Saturday 9 November 2013

Menulis Yang Baik-baik Sahaja

Teks  : Monalita Mansor
Gambar  : rakaman kamera Ayahanda Chik (rakan FB)

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Alhamdulillah, hari ini hari yang sangat mengujakan.  Semoga perjalanan saya berada dalam ruang lingkup raudah di Bengkel Penulisan Islami di Wangsa Melawati mendapat keberkatan.  Bengkel ini dianjurkan oleh Galeri Ilmu.  Pemudahcaranya ialah Tuan Khairy Tajuddin, penulis Budak U 1 dan 2, Tariq United, Budak Komik, Pemanah Handalan Bersenjatakan Doa dan Menghunus Pedang Kerana Allah.  Beliau juga turut terlibat menghasilkan e-book berkaitan penulisan novel Islami.  Manakala, seorang lagi penulis Web Sutera, yang memencakkan karya sejarah islam dengan karyanya Macedonia Alexander Agung, Hijab Raja Zulkarnain dan Konstantinopel, Kibaran Panji Al Fateh.  Panelis terakhir ialah editor Galeri Ilmu dan juga penulis Eee...Sayur, Amir Abdul Hamid.

Sesi bengkel dibahagikan kepada tiga bahagian dengan aspek-aspek teknikal dalam penukangan karya islami dibentangkan oleh Tuan Khairy Tajuddin.  Berturutan selepas itu ialah sesi bedah ilmu menyingkap rahsia dan kehendak-kehendak editor oleh Tuan Amir Abdul Hamid.

Selepas rehat, Tuan Web Sutera mengambil tempat dalam pembicaraan panjang lebar mengenai penghasilan novel sejarah.  Bengkel ini ternyata berbeza daripada bengkel-bengkel yang pernah saya hadiri.  Pengisiannya sangat berbeza.  Baik daripada segi pengisian, suasana dan penting sekali ilmu yang tercurah membuatkan saya tidak merasakan masa berlalu begitu pantas.

Alhamdulillah, bagi pencinta sejarah seperti saya, perkongsian Tuan Web Sutera ternyata sangat bermanfaat.  Ternyata kelebihan yang dikurniakan oleh Allah kepadanya dimanfaatkan sepenuh jiwa raga kerana terbukti dengan keterbukaan hati seorang hamba Allah untuk mendekati Islam.  Kisah benar ini dikongsi oleh sahabat beliau setelah menghadiahkan kepada hamba Allah tersebut novel bertajuk Konstantinopel, Kibaran Panji Al Fateh.

Ternyata ia sangat membakar semangat dan keinginan untuk menulis yang baik-baik sahaja sebagai bekalan di alam sana.  Ingatan Tuan Web Sutera, "kita mati sekejap aja, lepas tu dihidupkan semula untuk ditentukan hidup akhir sama ada ke syurga atau neraka."

Maka, secara moralnya, hidup di duniapun sekejap sahaja.  Adalah lebih baik melakukan sesuatu yang baik-baik agar kehidupan kekal kita di sana nanti terjamin dengan kebaikan kita.

Wallahualam.

Nota 3 Baris

 Teks :  Monalita Mansor
Gambar : Carian Google


Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

 Tips4biz
'Jangan mulakan bisnes dengan modal duit yang banyak apatah lagi pinjaman. Duit tidak menjamin kejayaan anda di dalam bisnes tetapi the right attitude, the right knowledge, the system/ strategies & the right action yang akan memudahkan perjalanan bisnes anda. mulakanlah di mana anda mampu mulakan'

Mari kita renungkan tiga baris nota daripada DAO ini.  Daripada kiriman ke dalam kotak e-mel dan ia amat relevan dengan kita, biar siapapun kita.  Saya tak mahu menghuraikan waima menulis panjang-panjang.  Hari ini hari berfikir tanpa tulisan yang panjang sedunia.

Sekian.



Duit Bolos

Teks  : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google


Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Ada banyak definisi bagi pengertian di atas.  Saya bawakan satu cerita.  Awal tahun ini, saya, suami dan omak menyertai satu gotong royong di tanah perkuburan yang turut menyemadikan almarhum Munira Zahra, anakanda saya.  Sebelum itu, suami telah mengeluarkan duit dan tunai tersebut disimpan di dalam beg pinggangnya.

Kebiasaannya, lelaki ini tidak pernah meninggalkan beg pinggangnya, apatah lagi diletak di bawah kerusi di dalam kereta.  Yang biasa berbuat begitu ialah saya dan segala kemungkinan dibebelkan di telinga sebagai ingatan tentang sikap saya itu.

Ketika kami sibuk merumput dan membersihkan kubur almarhum adik omak, anak saya memberitahu yang kereta kami sudah dipecah di tempat duduk penumpang depan dan beg pinggang suami telah dilarikan.  Menurut anak saya, dia percaya ia dilakukan oleh pemandu teksi kerana dia melihat sebuah teksi mampir dengan keadaan pemandunya agak mencurigakan.  

Segala dokumen lain turut hilang bersama tunai tersebut.  Waima tidak mencecah ribuan, ada pelbagai keperluan perlu dilunaskan dengan wang itu.  Seorang sahabat yang turut sama di dalam gotong royong itu memberitahu, ini antara gejala wang bolos.

Ia tidak lekat di tangan oleh sebab musabab yang tidak dijangka.  Sebagai contoh cerita di atas.  Atas juga senario lain yang menyebabkan wang bolos seperti berbelanja tanpa membawa senarai sehinggakan kita menjadi keliru di antara keperluan dengan kemahuan.  

Nafsu perlu dididik dan akal perlu dipandu dengan ingatan bahawa duit yang ada di dalam tangan anda sekarang hanya untuk membeli barang A sahaja dan jika tangan anda membelek dan memegang barang B, ingatkan diri cepat-cepat.  Ia boleh dibeli tetapi BUKAN SEKARANG.

Menyelenggara kewangan sebenarnya tidak sahaja berasaskan analisis semata-mata.  Bagi saya menguruskan kewangan memerlukan kekuatan hati dan iman untuk istiqamah ketika berbelanja dan sentiasa beringat dan mengingat Allah kerana segalanya di dalam kawalan-Nya belaka. 

Friday 8 November 2013

Bajet Akhirat dengan RM1.00 Dan Doa

Teks  : Monalita Mansor

Gambar : Carian Google

 

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.  

 

Hadis Riwayat Bukhari ke-47:


عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ مَنِ اتَّبَعَ جَنَازَةَ مُسْلِمٍ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا ، وَكَانَ مَعَهُ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا ، وَيَفْرُغَ مِنْ دَفْنِهَا ، فَإِنَّهُ يَرْجِعُ مِنَ الأَجْرِ بِقِيرَاطَيْنِ ، كُلُّ قِيرَاطٍ مِثْلُ أُحُدٍ ، وَمَنْ صَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ رَجَعَ قَبْلَ أَنْ تُدْفَنَ فَإِنَّهُ يَرْجِعُ بِقِيرَاطٍ

Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu bahwa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, "Barangsiapa melayat jenazah muslim karena iman dan ikhlas, ia menyertainya hingga shalat jenazah dan menyelenggarakan pemakamannya, maka dia membawa pahala dua qirath, satu qirath semisal bukit uhud. Dan barangsiapa ikut shalat jenazah kemudian pulang sebelum jenazah itu dimakamkan, maka ia membawa pulang pahala satu qirath.

 


Sengaja saya bawa tajuk ini usai melayat atau istilah Melayunya menziarahi atau melawat dan melakukan apa yang perlu sebagai sumbangan akhir seorang muslimin kepada muslimin yang lain.  Yang pergi merupakan ahli kariah dan sudah tentulah seluruh kejiranan menghulurkan simpati dengan menghadirkan diri untuk memberi penghormatan terakhir.

Solat jenazah disempurnakan sebaik sahaja selesai solat Zohor dan daripada sekian banyak ahli kejiranan wanita yang hadir, saf muslimat diisi tidak sampai sepuluh orang.  Hati menangis.  Sungguh, mereka sama-sama tumpang menangis saat ahli keluarga menyempurnakan acara penghormatan terakhir, tumpang menyeka air mata ketika sang ibu menahan sebak mengucup dahi anaknya yang kembali pada Tuhannya.  Malangnya simpati itu hanya itu.  Simpati itu tidak sampai kepada menyedekahkan doa dalam bentuk solat jenazah yang sebenarnya mengandung banyak makna tersirat dan memberikan situasi menang-menang buat arwah, keluarga dan diri kita yang mengangkat takbir tadi.

Lebih menyedihkan, ia menjadi acara berjimba-jimba, sesi suai mesra kerana lama tidak berjumpa.  Saya tidak menyatakan itu kurang manis.  Alhamdulillah, hikmah kematian antaranya merapatkan sillaturahhmi tetapi tidak perlu bergelak besar saat ahli keluarganya yang lain berduka.


Sebenarnya, acara ziarah antara tempat terbaik untuk kita menuai dan merancang kewangan untuk akhirat.  Tidak perlu banyak jika anda tidak punya banyak.  RM1.00 untuk dihulurkan pada keluarga si mati kemudian susuli dengan doa, jika mampu bantu pengurusan jenazahnya, solat pengebumian dan seterusnya uruskan juga majlis tahlil sebagai meringankan beban jiran, setidak-tidaknya.

Manalah tahu, dengan RM1.00 itu, musibah dijauhkan daripada kita dengan izin-Nya.  Seperti kata Prof. Muhaya Muhammad, sedekah menjauhkan musibah.  Bertindak sekarang mengisi pelan-pelan kewangan akhirat kerana kematian tidak hadir di dalam jemaah kita setiap hari.

Sekian.
 

Hijrah Ke Arah Kehidupan Kewangan Yang Mengujakan

Teks  : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Hijrah itu pengorbanan
Hijrah itu perjuangan

Laungan ini akan memantak-mantak telinga pada setiap 1 Muharram ataupun pada majlis penganugerahan Tokoh Maal Hijrah pada setiap tahun.  Selepas itu, beberapa hari, kita kembali menjadi diri kita.  Sentiasa tercekik dengan kedudukan kewangan, merasa cemas apabila ada orang meminta sedekah atau penjual, terpandangkan iklan sesuatu yang sangat kita perlukan tetapi keinginan terpaksa disekat.  

Apa kata, hari ini, kita mula mencatat kesemua perbelanjaan kita.  Daripada yang sekecil-kecil anak kita yang paling bongsu sehinggalah kepada sebesar-besar ayahandanya.  Maksudnya, catatkan setiap perbelanjaan dalam sebuah buku, kerana dengan adanya catatan, otak akan lebih mudah bekerja dengan bantuan analisis dan fakta.  

Cuba belek-belek telefon bimbit kita seketika.  Jika terdapat mesej masuk yang bukan-bukan dan mengenakan caj, batalkan servis tersebut.  Lebih baik lagi, jangan benarkan anak-anak bermain-main dengan telefon bimbit anda.  Inilah rungutan yang saya dengar ketika bersama kariah masjid menyiapkan hidangan makan malam untuk majlis ceramah perdana bersama Ustaz Halim Din semalam.  Jika ia masih lagi kedapatan, hubungi pihak penyedia talian seperti Maxis, Digi, Celcom dan sebagainya.  Adukan kepada mereka dan minta mereka selesaikan. 

Jika kenderaan anda merupakan teksi pelbagai guna ~ menghantar mengambil anak ke sekolah ke kelas tuisyen, ke perpustakaan, berlibur, balik kampung, melancong, mengangkut saudara-mara ada baiknya anda menukar kepada gas NGV sebagai alternatif mengekang pengaliran tunai yang tenat akibat kenaikan harga minyak. 

Libatkan anak-anak dalam majlis tahkim kewangan keluarga.  Terangkan kepada mereka tentang kedudukan kewangan dan minta mereka berjimat daripada segi penggunaan elektrik, air.

Ubah tabiat berbelanja mewah seperti melancong ke luar negara, makan malam di hotel mahal-mahal setiap bulan untuk meraikan apa sahaja sambutan istimewa di dalam keluarga, berhenti ke pasar malam pada SETIAP malam dan mulai memasak untuk anak-anak dan suami.

Jika anda suka membaca dan membeli buku ada baiknya dihadkan kepada bacaan yang benar-benar bermutu dan perlu.  Jika tidak, dapatkan maklumat kedai-kedai yang menjual buku terpakai atau menjadi ahli di perpustakaan untuk meminjam buku dengan mudah.  

Ada baiknya anda memulakan bisnes kecil-kecilan bertepatan dengan minat dan kehendak anda.  Tidak perlu bisnes besar-besaran, kertas kerja setebal kamus untuk mendapatkan pinjaman bank.  Cukup sekadar bisnes dari rumah yang hanya memerlukan modal yang minima.

Ajar anak-anak untuk menjaga alatulis mereka dengan baik.  Kadang-kadang, kos membeli alat tulis mereka dalam masa setahun pembelajaran melebihi perbelanjaan sebulan belanja dapur.  

Didik diri dan keluarga untuk berlapang dada untuk bersedekah.  Tidak perlu tunggu kaya untuk bersedekah.  Lakukan dengan lapang hati kerana ganjaran bersedekah selain pahala telah dijanjikan Allah.  Jika mampu dengan RM1, sedekahlah dengan nilai itu.  Jangan lupa, ajar juga anak-anak 'memberi sedekah' supaya ia menjadi tabiat dan mereka tidak takut untuk berinfak apabila dewasa kelak. 

Kesimpulannya, ada pelbagai pilihan untuk berjimat sesuai dengan kedudukan kewangan dan latar ekonomi kita.  Terpulang kepada diri kita sendiri sama ada untuk memulakan hijrah itu sekarang, atau menunggu setahun demi setahun lagi. 

Sekian.

Thursday 7 November 2013

Fasa Senja Dalam Keperluan Kewangan

Teks :  Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan salam serumahtangga.  Bismillah.


Kita bergerak ke fasa seterusnya setelah membincangkan dua fasa awal di dalam entri sebelum ini.

Fasa 3

Anda menghadapi masalah tahap kewangan kritikal tahap ke 3 jika masih gagal merancang kewangan sehingga ke saat ini.  Ketika umur begini, rumah masih disewa, tiada simpanan dan gaji cukup-cukup makan dan kadang-kadang tak cukuppun selepas ditolak semua piutang, maka bersedia untuk menyemak balik kedudukan kewangan anda. 

Pada tahap umur awal 40-an hingga 50-an, Pn. Rohani mengistilahkannya sebagai waktu senja atau Asar.  Keperluan kewangan sepatutnya sudah memokus kepada penjelasan hutang (akaun 2 KWSP dikeluarkan sewaktu berumur 50 tahun), penabungan untuk pencen, dunia dan akhirat, mengurangkan pembelian aset baru kerana tempoh berhutang yang membebankan dan memikirkan perbelanjaan untuk kesihatan diri.

Fasa 4 

Fasa ini adalah fasa akhir, secara umumnya di dalam kitaran hidup manusia.  Alhamdulillah, puji dan syukur harus dirafakkan kerana masih diberi peluang bernyawa sehingga ke awal 50-an.  Ketika ini, walaupun agak lewat (sebab itu entri ini ditulis untuk mengingatkan) perancangan pencen boleh dimulakan.  Di antara keperluan kewangan yang difikirkan ialah perancangan wasiat dan pengagihan harta, kesihatan, penjelasan hutang berkos tinggi (bimbang tidak sempat dilunasi sebelum kematian, nanti roh terdera, nauzubillah) memulakan hobi baru seperti bermotosikal berkuasa tinggi berkeliling negara, menyertai kelab yang bersesuaian juga pendidikan anak-anak, jika kita berkahwin lambat dan ada anak-anak yang masih belajar.  

Kelas Asas Blog dan Beriklan di Mudah.my sudahpun bermula dan sedang rancak menerima kemasukan pelajar baru.  Bagi anda yang merasakan anda memerlukan ilmu bantu untuk mengiklan ataupun ingin menambah pengetahuan, jemput sertai kami.  PM laju-laju nama di atas - Monalita Mansor.  SEKARANG.

Wednesday 6 November 2013

Fasa Kewangan di Dalam Kehidupan

Teks   :  Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Kehidupan, walaupun kita katakan sekadar mengikut arus, tetap memerlukan perancangan.  Begitu juga perancangan kewangan dalam melalui takah-takah kehidupan sama seperti kita melalui zaman kanak-kanak, bujang, bersuami/isteri, berkeluarga dan bercucu.  Setiap takah itu menyaksikan keperluan kewangan yang berbeza.

Terdapat empat fasa yang dikenalpasti memerlukan perancangan kewangan bersesuaian dengan keperluan kita ketika itu.

Fasa 1 - Awal 20-an hingga 30-an

Tahap permulaan bagi kebanyakan individu, menamatkan pengajian, membina taman-taman di dalam hati seterusnya di luar hati, memasuki dunia pekerjaan dan mula memikirkan untuk membeli kereta, rumah, membayar hutang pendidikan, dan dalam ertikata lain 'membalas jasa ibu bapa.'


Fasa 2 - Awal 30-an hingga awal 40-an

Sekiranya mengamalkan falsafah 'air yang menitis ke batu, lama-lama batu akan lekuk' pada peringkat ini status pekerjaan sudah dikira teguh.  Dengan kenaikan gaji dan bonus, keperluan kewangan berubah kepada penyusunan hutang (bagi yang berhutang kronik) pembelian kereta yang lebih selesa (sesuai dengan keluarga) yang semakin besar atau gaya hidup yang semakin mewah, pengubahsuaian rumah atau rumah baru, juga peruntukan untuk melancong/berhaji/umrah.

Dua fasa lagi akan dibincangkan pada entri yang akan datang.  Apa yang perlu ditekankan ialah keperluan kewangan yang berbeza-beza bersesuaian dengan perubahan masa dan taraf hidup kita.  Bagaimanapun, apabila dinamakan merancang, ada baiknya anda merancang semasa sebelum berkahwin atau masih belajar lagi, tetapi itulah yang gagal dilakukan oleh ramai orang. 

Jaringan blogger Wahm Soho kami sudah mencecah ke 200 orang.  Jika anda beriklan dengan saya, iklan anda boleh dilihat di blog 200 orang ahli Akademik Bekerja Dari Rumah dengan pakej yang berpatutan.

PM saya sekarang untuk beriklan.

Tuesday 5 November 2013

Kengerian Mendepani Muflis

Teks   :  Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Percaya atau tidak, kad kredit sebenarnya menyumbang kepada kemuflisan selain daripada hutang sewa beli kenderaan atau pinjaman peribadi.

Berikut saya disenaraikan tanda-tanda awal anda menghadapi masalah dengan kad kredit anda

  • Gagal melunaskan bayaran minimun
  • Gali lubang tutup lubang.  Pinjam daripada kad kredit A untuk bayar kad kredit B
  • Caj bayar lewat akan MUNCUL tiap-tiap bulan
  • Beli berus gigi sebatang pun pakai kad kredit! (Nota : berus gigi berjenama tau!)
  • Gagal menabung kerana dikelilingi hutang
  • 20 peratus gaji/pendapatan digunakan untuk bayar hutang

Suka atau tidak, kegagalan kita atau pasangan menguruskan hutang seperti ini akan memberi dampak kepada kedudukan kewangan keluarga.

Sekian.

Kelas Asas Blog dan beriklan di mudah.my sudahpun bersiaran.  Hubungi pasukan kami untuk maklumat lanjut. 

Monday 4 November 2013

Patuh Syariah Ketika Menulis

Teks  : Monalita Mansor
Gambar :Carian Blogger

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.


Seadanya dengan niat yang baik, kita ingin menulis sesuatu yang baik-baik sahaja.  Walaupun hati kadang-kadang membara dengan amarah, tetap juga kita lampiaskan dengan kata berlapik makna, tulisan bersilang maksud.  Begitulah indahnya bahasa kita dan budi kita.  


Begitupun kadang-kadang keghairahan untuk menulis atau menyiapkan tulisan kita kerana dikejar garis mati (?) membuatkan kita terlupakan beberapa perkara.  Sebagai penulis, walaupun tidak seglamor mana dan pada usia ini, saya sering mengingatkan diri agar menulis sesuatu yang patuh syariah.  Apabila berkaitan dengan sesuatu yang patuh syariah, antara lain mengsyaratkan penggunaan bahasa-bahasa yang molek dan muluk, tidak mempamer dua makna yang lucah, malahan menulis ayat yang berbaur kelucahan dan yang sewaktu dengannya pun saya tak fikir dibolehkan.

Namun, pagi tadi saya 'terkezut beruk' dengan sebaris perkataan yang merujuk kepada proses intimasi manusia digunakan di dalam ayat di dalam sebuah adegan pertarungan.  Aduhai, saya tidak tahu apa yang hendak saya lakukan, ketawa atau menangis?

Maka saya menyeru sahabat-sahabat blogger juga rakan penulis agar memastikan perkataan-perkataan yang digunakan memberi makna yang sesuai dengan maksud yang hendak kita sampaikan.  Janganlah kerana ini segera menyiapkan tugasan, maka segala pagar, dinding tatabahasa yang murni kita redah dan langgar sahaja.  Kelak, badan sendiri menanggung sakit.

Sekian.

Menjadi 'Mak Jaga' Kewangan Keluarga

Teks   : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

November berganjak, tanpa menoleh.  Awal Muharram menjanjikan tahun baru yang indah.  Kelas online akan meningkat setakah lagi dengan pembukaan kelas online penulisan fiksyen.  Tunggu hebahan kami di facebook ya.

Saya teruskan dengan menulis tentang kewangan keluarga.  Kali ini membariskan peranan yang boleh dimainkan oleh isteri atau bakal isteri dalam pengurusan kewangan keluarga.  Bagaimanapun, untuk menjawat jawatan 'mak jaga kewangan' ini, anda tidak perlu menggunakan kad pengenalan palsu atau apa-apa pengenalan palsu.  Yang diperlukan ialah istiqamah dan kecekalan hati untuk;

  • Ambil tahu pendapatan bulanan pasangan - saya pernah terbaca, suami memang pantang kalau hak peribadinya seperti dompet diceroboh.  Almarhum wan sayapun berkata begitu.  Berbincang sebaiknya dengan pasangan supaya mudah untuk kita merancang. 
  • Catat segala perbelanjaan keluarga - di sini aspek istiqamah serta disiplin amatlah diperlukan.
  • Menyediakan perancangan kewangan keluarga - tidak perlu menyediakan kertas kerja beserta tajuk dan objektif bagai, tetapi bermuzakarahlah dengan pasangan mungkin semasa berbaring-baring saat hampir melelapkan mata.
  • Usaha dengan sesungguhnya untuk mengurangkan belanja yang tidak perlu.  Jika tudung lip lap umpama glob disko terbaru di pasaran itu bukan keperluan, maka tidak perlulah dibeli.
  • Berusaha meningkatkan pendapatan keluarga.  Sebagai contoh, menyertai kelas Asas Blog untuk menjana pendapatan sampingan.
  • Penyediaan garis panduan perbelanjaan keluarga.  Sekali lagi, penyedia dan praktis harus istiqamah dan berdisplin.
  • Penguatkuasaan disiplin jika garis panduan tidak dipatuhi.
sekian.





sumber : Hjh Rohani Hj Mohd Shahir. 2009.  Ke Mana Wang Anda.  Selangor.  Galeri Ilmu Sdn Bhd


Sunday 3 November 2013

Bajet Rumahtangga : Ilmu Pengurusan Kewangan

Teks : Monalita Mansor
Gambar :

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Suri rumah, di dalam erti kata sebenarnya terbahagi kepada dua. Pertama suri rumah merangkap suri ramah, dialah tukang pergi pasar, tukang hantar dan ambil anak, tukang bayar bil, tukang masak, tukang kemas rumah, tukang jaga duit, tukang jemur kain sambil berborak hal-hal dunia akhirat dengan jiran-jiran dan pelbagai tukang lagi.

Segolongan suri rumah lagi ialah suri rumah yang betul-betul menyerikan rumah.  Dia hanya menjadi tukang masak dan tukang jaga anak.  Selain daripada itu, dia memang tidak tahu.  Bukan sesuatu yang menghairankan untuk suri penyeri ini apabila berlaku sesuatu kepada suami, mereka akan hilang punca.

Hajah Rohani Mohd Shahir menukilkan bahawa ilmu pengurusan kewangan sangatlah perlu bagi kedua-dua suri rumah ini, tidak terkecuali untuk suri berkerjaya.  Kemahiran ini lebih kepada kemahiran dalaman iaitu;
  • membentuk kesedaran diri
  • menangani stres
  • menyelesaikan masalah
  • hubungan yang baik
  • pengurusan konflik
Jika dilihat kepada kriteria-kriteria di atas, ilmu pengurusan kewangan sebenarnya dimulai dengan kekuatan mental yang jitu dan matlamat yang jelas.  Kesemuanya itu tidak boleh diperolehi di dalam masa sehari.  Selain daripada mendapatkan maklumat daripada badan-badan penasihat kewangan milik kerajaan, maklumat juga boleh anda dapati daripada blog-blog sebegini.

Untuk menjadi 'pemberi maklumat' bermanfaat yang diharapkan menjadi pencen kubur, anda boleh menyertai Kelas Asas Blog dan Penulisan.  Kelas berjalan secara fleksibel, tiada kekangan masa.  Guru-guru online sentiasa online 24/7 sehari.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung