Saturday 23 November 2013

Bengkel Asas Penulisan dan Belasah Karya - 23 Nov 2013

Teks :  Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum.  Salam Karya.  Bismillah.

Alhamdulillah.  Tabarakallah.

Sekitar 4.30 petang, selesai sudah Bengkel Asas Penulisan dan Belasah Karya yang dianjurkan oleh Grup Mari Menulis dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Cawangan Pekan Sri Manja.
Grup Mari Menulis adalah grup online yang menggunakan pendekatan 'membelasah' karya ahli-ahli yang ditampal di grup tersebut.

Grup Mari Menulis atau akronimnya GMM diterajui oleh AD Rahman, seorang penulis berpengkalan di Singapura.  'Admin' lainnya terdiri daripada penulis berpengalaman walaupun kelihatannya karya mereka agak jarang kelihatan di arus perdana tetapi ilmu dimiliki tetap memberi manfaat kepada sesiapa yang mengingininya.  Mereka ialah Aiza Zizan a.k.a Hazama Harun, Ayahanda Chik a.k.a AC Jaffry, Aimee Nour, Nurharyati Ishak, Nurhayyu Fitrah.

Penceramah jemputan ialah Novelis Haiza Najwa, penulis di Alaf 21, penuh pengalaman, cantik, ceria, kuat semangat dan sesi bersamanya berlangsung sangat santai.  Penceramah kedua ialah Puan Kalthom Abu Bakar, tuan punya syarikat penerbitan Karystos Creative Sdn Bhd.  Bagi saya, beliau seorang yang teguh pendirian dan cekal dalam usahanya untuk memartabatkan bahasa Melayu demi kesinambungan generasi bermaruah.  Saya tak akan lupakan saat melihat dia mengesat air mata, sebak membicarakan nasib bahasa dan bangsa Melayu sendiri.

Selepas makan tengah hari, sementara menantikan kedatangan penceramah ketiga, penulis veteran Tuan Yahaya Ismail, saya memulakan sesi 'Belasah Karya' dengan mengenengahkan kesalahan-kesalahan yang biasa dilakukan di dalam berkarya, terutama kesalahan tatabahasa.

'Belasah' yang menjadi jenama GMM memanglah bunyinya agak ganas dan mafia.  Tetapi sebenarnya perkataan belasah itu sendiri adalah gabungan perkataan 'belajar' dan 'asah'.  Bukanlah bermakna, 'admin-admin' GMM itu setara samseng!  Semuanya baik hati dan lemah lembut belaka.

Tuan Yahaya Ismail meneruskan sesi dengan suntikan motivasi dan penghijrahan minda penulis dengan ilmu-ilmu yang diturunkan seperti penggunaan bahasa, teknik, jalan cerita yang berisi dan sebagainya.  Majlis disambung semula dengan sesi 'belasah karya' sebelum diakhiri dengan penyampaian sijil oleh Tuan Yahaya Ismail.

Secara peribadi, saya amat berpuas hati, dan memandang segala kekurangan sebagai pelajaran yang paling berguna terutama buat admin penyelaras seperti saya, Aiza dan AC serta Puan Norhanizah Ismail yang sangat membantu.  Inilah antara cita-cita saya.  Menganjurkan sebuah bengkel penulisan bersama sahabat-sahabat sealiran, menitipkan ilmu yang sedikit, dipinjamkan Allah dan mengharapkan ia menjadi bekalan perjalanan jauh saya di alam sana nanti.  InsyaAllah.

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada sahabat saya,

  1. Sdr Uthaya Sankar SB yang datang memberi sokongan dan menyumbangkan 20 buah antologi cerpen bertajuk Kathakali.  
  2. Sdri. Aiza Zizan dan Ayahanda Chik, selaku AJK Penyelaras Admin GMM
  3. Sdr. AD Rahman, Sdri. Aimee Nour, Sdri. Nurharyati Ishak, Sdri. Nurhayyu Fitrah, Sdri. Asmah Hashim selaku Admin Belasah Karya
  4. Tuan rumah, pegawai PPAS dan penyelianya, Puan Norhanizah Ismail
  5. Penceramah jemputan, Cik Puan Novelis Haiza Najwa, Cik Puan Kalthom Abu Bakar dan Tuan Yahaya Ismail.
  6. Terima kasih sepelaung Bima Sakti untuk semua peserta, Nor Aziah Zainal, Siti Khatijah Aisyah Yatim, Norazlina Abd Karim, Nadiah Kamaruddin, Rafidah Othman, Mas Raden, Nur Sabrina Nasaruddin, Mohd Nadzif Mohamad Shukeri, Salmah Ahmad,  Norfadzila bt Mahaudin, Saniah Mat Sanat, Zaileha Malek dan Syafeza Sauli yang datang dari Pasir Puteh, Kelantan.

Sudah tentunya Alhamdulillah, setinggi kesyukuran atas izin-Nya menghendaki semuanya berlaku.  Selepas ini, tumpuan saya beralih pula ke Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif.  Sesiapa yang ingin meranduk setitis ilmu milik Allah ini melalui hambanya yang kerdil ini, jemputlah menghubungi saya di FB.



Friday 22 November 2013

Alternatif Tanpa Kompromi

Teks  : Monalita Mansor
Gambar : Daripada Kamera Telefon Bimbit Sendiri

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Tinggal di rumah bertingkat lima dan berada dalam keadaan terkepung, tidak memberi banyak pilihan kepada saya.  Cuaca tidak menentu,  kadang hujan sebelah pagi, kadang hujan sebelah petang.  Tambahan matahari seakan menyorok di sebalik bumbung tingkat lima yang melambatkan lagi proses pengeringan kain yang dijemur di luar rumah.

Pagi ini, saya bersama anak-anak terpaksa juga mengangkut dua bakul kain untuk dikeringkan di kedai dobi layan diri berhampiran rumah.  Jika diikutkan, tidaklah menguntungkan sangat, tetapi untuk khalayak berumah merpati seperti kami, ini sahajalah pilihan terbaik kami ada. 

Kedai ini menyediakan khidmat cucian dan pengeringan layan diri.
Ingatkah anda kisah Mr. Bean terminum sabun di sebuah kedai dobi, begitu juga konsep kedai dobi ini.  Bagaimanapun, pada sebelah siang sehingga jam 5 atau 6, ada operator yang bertugas kerana ia juga merangkap kedai dobi tradisional. 

Bagi orang bujang, mungkin kedai dobi ini lebih praktikal.  Sewaktu mesin basuh rosak dahulu, di sinilah rumah kedua kami, dua hari sekali.  Tetapi, kain yang dikeringkan memang hangat, dilipat elok-elok, kehangatannya akan bertahan beberapa jam. 

Untuk anda yang menghadapi masalah menjemur kain, lebih-lebih lagi pada musim hujan begini, tambahan pula banyak baju kecil anak-anak yang sedang lasak, mungkin boleh mencuba alternatif ini.  Sediakan syiling 50 sen banyak-banyak. 

Thursday 21 November 2013

Dah Biasa Sangat!

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Semalam, membawa anak-anak menonton teater 'Danial dan Bawang Hitam' di Auditorium DBP.  Berjumpa pula dengan sahabat lama, Jie Khalid yang juga membawa anak-anak menonton.  Rupa-rupanya dia sudah menjadi suri rumah lebih 4 bulan.  Semuanya kerana ingin memberi perhatian kepada anakanda ketiganya yang didiagnosis menghadapi komplikasi buah pinggang bocor.  Semoga Allah memberi kekuatan kepada Jie dan suaminya Khalid (kedua-duanya rakan sekolah saya).

Saya dengan encik suami, bukan pasangan bahagia kalau tak bikin drama dalam kereta.


Saya sudah nyatakan awal-awal, DBP.  DBP.
"Tempat hari tu ke?"  tanyanya
"Ha'ah."  kata saya.

Lalu kereta meluncur laju membelah trafik dan terus menghala ke Jalan Tun Razak.  Dalam hati tertanya-tanya.  Bila pulak DBP pindah ke Jalan Tun Razak.  Saya bertanyakan encik suami hala tujunya.

"Tempat hari tu."  jawabnya selamba.
"I cakap DBP, bukannya PNM."
"You cakap tempat hari tu?"  'tempat hari tu' ialah Perpustakaan Negara Malaysia, di mana program Jualan Buku@ But Kereta dijalankan. 

*Minta maaf, "I" "you" sahaja bahasa kami bermanja-manja.  Sudah terbiasa. 

Disebabkan sudah terbabas, pemanduan dihalakan terus ke Cheras.  Betul ke Cheras? Entah, sebab tahu-tahu kami sudah berada di dalam terowong Smart.

"Ya, acara kita pada hari ini, melawat Smart Tunnel."  Kata en. suami. 
"Oh, inilah terowong yang keluar dalam dokumentari kat NatGeo tu yek..." kata Umar pula.  Inilah kali pertama kami melalui terowong ini dan merasa sangat teruja. 

Tapi, sebahagian pagi kami dihabiskan bersiar-siar di dalam kereta, amalan menghabiskan minyak selepas berdrama kerana tersilap lokasi atau sesat.  Dah biasa sangat!


Wednesday 20 November 2013

Ceritera Mak Cik Vadivelli a.k.a. Aci

Teks dan Gambar   : Monalita Mansor

Aci dengan 'senjatanya'
Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Susuk wanita yang terpapar di gambar ini adalah tukang cuci di tempat saya bekerja dahulu.  Orangnya kecil molek dan pengidap asma kronik yang terpaksa bekerja menyara suami OKU dan anak yang masih belajar di kolej.  Dia sudah bekerja di tempat kerja lama saya itu semenjak 1995 iaitu semenjak cawangan tersebut dibuka.

Apa yang menariknya wanita yang saya panggil 'Aci' ini?  Beliau datang daripada keluarga besar yang mendiami kawasan estet Castlefield yang kini menjadi tapak kawasan perindustrian di Puchong.  Pendidikan tidak menjadi penting buat dirinya kerana dia anak perempuan.  Maka dia diberhentikan sekolah untuk menjaga adik-adik.  

Bagaimana Aci belajar?  Oleh kerana keterbatasan pemikiran keluarga yang membezakan taraf pendidikan anak lelaki dan perempuan, Aci belajar sendiri.  Susah-payah dan akhirnya dapat juga dia belajar membaca di dalam bahasa Tamil. 

Aci adalah pekerja yang dedikasi.  Dia akan tercongok di muka pintu bank setengah jam atau sejam lebih awal daripada orang lain.  Sebaik sahaja bank dibuka, dia akan sibuk dengan baldi, penyapu, mop dan bulu ayamnya, menyiapkan tugas.  Tiada istilah duduk bersarapan terlebih dahulu, walaupun kadang-kadang kami paksa juga dia bersarapan dengan kami.

Seawal jam 12, tugasnya sudah habis.  Sepatutnya dia boleh pulang tetapi oleh kerana waktu kerjanya tamat 3.30 petang, dia hanya akan pulang pada 3.30 petang.  Curi tulang atau curi barang, jauh sekali.  Walhal secara peribadi, saya mengenali Aci yang termasuk di dalam kategori kurang mampu.  Dia boleh mengambil segala-mala keperluan dapur bank yang berlebih-lebihan itu untuk dibawa balik.  Tetapi, tidak pernah, saya tulis semula TIDAK PERNAH sekali dia berbuat begitu.

Bila saya tanyakan kenapa, dia mengungkapkan konsep ketuhanan yang sangat kental di dalam jiwanya.  Perkara buruk yang dibuat, akan dibalas dengan keburukan di sana nanti.  Tuhan sangat adil.  Kesusahan itu ujian, selagi termampu, kita harus menghadapi, suka atau tidak.

Semangat inilah yang kadang-kadang saya pinjam, ketika duduk-duduk makan tengah hari.  Bertukar-tukar cerita dengan Aci yang menikmati bekalnya yang kadang-kadang cuma kuah kari sahaja bercampur nasi.  Ada masanya, kecekalan Aci betul-betul menampar perasaan saya yang kadang-kadang mengeluh mengenai bebanan kerja padanya, ketika itu.

Saya suka mengungkap kisah manusia yang pada mata kasar kita hanya biasa-biasa dan 'tiada apa'.  Saya ingin mereka mendapat hak penghormatan sepatutnya kerana mereka juga manusia.  Berhak untuk menerima hormat sebagai manusia, walaupun kerjayanya hanyalah tukang cuci.  

*****************************************************************************

Kelas Asas Blog kini sudah meningkat kepada 4 kelas iaitu;
1. Kelas Asas Blog dan Penulisan
2. Kelas Asas Blog dan Fanpage Bisnes
3. Kelas Asas Blog dan Beriklan - Mudah.my
4. Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif.

Pakej yuran yang berpatutan disediakan.  Kelas 24 jam sehari, tiada had masa, tiada had ruang.  PM Monalita Mansor atau Saniah Mat Sanat di FB.  Atau terus emel : monalitamansor@gmail.com

Menukar Pakaian Seragam

Teks  : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Ada seorang sahabat Facebook saya yang sinonim dengan perkataan uniform atau pakaian seragam ini.  Beliau adalah suri rumah tangga merangkap penulis yang sedang meningkat naik bernama Zaileha Malek.  Entah mengapa, kalau bersembang di laman Facebook dengannya, saya suka bercakap soal 'pakaian seragam' suri rumah dengannya.  Juga, senjata utama yang sering disebutnya senduk dan sudip.  

Bagi anda yang masih berkerjaya dan bercita-cita untuk menukar pakaian seragam sekerat suri rumah, sekerat peniagawati secara maya, ada beberapa tips yang ingin saya kongsikan.  Semoga niat suci murni kita membantu suami menambahbaik keadaan kewangan keluarga dipermudahkan. 


  • Profesional - setelah mengenalpasti hobi dan kesukaan, semestinya kepakaran perlu digilap.  Kepakaran bermakna kita harus mengenalpasti tetek bengek hobi atau kesukaan yang bakal ditransformasi menjadi bisnes nanti.  Untuk meningkatkan upaya profesionalisme ini, bertanyalah kepada mereka yang lebih berpengalaman dan jika mampu ikuti kursus-kursus yang berkenaan seperti kursus Asas Blog anjuran Akademi Bekerja dari Rumah.   Profesional penting kerana kita berurusan dengan orang luar yang dipanggil pelanggan dan mempunyai pelbagai kehendak dan perlu ditangani sebaik mungkin.
  • Kaji selidik - Mazlie Nadzrie dalam e-booknya bertajuk 5 langkah Asas Memulakan perniagaan Internet menitikberatkan keutamaan melakukan kaji selidik pasaran. Dikatakan memahami kehendak pelanggan akan membantu bisnes kita menjurus kepada keperluan utama pelanggan.  Dapatkan pandangan kawan-kawan yang kita percayai dan buat beberapa tinjauan dengan aktiviti susur internet (sekiranya anda ingin memulakan bisnes online)
  • Bergabung dalam satu kumpulan - Rupa-rupanya, aura di dalam jemaah sebenarnya banyak membantu meningkatkan rasa yakin di dalam diri.  Maka tidak hairanlah Allah amat suka umatnya melakukan sesuatu berjemaah.  Sebagai contoh solat berjemaah dan sebagai ganjarannya dikurnia pahala sebanyak 27 ganjaran berbanding solat sendirian.  Berada di dalam kumpulan yang sama memberi peluang untuk kita berdiskusi dan meminta khidmat nasihat di samping bantu-membantu di antara satu sama lain.
  • Promosi - Ia adalah usaha untuk memperkenalkan produk kepada khalayak sekaligus meningkatkan keyakinan pengguna untuk membeli produk kita.  Mulakan dengan teman-teman dan ahli keluarga terdekat.  Jika berkemampuan, boleh juga menggunakan kaedah iklan seperti mudah.my.  Pasukan Akademi Bekerja dari Rumah juga menawarkan kelas Asas Blog dan Beriklan di Mudah.my
Sebagai kesimpulannya, untuk menukar pakaian seragam daripada wanita berkerjaya kepada WaHM, kita tetap memerlukan perancangan teliti dan juga memerlukan sokongan dan dukungan daripada kumpulan yang bersesuaian. 

Wallah hu Alam

Sumber;
Mazlie Nadzrie.ebook 5 Langkah Asas Memulakan Perniagaan Internet.  MazlieNadzrie.com
Muhammad Abu Syauqi Banna. 2012.  Wanita Juga Boleh Berbisnes. Kemilau Publika.  Selangor

Monday 18 November 2013

Fenomena Salam Kaut

Teks  : Monalita Mansor

Gambar: Carian Google


Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Ketika entri ini tersiar, cuti sekolah sudah bermula.  Musim kahwin juga bermula.  Maka, bersiap-siaplah kita mengenepikan sebahagian bajet untuk diletakkan di dalam sampul duit raya untuk sesi 'salam kaut'.  Seingat saya 'salam kaut' ini sudah bermula ketika era 80-an lagi.  Namun ketika itu kecenderungan memberi hadiah kepada pasangan pengantin lebih ketara daripada memberi wang kepada ibu bapa pengantin.  Kebiasaannya pemberi adalah jiran-jiran sekampung, manakala saudara mara akan mencurahkan segenap tenaga membantu ketika rewang sehinggalah majlis berlangsung.  

Begitupun, pada era millenium ini, salam kaut menjadi kemestian, malah menjadi kadang-kadang menjadi satu kekangan buat mereka yang tidak 'berwang' untuk menghadiri majlis walimatul urus sebegini.

"Ada sekali tu, akak buat kenduri kahwin, orang beri sampul kosong aje."

"Akak bukan nak cakap apalah, dik.  Kalau nak beri, setakat sepuluh ringgit, terima kasih ajelah!"

"Nak kena bajet berapa nak bagi ni...kalau setakat seringgit dua tak payahlah!"

"Aku nak bajet tetamu, at least nak tahu berapa boleh dapat daripada salam kaut nanti."

Semua dialog berunsur negatif di atas pernah menjengah pendengaran saya yang kadang-kadang mengurangkan rasa ikhlas untuk bersedekah.  Memenuhi undangan adalah kewajipan tetapi jangan jadikan salam kaut sebagai kekangan untuk bersedekah.  Berilah semampu daya anda.  Jangan takut dengan jelingan maut tuan rumah kalau anda sekadar bersalam kosong dengannya.  Niatkan di dalam hati, aku menghadiri jemputan ini kerana Allah, dan sedekahkanlah doa untuk keseluruhan hadirat.  Jika anda tetap mahu memberi juga, hadirkan keikhlasan, walaupun di dalam sampul itu hanya ada sekeping not biru yang hanya boleh membeli senaskhah akhbar harian Kosmo. 

Seperkara lagi, wang tersebut berada di dalam sampul, apa yang anda perlu risaukan.  Perlu diingat juga janji Allah bahawa sedekah pada jalan Allah, akan menerima balasan berlipat ganda.  Semakin banyak kita beri, semakin banyak yang akan kita dapat.  Tidak perlu tunggu kaya untuk bersedekah.
Ibaratkan pahala bersedekah kita dengan pokok yang merimbun ini - Yakin dengan janji Allah.


Wallah hu alam.

Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif akan mula bersiaran di bawah bimbingan Monalita Mansor dan Mazlia Murat bermula Disember ini.  Ayuh! pm segera untuk mendapatkan e-book percuma.  




Buat Duit Dengan Hobi

Teks  : Monalita Mansor
Gambar : semua gambar ini menceritakan hasil berbudi kepada hobi. 

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Mengharungi cabaran dunia yang meletakkan material sebagai keutamaan, kecekapan berfikir secara kreatif dan kritis amatlah diperlukan.  Hobi, pada asasnya kita ladeni atas rasa kecintaan yang tuntas.  Kita tidak akan berasa jemu dengannya, sentiasa tertunggu-tunggu untuk menikmati masa-masa indah melayani. 

Suri rumah, sura rumah dan wanita yang saya hormati yang sedang membaca entri ini.  Sepertimana syarat utama mendapatkan roh menulis ialah menulis apa yang kita tahu, begitu juga saat menukarkan hobi menjadi bisnes.  Apabila kita sudah mengenal dengan sejelas-jelasnya dengan hobi tersebut, perlaksanaan menjadikannya sebagai penjana kewangan tambahan akan menjadi lebih mudah. 

Fikirkan beberapa perkara di bawah sebelum proses transformasi daripada hobi kepada bisnes berlaku sepenuhnya.

  • Luangkan masa dengan lebih banyak dengan hobi kita.  Hasilkan kuantiti yang setara dengan kualiti. 
  • Tekal.  Jangan malas.  Buat secara berperingkat-peringkat. Sebagai contoh, saya menulis satu bab sehari.  Saya tidak boleh bertransformasi mendadak dengan menulis 3 bab sehari.  Apa yang boleh saya lakukan ialah beransur-ansur meningkatkan hasil muka surat tulisan saya.  Kalau hari ini saya menulis lima muka surat, esok mungkin 5 muka surat setengah, seterusnya 6 dan begitu juga seterusnya.
  • Hadiri kursus atau seminar yang berkaitan.  Walaupun hobi itu 'makanan' anda, tidak bermakna anda sudah menguasai keseluruhan ilmu mengenainya secara total.  Orang lain mungkin mempunyai sesuatu yang anda tidak tahu.
  • Dapatkan mentor.  Selain memberi inspirasi, ia adalah cara terbaik menghasilkan karya yang terbaik dan berkualiti.
  • Berada di dalam lingkungan mereka yang sealiran dan berfikiran positif.  Sedikit sebanyak ia membantu memberi motivasi dan menyerapkan rasa 'segan', 'iri hati', 'hormat' secara positif.
  • Keluar dan promosikan hobi anda.  
Bagi pemula bisnes seperti saya, seorang suri rumah yang gila menulis, tips-tips di atas sangat membantu dan diharapkan ia membantu juga para pembaca entri ini.

Wallahu Alam,

Sumber Mike Rini di www.danareksa.com daripada Wanita Juga Boleh Berbisnes, Muhammad Abu Syauqi Banna. 2012.  Kemilau Publika.  Selangor.

Sunday 17 November 2013

Tak habis-habis Lagi Cerita Raya.

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Belanjawan yang perlu difikirkan seterusnya menjelang raya ialah belanjawan kelengkapan rumah.  Namapun raya, kalau boleh langsir, sofa, alas meja, alas itu, alas ini, malah kain pemegang peti ais pun hendak ditukar baru.  Secara rasionalnya, wajarkah?  Apakah tujuan kita mengadakan itu semua, untuk meraikan mata siapa?  Jika kita masih menggantung langsir 5 tahun lepas apakah menjadikan kita kehilangan mod raya?

Saya tidak mengatakan tidak boleh kepada mereka yang berkemampuan.  Itu hak mereka.  Yang menjadi persoalannya buat mereka yang berada pada garisan belanjawan 'ala-ala' ini.  Mencukup tidak, mengurang jauh sekali.  Apa rasionalnya menukar langsir umpama bidai pelamin yang memakan ratusan ringgit tetapi kita tinggalkan pada minggu pertama untuk balik kampung.  Seminggu selepas itu bermula acara ralli rumah terbuka.  Hari-hari biasa, sibuk dengan pekerjaan.

Lebih baik wang tersebut kita peruntukkan untuk menampung kos minyak balik kampung, kos minyak bergerak ke sana ke mari berziarah atau manfaatkan untuk mengadakan kenduri tahlil arwah dan doa selamat.  Rasanya jika ingin mengadakan rumah terbuka, memadai dengan langsir raya tahun lepas yang masih elok dan dibasuh bersih.  Kalau soalan-soalan begini keluar "langsir tahun lepas ke ni?", "macam pernah tengok corak langsir ni, kat mana ya?", "siapa yang jahit langsir ni? ketinggalan zaman!" ia tentunya daripada mulut sahabat dan saudara terdekat dari jenis tak lut maki.  Tiada orang luar yang pertama kali berziarah ke acara rumah terbuka kita akan mengeluarkan soalan itu.   Jangan bimbang.

Wallah hu alam.

Kedua-dua e-book ini akan menjadi milik anda sebaik sahaja anda mendaftar diri di dalam Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif.  PM Monalita Mansor atau Mazlia Murat untuk maklumat lanjut.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung