sepatutnya baki yang kita dapat balik. Begitu juga kalau kita membayar dengan not RM50.00. Barulah kita dapat menyemak sama ada baki yang diberikan itu betul atau tidak. 

Ajar anak-anak sifir dan congak spontan begitu. Sangat berguna. Satu hal lagi, peniaga Melayu mempunyai masalah wang kecil kalau kita membayar dengan not besar. Bukankah membuang masa Maghrib kita untuk menunggu pula dia ke gerai sebelah menukar duit?

Saya mula menggunakan kaedah congak dan sifir semasa bekerja di bank. Ini kerana terpaksa menghafal amaun 'bundle' dan 'stack'. Yang paling saya ingat ialah each RM50.00 stack should contain 20 pieces so the amount should be RM1000.00



Thursday 12 December 2013

'Stemet' Orang Bandar

Teks  : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi & Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Hari ini selamat mengoyak buku-buku latihan Affan yang lama untuk dikitar semula. Along juga sudah letakkan ke tepi hampir 15 buah buku tulis yang tidak digunakan langsung sepanjang tahun lepas. Saya berkira-kira, alhamdulillah, lepas juga duit belanja sekolah untuk seminggu.
Tambah Cikgu Sarimah Ima Nisa Riana, penulis novel I Love You Cikgu, buku nota tahun lepas boleh digunakan lagi, cuma buat pembahagi antara tahun.  
"I Love You, Cikgu."

Beg sekolah tahun lepas, masih elok. Saya sudahpun merendamkannya untuk memberi wajah baru. Alhamdulillah. Lepas lagi satu bala.

Baju seragam along, semuanya diserah secara rasmi kepada angah. Mungkin abahnya akan membeli sepasang sahaja untuknya sebagai motivasi - baju baru ke sekolah. Begitu juga baju seragam Affan, masih banyak yang boleh digunakan semula. Cuma kata angah, tahun ni dia nak memakai tudung labuh. Alhamdulillah. Kalau untuk tujuan itu, takkanlah nak berkira pulak!

Kasut sekolah along dan angah (yang dibeli di jualan Gudang Bata dengan saiz yang ekstra besar, dua tahun lepas) masih elok.

 "Dah macam badut, along ni mak!" Rungut along, tapi dipakainya juga. Sebab along anak yang baik. Dia tahu yang nak belajar, dirinya. bukan kasut.  Lagipun anak perempuan, bukannya nak dibawa kasut tu menyepak bola, melanggah batu bagai. Cuma hero dua orang inilah yang perlukan kasut baru.

Alat tulis, untuk Affan saya akan belikan yang paling asas. Sebatang pensel, pemadam, pengasah dan pembaris. Bekas pensil pun tak perlu. Tak larat saya setiap tahun di hari pertama persekolahan menanyakan bekas pensilnya.

"Hilang!" selamba sahaja dijawabnya.

Pembalut buku, kitar balik semula pembalut buku tahun lepas. Mana-mana buku yang sudah tak dipakai, bogelkan. Gunakan pembalutnya untuk balut buku yang baru dibeli. Untuk buku rujukan, tak tahulah apa lagi buku yang dicanang-canangkan dek kedai buku sekolah. Sudahnya satupun tak digunakan, seperti buku Affan tahun lepas.

Itulah senarai semak marhaen macam saya.  Ini alternatif. Kalau ada ada duit lebih untuk bayar perbezaan disebabkan kenaikan harga keperluan asas tahun depan, tak perlu pening kepala macam saya.

Wednesday 11 December 2013

Hari Cuti, Hari Cuci

Teks  : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Hari ini 11.12.13, hari kelepasan am bagi negeri Selangor kerana meraikan hari keputeraan DYAM Sultan Selangor.  Jadi, cik abang yang bekerja di gudang rokok di Shah Alam, turut bercuti.  Celik aja mata, dah dengar suaranya. Itu nak dibuang, ini nak dibuang. Itu nak dikemas, ini nak dikemas. Adik buat itu, abang buat ini, along sapu ini, angah sapu itu. Saya diam saja sambil siapkan sarapan, kalau saya masuk campur, dengan saya-saya sekali masuk senarai. Cik Abang kalau dapat 'bersuara', wah! dunia ana yang punya.  

Kemas punya kemas, dapatlah seplastik besar sampah atau barangan plastik. Itupun pemanas air saya yang rosak pun mahu dicampak juga ke dalam plastik, mujur saya nampak. 

"Nak jadi macam mak kau buat apa? semua benda nak disimpannya. Lama-lama jadi muzium rumah ni!"

Sebelum dia mencuci hari ini, saya sudah mengerjakan bahagian saya, semalam. Dengan zalimnya saya mengasingkan buku-buku, komik dan majalah anak-anak, saya susun dan ikat tali. Kenapa saya katakan zalim, sebab sebelum ini saya memang tak tergamak menjual apa saja bahan bacaan di dalam rumah ini, walaupun surat khabar. Tapi apakan daya, rumah pun perlu nampak kemas untuk kebahagiaan penghuninya. 

Tadi, along bawa buku-buku itu ke tempat mengumpul barang lusuh, dengan harga RM0.35 sekilo, dapatlah dia imbuhan sebanyak RM2.50, jadilah - upah membawa buku-buku tu turun. Jika difikirkan memang tak berbaloi, tapi lebih baik dijual daripada dibuang begitu sahaja. Lepas untuk 'top up' bil air seminggu.

Jadi 'stemet' hari ini - yang terpakai dan tidak tahu hala hendak dihumbankan, baiklah jual.

Tuesday 10 December 2013

Kemancar, Pati Santan dan Kelapa Mesin

Teks : Monalita Mansor
Gambar :  Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah


Memandangkan hampir serumpun serai di 'kebun' ayah saya kerjakan, tebas dan alih, maka hari ini bercita-citalah saya untuk memasak gulai masak lemak cili api ayam.  Satu penyakit rumpun serai ni, tak boleh dibiarkan sahaja tak berambik, nanti dia merajuk dan pupus sendiri. Ibarat kita manusia, kalau sering dipuji-puji, dibelai insyaAllah, makin marak semangat.


Hari ini, saya berhajat membeli ayam sahaja memandangkan musim tengkujuh. Permintaan ikan menjadi tinggi tetapi pengeluaran tidak dapat ditingkatkan kerana nelayan tidak dapat keluar ke laut. Maka, boleh dikatakan kesemua barangan yang bersumberkan laut, semuanya bermula dengan harga RM10.00 sekilo.


Berbalik semula pada cerita kemancar, pati santan dan kelapa mesin tadi.

Harga pati santan untuk setengah kilo ialah RM3.00 - termasuk bayaran elektrik mesin pemerah santan.
Harga sebiji kelapa yang dimesin ialah RM2.00 - juga termasuk bayaran elektrik mesin kelapa.

Untuk sekuali masak lemak cili api ayam yang enak, kata adik saya, Cik Ina, kita perlukan kemancar - santan cair - (biasanya perahan ketiga atau keempat) yang dimasukkan dahulu untuk melunakkan daging atau memesrakan rasa santan dengan ayam atau daging.  Kemudian bila dah menggelegak dan kira-kira empuk, masukkan pati santan.


Kalau kita membeli pati santan yang berharga RM3.00 setengah kilo tu, macam mana nak memisahkan pati dengan kemancar?  Wallah hu alam.  Sebab biasanya saya tuang sekali dan tambah air, tak kena gaya kuah gulai jadi berketul-ketul.


Tetapi kalau dengan kelapa mesin, sudah tentu kita sendiri yang memerahnya, kita sendiri yang boleh memisahkannya.  Dah siap, hampasnya boleh digunakan lagi buat mencuci lantai bilik air.  Hah?  mana lebih jimat?


Hehe...ini 'stemet' cara saya lah...





Monday 9 December 2013

Bajet Sekolah Datang Lagi

Teks  : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Semalam atau dulu semalam sahabat saya Siti Nurain mengemaskini status di facebook. Bersusun-susun senarai barang yang nak dibeli. Di belakangnya semua ada perkataan sekolah. Baju sekolah, seluar sekolah, beg sekolah, kasut sekolah, buku sekolah. Tak ada pun termasuk dalam senarai, beg kerja, seluar kerja, telefon kerja...hihi...

Disember, apa lagi nak-nak pula sudah menjengah hampir pertengahannya. Bagi yang berbonus, alhamdulillah. Bagi yang tidak, terpaksalah berpada-pada mengikat belanja di sana sini. Saya ada satu cadangan mengurangkan kos beli buku. Saya perhatikan, di dalam senarai buku ditulis 'buku tulis garis satu - kuantiti 20 buah jumlah RM16.00.  Dicampur gedebuk-gedebak, mencecah juga ratusan ringgit untuk seorang anak sahaja.

Saya tanyakan pada along, mak nampak ada buku coklat (buku tulis) banyak yang along tak gunakan kenapa? 

"Kebanyakannya tak perlu dibeli mak. Kalau setakat sebuah dua buku, buka sekolah nanti boleh beli."  kata along.

"Apa kata, tahun ni, kita pergi dulu kedai buku sekolah.  Ambil senarai buku yang perlu dibeli, kemudian kita bandingkan dengan harga di luar atau semak balik dengan stok buku di rumah.  Kalau buku tahun lepas masih berbaki, kita guna buku tahun lepas!"
kata saya.  Maka cadangnya, dalam minggu ini, saya akan ke sekolah mereka.  Mendapatkan senarai itu, membanding dan kita lihat belanjawan tahun ini, berkurangan atau tidak.  Doakan saya.  

Sunday 8 December 2013

Kerabu Pegaga

Teks  : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google
Ini gambar hiasan, yang saya buat tak sempat diambil gambarnya.  *Sebenarnya saya pun terlupa.

Assalamualaikum.  Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Pagi tadi, saya jeling-jeling pucuk pegaga yang tumbuh meliar di muka pintu dapur rumah di kampung.  Dalam hati terdetik, kalau masa berpantang, inilah antara hidangan yang paling best.  Sedang saya tertonggeng-tonggeng mengutip dan mencabut pucuk pegaga yang membugar liar itu, ayah bersuara,

"Buat kerabu sedap ni!"

"Orang mana reti!"  Itu memang jawapan skema saya.  Sebab saya tahu jawapan ayah,

"Bukan susah sangat, racik macam racik tembakau, campur nyior goreng, campur lada hitam, campur ikan bilis rangup, siap."  Hah! kan, spontan aje resepi keluar.  Apa susah.  Tapi kadang-kadang, berjela juga ceramah keluar dulu sebelum resepi tu keluar.

Maka, sambil meracik pegaga yang saya kutip tadi saya mengira-ngira.
Pegaga - percuma
Nyior rendang   - kat pokok (tapi tadi suami beli sebab tak ada nyior tua)  = RM2.00
Lada hitam - RM1.00
Ikan bilis sejemput - RM3.00 cukuplah (secukup rasa) kat Pahang RM30.00 dah sekilo
Bawang kecil dua biji  -  RM1.00
Serai   -  kat belakang rumah, percuma
Jumlahnya : RM7.00 kuantitinya : sebesen kerabu pegaga dan selaut rasa kasih dan umpama kenyang setahun pasal kerabu tu anak kesayangannya yang buat.  Dia nak buat, tapi tak larat.  Untungnya tinggal di kampung di kala semuanya mencanak naik sedang yang turunnya hanya hujan.

Kalau di Lembah Kelang, untuk sebungkus nasi kerabu, berapa agaknya yang perlu kita keluarkan?
Saya tidak pasti resepi ini ada ke tidak dalam buku resepi berpantang di bawah.  Tapi, resepi ni saya kira bagus juga untuk orang berpantang kecuali nyior rendang tu.  Boleh ke orang berpantang makan nyior rendang?

Menyaksi Sungai Pahang 'mengaum' di Temerloh

Teks  : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

MasyaAllah.  TabarakAllah.  Berjumpa juga dengan ayahanda dan bonda.  Bumi Mentakab basah menyambut kepulangan kami anak beranak.  Sebaik beg diletak, kedua-dua anakanda puteri saya kerahkan ke dapur.  Terberenyutlah muka masing-masing.  Saya arahkan seorang demi seorang, potong itu, kupas ini, kerat ini.

"Petang ini ada acara."  Gesa saya.   Maka dengan berkat gotong-royong kami anak beranak, siaplah seperiuk tom yam kegemaran mak tanpa ayam.  (mak tak boleh makan ayam).  Bergotong-royong pula kami anak beranak menghabiskan tom yam dimakan dengan yee mee.

Selepas Asar, kami sekeluarga bersama ayah menghala ke Temerloh.  Janji ayah, hendak membelanja kami sate Taman Rimba.  Dakwanya enak benar.  Saya dan suami, diam sahaja. Ayah nak habiskan masa dengan cucu-cucunya yang hanya empat itu.  Biarlah.

Kenderaan terus dipandu menghala ke Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah.  Menonton wajah Sungai Pahang yang mengaum.  Kg Buntut Pulau juga sudah hilang buntut.  Kemudian, kami terus menghala ke Lurah Semantan, ada semacam pesta banjir di sana.  Malah di kawasan larangan masuk, kanak-kanak sedang enak bermain air.
Termangu sekejap saya.

Puas menyibuk di dalam kesibukan manusia, kami terus kembali ke rumah menggunakan jalan lama menuju bandar Mentakab.  Kiri-kanan, kawasan rendah sudah mula dinaiki air.  Sebaik tiba di bandar Mentakab,azan Maghrib berkumandang dan kenderaan meluncur laju menuju Taman Rimba.  Malang, arang membakar sate baru sahaja dihidupkan.

Begitupun, tidaklah terkilan sangat kerana hidung sudah dicucuk-cucuk bau durian D24 berharga RM8.00 sekilo.  Kalau tak kenangkan 'sekali-sekala' memang ambil bau sahaja agaknya.








Beli novel EMP

Kenapa kena beli?

RM18.00


Ingin Membeli Terus Novel-novel EMP daripada kami?

6 December 2013 at 22:14
RM25.00
Harga novel-novel kami sangat berpatutan dan caj posnya pula percuma.

RM25.00
Cara-caranya mudah saja:

1. Buat senarai novel yang ingin dibeli terus daripada EMP.

2. Buat bayaran di Maybank.Nama akaun: Elee Mardiana Publication
Nombor akaun: 558396301719

3. Hantar mesej di inbox EMP. Tulis nama, alamat, nombor telefon, senarai novel yang dibeli dan juga bukti pembayaran kepada halaman rasmi EMP: https://www.facebook.com/pages/EMP/330998857045143

Bukti pembayaran ini adalah penting dan wajib disertakan. Tanpa bukti bayaran, kami tidak akan proses pesanan yang dibuat.

Setiap novel yang dibeli terus daripada kami, akan disertakan dengan tandatangan penulis. Dan setiap pembelian akan disertakan dengan nombor pendaftaran. Tujuannya ialah untuk memudahkan kami mengesan pembeli setia novel-novel kami. Insya-Allah, setiap hujung tahun EMP akan membuat cabutan bertuah untuk menghargai beberapa orang peminat setia kami. Apa hadiahnya? Tunggulah nanti... he he he...

EMP - Kami Sayang Pembaca Setia Kami!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung