Saturday 1 March 2014

Langkah Seterusnya - Menjadi Suri Rumah Tangga Merangkap Penulis Bebas

Teks : Monalita Mansor (3)
Gambar :  Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Setelah membetulkan niat, dan penulisan pun sudah bermula, ada baiknya kita mencedok ilmu sedikit tentang hak cipta. Hak cipta merupakan harta yang boleh 

a) diwarisi
b) dipindahmilik
c) diwasiatkan 
d) disewa
e) disamun?

Hak cipta terlindung di bawah Akta Hakcipta 1987 (Akta 332) yang mengkelaskan sesebuah karya yang DITERBITKAN DAN BERBENTUK seperti karya yang ditulis, ditaip dan diterbitkan pula menjadi buku, e-book, diterbitkan di dalam majalah atau di laman web penulisan adalah HAK MUTLAK penulis secara automatik.

Anda tidak perlu memohon ke mana-mana badan berkaitan untuk mendapatkan hak ke atas karya anda. 

Hak cipta diwujudkan untuk melindungi mereka yang mencipta (seperti penulis/pemuzik/pereka dsb) sebagai orang pertama dan pembeli/pewaris sebagai orang kedua. 

Undang-undang hak cipta juga melindungi hak penerbit buku, penerbit filem juga penyair. 

Harta intelektual adalah meliputi;

hak cipta
paten
tanda niaga
reka bentuk industri
petunjuk geografi


Sumber : Karya Kita Hak Kita, (Panduan Hak Cipta) , Nisah Haron, Al Ameen Serve Holdings, Kuala Lumpur 2008

Friday 28 February 2014

Langkah Demi Langkah Membina Kerjaya Sebagai Penulis

Teks : Monalita Mansor (2)
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Perkara utama apabila memulakan sesuatu ialah nawaitu atau dalam bahasa Malaysianya, niat. Jadi, soal diri anda, kenapa anda menulis. Tak kiralah soalan tu soalan lisan, bertulis, objektif, subjektif dan nak dijawab secara esei, secara point sahaja, terpulang. Sebab jawapannya ada di dalam diri anda. Tak ada pemeriksa markah yang mencerlung anda sampai nak terkeluar biji mata. Tak ada cikgu yang berdiri bercekak pinggang dengan muka bengis di depan meja menunggu jawapan anda.

1. Kerana Allah
Inilah sebab yang paling murni, tapi sangat sukar dilakukan. Apabila bersandarkan sebab ini, segala tulisan kita, harus menurut lentur Al Quran dan Hadis, menyampaikan yang bermanfaat. Ini disebabkan kerana, apa yang kita tulis, memberi impak kepada kita walaupun kita sudah disimpan jauh kat dalam tanah. 

2. Memberitahu
Mahu memberitahu sesuatu maklumat kepada khalayak. Cara memberitahu atau cara gaya penulisan mungkin tidak mengikut lentur syariah, tapi niat masih mahu memberitahu perkara yang bobrok kerana ingin memberi pengajaran.

3. Berkongsi kemahiran
Contoh; sebagai bekas kakitangan bank, saya tak fikir kenyataan OUT OF SERVICE itu memberi makna lain selain mesin pokai! bagi pelanggan. Walhal ia juga mempunyai maksud resit habis, kabel kena santap dek Cik Ti, black out, head office terbakar dan sebagainya. Maka, tugas saya yang mempunyai kemahiran itu untuk berkongsi dan mengelak salah faham.

4. Glamer
Ini niat saya, masa mula-mula menulis dulu. Sudahnya tak ke mana. Cuma mungkin mutakhir ini, glamer anda sebagai penulis mungkin boleh ditambah apabila karya anda dipindah ke layar lebar atau layar kaca. Walaupun plotnya sudah ke laut. 

5. Membalas Dendam
Pelik tapi benar. Tapi ada orang yang menulis sebab nak menghentam orang-orang yang paling dibenci, dimenyampah di alam nyata dan dipindahkan ke media tulisan. Maka, akan muncullah nama watak yang pelik dan susah nak disebut.

6. Melepaskan perasaan
Inilah juga di antara 1001 sebab. Wahana escapisme daripada dunia realiti. Penulis di dalam realiti seorang yang pendiam, pemalu, terasing, menjadi mangsa dera, trauma dan tiada tempat melepaskan perasaan. 

Kendatipun apa alasannya, pastikan ia dapat memberi sesuatu nilai untuk khalayak pembaca di luar sana. Mereka, mengharapkan kita memberi pilihan bahan bacaan terbaik untuk mereka. Ayuh bermula sekarang. 



Dalam pada itu, jika anda berminat untuk berniaga, tetapi kekurangan modal, boleh juga menyertai program Rakan Niaga Akademi Bekerja di Rumah.

Thursday 27 February 2014

Sedutan Kabus Rindu tulisan Monalita Mansor terbitan EMP

Assalamualaikum,

Daripada surah Yusuf, syair digubah. Di dalam Kabus Rindu tertinta indah.

Pisau di kanan buah di kiri,
melihat Yusuf terpotong jari,
tidak terasa masyuk sekali,
tersenyum Zulaikha puas di hati.

Merintihlah Yusuf pada Tuhannya,
daripada ajakan biarlah penjara,
takutlah dia tipu dan daya,
pada Al Aziz dititipkan rasa.

Dapatkan Kabus Rindu di toko buku MPH atau pesan terus secara online di page Mundam Ilmu

Wajah Baru Cinta Lama

Teks : Monalita Mansor (1)
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Alhamdulillah, blog berwajah baru, semoga membawa aura baru. Mulai hari ini, saya ingin mengongsi anekdot dan apa juga perkara berkaitan dunia penulisan dan bagaimana menukarkan karya kreatif kepada RM dengan lebih cepat dan berkala.

Bagaimana?

Tunggulah. Nanti saya kongsikan. Hanya untuk topik pengenalan, saya ingin senaraikan beberapa perkara yang penulis perlu siapkan sebelum menjadi penulis;

1. Nawaitu
2. Pengetahuan mengenai hak cipta
3. Kemahuan untuk meneroka dan mengambil tahu sekitar
4. Memperuntukkan masa untuk menulis dan ia mestilah konsisten
5. Kebolehan membaca dan menyerap ilmu dengan cepat 
6. Imaginasi
7. Bakat
8. Kebolehan menaip pantas
9.Bercakap dan menulis
10. Modal berbentuk kewangan

Permisi ya. oh pesan tuan guru saya di dalam kelas Asas Blog - Menulis 44 entri secara berkala, insya-Allah keinginan untuk menulis akan melekat kukuh dalam hati dan minda selepas itu.



Tuesday 25 February 2014

Catu Minda

Teks : Monalita Mansor

Gambar : Carian Google


Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Hari ini bicara tentang catu. Di dalam kawasan perumahan saya hari ini, air dicatu sebagai langkah penjimatan berikutan paras takungan air yang menurun drastik. Catu, dalam definisi Kamus Dewan adalah membahagi-bahagi dalam jumlah yang kecil. Mungkin selama ini saya menerima sejumlah 10 liter, hari ini saya mungkin menerima 5 liter sahaja. 5 liter lagi akan diberikan kepada pengguna lain dalam serakan pengguna yang lebih lebar lagi.

Bercakap tentang catu juga, itu adalah antara perkara yang perlu anda fikirkan apabila anda mengetuk tukul di dalam minda untuk membuat keputusan menjadi WAHM SOHO. Jika anda ini di dalam kategori apabila mendapat gaji akan habis dalam satu hari jugak, tanpa berlengah lagi (tak termasuk komitmen hutang) maka anda perlu masuk kem dahulu.

Kem apa? Kem disiplin pantang nampak duit. Tak perlu mendaftar masuk ke mana-mana kem yang mahal. Kem itu anda sendiri boleh bina dengan minda. Mula-mula, dapatkan bahan bacaan yang berkenaan. Cerakin ilmu sebanyak mungkin. Selepas itu, visualkan minda anda yang sekarang anda sudah tidak bekerja. Anda tidak akan dapat gaji sekelepuk turun dari langit, sebongkah meletup dari dalam bumi.Kemudian, senaraikan apa yang patut dan apa yang tidak patut ada ketika itu. Apa yang patut berlaku dan apa yang tidak patut berlaku. (Semuanya atas izin Allah, insya-Allah)

Di dalam istilah penulisan ia dipanggil flash forward scene. Tetapi, awas! jangan visualkan yang negatif sahaja. Jangan fikir anak tak boleh pakai baju baru, raya tak boleh pakai baju baru, tak boleh beli seluar dalam baru setiap bulan. Jangan...jangan...jangan. 

Penting sekali, catu minda dahulu. Ia sebenarnya terpayung di bawah satu kata kunci iaitu RANCANG.

Selamat Merancang.

e-book tulisan Ashikin Hashim ini akan bertukar ke versi kertas tidak lama lagi. Ashikin dulunya protege kelas blog sebelum mendaki sebagai alumni seterusnya pengurus online (guru) di dalam Akademik Bekerja di Rumah. Realisasikan impian beriring doa dan usaha.
PM Monalita Mansor
monalitamansor@gmail.com


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung