Wednesday 4 September 2013

Redha Suami: Iktibar dari bumi Haramain


Teks      :  Monalita Mansor
Gambar :  Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.

Seandainya anda menganggap saya membuka keaiban sendiri dengan kisah ini, biarlah ia menjadi kifarah buat saya dan sempadan teladan buat anda semua.
kenangan terindah di Jabal Rahmah



Dan, saya ingin anda renungkan maksud Surah An-Nur ayat 26.

'Perempuan-perempuan yang keji untuk lelaki yang keji dan lelaki yang keji untuk perempuan yang keji.  sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik pula...

Semuanya tidak akan terbongkar jika tidak kerana insiden yang sama menimpa ibu saudara suami.

Kami pasangan biasa-biasa.  Bukan 'ahlil masajid' dan bukan juga sebaliknya (nauzubillah hi min zalik).  Dimurahkan rezeki untuk menyahut seruan mengerjakan umrah bersama dan tersingkap hijab hidayah di sana.

Ketika di Madinah, segalanya biasa-biasa sahaja.  Adakalanya saya ke masjid bersendiri dan ada kalanya bersama suami.  Cuma beberapa hari terakhir saya diminta menemankan ibu seorang rakan jemaah kerana beliau keuzuran.

Tiba hari menjejakkan kaki ke Mekah, saya pula keuzuran.  Hibanya hati tidak terpujukkan.  Berkecai impian untuk bertawaf saie dengan suami buat julung kalinya.  Walaupun mutawif memujuk bahawa ini ujian Allah dan redha dengan hikmahnya, hati manusia saya tetap menjerit 'kenapa?'

Ya, hikmahnya kami bak pengantin baru.  Sepulang suami dari Masjidil Haram saya sudah menunggu di dewan makan.  Makan berdua, ke mana sahaja berdua.  Di Jabal Nur (kononnya tempat melambai jodoh) tangan spontan terlambaikan dia!  dan romantisnya dia membalas pula.

Namun rayuan pada pemilik rumah tumpuan seluruh umat Muslim itu tak pernah pudar.  Sementelahan pula keadaan keuzuran saya itu agak aneh.  Di luar jadualnya dan datangnya dalam jarak jam yang agak panjang.
Saya mohon pada suami agar mendoakan saya di depan Kaabah.


Pagi itu, sesudah pasti bersih saya bersolat Subuh di hotel.  Usai solat, ia muncul kembali.  Berhamburan tangisan tidak terkatakan.  Akhirnya saya nekad.  Mandi wajib dan bersolat taubat dua rakaat. 
Doa saya, kalau ini kifarah atas dosa saya yang lalu, saya redha.  "Tapi aku mohon untuk bertawaf di Baitullah-Mu walaupun sekali."

Usai doa, bagaikan ada sesuatu menerobos keluar dari ruang rahim dan bergerak laju bagaikan gerakan angin.  Saya menunggu hingga waktu Zohor.  Alhamdulillah saya dapat menunaikan solat Jumaat di tangga Masjidil Haram.  Apabila saya ceritakan apa yang berlaku pada pagi itu, suami saya hanya tersenyum seraya mengucapkan alhamdulillah.

Kejadian yang hampir sama berlaku kepada mak cik kami tempohari bezanya dia pergi tanpa ditemani suaminya.

Apabila tiba hari menjejak bumi Mekah, dia keuzuran dalam usia menghampiri monopouse itu.  Sehingga hari kedua akhir, dia masih belum dapat melangsaikan walaupun sekali ibadat umrah.
Suami akhirnya membuka mulut.

"Mintak mak lang telefon pak lang di Malaysia.  Suruh mak lang minta maaf daripada pak lang sesungguh maaf."

"kenapa?"  tanya saya, bodoh.

"itu yang jadi pada awak dulu.  semasa di Madinah, saya tersinggung dengan awak."

Mengalir air mata saya.  Dia berterus-terang selepas setahun.

"saya buat apa?"

"awak lebihkan mak cik tu. Awak tinggalkan saya. Saya pergi masjid sorang-sorang,"

"hah? sayakan tolong mak cik.  Anak dia uzur,  diapun tak sihat.  Saya bukannya buat benda buruk,"  kata saya, tak percaya dengan apa yang saya dengar.

"ya...sebab tu lepas Subuh hari Jumaat tu saya buat solat dua rakaat.  Saya mohon Allah ampunkan saya dan ampunkan awak.  Tak sepatutnya saya rasa macam tu padahal awak isteri saya." akui dia.

Saya hanya mampu menangis.  Sungguh saya sangat percaya bahawa redha suami adalah syurga isteri.  Ya, dia mungkin tak sehebat junjungan kita Nabi Muhammad SAW.  Tetapi wajar kita mentaati dia setelah dia bersetuju menanggung semua dosa kita sebaik sahaja dia melafaz qabul.

wallah hu alam.

Catatan Selepas Menggoreng Sayur (19)

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung