Thursday 26 November 2015

Maaf Yang Hilang di dalam 3 Wanita Yang Aku Cinta

         
  “Kau betul-betul tak ingat aku, Pin?” Lelaki yang dipanggil abah oleh Haslan itu menggosok-gosok lengan lelaki tua itu. Berbanding beberapa hari lepas semasa kedatangan Haslan, hari ini Pak Cik Tapa kelihatannya lebih uzur. Rahangnya terbuka luas namun pandangannya terus memanah wajah dua orang tetamunya itu. Ombak di dadanya beralun perlahan. Kelihatannya seperti tidak peduli dengan soalan tadi tetapi jemarinya menguit-nguit.
            “Cuba kau tengok muka aku betul-betul…” Rasyid mendekatkan wajahnya. Kemu- dian dia meletakkan kedua-dua belah tangannya di sisi pipinya. Dicembungkan sedikit. Haslan sekadar memandang hairan melihat kesungguh- an abahnya mengembalikan ingatan lelaki tua itu terhadapnya. Katil di sebelah katil Pak Cik Tapa, kosong. Haslan duduk di situ, meletakkan  tangannya di atas peha dan memerhati.
            “Kalau kau tak ingat aku, tak apa. Tapi tentu kau tak lupa Faridah.” Rasyid mengenggam tangan lelaki yang diberitahu oleh Haji Kamal tadi semakin merosot kesihatannya semenjak keda- tangan Haslan, beberapa hari yang lepas. Kali ini, genggamannya mengejap. Desah nafasnya melaju umpama mengejar sesuatu. Haslan  sendiri terkedu apabila nama ibunya yang sedang terkedang, lumpuh sebelah badan di rumah, disebut.
            “Aku nak mintak kau ampunkan Faridah, Pin. Kesian kat dia, Pin,” rayu lelaki yang berbadan gempal yang duduk bertentangan dengan Haslan itu. Dia melihat ada air mata yang tumpah dan bersungguh di pipi abahnya. Air yang sama juga mengalir di pipi Pak Cik Tapa.
            “Dia memang derhaka pada kau. Tapi sekarang dia tengah diuji dengan bahagian dia. Lepaskan segala dendam kau, Pin…” Kali ini Haslan berdiri. Wajah tua emak yang terbujur tanpa suara dan hanya berkata-kata dengan upaya mata itu membayang di ruang mindanya.
            “Aku bodoh. Sebab aku ingat dia setia. Aku kutip dia, bela dia masa keluarga dia buang dia. Aku ketepikan mak aku, ayah aku, adik-beradik aku sebab dia. Tiba masanya, dia halau aku dari rumah. Dia campak kain baju aku! Dia lari ikut jantan lain!”

            Ayat itu berdengung di dalam kepala Haslan. 

Wednesday 25 November 2015

Tuesday 24 November 2015

Menguji Setia di dalam 3 Wanita Yang AKu Cinta

Teks dan Gambar : Monalita Mansor

Zaid belum lupa lolongan Ziad yang memang rapat dengan ibu. Malah Ziad, walaupun sudah boleh mengimamkan kakak-kakaknya dalam solat masih perlukan pelukan ibu ketika mahu melelapkan mata. Mahukan hangat tubuh ibu sehingga terlelap. Walaupun ibu selalu memiat telinganya kerana tidak betah mengenal huruf dho walaupun sudah di tahun tiga, Ziad tidak pernah ambil tahu. Hari-hari seterusnya, dia tetap menyerahkan telinganya dengan rela. Mereka, adik-beradik penuh yakin percaya yang ibu mereka tidak bersalah. 300 peratus. 
            Masih belum surut di bibir kedua-dua kakaknya cerita tentang ibu. Cerita rindu mereka pada ibu tidak pernah surut. Pada detik-detik awal ibu ditahan di Penjara Kajang, ayah selalu membawa mereka melawat ibu. Berebut-rebut telefon semata-mata mahu mendengar suara ibu sehingga timbul rajuk dan rengsa rasa. Resah rindu terlerai biarpun seketika. Air mata ibu berbaur dengan air mata mereka, melampias rindu yang tidak terbendungkan. Saban malam, masing-masing tidur bertemankan apa sahaja peninggalan ibu. Ziad apatah lagi. Masuk bulan kedua, ayah mulai menyenaraikan tugasan yang perlu dilunaskan setiap Sabtu. Ayah mereka menyenaraikan alasan atau tundaan alasan yang pelbagai. 
            “Gaji ayah tak besar. Hari Sabtu ajalah peluang ayah nak buat over-time. Dulu ibu ada bantu kita…” Ayah bersuara sambil mengusap kepala Ziad apabila adiknya itu merengek ingin berjumpa ibu seperti sebelumnya. 

 Dulu, ibu bukan sahaja membantu, malah kadang-kadang menggantikan ayah. Apa- bila ayah keputusan belanja, ibu menjadi tempat ayah meminjam duit. Biarpun ibu tidak berkisah kerana reda dan dengan niat membantu suami, ayah sering mengingatkan dirinya bahawa dia akan membayar semula. Meski ibu sekadar suri rumah tangga, ibu juga ligat dengan pelbagai bisnes kecil-kecilan, sekadar me- nambah tabungan di dalam kocek sendiri untuk membeli lauk-lauk istimewa untuk dihidang buat sang suami.

Monday 23 November 2015

Maaf Yang Hilang di dalam 3 Wanita Yang Aku Cinta

Teks dan Gambar : Monalita Mansor

“Ini dia. Atau kalau tuan nak bertemu dengan dia terus?” Tuan Haji Kamal, penjaga rumah warga terdampar itu menawarkan. Sambil mengunjukkan fail berwarna hijau kepada pemuda yang memperkenalkan dirinya sebagai Haslan, tempohari. Bebola mata Haslan berkaca dan senyum terukir di bibirnya.
            “Boleh ke?” tanyanya, manakala tangannya terhenti menyelak helaian di dalam fail itu seterusnya.
            “Apa pulak tak boleh.” Haji Kamal bangun dan membukakan pintu. Haslan turut bangun, sambil menggosok-gosok batang lehernya. Terasa persendian mengeras dan adrenalin menderas. Pertemuan ini begitu bermakna sebagaimana bermaknanya acara bersalam-salaman di pagi hari raya buat keluarga yang selalu rencong di dalam dan pepat di luarnya.

            “Kau kena cari juga orang tua ni. Jangan tidak-tidak,” pesanan abahnya masih terus berlegar. Haslan mengharapkan pencariannya  bernokthah di sini.
            “Siapa orang tua ni, abah?” tanyanya sambil meletakkan kembali gambar lama yang kekuningan diasak masa. Seorang lelaki, berambut afro dengan seluar bell bottom berwarna coklat sedang tersenyum. Di belakangnya kelihatan lambretta kelabu yang Haslan jangka sudah menjadi tukun sejak sekian lama. Lelaki itu berkulit hitam manis dan berbaju t melekat pada tubuhnya yang tidak berisi.
            “Kawan abah.” Abahnya menjawab perlahan. Ada duka yang larut di dalam jawapan itu.
            “Kalau orang jumpa, abah nak suruh orang buat apa?” Haslan angkat muka. Pandang abahnya.
            “Sampaikan salam abah pada dia.”  Sebutir-butir, dengan jelas, disebutnya.
            “La…tu aja?” tanya Haslan kembali. Tugas yang dipinta abahnya itu tidak seberat mana kerana dia mempunyai akses terus terhadap warga-warga terbiar atau dipinggirkan di rumah kebajikan atau yang senasib dengan- nya.  Abahnya tidak menjawab. Malah kelihatan- nya selamba menyisip teh tarik gelas besar yang masih berasap. Jerangkap samar yang menjadi candu keperluan abahnya, selain daripada rokok, sebatang sehari. Haslan kembali kepada komputer ribanya yang ditenungnya semenjak tadi.
            Petang awal November tidak pernah mengizinkan matahari tersenyum sehingga mencecah akhir hari. Hujan musim pejur sudah mula bertugas dan kadang-kadang membawa sekali pekikan petir dan guruh. Atau lebih menggerunkan membasahi bumi tanpa silu beriring sapaan ribut ataupun sapuan banjir lumpur. Petang itu, ia hanya merenik namun terus membasahi sekeping hati yang keresahan. Tanpa Haslan sedar, abah membuang pandang ke arah bilik di hujung tangga.           
             “Tuan Haslan. Ni dia. Abang Tapa…ni saya bawa tetamu. Dia nak sangat jumpa abang.” Haji Kamal bersuara ceria. Lelaki kurus yang terbaring di katil besi setinggi lutut orang dewasa itu membuka mata. Dia tersenyum payah.
            “Saya, Haslan.” Haslan memperkenalkan diri sebaik ditanya dengan soalan mudah, “siapa?” oleh lelaki yang nyata uzur itu, sambil cepat-cepat menggapai tangan lelaki tua yang sejuk itu. Tuan Kamal menghulurkan sebuah kerusi plastik berwarna merah. Dengan ucapan terima kasih, Haslan melabuhkan jasadnya dan merapatkan diri ke tepi katil. Tangan Pak Cik Tapa belum dilepaskan.

            “Dah… kahwin?” tanya Pak Cik Tapa seulas-ulas. Haslan tersenyum. Tidak pasti di mana relevannya soalan itu tetapi dia menggeleng.

Sunday 22 November 2015

Lempeng Pisang Mama di dalam 3 Wanita Yang Aku Cinta

RM30 termasuk caj pos
3 hadiah misteri menanti 3 pembaca bertuah
Gambar dan Teks : Monalita Mansor

Dia cuba membaca dan menyelidiki Annisa melalui blognya. Malangnya, hanya pandangan dan pemikiran seorang guru taska terhadap dunia perguruan dan anak-anak comelnya yang tertumpah di situ. Annisa, tidak pernah sekalipun membenarkan apa-apa entri bersifat peribadi mengitari blog yang tidak berpagar itu.
 Annisa, masih anak gadis Melayu Muslim yang tersembuyi dan tidak sekali-kali mahu berkongsi rahsia dengan umum yang tidak diketahui niatnya. Suatu pemikiran yang terlalu jarang kedapatan pada anak-anak seusianya di bumi kelahirannya sendiri atas nama hak asasi dan kebebasan individu.
            Sehinggalah hadirnya hari yang dinanti. Dia sendiri yang menjemput Annisa di lapangan terbang. Meski wajah suram anak itu bagai isyarat agar dia tidak terlalu meletak harapan tinggi, Grace mengandaikan ia cumalah sebahagian daripada isyarat tubuh yang tidak stabil disebabkan perjalanan jauh.
            “Nisa mahu bersolat dahulu, atau terus pulang sahaja?” Begitu terujanya Grace mengajukan soalan tersebut. Meskipun ter- sentap, Annisa tidak memberi reaksi yang diharapkan Grace.
            “Sudah. Dalam kapal terbang,” jawab Annisa, acuh tak acuh. Grace mengangguk-angguk. Kemudian, dia kehilangan kata lalu berjeda.
            “Mama Yusnida, apa khabar?” tanyanya kemudian sambil mencapai beg bertroli milik Annisa. Pantas Annisa mengambilnya daripada tangan Grace, mengangkatnya susah payah dan memasukkan ke dalam but kereta. Grace menanggalkan mafela yang melilit lehernya lantas mengalungkannya di leher Annisa yang kelihatannya berpeluk tubuh dan sesekali menggosok-gosok kedua-dua tapak tangannya. Nyata sekali dia kurang selesa dengan angin yang meraikan kedatangannya ke tanah bekas penjajah itu.
            “Baik,” jawab Annisa pendek. Sambil matanya menjeling ke arah Grace yang berkaca mata hitam, masih ranggi dan cantik dalam jeans dan baju-t  yang disalut kot labuh beserta kasut but separas lutut. Kereta yang tersenarai sebagai mewah kedudukannya di tanah air itu, meluncur perlahan-lahan meninggalkan kawasan parkir lapangan terbang.

Annisa menjeling dengan ekor mata melihat kekalutan perempuan berwajah polos itu. Belum sudah-sudah membetulkan kedudukan sudu dan garfu. Baru beberapa langkah ke ruang dapur basah, dia kembali ke meja, menggaul-gaul hidangan di dalam mangkuk besar di tengah-tengah meja. Berserakan wap panas muncul dan menyerbu wajah kedut perempuan itu.  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung