Wednesday 5 March 2014

Branding Yourself Strategies oleh Nisa Nua

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Nisa Nua

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Kadang-kadang, kita terdorong untuk buruk sangka dengan Allah, dengan makhluknya baik yang berakal ataupun tidak hanya kerana apa yang kita hajati tidak tercapai, pada waktu itu. Saya ulangi, pada waktu itu sahaja. Pernahkah kita terfikir, mungkin apa yang kita hajati tidak dipenuhi kerana ada yang masih perlu kita lakukan, atau kita belum berjodoh atau serasi dengan apa yang kita lakukan.

Nisa Nua, seorang suri rumah dari Akademi bekerja di Rumah, buat julung kalinya membawakan sebuah bengkel 'offline' sepenuhnya untuk membantu anda, memberi inspirasi, berkongsi motivasi dan teknik-teknik mudah buat para suri rumah berbisnes online.

Jika anda berminat, sila PM Monalita Mansor di facebook atau komen mahupun emel ke monalitamansor@gmail.com untuk menempah tempat duduk anda. Tempat terhad.

Memperuntukkan Masa untuk Menulis

Teks : Monalita Mansor (5)
Gambar : Carian Google dan Puan Rohani Deraman

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Saya teruskan kepada tips untuk suri rumah tangga yang mahu menjadi penulis sepenuh masa yang kaya dan berjaya. Apa yang perlu dilakukan ialah memperuntukkan masa untuk menulis. 

Sebagaimana insan lain, insan bergelar suri rumah ataupun penulis diperuntukkan oleh Pencipta kita 24 jam sehari. Walau insan itu kaya raya, duit berkepuk, isteri jelita, suami tampan, anak umpama keretapi, dia tetap hanya diberi oleh Allah 24 jam. Tidak lebih dan tidak kurang. Itu adalah anugerah tidak ternilai buat manusia yang mahu memikir dan bersyukur. 

Rohani Deraman seorang isteri, ibu dan nenek yang turut mengasuh cucu. Namun pada tahun lepas, beberapa novel daripada beliau terluncur dengan megah di antaranya Atas Lantai Takdir dan Lukanya Merah. Itu tidak termasuk novel-novel lain yang pernah beliau hasilkan seperti Jihad Mardiana, Jogho Yang Tewas dan banyak lagi.

Beliau menggunakan teknik 'mengambil kesempatan di atas kesempatan' - pada waktu pagi, sebaik sahaja jadual pagi bermula dan semua orang keluar bekerja, dia akan memulakan tugasannya. Menulis sehinggalah kedengaran suara cucunya mencari neneknya. Beliau akan berhenti seketika, menyediakan sarapan dan menulis semula ketika cucunya sedang 'leka'. Dalam masa yang sama beliau akan 'menyambil' menulis ketika memasak dan melayan cucu.
Waktu petang adalah waktu santai yang akan dihabiskan bersama cucu dan keluarga. Manakala pada sebelah malam kebiasaannya beliau akan tidur dahulu berikutan faktor usia, katanya. Beliau akan bangun semula pada jam 1 pagi, usai Isyak dan solat malam, beliau akan menulis sehingga ke subuh. Begitulah rutin seorang Rohani Deraman. Mahu mencuba?

Manakala bagi Nisah Hj Haron, seorang penulis, penterjemah, pembimbing bengkel, dan nama besar di dalam bidang penulisan Malaysia memberikan petua kepada penulis agar menulis secara konsisten tetapi tidak mengambil masa yang lama. Sekadar peruntukan sejam tetapi sejam itu merupakan masa yang berkualiti. 

Jadikan masa menulis itu masa indah dan anda bahagia melakukannya. Anda melompat masuk ke alam sebelah sana dan anda bergaul dengan watak-watak anda sebaik mungkin kerana masa yang anda ada sangat terhad. 

Bagi diri saya sendiri, saya membahagikan blok masa kepada 4 bahagian. Pagi adalah waktu yang paling nyaman untuk menumpahkan idea ke dalam bentuk naskhah, maka waktu pagi digunakan untuk menulis blog atau cerpen atau novel. Bertolak kepada blog yang kedua, saya sudah memasuki fasa sedikit santai kerana pada masa yang sama perlu memberi fokus kepada periuk dan belanga. 

Petang dan malam, saya juga melakukan seperti Puan Rohani, menyambil dan mencari masa yang sesuai untuk menulis. Bagaimana dengan anda? Jangan terikat dengan stail orang lain, menulis dengan perasaan selesa dan gembira. 

Pesan saya, tulis yang baik-baik sahaja.

Kelas Asas Blog memperkenalkan satu lagi pakej baru iaitu Upah Buat Blog. Yuran dikenakan sebanyak RM200 dan anda tahu blog anda siap sahaja. Siapa yang teringin dan bersedia, jemput PM saya di facebook.

Tuesday 4 March 2014

Terus Melangkah Sebagai Suri Rumah Bergelar Penulis

Teks : Monalita Mansor (4)
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Getaran Jiwa,
melanda hatiku,
tersusun nada
irama dan lagu
walau hanya sederhana
tetapi tak mengapa

lagu ini menjadi malar segar sehingga kini. Apakah sebabnya? Sebab P. Ramleekah? sebab melodikah? sebab liriknya kah? pada huruf 'ha'nya kah, atau huruf 'ba'nya kah?....err...abaikan dua soalan terakhir tu.

Perkara ke-3 untuk para suri rumah fikirkan apabila mulai meletakkan sepasang tangan berkematu itu di papan kekunci, ialah kemahuan untuk meneroka dan mengambil tahu sekitar. Kata kunci 'kemahuan' itu didasarkan daripada perkataan 'mahu'.

Petuanya ialah sentiasa rasakan diri anda seorang pelancong asing yang pertama kali datang ke Malaysia. Jadikan setiap apa yang ada di dalam pandangan anda sesuatu yang mengujakan. Cakna dengan subjek tersebut setelitinya.

Contohnya; anda melihat bunga kertas. Bunga yang sudah sangat biasa dengan kita. Tapi, anda seorang penulis harus memandang bunga kertas sebagai bougenvilla. Anda harus memandang ia sebagai bunga yang mempunyai pelbagai spesis, harus ambil tahu bagaimana hendak menanamnya, berapa lama jangka hayatnya, apakah bunga lain yang termasuk dalam keluarga bunga kertas. Anda harus tahu sekecil-kecil perkara mengenai bunga tersebut kerana tugas anda, menyampaikan pula maklumat tersebut kepada pembaca.

Daripada segi bahasa penulisnya, sentiasa kreatif dalam menggarap cerita dari sudut pandangan yang berbeza.

Tak ada masa nak buat blog? hubungi saya tanpa lengah. Ada pakej menarik untuk anda.

Monday 3 March 2014

Istana dan Kabus Rindu

      Penulis terbaca kisah DYMM Raja Permaisuri Agong sekarang yang digelar permaisuri oleh bondanya pada zaman mudanya dan ternyata, gelaran itu berupa doa yang dimakbulkan Allah buat baginda.  Sementara penulis sendiri berdoa untuk berbesan dengan sebuah keluarga di-raja yang tampan-tampan puteranya.  Penulis dan anak-anak gadis penulis pula mempunyai 1001 kisah tipikal yang membabitkan  pelbagai isu antara ibu dan anak.

 KABUS RINDU mengupas kisah persahabatan dan kasih sayang antara ibu dan anak serta isu dibawa diberikan solusi sebagaimana peranan sebuah keluarga itu sebagai ‘support system’ untuk remaja.  Untuk menghasilkan karya yang tajuk asalnya ada kena mengena dengan perkataan besan dan ratu, penulis terpaksa duduk bermusyawarah dengan anak-anak untuk mendapatkan informasi mengenai Kpop.

Selain itu, terpaksa juga membaca Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Sejarah Melayu dan beberapa hikayat yang lain untuk mengolah bahasa klasik juga untuk elemen interteks dalam novel ini.  Juga, penulis membaca dan mengkaji Surah Yusuf untuk menghasilkan ‘Syair Teladan Yusuf Nan Tampan’ yang terdapat dalam Kabus Rindu.  

Penulis juga melakukan temubual dengan beberapa responden untuk beberapa latar selain lawatan secara langsung seperti Masjid Kuala Dulang dan Muzium Adat tidak terkecuali carian internet.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung