Saturday 22 February 2014

Dua Jingkit Pertama

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum Dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Alhamdulillah. Bumi Petaling Jaya, tanpa isyarat dibasahi hujan. Aduhai, indahnya kerana masih diberi Allah ruang dan peluang untuk memakbulkan doa kita, insya-Allah. Pada entri yang lepas, saya sudah mengumpulkan seperangkat alasan dan cara sekiranya anda sudah diberi jawapan dan sudah membuat pilihan sama ada mahu menjadi WAHM SOHO ataupun terus bekerja. 

Namun, satu perkara yang ingin saya kongsikan ialah tidak salah kita bergerak secara berjemaah keluar daripada zon selesa seperti yang sudah saya lakukan. Sama ada anda memilih (a) tidak berhenti atau (b) berhenti. Ayuh kita cuba lakukan sesuatu yang baru (selain daripada memakai tudung, jubah, abaya, kasut baru setiap hari)

1. Berhenti merungut. Sebab apabila berhenti merungut, kita akan bersyukur, apabila kita bersyukur Allah tambah rezeki kita. Bila bertambah rezeki, kita boleh bersedekah dengan lebih banyak lagi dan boleh membajet dengan baik. Insya-Allah tempoh perkhidmatan kita sebagai menteri kewangan rumahtangga akan dilanjutkan. 

2. Tulis nota apa yang kita buat hari-hari. Entah kenapa dan apa kena dengan bajet seharian? Tulis aja selama 44 hari. Mula-mula tulis aje apa yang anda nak tulis, digoda apek sayur, tersentap dengan status kawan baik di fb, nampak gambar Kaabah, pasang niat nak pergi haji, terdengar ahli mesyuarat tingkap mengumpat tanpa sengaja, tulis aje. (itu kalau di rumah) - kalau di pejabat, anda tulislah hal pejabat.
SEBAB
menurut Prof Muhaya, secara saintifik perjalanan 40 hari yang ditulis secara tekal (konsisten) akan membentuk tabiat baru yang mempengaruhi cara berfikir dan kesegaran fizikal kita. Anda akan merasainya.
Tapi cuba dululah. Kata Cik Tipah, belum try belum tahu. Nak jadi putih melepak, gebu dan mulus, kena minum kolagen dan sapu krim, kalau sekadar berniat, lupakanlah hasrat suci lagi tulus anda itu. 

Dua sahaja malam ini. Tak boleh lebih-lebih.

Mahu menjadi sebahagian daripada rakan niaga atau pengurus online terus ke facebook Monalita Mansor atau e-mel monalitamansor@gmail.com

Thursday 20 February 2014

Bertukarrrr............

Teks : Monalita Mansor
GambarCarian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Sebelum dipanjangkan catatan, mohon sahabat yang membaca blog ini menyedekahkan Al Fatihah, bacaan doa yang tidak berhijab sehingga langit ke tujuh untuk sahabat-sahabat kita yang sedang bergelut dengan dugaan Allah. Andai ia musibah, semoga ia menyucikan dosa, Andai ia dugaan, semoga ia menjadikan sahabat-sahabat kita bertambah kukuh imannya.

Seterusnya, seandainya jawapan yang kita terima ialah, belum boleh berhenti kerja apa nak buat? Kecewa? Hey, jangan! Kita sudah meletakkan pengharapan kepada Allah untuk memberi jawapan maka sudah tentu perencanaan Allah lebih baik. Umpama kita membina robot Lego, kita saja yang tahu kenapa kita lekatkan tangan berwarna hijau di sebelah kanan dan yang berwarna kuning di sebelah kiri, walaupun orang lain mengkritik dan membawa hujah masing-masing.

RANCANG untuk keluar dari zon negatif.

1. Niatkan
'aku memang nak berhenti, tapi Allah tak izinkan,
 Aku akan berhenti juga satu ketika, sementara tu, aku kena kuatkan semangat! 
Rezeki ni Allah yang bagi, bukan orang
Aku VVIP di sini,maka khidmat aku masih diperlukan,
Mereka semua sayangkan aku, termasuk pihak pengurusan sebab tu mereka tak sampai hati nak buang aku.'

2. Pandang kaki buli (kalau anda dibuli di pejabat) sebagai orang yang memerlukan anda. 'Alololo...kesian dia...' Nak buat apa? Nak buli balik? Tak perlu. Tarik nafas dalam-dalam (kalau tak sampai bermakna ada masalah tu, sila rujuk kepada doktor di klinik berdekatan). Maafkan dia dan lupakan kesalahan dia. Ingat! maaf dan lupakan. Kalau maaf sahaja tak boleh lupa, treet! sudah kurang markah. Kalau kita masih ingat setiap caci maki, sindir, jeling dan tohmahan dia, bolehkah kita maafkan dia. Jangan membohongi hati sendiri. 

3. Berusaha untuk konsisten berdoa. Apakah doa yang paling ampuh? 5 waktu sahaja, sahabat-sahabat, baikilah dulu. Jangan masa dugaan bertimpa-timpa barulah kita menyarung telekung dan mencari sejadah berbulu tebal sambil merayu-rayu Allah. Mulakan perlahan-lahan.

4. Ini blog bajet kewangan ke, blog motivasi? Apa-apa sajalah. Seterusnya, cari sesuatu kemahiran untuk menjana pendapatan sampingan. Ini adalah langkah serampang dua mata. Selain daripada persediaan untuk meninggalkan kerjaya, ia juga langkah untuk keluar daripada zon negatif, melupakan yang remeh-temeh, pandang sesuatu yang lebih besar. 

5. Besarkan jaringan sillaturrahmi, tak sempat bersosial di laman sosial, mulakan sillaturahmi dengan senyuman di tempat kerja anda. Tak perlu menukar gaya ala-ala model antarabangsa, cukup sekadar mulai dengan senyum.

Cubalah, kalau tak percaya. Anda akan merasakan, wau...seronoknya hidup rupa-rupanya.


Kelas yang sentiasa ada di dalam grup Cik Tipah Lawa bertudung biru berkaca mata itu ialah;

 Kelas blog penulisan
2. Kelas blog fanpage mula bisnes
3. Kelas beriklan di mudah.my
4. Kelas penulisan kreatif 
5. Rakan niaga akademi
6. Kelas urusniaga akaun bisnes



Wednesday 19 February 2014

Delima Merekah Nyata

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google dan ABDR

Assalamualaikum. Salam Serumahtangga. Bismillah.

Sudah mendapat keputusan? Sudah mendapat klu apa yang perlu anda buat? berhenti kerja atau tidak? Apapun keputusannya, nah teruskan langkah seterusnya.

Langkah seterusnya ialah RANCANG.

Tinggal diam di rumah sebagai suri rumah bukan bermakna segala bajet kita harus bebankan kepada suami. Ya, dia adalah sole-breadwinner sekarang tetapi kita, harus membantu beliau dengan merencana bajet rumahtangga sebaik mungkin. Kerana itu, penting kita merancang.

Merancang, Cik Kiah, Cik Temah, tak perlulah sampai melantik konsultan perancang bagai. Tak perlu buat kertas kerja berkajang sampai kita sekali terlipat dengan kertas. Merancang cukup dengan menentukan apa yang kita nak buat hari ini, minggu ini, bulan ini atau tahun ini. Ala, Cik Tipah ooi, yang ringkas-ringkas aje. Rangkakan di dalam kepala apa yang kita mahukan hari ini, lepas tu simpan dalam memori telefon. Atau tulis dalam kertas kecil, simpan dalam dompet kulit prototaip jenama terkenal kita tu.

Jika pilihan anda berhenti kerja, fikirkan perkara berikut;

1. hutang piutang - hulahup keliling pinggang ramping kita, bagaimana mahu diselesaikan. Kalau majikan baik hati, ada pampasan, ada bonus, ada long service award, tak apa. Kalau dapat majikan yang marang perapu kepundeng parang sekeper?

2. Ada simpanan tak nak cover 3 atau 6 bulan tak bekerja ni? 

3.Nak buat apa lepas ni? Dah biasa cucuk dinding keluar duit hujung bulan, takkan lepas ni nak cucuk cermin tingkap bank pulak!

4. Kita ada kemahiran tak? Buat kuih ke, buat nasi lemak ke, buat kek ke, atau kemahiran teknikal lain berasaskan kelulusan dan pengalaman? Atau, sekarang kena mengorak langkah pergi belajar mengenalpasti kemahiran dan minat sendiri. 

5. Bincang dengan suami atau keluarga. Kenapa saya letak yang ini akhir sekali? Sebab saya tahu, manusia kalau dah nekad dengan sesuatu keputusan, cakaplah apa pun. Memang dia tak mahu dengar. Makanya, berbincang ni jalan akhir sebagai mencari alternatif ilham tentang apa yang perlu dibuat selepas berhenti kerja. 

6. Carilah ilmu. Buka rangkaian sillaturrahmi mulai sekarang. Kalau dulu dengan jiran payah nak senyum, mula-mulalah senyum. Kalau dulu senyum tak nampak gigi, sekarang senyumlah nampak gigi. Kalau dulu senyum nampak gigi tapi tak menyapa, sekarang menyapalah. Begitu juga dengan rangkaian laman sosial, buka jalan dan cari kawan-kawan yang baik dan positif. Hey, anda akan masuk ke dunia mesyuarat tingkap sepagi-pagi tau. 

Wallah hu alam. Bak kata tuan Shamsuddin Kadir, lain sekolah, lain ajaran. Tetapi semuanya menjurus kepada kebaikan, insya-Allah. Meraikan perbezaan dengan minda terbuka.

                                                    (^ ^) (^^)

Akademi Bekerja di Rumah menawarkan pakej Rakan Niaga tau.
Ada dua pakej, satu pakej kami siapkan blog tinggal anda promosikan apa juga produk Akademi, ada komisen tau. 

Satu lagi anda belajar buat blog bisnes anda sendiri, kemudian anda promosikan produk akademi.
Anda tak perlu kemahiran bercakap. Gunakan kemahiran menulis dan 'menggoreng' di laman sosial.

monalitamansor@gmail.com
FB : Monalita Mansor



Sunday 16 February 2014

Persimpangan Buah Delima

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Monalita Mansor

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Saya ingin memanjangkan perbincangan di facebook mengenai usaha meninggalkan kerjaya bergaji, berbonus dan ber'overtime' dan tinggal di rumah memasak, membasuh kain, melipat kain seterusnya menjadi supir mupir dengan gembiranya.

Hakikatnya, kita akan sentiasa berada di persimpangan. Ya mahu berhenti jam-jam ni juga tanpa lengah sebab;
1. Tak tahan dengan bos - pilih kasih, tangkai jering, buruk siku.
2. Kesian dengan anak-anak - malam baru nampak muka mak, tak dapat nak manja-manja dengan mak sebab mak sibuk
3. Risau tinggalkan anak di taska atau dengan pengasuh - takut di'gulailabu'kan anak kita.
4. Dah bosan asyik buat kerja yang sama - wal hasil balik asal
5. Letih - balik rumah dah lah berumahtangga di dalam kereta/bas/tren sampai rumah kena masak, mengemas, layan anak, layan suami.
6. Kerja tak bersesuaian dengan kelulusan.
7. suami suruh berhenti kerja.

Namun, persimpangan delima ni boleh dipecahkan menjadi buah dilema yang sedap dimakan. Caranya? nak bertanya siapa? tanyalah Yang Maha besar. Lakukanlah istikharah.

“Di antara kebahagiaan anak Adam ialah Solat Istikharah (minta pilih) daripada Allah Taala dalam segala urusannya dan di antaranya kecelakaan anak Adam ialah meninggalkan solat Istikharah daripada Allah pada segala urusannya.”

Bila nak dilakukan? walaupun waktu seafdalnya sebelum tidur atau sepertiga malam, ia boleh juga dilakukan bila-bila masa saja. Dua rakaat satu salam, minimanya dan dua belas rakaat (12) enam salam, maksima. Anda boleh rujuk kepada buku panduan solat sunat yang banyak terdapat tetapi jika was-was, bertanyalah pada yang arif.

Penting sekali niat di hati untuk mencari penyelesaian dan saya pernah diingatkan semasa berdoa, 'jangan tentukan apa yang kamu hendak tetapi minta Allah (dengan sepenuh keyakinan) berikan penyelesaian dan petunjuk.'

Lakukan berkali-kali sehingga anda yakin sudah mendapat klu yang setepatnya. Klu tersebut tidak semestinya di dalam mimpi sahaja, mungkin juga didorong oleh satu perkara sehinggakan keinginan kepada pilihan A atau B semakin menguat.

Lepas tu, saya ceritakan apa yang boleh kita buat. Ini kisah benar, berdoa, berdoa dan jangan letih berdoa. 

Atau anda boleh mendapat inspirasi daripada e-book ini.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung