Friday 16 May 2014

Mentua Aku Shogun Tokugawa - Bab 2


“KAU bergayut dengan dia tu lagi, eh? Kenapa kau tak pernah nak dengar cakap mak? Kau ingat mak ni Radio Malaya? Mak…dengan abah tak suka kau berkawan dengan dia!” Suara Puan Mariam menggegar gegendang. Mendudu-dudu denyut, rebah rempah menyerang urat kepala menghasilkan gelombang migrain.

“Dalam dunia ni, bukan dia sahaja kawan orang…mak,”  ujar Nayla mengerutkan dahi. Dipicit-picitnya. Kerutan yang sama melebar di hati. 

“Tapi itu kawan yang paling kau sayang kan?” terjah Puan Mariam, sengaja dan dengan sinis pula.

“Mak… berkawan tak semestinya berkahwin,” patah Nayla kembali. ‘Aduh, dia buat dah. Aku letak kang! Aku letak kang!’ Nayla menggugut sendiri.

“Kau masih nak berdegil…Nayla. Kalau ikutkan hati mak… mak nak ganyang si tak sedar diri tu!!!” Tengkingan Puan Mariam mengegar. Tidak tergambar geram dan amarah yang bekerjasama dengan baiknya daripada kata-kata itu.

Nayla memutuskan talian dan membiarkan panggilan bertalu-talu dari Puan Mariam menjerit masuk. Terusik hati dengan sikap orang tua yang tidak meletakkan kewajaran di tempat yang sepatutnya.  Kalau diukur dengan penilaian derhaka, memang dia boleh dicampakkan dalam kategori derhaka.  Masih berdegil meneruskan apa yang dilarang keluarga.  
Tetapi penentuan jodoh (sekiranya jodoh telah menyeru) adalah hak milik istimewa dirinya sebagai tuan punya diri. Sebagai manusia yang nanti akan mengorbankan keseluruhan aspek rohani dan jasmani. Menerima kesan langsung daripada lafaz ijab dan qabul yang menyatu dua hati dunia dan akhirat. Lantaran itu, tidak ada sesiapa lebih-lebih lagi emaknya yang dirasakan diktator dalam hal ini menentukannya.
Tambahan pula, di hati Nayla belum terdetik keinginan untuk memberi komitmen kepada rumahtangga biarpun Aizat beberapa kali memberikan petunjuk bersulam makna. Bukanlah dia bodoh benar. Bukannya tidak dapat dibaca niat daripada bicara lelaki berbadan gempal berwajah tenang itu hanya, Nayla mengabaikannya buat masa ini.
Dia mencapai alat kawalan jauh. Kecelaruan akalnya yang terganggu dengan panggilan tadi cuba disalurkan kepada History Channel yang menayangkan siri Pawn Stars. Kisah realiti kedai pajak gadai. Juga informasi-informasi menarik tentang barangan antik dan vintaj yang menjadikan ia siri kegemarannya di saluran  itu. Saluran biasa menyiarkan drama-drama realiti tidak mampu ditonton lagi kerana begitu sinonim dengan hidupnya. Teragak hati untuk menyentuh komputer riba yang terbiar semenjak tadi. Laju tangannya menaip menyusur laman sosial. Gambar profil semasa konvokesyen masih setia di situ.  Tangannya menekan pada paparan event.

‘Alumni pengurusan perniagaan’

Tarikh, masa bla..bla. Dia membacanya dengan hati berbunga riang. Tiba-tiba. Kesempatan menguak kembali memori zaman kampus memekar. Alam peralihan menginjak dewasa dalam cara yang tersendiri. Dia meneliti senarai bekas pelajar yang sudahpun menjanjikan kehadirannya. Nama Jijat Pijat sudahpun berada di dalam senarai.
Dada Nayla kembali senak.  Puan Mariam boleh menghidu kehadiran lelaki itu di bumi semenanjung ini.  Entah apa ilmu yang dipakai perempuan separuh abad itu.  Atau mungkin, kerana dia yang salah; memberikan kata laluan untuk akses ke akaun laman sosialnya. Bukan sukarela, suka tak rela. Dipaksa memberi! Kerana itu setiap gerak-gerinya seolah-olah diperhatikan. Puan Mariam tentu tidak melepaskan peluang menyoalsiasat Nayla seandainya terdapat bukti dia masih berhubungan dengan Aizat. ‘Emak terlalu melindungi hingga ke taraf mengongkong,’ Nayla menghambur kesal.

“Kau jangan ingat…kau duduk seorang di KL ni, mak tak tahu gerak geri kau. Sekilas dengar suara kau pun mak tahu kau berbohong.” Nasihat atau lebih tepat lagi amaran itu keluar sebaik sahaja Puan Mariam melangkahkan kaki meninggalkan perkarangan kondominium yang disewanya itu. 

Setelah setiap sudut rumah termasuk bilik air diselidik dan ditentukan tahap keselamatannya. Ketika itu dia baru melapor diri di cawangan yang menjadi rumah keduanya itu. Dia sayangkan Nayla, sungguh. Tapi itulah caranya mempamer kasih sayang, semenjak dulu.

“Jaga diri baik-baik. Jangan abaikan solat.” Pesan Encik Nasir pula. Lirih.

Abahnya itu adalah anggota parti pendiam. Jika tiada keperluan, tiada suara akan kedengaran. Berbeza dengan Puan Mariam yang tidak perlukan apa-apa pencetus untuk mengeluarkan kata-kata. Dan, jarang perkataan yang dikeluarkan berlapik, lebih-lebih lagi pada anak gadis yang berlainan iras dengannya itu. Semakin Nayla dewasa, dirasakan jurang itu semakin melebar dan menjunam dalam menjadi gaung. Dia cuba memahami Nayla dengan caranya, tetapi dirasakan sikap Nayla terus dingin dengannya.
Berjauhan daripada keluarga merupakan merdeka kecil buat diri Nayla.  Bertembung dengan emaknya sentiasa hari akan meledakkan api kontroversi yang setiap hari akan diisi dengan agenda yang berbeza. Terkadang, akal fikirnya bejat memikirkan apa kehendak Puan Mariam sebenarnya. Mahu dia sentiasa di depan matakah? Mahu kemahuannya yang Nayla rasakan bukan-bukan itu diikuti atau mahu Nayla terbentuk mengikut acuannya.
Semenjak di zaman persekolahan lagi, kawan-kawan Nayla arif dengan hati budi Puan Mariam. Mereka hanya mampu menampakkan diri di rumah Nayla hanya pada hari raya.  Terkecuali untuk kawan lelaki, langsung tiada kompromi. Jangan cuba muncul di muka pintu rumah, akan disilat dek Puan Mariam dengan soal siasat ala Nazi. Cuma Eza, anak Mak Ngah Jamilah yang paling bongsu mampu bertahan leteran emak dan akan menjadi penyampai setia buat Nayla. Selain itu, Nil! Dia masih menyusur laman sosial dan mesej daripada Jijat Pijat terpapar.


Sengaja Nayla menyakat lelaki yang setakat ini berada di sudut hati yang paling sipi. Kali terakhir dia menjejakkan kaki ke kampung adalah hari raya tahun lepas.  Jika dia rindukan abahnya, hanya melalui talian mereka berhubung. Untuk berdepan dengan Puan Mariam, Nayla masih belum bersedia selepas insiden di bank tahun lepas.

     Nayla menekan opsyen log out dan membiarkan perbualan itu tergantung di situ. Gementar, resah, riang bergulat dalam diri. Nayla tidak mahu membayangkan mimpi ngeri di depannya seandainya dia membiarkan perasaannya hanyut.

Ayat yang mana yang buat awak menyampah?” Suara Aizat kedengaran lembut dalam malam yang semakin dingin. Telefon bimbit dialihnya ke telinga kanan. Nayla menghenyak tubuh di sofa.  Dia tahu Aizat akan menggunakan sepenuh talian yang ada untuk terus mengurai kekusutan hatinya.

“Sayang…saya memang sayangkan awak. Saya memang rindukan awak.”

“Awak tak faham Zat.” Nayla menghela nafas. Segala-galanya ini tak akan ke mana-mana. Kalau Aizat mengistilahkan ini sebagai percintaan, percintaan ini tidak akan berakhir dengan indahnya gerbang perkahwinan.

“Awak yang tak pernah nak bagi saya faham,” Aizat memejalkan bicara.

 “Bukan saya…”


“Habis tu. Siapa? Awak ada orang lain ya? Yang lebih macho daripada saya? Yang lebih kaya dari saya? Kenapa tak cakap dari dulu. Kenapa berdolak-dalik?” Kasar, meninggi dan kebudak-budakan, bicara Aizat. Nayla membuat tafsiran. Terdengar talian di corong sana dimatikan. Nayla terperosok di dalam timbunan kusyen penghias sofa. 

‘Merajuklah pulak.’


NANTIKAN DI PASARAN - JUN INI, INSYA-ALLAH


Thursday 15 May 2014

Cahaya Buat Insan Lain

Jambatan Gantung, tarikan terbaru di Kuala Semantan, Temerloh
Teks : Monalita Mansor
Gambar :

Sambungan : Perempuan Muda Bernama Ramlah.

Suami isteri yang mengambil bayi itu tadi sudah berkahwin sejak sekian lama. Hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang di tebing Sungai Pahang. Ketika itu, mereka menyewa berhampiran Sungai Pahang. Setiap tahun, menjelang musim tengkujuh bergelut dengan banjir.

Selain itu, kampung tersebut didiami oleh saudara mara si suami, termasuk ayahandanya semenjak merantau dari Tanah Sumatera. Di situ dia bersekolah dan sekelas dengan Tan Sri Sabaruddin Chik, mantan Menteri Penyiaran. Di situ dia membesar bersama cerita-cerita tentang penentangan penjajah, mengenal Pak Sako. Di padang besar berhampiran kubur sekaranglah tempat para gerila berlatih menembak sebelum masuk hutan dan Temerloh memang popular dengan penentang British berhaluan kiri.

Sungai Pahang di kala tenang

Mengubah nasib, si suami memohon pekerjaan sebagi pekerja am di Kem Batu 5 yang ketika itu dihuni oleh pasukan 1 RAMD. Di situlah segalanya bermula, si suami ditemukan dengan sahabat yang memberitahu bahawa perempuan muda bernama Ramlah ingin menyerahkan anaknya. (Meski dia tak ingin, ibu tirinya, ingin)

Cerita si isteri, kehadiran bayi itu membawa cahaya kepada mereka dan jiran terdekat keseluruhan. Jiran dan taulan turut serta menjaga, menjahitkan baju baru, bersengkang mata bersama si isteri memandangkan si isteri tidak berpengalaman mempunyai anak kecil. Susu yang diberi berjenama Lactogen di dalam tin biru tua. Kata si isteri lagi, si kecil pada awal kelahirannya berkaki pengkar, tapak kakinya membengkok ke dalam dan dia tidak boleh berjalan. Maka jiran yang dipanggil Mak We Midah yang datang pada setiap pagi, mengurut kaki anak ini.
Pekan Sehari atau di Temerloh dipanggil Pekan Sari di sepanjang jalan di seberang sana



Wednesday 14 May 2014

Kaver Cadangan Mentua Aku Shogun Tokugawa

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Manuskrip asal karya ini sebenarnya saya berikan tajuk Pergilah Lara. Ini berikutan kisah Nayla (protagonis) yang akhirnya menemui bahagia selepas cintanya putus di tengah jalan bersama Aizat. Puncanya kerana Puan Mariam, ibu Nayla menentang habis percintaan mereka. Apabila mereka nampaknya bagaikan tak boleh dipisahkan, Puan Mariam akhirnya mengalah, tetapi rupa-rupanya dia mengundur untuk menghantar satu hentaman dan hentakan emosi yang tak terlawankan oleh kedua-duanya. 


Kemudian, saya tukar kepada Ilham Bahagia, sebagai menggambarkan kebahagiaan yang dilalui Nayla selepas segala duka termasuk diuji dengan gambar porno bersama bekas majikannya. Setelah berbincang dengan adik-adik NiN saya (Nur Dila, Intan dan Nurhidah) mereka mencadangkan tajuk Sememangnya Aku Cinta kerana terdapat penegasan di situ, tentang perasaan cinta semua watak sama ada protagonis atau antagonis.


Bagaimanapun, saya dinasihatkan menukar lagi tajuknya kepada Mentua Aku Shogun Tokugawa untuk menakluk pasaran. Tajuk ini juga hasil perbincangan dengan NiN dan Fumi Hakimi, manakala kaver ini dilakar sepenuhnya oleh Nurhidah Halun.

Mentua Aku Shogun Tokugawa, sebenarnya mengambil sudut pandangan Aizat tetapi dalam skop pemikiran Nayla. Nayla tahu akan kegarangan emaknya, sehingga pernah membayangkan lehernya dipancung dengan pedang Shogun tu, katana namanya. Puan Mariam pernah mengugut akan melakukan sesuatu hukuman sehingga ke tahap paling brutal - pancung dan Nayla percaya emaknya boleh melakukannya. 

Bagaimanapun,naskhah ini masih belum meninggalkan elemen ilmu dan gaya bahasa semi-sastera sebagai 'trade-mark' penulis. 


Nota : Penulis cenderung melakukan kesalahan tatabahasa dan ejaan di kala menulis dalam keadaan tertekan. Jadi, baca hasil tulisan anda lebih daripada sekali sebelum berpuas hati.



Tuesday 13 May 2014

Perempuan Muda Bernama Ramlah

Ramlah binti Wahid, berasal dari Welch Estate, Jementah Segamat.
Teks : Monalita Mansor
Gambar : Monalita Mansor

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Catatan ini bukan membuka pekung di dada. Sekadar catatan untuk sesiapa yang mahu mengambil iktibar bahawa poligami di tangan yang bukan ahli akan menjadi badi.

Badi itulah yang menganggu kehidupan perempuan muda bernama Ramlah yang menjadi pengantin semalaman. Kemudian, ditinggalkan suaminya dengan ibu tiri yang aku kira klise dengan aliran fikiran masyarakat Melayu umumnya. Daripada saksi mata dan telinga yang masih hidup mahupun meninggal dunia, perempuan muda itu dijadikan hamba sekalipun ketika itu sarat membawa janin di dalam perutnya. Diarah mengangkat air daripada perigi yang jauh dari rumah. Itu yang aku dengar.

Kukira, Ramlah semakin derita kerana tiada sesiapa mahu mendengar laung azabnya disebabkan oleh kecacatan panca indera dan serba serbi kesibukan harian yang disengajakan dengan tujuan balas dendam.  Apalah lagi yang ada di hati seorang perempuan yang digelar isteri muda terhadap anak kepada madunya kalau bukan rasa sakit hati, rasa dendam walhal kau sudah memiliki lelaki itu keseluruhannya. 


Sampailah pada harinya, lebih kurang setahun selepas perkahwinan yang kalau boleh dipanggil perkahwinan itu, Ramlah melahirkan seorang bayi. Tanggal 1974 direkodkan pada 3 September beberapa hari selepas Malaysia merdeka.

Khabar kelahirannya sampai ke telinga sepasang suami isteri yang tidak berzuriat setelah lama berkahwin. Berdatanglah suami isteri ini untuk mendapatkan bayi ini yang sebelum itu mahu dijual oleh nenek tersebut kepada seorang askar dengan harga RM300.00 Pemerdagangan manusia, bukan kerana terpaksa, tetapi memang disengaja. Disengaja!

Menurut suami isteri itu, sewaktu mereka mendatangi bayi tersebut, anak kecil itu hanya dibaluti kain batik lusuh. Perempuan muda bernama Ramlah itu memang tidak mengeluarkan suara. Di belakang badan bayi tersebut sudah memerah digigit semut. Kata wanita yang mengambil bayi tersebut, emosi Ramlah sukar digambarkan. Pandangan matanya sudah tidak dapat ditafsir. Raut wajahnya menggambar derita sudah tidak menzahirkan apa-apa lagi.

Seminggu selepas itu, mereka mendatangi semula perempuan muda bernama Ramlah dengan hasrat menghadiahkan barang keperluan sebagai tanda terima kasih. Bukan membeli bayi itu tetapi terima kasih kerana sudi menyerahkan anak itu untuk dipelihara mereka.

Tetapi Ramlah sudah tiada. Ramlah sudah tiada. Ibu tirinya yang gembira dengan ketiadannnya hanya menceritakan versi sedih yang direka. Yang direka!


Nota :  Latar adalah kemestian dalam karya. Latar terbahagi kepada dua iaitu latar tempat dan masa. Karya tanpa latar ibarat pelakon berlakon di dalam kotak kosong.

Monday 12 May 2014

Intan Haji Daud Membuka Langkah

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Nurhidah Halun

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

11/5/2014 - Hari ibu paling bermakna buat saya apabila menerima hadiah daripada protege saya, Intan Haji Daud. Protege kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif ini membuktikan bahawa ikhtiar tanpa jemu walau dikekang tuntutan sebagai suri rumah, tidak membataskan langkah sesiapa juga untuk bermula.

Cerpen beliau, Cik Sitam Blogger yang berkisar tentang kehidupan para WAHM, tersiar di dalam majalah Mingguan Wanita bil 1590.

Bukan untuk merendahkan Intan, sekadar suntikan semangat buat semua. Intan bermula dengan zero. Dia mungkin membawa bakat tetapi ketika itu, dia sendiri tidak menyedari kekuatan bakatnya. Di dalam kelas Asas Blog dan di luar saya kira dia diinspirasikan oleh orang-orang terdekat dengannya. Di dalam kelas, dia adalah di antara protege yang aktif dan sentiasa 'menyibuk' dengan beberapa orang protege lain lagi.

Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif menawarkan guru, tugasan dan beberapa teknik penulisan tetapi dorongan untuk bermula datang dari dalam diri anda.



Sunday 11 May 2014

Hidup Sebuah Novel

...sambungan kisah Cerita Hari Ibu (klik untuk baca)

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Tiada gambar boleh menggambarkan perasaan penulis kala ini...

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Hidup ini sebuah novel, betul? Penulisnya tentulah Allah. S.W.T. Ceritanya lengkap. Mengikut kronologinya. Sedar atau tidak, kita sedang mengikut plot aturan-Nya. Saya yang suka menulis pun tidak menyangka, kisah hidup saya sehebat kisah di dalam novel.

Saya bawakan kisah seorang lelaki yang suka merantau. Sudah menjadi adatnya lelaki yang berasal dari tanah Dato' Perpatih. Cukup umur sihat badan, maka merantaulah mereka kerana bak kata Waris, lelaki kalau campak dalam hutan pun boleh lagi cari makan. Ketika merantau, lelaki ini bertemu jodoh bukan sekali, malah berkali-kali di sepanjang singgahan perantauannya.

Termasuk singgahannya di sebuah kampung bernama Kampung Sungai Kepong. Menurut cerita, daripada saksi yang sudahpun meninggal dunia, perkahwinan lelaki itu dengan perempuan muda yang cacat fizikalnya berlangsung mudah. Lelaki itu sedang minum di kedai kopi, kemudian ditawarkan berkahwin oleh ibu tiri perempuan itu.

Kucing, harimau atau apa sahaja tidak akan menolak hidangan, apatah lagi percuma dan ditawarkan pula. Ya, mereka dikahwinkan dan usai malam pertama, perempuan muda itu ditinggalkan. Langsung. Titik dan tidak kembali.


Bersambung...

Nota : kata jamak apabila bertemu dengan imbuhan hendaklah dirapatkan contoh : tidak upaya : ketidakupayaan, rumah tangga : berumahtangga. 




Mentua Aku Shogun Tokugawa (Sememangnya Aku Cinta)

BAB SATU (1)

 
gambar hiasan




NADA ketukan yang kelang-kabut masih menghuni meja sebelah. Sesekali dia mengerling kepada empunya jari. Tiada respon diterima. Seolah-olah ketukan dan kalau dikatakan tarian pen itu beserta tuan punyanya juga tenggelam dalam kotak dunianya sendiri.
Nayla menyelak-nyelak malas helaian pelbagai service request yang menadah di depannya. Jujur sejujurnya dia benci bekerja dengan kertas; dengan komputer yang tidak memberi reaksi dan sekadar mendengar dan menadah apa sahaja luahannya.
Di sebalik dinding sebelah sana, petugas kaunter hadapan masih sibuk melayan pelanggan yang semakin ramai menjelang waktu makan tengahari. Kaunter perbankan komersial di kawasan sibuk itu bertambah sibuk terutama pada awal minggu dan akhir minggu.
Kadang-kadang kerana rutin begitu, para petugas kaunter memperlahankan kelajuan setiap satu transaksi mereka. Bagi pelanggan mereka diberi dua pilihan. Menunggu atau beredar. Pilihan ketiga; yang kadang-kadang ada; ialah pelanggan mengemukakan aduan. Kadang-kadang terus ke media tempatan dan satu salinan kepada Bank Negara. Ketika itu, akan menari zapinlah para pegawai atasan di kerusi empuk mereka.
Tarian pen yang memekakkan itu terhenti serentak beriring dengan sebuah keluhan. Nayla tidak bereaksi waima mengerti ada yang membutuhkan bantuannya.

“Tolong aku sekejap…”  Wanita lebih kurang sebayanya itu bersuara juga akhirnya. Nayla menolak kerusi, bangun mendapatkan Hanisah tetapi tersentak dengan nada dering paling biasa di pendengaran yang menjengah lagi.

“Ya mak….” Suaranya perlahan sebaik sahaja melafazkan jawapan salam. “Tak ada.” Dia menguis jatuhan rambut di dahi yang menganggu perbualan sambil menjawab dengan wajah yang sukar dimaniskan, “betul. Orang tak tipu…” Nayla melontar keluhan kecil sambil mengetuk-ngetuk pen di tangannya ke meja. “Itukan dah lama… cuba mak tengok tarikhnya.”

Wanita kelahiran bumi Cik Siti Wan Kembang yang berwajah manis di meja sebelah itu tersenyum simpul setelah berjaya mencuri dengar perbualan mereka.

“Buat apa nak tipu mak kau?”

Nayla tidak menjawab soalan itu tetapi menarik kerusi. Duduk betul-betul mengadap komputer di meja sebelah membuatkan Hanisah terpaksa mengengsot memberikan ruang.

“Dah tahu gemuk tu…beranjaklah sikit,”  rungut Nayla tanpa menjawab soalan itu dan matanya lekap pada helaian Electronic Journal yang terpapar pada perisian Words di komputer.

“Hey! Dengar aku cakap ni.” Serentak dengan kata-kata Hanisah itu, Nayla spontan mengibas-ngibaskan jarinya yang diketuk dengan pen. Hanisah ketawa tanpa kesal.

“Zalimnya kau ni.  Aku dah suka dan rela nak tolong, kau sakitkan aku pulak.” Digosok-gosoknya belakang jarinya. Hanisah melambakkan tawa lagi. Surana, yang berada di meja kanan bersebelahan meja Nayla meletakkan jari ke bibirnya.

“Berdosa tipu mak tau,” asak Hanisah.

“Mana ada. Aku cakap yang betullah.”  Nayla membela diri sambil matanya dikecilbesarkan ke skrin monitor di depannya.

“Betullah sangat,” ejek Hanisah, sinis. 

“Okey puan, sekarang comparison kau tak balance berapa dan EJ kau tak balance berapa? Nak aku tolong ke tak nak?” Nayla membanting tubuh ke kerusi seraya berpeluk tubuh. Bicaranya beralih serius.
Hanisah mencantumkan kesemua tapak tangannya sambil memandang Nayla. Nayla kemudian berdiri bercekak pinggang dalam kebaya Kota Bharu yang menyerlahkan keanggunannya sebagai gadis graduan bertaraf eksekutif. Kulitnya putih kuning dengan hidung mancung diapit mata bulat besar yang dikawal kening tebal di atasnya. Waktu hampir menujah ke jam dua belas. Bermakna giliran mereka untuk keluar berehat sudah hampir.

‘Wei…ma ada telefon kau?’ sebuah mesej pesanan ringkas terpapar daripada Eza sebaik sahaja dia mematikan nada dering telefonnya. Eza, sepupunya yang baru habis sekolah, kawan baiknya dan juga kawan ‘teramat baik’ ibunya. Dia membalas melalui mesej juga kemudian berlalu ke mesin pengimbas untuk mengimbas service request yang akan dihantar ke Loan Center melalui e-mel. CCTV yang melata di mana-mana akan memperlihatkan kerja sebenarnya nanti kalau dia asyik melayan telefon bimbit.

‘Ma nampak kau ada like post Pak Tam, dia tengah naik hantu ni. Kau ni suka sangat cari penyakit lah.’ – Eza. Sebuah keluhan lagi terhambur daripada bibir Nayla sebaik membaca mesej tersebut.

‘Naik hantu ke naik syaitan ke, aku tak ada masa nak layan.’ Rungutnya, sedikit mengkal namun hanya kedengaran di dalam hati. Nayla duduk kembali di kerusinya. Hanisah sudahpun mengemaskan meja. Membetulkan tudung dengan tuntutan janjinya agar Nayla menyelesaikan kes tertangguh mengenai transaksi pelik di dalam jurnal imbangan mesin deposit cawangan. Nayla mencapai pengikat rambut dan mengemaskan mahkota kesayangannya yang separas bahu itu. Diikat tinggi seakan-akan sanggul. Menyerlahkan lehernya yang sederhana jinjang.

“Macam dalam pantanglah pulak. Besar masalah ni,” sela satu suara. Nayla berpusing ke arah kanannya. Surana tersenyum sambil menutup mulut.

“Aku nak fokus ni. Hari ni nak balik cepat.” Nayla menetapkan matlamat untuk hari itu.   

“Cepatlah sangat! Kalau mak tiri kau kata cek tak balance nanti… kau ingat boleh balik ke?” Sindir Surana, merujuk kepada teman sekerja yang berbadan dua dan berangin dua, Nalini. Kerana itu dia mendapat gelaran mak tiri. Angin kus-kus yang sukar dibaca walaupun pada hakikatnya hatinya memang baik.
Teman bekerja yang juga teman bertekak. Mengisi hari-hari bekerja dan membuatkan masa seakan tidak memberi izin untuk menarik nafas. Biarpun cabaran bekerja dalam organisasi pelbagai bangsa ini terasa semakin hari semakin mencabar.  Sebenarnya ia lebih memberikan dia ruang untuk menjauhi apa yang dirasakan lebih menyesakkan dada. Namun, sepulang bekerja nanti dia akan sendiri. Rumah sewa di belakang rumah kedai bertaraf kondominium itu menjanjikan sepi dan tambah membuarkan rindu pada setiap inci kenangan yang telah berlalu di dalam hidup.
Benarlah, sepi itu menyiksa jiwa. Rindu itu membakar hati. Lantas, apalah lagi daya seorang Nayla untuk mengucainya andai setiap kali dia ingin keluar dari kotak itu; ada dinding yang terlalu kebal menghalang. Malam hanya terisi dengan luahan rasa di laman sosial atau setidak-tidaknya mencuci mata dengan membaca post kawan-kawan. Jarang sangat dia melepaskan komen kecuali untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan sepejabat atau alumni universiti atau persekolahan.

‘Wei, kenapa tak balas mesej aku siang tadi?’ Mesej SMS Eza yang tinggal sekampung di belakang rumahnya dan bersaudara pula memenuhi ruang telefon bimbitnya.

‘Sibuk.’ Belum sempat Nayla meletakkan telefon itu ke sisi, nada mesej mengaum lagi.

‘Ma tak habis marah lagi,’ Adu Eza.

‘Biarlah.’ Pendek-pendek jawapan ditaipnya menandakan dia mulai bosan dengan soalan-soalan serta cerita yang sama dibawa Eza.

‘Kau ada telefon Pak Tam?’ soal Eza dalam mesej barunya. Nayla sekadar menaip ‘x’ bermaksud tiada. Sekejap saja masuk pula imej emoticon botak sedang menjelirkan lidah sambil ketawa. Nayla menaip perkataan ‘tak ada’ dan menghantarnya semula apabila merasakan Eza tidak mempercayai jawapannya tadi. ‘Pak Tam ada telefon kau?’ Eza meminda soalan.

‘Ada.’- Nayla.

‘Ha.. patut la ma marah. Jin kepala tujuh dia dah dapat bau.’ Balas Eza. Tersenyum Nayla membacanya.

‘Habis takkan aku tak nak jawab?’ -Nayla. Telefon bimbitnya tiba-tiba tidak disinggahi nada dering mesej lagi.

‘Kau rindu Pak Tam eh?’ Oi…nanti aku bayar baliklah.’ Mesej Eza menyusul selepas mesej pertama meminta Nayla menambah kredit pra-bayar ke dalam telefonnya.

‘Rindu jugaklah.’ – Nayla. Tersenyum dia ketika menaip mesej tersebut. Seakan-akan ada Eza di depannya yang memerhati kedua-dua belah pipi yang memanas, kemerah-merahan.

‘Apa kata. Kau ambil cuti kita pergi makan angin. Kita pergi Sabah.’ - Eza. Menggeleng-geleng Nayla membaca mesej cadangan itu walaupun hatinya girang dan lapang.

‘Siapa yang rindu kat Pak Tam ni.  Aku ke engkau?’ – Nayla. Pantas Nayla menekan lembut opsyen menghantar mesej itu.

‘Alah…menyelam sambil minum air. Macamlah aku tak tahu apa yang ada dalam hati perut kau tu.’ - Eza

‘Apa pulak aku? ‘Dah tua bangka takut kat Ma lagi.’ Ejek Eza apabila Nayla mengugut tentang keberadaan ibunya, Puan Mariam. Nayla tersenyum. Aksi pandir manusia masa kini bersama gajet, tersenyum, ketawa dan bercakap seorang diri.

‘Kalau kau berani sangat pergi cakap kat ma lah.’ - Eza.

‘Aku bukannya takut. Aku hormat. Okey lah. Ada orang telefon ni.’ - Nayla

Nayla tidak lagi membalas mesej Eza dan terus sahaja menjawab salam yang dilantunkan dari corong sebelah sana.

“Kenapa lambat angkat telefon?  Ni mesti sibuk layan mesej Eza.”  Suara Aizat kedengaran ceria di corong sana. Nayla menjawab kata-kata itu dengan ketawa pendek. “Rindu kat saya tak?” Aizat mengumpan dengan persoalan hati yang tidak pernah terjawab sejak dulu.

 ‘Tidak pernah seminit pun hati ini tidak merinduimu.’ Seakan mengalir air jernih di birai mata saat rasa mengungkap pernyataan itu.

“Adalah sikit.” Nayla menjawab sombong.

“Hari ni apa pula masalah awak? Apa yang tak balance? Siapa pelanggan yang kacau awak lagi. Bos awak meroyan lagi ke…saya nak dengar ni. Saya tak pernah penat nak mendengar.” Sinis ajuan bicara di Aizat di hujung sana sebelum ketawa kecil menyusul.

“Hari ni tak nak cerita pasal kerja.” Nayla menjawab sedikit manja.

“Awak tak nak tanya pasal kerja saya. Susah saya kat sini. Rindu macam nak mati kat awak. Nayla… saya rindukan senyuman awak. Kan seronok kalau kita tak payah habis belajar. Hari-hari saya boleh tengok muka awak.” Aizat membariskan kemungkinan yang tidak mungkin berlaku.

“Lepas tu, pinjaman PTPTN tak payah bayar. Pinjaman FAMA tak payah bayar. Suruh mak ayah pandang aje kita yang dah habis belajar ni?” tukas Nayla. Aizat ketawa kecil lagi. Sebak hati saat menyebut perkataan FAMA. ‘Mak dan abah saya tak pernah menyukai awak, Aizat. Apa yang terhubung di antara kita memekar di taman larangan.’ Rintih hati Nayla.

“Maaf, Zat.  Saya rasa ada panggilan masuk ni.  Nanti saya telefon awak semula.”


“Awak sembunyikan se…”  Aizat tidak sempat menghabiskan kata apabila talian telahpun diputuskan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung