Saturday 7 September 2013

Jaga Akaun Anda

Teks   :  Monalita Mansor


www.humansrightparty.com
Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga

Ingin saya kongsikan pengalaman menarik sepanjang menjadi petugas badan kewangan selama hampir 17 tahun.  Bagi saya ia pengalaman yang mendebarkan tetapi penghujungnya begitu menyeronokkan.

Sekitar 2010 saya kira,terdapat satu sindiket mendapatkan wang mudah menggunakan modus operandi membuat panggilan palsu.  Kebanyakan mangsa berbangsa Cina kerana sindiket itu didalangi oleh pakar-pakar penipu daripada sebelah Taiwan, Macau dan Tanah Besar China sendiri.


Mereka akan membuat panggilan secara rawak kepada mangsa mengatakan anak mangsa telah diculik.  Serentak dengan itu juga, mangsa akan diberi 'peluang' mendengar suara rintihan / rayuan kanak-kanak yang kononnya anak mangsa.  Kemudian, mereka akan meminta wang tebusan yang mesti didepositkan ke dalam akaun penculik.

Bagi mangsa yang panik, mereka akan segera menurut perintah.  Mangsa akan diarahkan memasukkan wang ke dalam akaun pihak ketiga.  Di sini pulalah saya yang tidak kena mengena di dalam 'ini cerita' menjadi heroin pula!

Pada hari yang malang itu, saya bertugas di kaunter.  Bagi sesetengah bank, petugas kaunter terdiri daripada eksekutif dan kerani.  Kesemuanya diberikan peluang untuk bertugas sebagai frontliners.  Saya didatangi sepasang pelanggan.  Yang perempuan berurusan di kaunter, yang lelaki pula hanya menunggu di lobi.

Bagaimanapun, gerak geri lelaki itu sangat mencurigakan.  Kegelisahan, sekejap-sekejap menjawab panggilan telefon, mundar-mandir.  Tambahan pula, setelah disemak, akaun wanita tersebut mencatatkan transaksi yang luar biasa.  (kami telah dilatih untuk mengenal jenis-jenis transaksi).  Bagaimanapun, saya tidak  boleh menghalang pelanggan mengeluarkan wang mereka!  menyalahi hak mereka pula.

Oleh kerana pengeluaran ini melibatkan jumlah yang besar, saya berusaha untuk memeriksa akaun tersebut dengan lebih lanjut.  Kad pengenalan wanita tersebut saya fotostat, yang sepatutnya tidak perlu saya lakukan.  Saya lambatkan lagi transaksinya dengan mendapatkan tanda tangan seorang lagi eksekutif kanan supaya kelibat kedua-dua mereka dapat dirakam oleh CCTV dengan lebih lama.

dan saya masih ingat kata-kata saya kepada rakan sejawat tersebut, "this is suspicious transaction.  Tak tahu kenapa. Tapi hati aku tak sedap.  Sebab tu aku delaykan transaction dia ni..."

Telahan saya ternyata benar apabila beberapa bulan kemudian pihak polis telah mendapat laporan mengenai penggunaan akaun pihak ketiga dan keterangan saya juga diambil sebanyak dua kali.  Selepas itu, saya diberikan sapina agar hadir sebagai saksi di Mahkamah Kuching, Sarawak.

Jenayah memang tidak mengenal tempat!  Maka terbanglah saya sebanyak tiga kali semata-mata menghadiri perbicaraan tersebut.  Pasangan tersebut didakwa atas kesalahan melakukan jenayah komersial dan saya sendiri tidak tahu nasib mereka.

Moralnya,  Jika anda diminta untuk membuka akaun tanpa alasan yang kukuh dan dibayar dengan sejumlah wang, tolong katakan tidak!  Tiada yang percuma di dalam dunia ini.  Jangan terlalu mudah percayakan orang lain semata-mata mengharapkan imbalan yang belum tentu berbaloi dengan nasib anda.

Juga, selalu periksa akaun anda atau kemaskini buku akaun anda.  Manalah tahu, di suatu hari yang malang, tiba-tiba sahaja anda dituduh melakukan sesuatu yang tidak anda lakukan. 




No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung