Thursday 26 November 2015

Maaf Yang Hilang di dalam 3 Wanita Yang Aku Cinta

         
  “Kau betul-betul tak ingat aku, Pin?” Lelaki yang dipanggil abah oleh Haslan itu menggosok-gosok lengan lelaki tua itu. Berbanding beberapa hari lepas semasa kedatangan Haslan, hari ini Pak Cik Tapa kelihatannya lebih uzur. Rahangnya terbuka luas namun pandangannya terus memanah wajah dua orang tetamunya itu. Ombak di dadanya beralun perlahan. Kelihatannya seperti tidak peduli dengan soalan tadi tetapi jemarinya menguit-nguit.
            “Cuba kau tengok muka aku betul-betul…” Rasyid mendekatkan wajahnya. Kemu- dian dia meletakkan kedua-dua belah tangannya di sisi pipinya. Dicembungkan sedikit. Haslan sekadar memandang hairan melihat kesungguh- an abahnya mengembalikan ingatan lelaki tua itu terhadapnya. Katil di sebelah katil Pak Cik Tapa, kosong. Haslan duduk di situ, meletakkan  tangannya di atas peha dan memerhati.
            “Kalau kau tak ingat aku, tak apa. Tapi tentu kau tak lupa Faridah.” Rasyid mengenggam tangan lelaki yang diberitahu oleh Haji Kamal tadi semakin merosot kesihatannya semenjak keda- tangan Haslan, beberapa hari yang lepas. Kali ini, genggamannya mengejap. Desah nafasnya melaju umpama mengejar sesuatu. Haslan  sendiri terkedu apabila nama ibunya yang sedang terkedang, lumpuh sebelah badan di rumah, disebut.
            “Aku nak mintak kau ampunkan Faridah, Pin. Kesian kat dia, Pin,” rayu lelaki yang berbadan gempal yang duduk bertentangan dengan Haslan itu. Dia melihat ada air mata yang tumpah dan bersungguh di pipi abahnya. Air yang sama juga mengalir di pipi Pak Cik Tapa.
            “Dia memang derhaka pada kau. Tapi sekarang dia tengah diuji dengan bahagian dia. Lepaskan segala dendam kau, Pin…” Kali ini Haslan berdiri. Wajah tua emak yang terbujur tanpa suara dan hanya berkata-kata dengan upaya mata itu membayang di ruang mindanya.
            “Aku bodoh. Sebab aku ingat dia setia. Aku kutip dia, bela dia masa keluarga dia buang dia. Aku ketepikan mak aku, ayah aku, adik-beradik aku sebab dia. Tiba masanya, dia halau aku dari rumah. Dia campak kain baju aku! Dia lari ikut jantan lain!”

            Ayat itu berdengung di dalam kepala Haslan. 

Wednesday 25 November 2015

Tuesday 24 November 2015

Menguji Setia di dalam 3 Wanita Yang AKu Cinta

Teks dan Gambar : Monalita Mansor

Zaid belum lupa lolongan Ziad yang memang rapat dengan ibu. Malah Ziad, walaupun sudah boleh mengimamkan kakak-kakaknya dalam solat masih perlukan pelukan ibu ketika mahu melelapkan mata. Mahukan hangat tubuh ibu sehingga terlelap. Walaupun ibu selalu memiat telinganya kerana tidak betah mengenal huruf dho walaupun sudah di tahun tiga, Ziad tidak pernah ambil tahu. Hari-hari seterusnya, dia tetap menyerahkan telinganya dengan rela. Mereka, adik-beradik penuh yakin percaya yang ibu mereka tidak bersalah. 300 peratus. 
            Masih belum surut di bibir kedua-dua kakaknya cerita tentang ibu. Cerita rindu mereka pada ibu tidak pernah surut. Pada detik-detik awal ibu ditahan di Penjara Kajang, ayah selalu membawa mereka melawat ibu. Berebut-rebut telefon semata-mata mahu mendengar suara ibu sehingga timbul rajuk dan rengsa rasa. Resah rindu terlerai biarpun seketika. Air mata ibu berbaur dengan air mata mereka, melampias rindu yang tidak terbendungkan. Saban malam, masing-masing tidur bertemankan apa sahaja peninggalan ibu. Ziad apatah lagi. Masuk bulan kedua, ayah mulai menyenaraikan tugasan yang perlu dilunaskan setiap Sabtu. Ayah mereka menyenaraikan alasan atau tundaan alasan yang pelbagai. 
            “Gaji ayah tak besar. Hari Sabtu ajalah peluang ayah nak buat over-time. Dulu ibu ada bantu kita…” Ayah bersuara sambil mengusap kepala Ziad apabila adiknya itu merengek ingin berjumpa ibu seperti sebelumnya. 

 Dulu, ibu bukan sahaja membantu, malah kadang-kadang menggantikan ayah. Apa- bila ayah keputusan belanja, ibu menjadi tempat ayah meminjam duit. Biarpun ibu tidak berkisah kerana reda dan dengan niat membantu suami, ayah sering mengingatkan dirinya bahawa dia akan membayar semula. Meski ibu sekadar suri rumah tangga, ibu juga ligat dengan pelbagai bisnes kecil-kecilan, sekadar me- nambah tabungan di dalam kocek sendiri untuk membeli lauk-lauk istimewa untuk dihidang buat sang suami.

Monday 23 November 2015

Maaf Yang Hilang di dalam 3 Wanita Yang Aku Cinta

Teks dan Gambar : Monalita Mansor

“Ini dia. Atau kalau tuan nak bertemu dengan dia terus?” Tuan Haji Kamal, penjaga rumah warga terdampar itu menawarkan. Sambil mengunjukkan fail berwarna hijau kepada pemuda yang memperkenalkan dirinya sebagai Haslan, tempohari. Bebola mata Haslan berkaca dan senyum terukir di bibirnya.
            “Boleh ke?” tanyanya, manakala tangannya terhenti menyelak helaian di dalam fail itu seterusnya.
            “Apa pulak tak boleh.” Haji Kamal bangun dan membukakan pintu. Haslan turut bangun, sambil menggosok-gosok batang lehernya. Terasa persendian mengeras dan adrenalin menderas. Pertemuan ini begitu bermakna sebagaimana bermaknanya acara bersalam-salaman di pagi hari raya buat keluarga yang selalu rencong di dalam dan pepat di luarnya.

            “Kau kena cari juga orang tua ni. Jangan tidak-tidak,” pesanan abahnya masih terus berlegar. Haslan mengharapkan pencariannya  bernokthah di sini.
            “Siapa orang tua ni, abah?” tanyanya sambil meletakkan kembali gambar lama yang kekuningan diasak masa. Seorang lelaki, berambut afro dengan seluar bell bottom berwarna coklat sedang tersenyum. Di belakangnya kelihatan lambretta kelabu yang Haslan jangka sudah menjadi tukun sejak sekian lama. Lelaki itu berkulit hitam manis dan berbaju t melekat pada tubuhnya yang tidak berisi.
            “Kawan abah.” Abahnya menjawab perlahan. Ada duka yang larut di dalam jawapan itu.
            “Kalau orang jumpa, abah nak suruh orang buat apa?” Haslan angkat muka. Pandang abahnya.
            “Sampaikan salam abah pada dia.”  Sebutir-butir, dengan jelas, disebutnya.
            “La…tu aja?” tanya Haslan kembali. Tugas yang dipinta abahnya itu tidak seberat mana kerana dia mempunyai akses terus terhadap warga-warga terbiar atau dipinggirkan di rumah kebajikan atau yang senasib dengan- nya.  Abahnya tidak menjawab. Malah kelihatan- nya selamba menyisip teh tarik gelas besar yang masih berasap. Jerangkap samar yang menjadi candu keperluan abahnya, selain daripada rokok, sebatang sehari. Haslan kembali kepada komputer ribanya yang ditenungnya semenjak tadi.
            Petang awal November tidak pernah mengizinkan matahari tersenyum sehingga mencecah akhir hari. Hujan musim pejur sudah mula bertugas dan kadang-kadang membawa sekali pekikan petir dan guruh. Atau lebih menggerunkan membasahi bumi tanpa silu beriring sapaan ribut ataupun sapuan banjir lumpur. Petang itu, ia hanya merenik namun terus membasahi sekeping hati yang keresahan. Tanpa Haslan sedar, abah membuang pandang ke arah bilik di hujung tangga.           
             “Tuan Haslan. Ni dia. Abang Tapa…ni saya bawa tetamu. Dia nak sangat jumpa abang.” Haji Kamal bersuara ceria. Lelaki kurus yang terbaring di katil besi setinggi lutut orang dewasa itu membuka mata. Dia tersenyum payah.
            “Saya, Haslan.” Haslan memperkenalkan diri sebaik ditanya dengan soalan mudah, “siapa?” oleh lelaki yang nyata uzur itu, sambil cepat-cepat menggapai tangan lelaki tua yang sejuk itu. Tuan Kamal menghulurkan sebuah kerusi plastik berwarna merah. Dengan ucapan terima kasih, Haslan melabuhkan jasadnya dan merapatkan diri ke tepi katil. Tangan Pak Cik Tapa belum dilepaskan.

            “Dah… kahwin?” tanya Pak Cik Tapa seulas-ulas. Haslan tersenyum. Tidak pasti di mana relevannya soalan itu tetapi dia menggeleng.

Sunday 22 November 2015

Lempeng Pisang Mama di dalam 3 Wanita Yang Aku Cinta

RM30 termasuk caj pos
3 hadiah misteri menanti 3 pembaca bertuah
Gambar dan Teks : Monalita Mansor

Dia cuba membaca dan menyelidiki Annisa melalui blognya. Malangnya, hanya pandangan dan pemikiran seorang guru taska terhadap dunia perguruan dan anak-anak comelnya yang tertumpah di situ. Annisa, tidak pernah sekalipun membenarkan apa-apa entri bersifat peribadi mengitari blog yang tidak berpagar itu.
 Annisa, masih anak gadis Melayu Muslim yang tersembuyi dan tidak sekali-kali mahu berkongsi rahsia dengan umum yang tidak diketahui niatnya. Suatu pemikiran yang terlalu jarang kedapatan pada anak-anak seusianya di bumi kelahirannya sendiri atas nama hak asasi dan kebebasan individu.
            Sehinggalah hadirnya hari yang dinanti. Dia sendiri yang menjemput Annisa di lapangan terbang. Meski wajah suram anak itu bagai isyarat agar dia tidak terlalu meletak harapan tinggi, Grace mengandaikan ia cumalah sebahagian daripada isyarat tubuh yang tidak stabil disebabkan perjalanan jauh.
            “Nisa mahu bersolat dahulu, atau terus pulang sahaja?” Begitu terujanya Grace mengajukan soalan tersebut. Meskipun ter- sentap, Annisa tidak memberi reaksi yang diharapkan Grace.
            “Sudah. Dalam kapal terbang,” jawab Annisa, acuh tak acuh. Grace mengangguk-angguk. Kemudian, dia kehilangan kata lalu berjeda.
            “Mama Yusnida, apa khabar?” tanyanya kemudian sambil mencapai beg bertroli milik Annisa. Pantas Annisa mengambilnya daripada tangan Grace, mengangkatnya susah payah dan memasukkan ke dalam but kereta. Grace menanggalkan mafela yang melilit lehernya lantas mengalungkannya di leher Annisa yang kelihatannya berpeluk tubuh dan sesekali menggosok-gosok kedua-dua tapak tangannya. Nyata sekali dia kurang selesa dengan angin yang meraikan kedatangannya ke tanah bekas penjajah itu.
            “Baik,” jawab Annisa pendek. Sambil matanya menjeling ke arah Grace yang berkaca mata hitam, masih ranggi dan cantik dalam jeans dan baju-t  yang disalut kot labuh beserta kasut but separas lutut. Kereta yang tersenarai sebagai mewah kedudukannya di tanah air itu, meluncur perlahan-lahan meninggalkan kawasan parkir lapangan terbang.

Annisa menjeling dengan ekor mata melihat kekalutan perempuan berwajah polos itu. Belum sudah-sudah membetulkan kedudukan sudu dan garfu. Baru beberapa langkah ke ruang dapur basah, dia kembali ke meja, menggaul-gaul hidangan di dalam mangkuk besar di tengah-tengah meja. Berserakan wap panas muncul dan menyerbu wajah kedut perempuan itu.  

Saturday 21 November 2015

Aku Berhak Bahagia dalam 3 Wanita Yang Aku Cinta

RM30 termasuk caj pos
Hadiah misteri menanti 3 pembaca bertuah
Teks dan Gambar : Monalita Mansor

“Saya tak pernah ajar isteri saya berkurang ajar dengan mak dia sendiri.” Suara suamiku menusuk gegendang. Aneh, terus ke hati.
Diam. Kenapa hari ini, sepanjang hari aku bercuti, hal perempuan itu sahaja yang harus dibicarakan? Hebat sangatkah primadona ter- pinggir itu. Mahu sahaja aku meleretkan jari mencari nombor telefon abang. Ingin aku adukan segala ulah terancang wanita yang mengakui aku anaknya itu, tetapi tidak pernah sekalipun bersamaku sepanjang waktu aku membesar.
“Dia yang mulakan dulu. Saya cuma mengajar anak saya. Farah, anak saya.” Sengaja aku tekankan tiga perkataan terakhir itu agar lelaki yang kugelar suami itu cepat faham.
“Saya tak kata pun Farah anak tiri, kecuali kalau awak teringin…” Entah ugut entah gurau, tapi nyata ia kesasar dan tidak langsung mencuit, mahupun menakutkan aku. Pegun aku berdiri di tepi pintu gelangsar bilik.
“Saya tak nafikan, saya pun tak sukakan emak awak. Saya tak suka dia ada di sini, tapi tak bermakna awak boleh buat apa yang awak buat tadi pada dia.” Suamiku bersuara semula.
Perkataan dan akuan yang acapkali bersenandung di telingaku. Dia sering merungut tentang privasi, tentang hak memanjakan anak, seperti mana aku yang merungut kerana seakan-akan kehilangan Farah. Farah lebih sayangkan ami-nya. Sikit-sikit ami. Nak tidur, mahu tidur dengan ami. Nak ke mana-mana, mahu ami ada bersama. Rimas, sungguh, aku rimas dengan kehadirannya bagaikan dilumur miang keladi layaknya.
“Dia…eiii…menjengkelkan. Awak tahu tak,  annoying! Irritating! Setiap apa yang dia buat, semuanya macam berpura-pura…awak tahu tak?” luahku. Bukan kali pertama aku suara- kan.

“Tak tahu. Saya dah malas nak ambil tahu. Hanya satu perkara yang saya nak beritahu. She’s your mother,” putus suamiku, membuka baju kemejanya dan mencapai pelikat yang tergantung dan menghilang ke dalam bilik air. 

Friday 20 November 2015

3 Perempuan Yang Aku Cinta dana 3 Wanita Yang Aku Cinta

RM30 termasuk caj pos
hadiah misteri menunggu pembaca bertuah
Teks dan Gambar : Monalita Mansor

Tidak mahu terlalu teruja meluahkan rasa bahagia kerana di sudut hati yang paling dalam, melepaskan diriku pada dia adalah keputusan yang paling sukar dan perit buatmu, perempuan. Maka, tak perlu aku berlebih-lebih tersengih atau ketawa ria seumpama memerah limau sekuat-kuat hati di atas luka yang belum nampak sembuhnya.
“Janji, saya dan mereka tidak diabaikan?” Kau mengenggam jemariku. Kuat, seakan-akan meminta aku berikrar sepenuh hati. Lima pasang mata di depan menikam irisku. Membawa erti yang rencam, sayu dan sukar.
“Kami semua amanat, saya mohon abah ingat apa-apa juga ikrar abah dengan emak dulu.” Lelaki muda yang seirasku itu seakan memberi amaran.
Aku tidak menganggapnya kurang ajar kerana itulah letaknya peranan anak lelaki. Membela keluarga dan memastikan maruah keluarga terpelihara elok sebagai pemimpin kedua selepas bapa. Kau, perempuan, masih terus mengenggam tanganku. Malah kini, kepalamu dilentukkan di bahuku. Manja sekali. Lelaki muda itu tersenyum. Begitu juga dengan adik-adiknya yang lain.
“Jangan lupakan kami, nanti. Selamat pengantin baru,” ujarmu, terus menyembamkan wajah ke dadaku, basah bajuku dek air mata. Aku cuba memahami lantas meleraikan kebimbanganmu dengan sekadar mengusap rambutmu.

Perempuan Tiga
“Awak pasti ke ni?” Kau teragak-agak, meraba pasti daripada tindakanku meletakkan borang yang aku bawa dari pejabat agama tadi.
“Yelah.”
“Boleh ke dia terima saya?” Ragu terus merajai hatimu.
“Awak tak percayakan saya lagi ya? Nak saya tunjukkan surat kebenaran ke?”
“Bukan…awak kena faham. Keputusan ni berat buat saya. Saya bukan sahaja berkahwin dengan awak, tapi dengan dua orang perempuan lagi dalam hidup awak.” Kau membetulkan kedudukan hujung tudung yang sebenarnya tidak senget pun.
“Dulu…masa saya tanya, awak kata awak tak kisah dimadukan?”
“Dulu…” Jari-jemarimu mengais-ngais  sesuatu di birai meja. Aku biarkan sahaja, perang perasaan sudah bermula. Aku tidak mahu ikut campur.

“Kita nak melunaskan…nak sempurnakan sebahagian daripada tuntutan agama. Bukankah awak sendiri yang bacakan petikan tu dulu. Syaitan, menanamkan jarum perosak ke dalam diri anak-anak Adam melalui syahwat. Sebab itu, lelaki dikehendaki kembali kepada isteri sekira- nya jika dia berkeinginan terhadap wanita di jalanan. Saya hanya mahu kembali kepada fitrah, salah?” tanyaku.

Thursday 19 November 2015

Buku di Kafe

PM untuk harga
variasi novel baru dan terpakai  Buku di Kafe

Ulasan Kumpulan Cerpen : Tetamu Istimewa tulisan Mohd Helmi Ahmad

Teks dan Gambar : Monalita Mansor

Assalamualaikum dan Salam Kreatif.
*Gambar akan dimuatnaik kemudian.

Tanpa membaca blurb, saya terus menyelak himpuan 15 buah cerpen karya penulis prolifik,  Mohd Helmi Ahmad. Kumpulan cerpen yang diterbitkan ini semuanya telah tersiar di dalam media cetak sekitar tahun 2010 hingga 2012.
Walaupun dinamakan kumpulan cerpen remaja, sya kira pengarang tidak meletakkan khalayak pembaca remaja secara spesifik. Maka ada beberapa buah cerpen berjaya dihadam dan diulas oleh anak lelaki saya yang berumur 11 tahun.

Meskipun dikatakan cerpen remaja, pengarang sama sekali tidak mengabaikan kualiti estetika kepengarangan. Tema-tema yang dibawakan rencam namun memperlihatkan kedekatan pengarang dengan jadi diri keMalaysian (lihat Kuih Bakul Limau Mandarin, Piala Penentuan dan Rombongan Masuk Jawi).  Sekaligus dapat disimpulkan bahawa kumpulan cerpen ini sesuai dijadikan ejen penyatuan kaum di sekolah.

Persoalan yang diangkat agak sinonim dan dekat dengan khalayak seperti seputar dunia perguruan (lihat Kedondong Untuk Cikgu dan Haruan Di Pinggir Sawah), kelihatannya seperti klise namun pengarang masih menjunjung nilai moral yang tinggi dan terakam jelas di dalam kedua-dua cerpen itu.

Saya kira, pengarang sudah menemukan identitinya apabila menguasai aspek adat dan budaya dengan cemerlang. Malah menterjemahkannya pula tanpa terlalu memaksa pembaca sehingga tidak terasa kita sedang menghadam ilmu baru . Matlamat itu dizahirkan jelas oleh penulis melalui cerpen Rancanganku Rancanganmu, Bunga Telur Kenduri Kahwin, Haruan di Pinggir Sawah, Rombongan Masuk Jawi, Pulut Durian Santan Kelapa dan Tetamu Istimewa.  Saya terbau, betapa kerasnya keinginan pengarang untuk memberi kesedaran kepada pembaca remaja mengenai keindahan adat dan budaya Melayu.

Faktor peralihan usia, mungkin menyebabkan penulisan pengarang sudah lebih memokus kepada cerpen yang lebih islamik.  Tanpa terlalu bersyarah atau menghukum, pengarang menggarap mesej dakwah dengan cemerlang di dalam Mohamad Nur Islam dan Tentang Waris.
Menariknya, sepanjang pengalaman saya membaca cerpen, inilah kali pertama, saya gagal memecahkan klu yang dibawa oleh pengarang di dalam cerpen Tetamu Istimewa. Usai membacanya, saya mengetawakan diri sendiri kerana kegagalan itu yang saya kira kejayaan muluk pengarang. Maka bertepatanlah kumpulan cerpen ini diterajui oleh cerpen Tetamu Istimewa yang dianggap ‘mengungkapkan ciri berhias budaya Melayu dalam mendidik anak-anak ketika menghadapi saat-saat sukar diuji dugaan wabak penyakit.’

Bukanlah sesuatu itu sempurna selagi ia dihasilkan oleh manusia. Kerana nyata kekangan kita sebagai manusia adalah asbab untuk Allah memberi ruang penambahbaikkan.  Kedapatan beberapa hal seperti tatabahasa masih terelepas pandang.  Tidak ketinggalan beberapa isu teknikal kepengarangan yang saya kira menagih ketelitian pengarang pada masa yang akan datang.


Istimewanya, Tetamu Istimewa ini, ia tetap mencabar saya dengan perkataan-perkataan baru.  Sehingga membuatkan karya ini sudah menjadi buku nota, lunyai, dan berkelepet di sana sini dan terconteng. Secara keseluruhannya, untuk diri saya kumpulan cerpen ini menepati selera bacaan seisi keluarga. Bukan sahaja untuk remaja.

Wallahu alam

Wednesday 18 November 2015

Apa Saja Mahumu di dalam 3 Wanita Yang Aku Cinta

RM30 termasuk caj pos
hadiah misteri menanti pembaca bertuah
Teks dan Gambar : Monalita Mansor

“Aku sebenarnya nak tawarkan kau kerja di sini.”
Aku berdehem beberapa kali. Menyem-bunyikan debar. Malunya kalau dia tahu apa yang berbunga di dalam hatiku sekarang. Aku menjunjung sangkaan lain.
            “Kalau kau setuju. Aku tawarkan jawatan pengurus rumah anak yatim ni.”
            “Nantilah, aku fikirkan,” Aku memalis.  Menggigit bibir, menahan air mata yang gugur. Maafkanlah aku Azmi, kerana berharap yang bukan-bukan. Langsir jendela aku singkap.
            “…jawatan ni nanti, hey…pandanglah sini!” Dia masih di kerusi. Aku mengeraskan diri di tepi jendela. Aku terasa mahu membalut diriku dengan kain langsir biru itu. Malu dengan diri sendiri. 

            “Merangkap pengurus aku, diri aku, hidup aku. Dunia akhirat. Itupun kalau kau setuju. Datin Hairiah.” Dia berdiri di jendela sebelah. Ter- senyum sambil memandang keluar. Kedua-dua belah tangannya berada di dalam poket seluar. Kali ini, aku memang mahu dikafan dengan kain langsir!

Tuesday 17 November 2015

Sarong Pekalongan dalam 3 Wanita Yang Aku Cinta


RM30 termasuk caj pos
hadiah misteri untuk pembaca bertuah
Teks dan Gambar : Monalita Mansor

“Sarong Pekalongan? Apa benda tu?” Aku langsung mencapai iPad. ‘Apa lagi, Google lah!’ Sebelum dimarahi Tuk Andak, kerana ber- tanya terlalu banyak, itu dan ini sehingga semput  nyawanya menjawab, lebih baik aku bersedia.
Setelah dapat apa yang dicari, aku mem- bacanya perlahan-lahan. ‘Berasal dari tanah Jawa dengan motif flora dan fauna. Banyak di- pakai oleh golongan Nyonya daripada kelompok Peranakan bersama kebaya atau baju panjang.’ Aku menarik nafas. Sudah mendapat maklumat, kononnya.
            Mama pula tidak menunjukkan tanda-tanda mahu menguraikan semua tanda tanya yang dimulakan lelaki sebaya dengan bapa mer- tuanya itu. Sejarah, asal-usul, cara pembuatan mahupun etnik pemakainya sudah pun aku dapati melalui enjin carian utama itu. walaupun begitu, Google tidak akan menceritakan secara  terperinci bagaimana kain tersebut sampai ke  dalam gobok hikmat arwah nenek!
            “Kisah cinta tak kesampaian ke, tuk?”  tebakku.
Klise. Semasa hayatnya, nenek adalah seorang wanita yang lantang. Tegas, ber- pendirian dan satu perkataan yang paling mudah untuk menggambarkan dirinya ialah, degil. Maka, aku tidak hairan kalau ada cerita yang tersirat yang membawa kepada kehadiran sehelai Sarong Pekalongan berlatar merah jambu ke sini. Hanya aku ingin tahu, semenarik manakah agaknya cerita itu? Adakah kisahnya setara dengan kisah Ibu Mertuaku? Atau lebih sedih daripada cerita Ombak Rindu misalnya? ‘Haish!’ Aku tersenyum sendiri.
            “Lebih daripada itu. Melibatkan perseng- ketaan dua buah keluarga. Lama dah. Sebab itu- lah moyang awak bawa kami pindah ke sini.” Tuk Andak menyilangkan jemari di atas tongkatnya.
            “Apa jadi dengan kekasih nenek tu?”  Terus aku bertanya, bagaikan seorang pengarang yang sudah dapat menebak jalan cerita dan ingin terus ke klimaksnya sahaja.
            

Monday 16 November 2015

Ulasan Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif : Siti Zaiton Ahmad

ULASAN KELAS BLOG
Teks : Siti Zaiton Ahmad



Bismillah. Assalamualaikum,


Penghujung bulan September 2015 saya mengambil keputusan untuk mengorak langkah lebih ke hadapan. Saya mengikuti Kelas Blog Penulisan Kreatif yang dikendalikan oleh Cikgu Monalita Mansor. Pada mulanya saya begitu bimbang kerana takut tidak dapat mengikuti kelas tersebut memandangkan factor umur saya yang sudah pun menjangkau angka 46 tahun. Mungkin sudah terlewat untuk saya belajar. Namun apabila saya mengikutinya secara tekun Alhamdulillah saya dapat mengikuti dengan berjaya meskipun  ada juga tugasan saya tidak menepati seperti yang dikehendaki.

Alhamdulillah berkat tunjuk ajar cikgu, saya akhirnya melepasi tugasan demi tugasan. Banyak perkara baru yang saya pelajari seperti memasukkan intri ke dalam blog, lay out, label dan pelbagai lagi. Sebelum ini saya hanya membuat cara saya sendiri tanpa mengikut cara yang betul. Langkah-langkah yang sebelum ini tidak saya ketahui telahpun saya ketahui. Sedikit sebanyak pelajaran itu dapat saya kaut.

Dalam bidang penulisan pula barulah saya memahami istilah-istilah penulisan seperti plot, watak, gaya bahasa dan sebagainya. Saya rasa beruntung dengan sedikit pelaburan, saya dapat menambah ilmu di dada. Malah cikgu sering memberi kata-kata perangsang yang menaikan semangat. Lebih membanggakan apabila salah sebuah cerpen kanak-kanak yang saya hasilkan telah terpilih untuk terbitan bersama DBP. Semua itu atas dorongan dan tunjuk ajar cikgu.

Saya sungguh gembira dan berterima kasih kepada Cikgu Monalita Mansor yang sering ada apabila saya ingin bertanya tentang pelajaran yang saya tidak faham. Pembelajaran yang mudah difahami oleh suri rumah seperti saya. Kenapa tidak bagi anda yang mungkin lebih baik dari saya.

Semoga ilmu yang saya dapat ini akan saya kembangkan lagi dalam penulisan saya. Terima kasih buat cikgu yang telah bertungkus lumus mengajar saya. Jasa cikgu, akan saya kenang sampai bila-bila.

Sekian terima kasih.

Daripada : http://sitizaitonahmad7.blogspot.my/2015/11/ulasan-kelas-blog.html

Tabahlah Baiti Adlin dalam 3 Wanita Yang Aku Cinta

RM30 termasuk caj pos
hadiah misteri menanti pembaca bertuah.
Teks dan Gambar : Monalita Mansor


Begitupun, dialah permata hatiku. Tempat luahan perasaanku saat Azman meminggirkan diriku. Teman tidur tatkala Azman berpergian. Dahulu, sebelum pencen, tugasnya sering mem- biarkan aku sendiri.
“Abang dah cukup tua… Dah 55 tahun pun,” akui Azman. Aku memandangnya. Dengan uban yang melata dan tubuhnya yang tidak setegap dulu, dia masih tampan. Dia masih lagi suamiku yang kukongsi susah senang bersama. Senyumnya masih seperti dulu.
“Sedar pun… tak lama lagi dah nak bermenantu.”
 Bicaraku disambut ketawanya. Aku  senang dengan ketawa itu. Betty juga begitu.  Suka ketawa. Walaupun penghuni rumah dua tingkat ini cuma tiga orang, ketawa mereka menjadikan rumah ini cukup meriah.
“Betty tak balik kerja lagi ke?” Akhir-akhir ini, Azman sering menanyakan soalan itu; pantang sahaja jam melewati angka lima sedangkan Proton Satria milik Betty belum lagi menjalar di halaman rumah.

“Sunyilah kita kalau Betty tak ada nanti…” Azman bersuara sayu. Betapa perpisahan ini begitu menakutkan. Bagaimana kalau Betty diabaikan? Bagaimana nanti kalau tiba-tiba Betty tak mampu mengendalikan rumah tangganya dengan baik? Bagaimana jikalau Betty gagal menjadi ibu yang baik? Isteri dan ibu solehah untuk anak-anaknya bersama Alif? Aku menjadi ngeri mengenangkan nasih Betty. Diam-diam, aku ingin dia memikirkan lagi keputusannya untuk berkahwin. 

Sunday 15 November 2015

Kekal Dalam 3 Wanita Yang Aku Cinta

RM30 termasuk caj pos
Teks dan Gambar : Monalita Mansor


“Aku kenal Zam sama seperti aku kenal kau. Takkan begitu mudah kau nak lupakan semua yang kita lalui bersama?”
“Haiza…please!” mohon Ellyta. Ada talian halus yang menarik nuraninya. Sekaligus, ia me- nyemarakkan kenangan ketika bergelar pelajar. Terutama ketika mencipta kasih di rantauan sambil mencorak impian menuju jaya. Ellyta me- renung sayu bayi mirip Haiza itu. Seolah-olah  ada pertanyaan yang memerlukan huraian panjang daripada wajah paduan kasih Adib dan Haiza tu.
 “Mama…jom balik.” Rengekan Airil tidak  dipedulikan Ellyta. Wajah acuan Nahar itu bagai- kan tidak wujud.
Ellyta tersenyum pahit. Menelan liur.  Zamani dan kenangan adalah sesuatu yang sukar diusir pergi. Setiap kali melewati daerah gapura Pantai Timur itu, pada waktu yang samalah, wangian kenangan itu menusuk pem- bauan perasaan.
“Aku rindukan segala-galanya, Haiza. Aku rindukan zaman kampus kita. Rindukan zaman anak dara kau dulu. Kau ingat tak lagi, ‘kawad leher’ setiap kali bas kita naik lalu kat Alor Akar?” Ellyta ketawa. Haiza juga.

Namun, ketawa Ellyta sekadar menutup duka yang berarak datang menyelubungi jiwa- nya. Angin petang bertiup perlahan menyapa  wajah kedua-dua mereka.

 

Saturday 14 November 2015

Mencari Ikhlas Maziah di dalam 3 Wanita Yang Aku Cinta

RM30 termasuk caj pos
3 hadiah misteri menanti pembeli bertuah
Teks dan Gambar : Monalita Mansor

“Pernah?” tanya lelaki berbadan kurus yang hanya berbaju t tanpa dimasukkan di dalam seluar jeans yang melusuh. Leher baju t-nya juga sudah hilang regangan.
            “Awak memang pandai cari alasan kan? Dasar lelaki tak bertanggungjawab.” Wanita yang bertudung bawal berbaju t muslimah itu melengkingkan suara. Meski tidak tinggi, masih membuatkan lelaki berkepala gondol itu memanggung kepala.
            “Saya cuma tanya, sepanjang usia per- kahwinan kita ni, pernah tak awak berperasaan begitu?” Afendy melepakan jasad di sebelah perempuan yang sedang duduk bersandar di kerusi batu menghadap ke arah tasik yang tenang itu.
            “Apa yang awak nak sebenarnya? Selama ni, awak seksa saya. Saya dah lakukan apa yang terbaik, sebagai isteri.” Suara perempuan yang masih isterinya itu tidak meninggi lagi, tetapi berbaur sebak.
            “Awak ikhlaskah menyeksa diri? Atau awak paksa diri awak  tapi awak bayangkan orang lain semata-mata sebab terpaksa berkahwin dengan saya?” Afendy tegakkan tubuh. Menanti-nanti jawapan dari ulas bibir wanita yang bakal ditalak tidak lama lagi.
Dia bukanlah sesiapa sewaktu mengangguk bersetuju untuk mengahwini Maziah. Harta tiada, rupa apatah lagi. ‘Muka pecah bumbung rumah orang!’ kata kawan-kawannya tatkala mereka berkumpul di depan bengkel kimpalannya sekali-sekala.
            Maziah perempuan baik-baik. Tuturnya sopan, lakunya berpekerti walaupun kelihatannya agak kasar pada luarannya. Maziah juga tidak berkata tidak mahu pun berjumpa dengan Afendy, berbincang jika sekiranya tidak bersetuju dengan perkahwinan itu. Maziah, malahan akur dengan kehendak emak saudaranya. Dia juga antara orang yang tersibuk menyediakan perlengkapan perkahwinan walaupun duit hantaran disediakan oleh emak saudaranya. Cuma beralih tangan ke telapak tangan Afendy untuk menjaga air muka semua pihak.

Ulasan Buku : Janda 916

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Dah lama tak paksa diri baca novel. Dah baca, tak boleh berhenti. Inilah hasilnya. 


Kisah-kisah berdasarkan ibu tunggal atau bahasa biasanya, janda kebiasaannya membawa pandangan skeptical terhadap mereka. Janda, dalam persekitaran kampung biasanya akan digambarkan gedik. Berkebaya ketat, berpayung dan beg jinjit dengan lenggang itik balik petang.

Janda 916, mengalih definisi tersebut secara keseluruhan. Baik secara lahiriah mahupun batiniah. Penulis, menggambarkan Melah @ Mellia seorang janda muda peniaga emas sadur yang berjualan di Kampung Kemboja mengangkat nilai diri janda yang berbeza.  Dia tinggal di kampung tersebut dengan bekas ibu mertuanya (?) dan digilai ramai jejaka, jetua, jeduda (gurau ok). Aura Melah melarut sehingga ke pekan sehingga diintai pula oleh Po Chong, tauke kedai emas 916. Tidak ketinggalan juga, Jelan, pemuda separuh tiang yang selalu ada membantu Melah ketika diganggu.
Penulis kelihatannya sangat bersungguh-sungguh mengangkat citra Melah sebagai wanita kental. Pada kebanyakan ketika, doa adalah kekuatan Melah. Dan, doa itu pula dizahirkan dan relevan pula untuk pembaca berdoa sama. Dugaan demi dugaan yang ditanggungnya tidak mematahkan semangatnya untuk terus berdikari sementelahan sedar diri yang dia anak yatim piatu, janda dan pendatang di kampung tersebut.

Bagaimanapun, penulis tidak membiarkan Melah terlalu hebat.  Melah, masih juga manusia. Ada ketikanya, perlakuan buruk yang dilakukan oleh bekas ibu mentuanya membuatkan hatinya sakit. Ada ketikanya, dia teringat saat-saat manisnya bersama bekas suaminya. Dan, ada ketikanya dia menjadi terlalu garang dengan mengocoh mulut Zara dengan cili api di rumah Kak Gayah dan membalun Pak Sood dengan payung apabila maruahnya dipersenda.

Janda 916 diperkuat pula dengan antagonis-antagonis yang bisa. Berperanan menghuru-harakan hidup Melah dengan matlamat masing-masing yang berbeza. Tetapi, perlakuannya mereka tetap bertujuan menjatuhkan Melah.  Kadang-kadang penulis memberikan peluang kesemua antagonis itu bersepakat membuli protagonist. Babak itulah yang menjadikan pembaca boleh sesak dada.
Pak Sood, digambarkan tua renta tak sedar diri, berlagak muda. Penulis tidak berlebih-lebih menggambarkan Pak Sood. Cukup sekadar beberapa frasa seperti motor cabuk, produk zaman Jepun,  gigi tak cukup, romeo tua. Ditambah pula dengan beberapa babak yang lucu tetapi sebenarnya mendatangkan jengkel kerana di dalam dunia realiti masih kedapatan watak sebegitu.

Zara dan Arief dua lagi watak antagonis yang saling bersaing mempamerkan kejahatan masing-masing. Zara, anak Pak Sood digambarkan lepas laku dan keterlaluan sehingga beberapa kali ‘terlepas’ menggoda Cikgu Ejul.  Perwatakan tipikal janda sudah dipindahkan oleh penulis kepada gadis berusia 24 tahun.  Arief pula, ada ketikanya menggugah perasaan pembaca dengan simpati kerana gila talak. Lebih menyedihkan talak yang dihadiahkannya kepada Melah itu adalah hasil hasutan orang lain.

Penulis juga bijak mentransformasi watak antagonis dan protagonist. Di tangannya, simpati dan benci bersilang pangkah. Ada ketikanya ada rasa marah terhadap Mak Chah yang merupakan master-mind perceraian Arief dengan Melah. Ada ketikanya pula, kita berasa simpati dan insaf dengannya kerana menerima ‘kifarah’ yang bukan kepalang. Begitu juga dengan watak Arief. Ada ketikanya,  simpati mencurah-curah terhadapnya kerana segala yang berlaku, bukan di atas kehendaknya. Bagaimanapun, pada ketika-ketika yang lain, terutama ketika dia menganggu Melah, kebencian yang amat sangat tak dapat nak dizahirkan padanya.

Penulis juga tidak lupa memberikan peranan besar kepada watak sampingan seperti Cikgu Khairil, Kak Gayah, Mak Biah, Sarina dan Po Chong. Kesemua watak-watak ini berupaya menggerakkan keseluruhan cerita dengan menopang watak utama dan memberi warna di dalam karya ini.

Dugaan demi dugaan, terutama dugaan fitnah terhadap Melah mengingatkan saya terhadap kisah yang berlaku kepada Saidatina Aisyah R.A. Saya tidak pasti adakah penulis melakukan rujukan terhadap kisah tersebut. Ia sangat mirip terutama babak suami baru Melah mencari ketenangan dengan menjauhinya sebaik sahaja fitnah tersebut tersebar.  Biasan perasaan tertekan Saidatina Aisyah tergambar dalam watak Melah yang tertekan mencari tongkat kekuatan ketika diri diuji sebegitu.

Penulis mengalirkan plot dengan cantik. Bermula dengan memperkenalkan satu persatu watak-watak dan diselang-seli dengan teknik imbas semula kehidupan Melah bersama Arief dan Mak Chah dan kronologi gangguan Pak Sood, Arief dan Sara. Fitnah demi fitnah, sokongan dalaman dan luaran daripada Jelan, Kak Gayah dan Mak Biah. Elemen-elemen kejutan dan saspen juga disuntik namun ada satu elemen yang tak mampu mengejutkan saya. Orang lain saya tak tahu. Sebabnya, penulis sudah terkucil memberikan klu dan membongkarkan kejutan tersebut di awal-awal bab lagi.
Bagaimanapun, ia tidak menghentikan pembacaan saya kerana ada banyak sebab lagi Janda 916 ini perlu dibaca. Penulis juga tidak lupa memasukkan beberapa tips dan resepi yang digarap secara bersahaja.  Penting, penulis membawa mesej bahawa, setiap sesuatu yang berlaku membawa hikmah yang tersendiri. Sama ada hikmah tersebut dapat dilihat oleh mata manusia yang mahu berfikir, terpulang kepada pemikiran masing-masing.

Tanpa menyelitkan waima sebaris ayat Quran atau hadis (selain doa) penulis menyebarkan dakwah tentang akhlak, penyerahan diri dan motivasi untuk diperhalusi oleh pembaca.  Anda harus baca sendiri karya ini untuk memahaminya. Gaya bahasa yang dibawa penulis tidak terlalu berkerawang. Santai dan mudah dihadam dengan sekali baca. Namun, ceduklah mesej yang hendak dibawanya.

Kesilapan-kesilapan lain yang perlu diperhalusi ialah mengenai perwatakan Jelan. Ada beberapa persoalan yang boleh ditimbulkan terutama dari aspek logika. Bukan kerana watak pemuda separuh tiang itu klise. Tetapi, mungkin penulis perlu menempek lebih banyak perwatakannya  supaya apabila identitinya didedahkan, pembaca akan berkata, ‘eh… takkanlah watak utama tu tak perasan?”

Kebaikan watak Melah yang dianiayai ibu mentuanya, kemudian membawa pula bekas ibu mentuanya tinggal bersama juga boleh dipersoalkan. Adakah manusia begitu dalam dunia? Lebih-lebih lagi, tempoh perceraian antara Melah dengan Arief, tidaklah lama. Bagaimanapun, tempang itu diampu dek naratif  dan dialog Melah sendiri yang masih sukar mengikis rasa marah dan dendam kepada Mak Chah.  Penulis membawa mesej penghormatan kepada orang tua melebihi segala-galanya.
Di kampung tersebut, bagaikan tidak berpemimpin. Antagonis, bukan penduduk kampung pula seperti Arief, boleh sesukanya menyebarkan fitnah, sesukanya menyerang rumah orang lain, pada waktu malam pula. Penulis setidak-tidaknya memasukkan peranan pemimpin sebagai ejen neutral sebagai penasihat luar selain daripada watak-watak terdekat.


Kesalahan ejaan, kesalahan nama watak juga kedapatan dan harap dapat dibetulkan pada cetakan seterusnya. 

Monday 2 November 2015

Perkhidmatan Menaip Dokumen

Mulai November ini, saya akan memulakan perkhidmatan menaip dokumen. Oleh kerana saya ada kemahiran menaip dengan pantas (skill ni saya pelajari ketika di sekolah vokasional dan politeknik), jadi saya mahu jadikan kemahiran saya ni sebagai salah satu cara untuk membantu mereka yang lain yang kesuntukan masa untuk menaip dokumen, jurnal, tesis, laporan, surat, buku, kertas kerja, tender, artikel, penjanjian perniagaan, karangan, novel, dan apa sahaja bentuk dokumen. Saya juga pasti ramai yang malas sebenarnya untuk menaip panjang berjela. Jika salah cara dan teknik pasti banyak pula kesalahan ejaan dan lenguh tangan asyik letak sahaja di keyboard. Pasti juga ambil masa yang lama untuk menyiapkan satu-satu dokumen tersebut.

 

Jadi di sini untuk memudahkan orang lain, saya turut menyediakan perkhidmatan menaip dokumen berbahasa Melayu atau Bahasa Inggeris dalam format Microsoft Words. Butiran adalah seperti berikut :

 

 

1. Bahan untuk ditaip boleh dihantar melalui :

    a. Email : monalitamansor@gmail.com

b. Pos (bagi mereka yang tinggal di kawasan luar Petaling Jaya dan kawasan   
        berhampiran) bagi seluruh Malaysia boleh hantar dokumen (hardcopy) ke  
        alamat :

Monalita Mansor

M-01-19 Blok M Pangsapuri Petaling Perdana

Jalan PJS1/21 Taman Petaling Utama

46150 Petaling Jaya
               (alamat rumah)
               

      c. Maklumkan melalui sms (011-1937269) / WhatsApp (016-9936726)

     d. Serahan tangan (by hand) bagi yang tinggal berhampiran Petaling Jaya, Puchong, Seri Sentosa. 


2. Jenis Font / Format Tulisan :

Jenis font yang digunakan adalah pelbagai (ikut pada permintaan), juga mengikut standard font yang biasa digunakan untuk dokumen. 


3. Kadar Upah Menaip :

 Setiap muka surat RM 3.00
  
 Muka surat ke 101 dan seterusnya RM 1.50

 

4. Penghantaran Dokumen :

Dokumen yang siap ditaip akan dihantar melalui email untuk memastikan dokumen cepat diterima pelanggan.

Jika mahu dokumen dicetak, perlu maklumkan terlebih awal. Caj untuk cetakan adalah berlainan.

 

5. Untuk tempahan sila berikan maklumat seperti berikut :

Nama :

alamat email :

No telefon :

Penerangan yang lengkap mengenai tempahan (penting untuk mengelakkan sebarang masalah timbul)

contoh penerangan :

Tulisan : Times New Roman

Saiz Tulisan : 12

Line Spacing : 1.5

Penerangan lain tentang maklumat jika ada.



Wednesday 28 October 2015

Aku Dia Dan Rezeki : Remaja Penjual Nasi Lemak

Dapatkan sekarang
RM32 termasuk caj pos
Remaja penjual nasi lemak
.
.
Menyempurnakan amanah itu adalah wajib. Saya menerima sms hampir menjelang tengah malam.
'Salam, abang long, esok pagi tolong hantarkan nasi lemak ke kuih ke untuk golongan gelandangan atau fakir miskin, saya dah transfer duit. Tak banyak RM30 je, tq abang long'
Paginya, usai solat Subuh. Saya tidak boleh bangun. Perut memulas. Setelah mengambil ubat, saya terus tertidur.
Saya terjaga pukul 10 pagi. Bersarapan dengan bijirin ot dan susu.
Sedang enak menikmati sarapan. Tiba-tiba saya teringatkan pesanan sms yang diterima.
Saya bersegera menghabiskan sarapan.
Tidak membuang masa, saya terus menunggang ke warung menjual nasi lemak.
Jam telah menunjukkan pukul 11 pagi. Saya berkeliling kampung. Perasaan hampa menguasai diri.
Kebiasaannya, pukul 11 pagi, kebanyakan warung menjual nasi lemak telah ditutup.
Fikiran saya telah buntu.
Alamak, baru saya teringat sesuatu. Saya berhenti dan membuka penutup tangki minyak.
Nasib baik saya buka. Minyak telah hampir habis.
Saya terus memecut ke stesen minyak di luar kawasan kampong.
Usai mengisi minyak. Sewaktu pulang, saya telah melalui jalan lain.
Sewaktu melalui satu selekoh. Saya terpandang sebuah warung kecil. Hanya payung dan meja.
Penjaganya seorang remaja lelaki.
Bila mendekati warung itu. Alhamdulillah, nasi lemak masih ada.
Saya berhentikan motor dan terus membeli nasi lemak yang telah siap dibungkus dan telah diatur diatas meja.
"Ini sahaja yang tinggal, dik?" saya bertanya berbasa-basi.
"Er, tak adalah ... ini sahaja yang saya jual." Remaja itu menjawab dengan senyuman.
Setelah mengira, harga sebungkus RM1.50. Ini bermakna saya mendapat 20 bungkus nasi lemak.
"Banyak laku jualan nasi lemak hari ini?" saya bertanya lagi.
"Tak, abang lah orang pertama yang beli nasi lemak saya, saya dah cadang nak balik, tak ada orang nak beli ..." luah remaja itu.
Saya memandang wajah remaja itu. Tak mampu nak cakap apa lagi.
Terus bergegas membawa nasi lemak ke rumah fakir miskin.
***
.
.
[Bekerja itu jihad. Manusia bagi gaji lambat, Allah bagi pahala cepat].
:::::::::::::

Anda Soal Kami Jawab

Teks: Monalita Mansor

Gambar : Sendiri

Assalamualaikum. Salam ABDR. Bismillah.
Bergabung dengan kami jemaah ABDR. Sudah hampir 2000 penyertaan suri.

3 kategori kelas popular sepanjang tahun
1. Kelas asas blog dan penulisan.
2. Kelas asas bisnes online
3. Kelas akaun

Ini soalan yang biasa ditanya.
1. Adakah ABDR MLM?
-Kami bukan MLM
-Kami adalah kumpulan sokongan untuk surirumah yang mahu belajar asas bisnes online.
-Latihan ini dilakukan secara online, walau di mana sahaja kalian berada.
-Latihan ini juga boleh dilakukan secara one to one

2. Bagaimana mahu daftar
-Boleh lihat keterangan di sini dahulu
 http://saniahmatsanat.blogspot.my/…/pakej-belajar-asas-blog…
-Pilih kategori kelas, kemudian pilih yuran.

3. Adakah boleh belajar secara berdepan (one to one)
-Iya, memang boleh. Sebelum daftar kenalpasti lokasi dan maklumkan kepada kami lokasi kalian.

Kita sudah pun membuat kelas offline sepanjang 2014.

4. Apakah modul yang sesuai untuk saya belajar?
-Selepas kita analisa baru kita tahu modul apa yang sesuai kerana setiap orang tidak sama masalah.
-Ada yang tidak ada asas penulisan dan mahu belajar menulis secara konsisten.
-Ada yang sudah ada kedai online, tetapi mahu belajar menulis untuk membina trafik dan pembaca/pelanggan
-Ada yang sudah ada website tetapi tidak ada jualan
-Ada yang sudah ada blog tetapi tidak tahu mahu tulis apa.

5. Apa pilihan kelas popular di ABDR?
-Kelas asas blog dan penulisan.
-Kelas asas mula bisnes online.

6. Bagaimana sesi belajar ini berlangsung?
-Selepas faham masalah.
-Pilih kelas.
-Pilih kategori yuran.
-Mendaftar melalui pengurus online atau rakan niaga ABDR, iaitu ada dua logo pada blog mereka.
-Daftar, analisa, masuk grup dan mula.
-Selepas analisa tugasan akan bermula. Arahan adalah di dalam grup.
-Pelajar/peserta boleh selesaikan tugasan walau di mana sahaja kalian berada.


Tuesday 27 October 2015

Sifir Cuti Sekolah

tawaran pre-order dibuka
kumpulan 17 buah cerpen
Halimah jadi begitu bukan atas pintanya. Kalau pun kemiskinan itu dipandang musibah buat kebanyakan orang, ia dimiliki Halimah bukan kehendaknya. Halimah tidak pula mem- bentak-bentak dan menyalahkan sesiapa. Malah tenang dalam sengihan dan senyuman yang sukar dimengertikan. 
Kalau pun kekayaan itu nikmat Allah buat orang yang lain pula, kenapa mereka harus bercempera kebisingan. Menobatkan bahawa semua itu hasil usaha dan doa mereka.  Benarkah atau sekadar dogma untuk meletakkan diri satu takah lebih tinggi daripada orang-orang seperti Halimah. Sekadar menjeling dan tidak pula membantu.   

RM25 sahaja. PM/WA sekarang untuk mendapatkannya.
            

Sesat Barat? ABDR di sini, sedia membantu

Teks : Monalita Mansor

Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam ABDR. Bismillah.

Ini pernyataan yang sering kami dapat setiap kali berurusan dengan yang berhajat ingin tahu tentang ABDR ini.

Benar, seringkali kita buntu apabila kita hilang arah dalam penulisan.
Benar, kita seringkali berhenti separuh jalan dek kerana hilang arah fokus blog yang asal kita usahakan.

Di ABDR, kami diajar untuk menulis dengan hanya menggunakan 5 kuasa label yang bakal beri banyak impak pada penulisan di blog.

Salah satunya, catatan harian.
Setiap hari pasti ada ilmu baru dalam kehidupan. Tulis dan kaitkan dengan fokus blog.

Kedua, catatan pengalaman. samada pengalaman bisnes mahupun pengalaman kerja dan banyak lagi catatan pengalaman yang boleh diceritakan.
Pokok pangkalnya, berbalik pada FOKUS blog asal kita menulis blog.


Belajar lagi bersama guru online dedikasi ABDR di kelas asas blog penulisan mahupun asas blog bisnes.
Semuanya dihujung jari.
Kita kongsi manfaat penulisan sebagai sedekah buat yang membaca.

Monday 26 October 2015

Bangku Tolol Di Sebuah Kafe Berhantu

tawaran pre-order dibuka sekarang
RM25 tidak termasuk caj pos
Aku memutar pandangan pada persekitaran yang lengang. Sedih memanggang perasaan saat premis ini mencernakan pandangan benar bahawa umat bangsaku begitu takut dengan buku. Apatah lagi jika isinya me- nagih pemerahan otak ke tahap maksima.
            “Di mana boleh kutemui hantu itu kalau benar ada hantunya?” tanyaku kembali. Noktah. Aku sudah penat melayan perihal hantu dan bangku.

            “Sudah namanya hantu, mana boleh dilihat,” tempelak si bangku. “Tapi kelibatnya boleh dilihat di ibu pejabat premis ini. Gangguannya datang melalui kabel di sana. Dan akan terus menganggu melalui tangkal berwarna putih di dinding itu. Selagi kabel di sana tidak telus, azimat itu akan terus berkuasa.” Aku memerhati azimat yang dimaksudkan di dinding belakang kafe mini tersebut dan hanya mampu mengukir senyum pahit. Begitu ceritanya.

Nota Bela Diri Adrianus Petrus Hertogh

tawaran pre-oder dibuka sekarang
RM28 + pos biasa
RM30 + pos biasa
Janganlah anakanda menghukum diri kerana anakanda bukanlah punca kepada kesemua peristiwa-peristiwa berdarah di bumi Singapura yang telah terpisah rohnya itu dengan Tanah Melayu. Kesemuanya hanyalah antara sabitan sebab dan akibat yang telah digariskan Tuhan untuk menduga sejauh mata kekuatan hati kita. Sejauh mana kita kembali kepada-Nya.

Akan menemui anda November ini.

Sunday 25 October 2015

Melati Kekasihku

Bakal menemui anda November ini


“Tu…Melati tu?” Zul menongkat tubuh yang masih lemah dengan kedua-dua belah tangan.
Asap? Apa ke gilanya dia nak kahwin dengan asap? Macam mana Melati nak tanda tangan surat taklik? Di mana hendak disarung cincin?

Yang penting sekali, malam pertamanya macam mana? Meriding bulu roma dibuatnya. Terasa hendak menyusup masuk semula ke bawah selimut, selain daripada kesejukan, dia hendak mengelak daripada bertemu pandang dengan emak. Bungkus sampai kepala.

RM28 + pos biasa

RM30 + poslaju

tawaran pre-order dibuka. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung