Saturday 9 August 2014

Menanda Aras Karya Pop dan Karya Sastera

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.

Semalam, saya terbaca sebaris komen daripada seorang anak muda yang saya kira mewakili generasi Y. Bilangnya, karya-karya sekarang harus 'straight to the point', ringkas dan tidak berbelit-belit. Mungkin pada perkiraan beliau, generasi sekarang adalah generasi yang ringkas dan segalanya mahu tuntas dan pantas.

Saya hargai komen beliau, namun sebagai penulis yang berada di dua persimpangan iaitu karya pop dan sastera, saya lihat perlu ada keseimbangan di antara kedua-duanya. Sastera yang menitikberatkan unsur keindahan bahasa dan estetika dalam berkarya adalah warisan dan sebahagian daripada harta intelek milik sesuatu umat.

Manakala, pop adalah lebih kepada ikutan aliran semasa. Apabila musimnya berubah, ia akan bertukar. Hanya jika karyanya terbaik, ia akan diiktiraf sebagai perintis, namun saya tidak melihat banyak karya pop diangkat sebegitu rupa. Jika ada, ia sebenarnya di tangan seorang penulis yang menguasai sastera juga. 

Saya faham akan 'kerimasan' dan 'kelemasan' anak-anak muda ini membaca karya sastera. Bahasa berselirat dan dwimaksud. Konotasi dan denotasi kadang-kadang tidak menggambar apa yang tergambar di permukaan. Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris kuno yang sangat 'jujur dan bersopan-santun' serta 'berbudi-bahasa'.

Hanya, satu perkara apabila bercakap mengenai isu ini, saya suka menggunakan Surah Yusuf yang merupakan sebuah karya lengkap kisah hidup Nabi Yusuf A.S. sebagai penanda aras.  Editor dan penulisnya adalah Allah. S.W.T. Dinukilkan di dalam Surah Yusuf.

Err...terjumpakah kalian ayat-ayat perbualan harian yang 'straight to the point' atau babak-babak 'nyut-nyut' di dalam surah tersebut meskipun untuk menggambarkan keghairahan Zulaikha (semoga Allah mengampunkan dia) ketika menggoda pesuruh Allah yang tampan itu. Adakah bahasa yang digunakan semuanya bahasa tersurat atau tersurat.


Harap anda jawab sendiri ya. 

** Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak berdasarkan rujukan atau mana-mana sumber selain Al Quran. 

Friday 8 August 2014

Tak habis-habis lagi....

Teks : Monalita Mansor 
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.

Masih belum bergerakkah saya? Masih bercerita tentang raya? Maaf ya, mod masih melayang kerana hati yang luka tidak kunjung sembuh. Namun dalam luka-luka tu, sudah siap dihantar sebuah cerpen untuk siaran majalah dan bakal dihantar satu lagi untuk siaran sebuah majalah mingguan. 

Seperti panduan yang diberi oleh Azura Abdullah, dalam things to do list, saya sudah mula menyenaraikan projek melibatkan penulisan sehingga akhir tahun ini. Insya-Allah. Sementara itu, nota-nota di sini akan diteruskan. Saya sudah pencen menulis novel! Saya tak mahu menulis novel lagi. Setidak-tidaknya sehingga akhir tahun ini.

Hati masih terluka dengan pengabaian janji oleh pihak penerbit sehingga royalti yang sepatutnya saya terima pada Julai lalu, tidak kunjung tiba.  Macam mana cikgu mengajar menulis yang sepatutnya tahu undang-undang kontrak penulisan boleh kena tipu jugak? well...cikgu pun manusia.


Sambung cerita raya.

Saya bertemu dengan seorang sepupu yang berkahwin semula, di rumah adik emak. Selepas sepuluh tahun. Dia masih seperti dulu, cuma saya melihat keceriaan di wajahnya. Suaminya kelihatannya sangat penyayang dan sekali pandang, layak untuk digelar pemimpin rumah tangga bersama 5 orang anak yang meningkat remaja. 


Terlalu banyak perkara yang ingin dikongsi, kerana selepas pemergian kakaknya yang sebelum ini kawan baik selain sepupu saya, dia antara kawan yang naif yang sentiasa ada dan ada banyak perkara dan persamaan yang kami kongsi. 
Malangnya, ia tidak berlaku. Tahun depanlah nampaknya berjumpa lagi. Oh ya, nanti saya kongsikan perjalanan raya kedua. Tahun ini memang kami beraya di atas jalan sahaja, pada kebanyakan ketika. Dari Selangor masuk ke KL, terus ke Pahang menempuh pendaerahan Negeri Sembilan dan kemudiannya kembali ke Pahang sebelum kembali ke Selangor namun sempat memanjat perbukitan Genting, mengunjungi Mini Cameron. 

Thursday 7 August 2014

Cerita Raya lagi.

Teks : Monalita Mansor
Gambar :

Sambung cerita raya.

Raya pertama, disambut di perkampungan felda Sg Retang. Kunjungan selepas empat belas tahun rasanya. Di sini, keluarga emak berkumpul, walaupun emak anak yang sulung. Sudah menjadi tradisi semenjak dahulu, wek (panggilan untuk nenek bagi orang sebelah Jerantut) memang beraya di rumah mak teh. Saya pun memang suka beraya di rumah mak teh atau dengan kehadiran mak teh sebab mak teh pandai memasak. Kemahirannya kini tumpah kepada satu-satunya anak perempuannya yang kini mengusahakan bisnes kek cawan.

Di rumah mak teh, sudah menunggu adik bongsu mak, mak cik dan tidak lama kemudian tiba pula adik lelaki mak, yang kami panggil pak itam. Lengkap? belum. Emak ada 10 orang adik beradik. 4 seibu sebapa, 6 adik-beradik berlainan ibu.

Di kesempatan yang sama juga, saya berpeluang melawat teman seumrah dahulu, Siti Rubaya dan suaminya serta ayah bonda mereka yang turut serta ketika itu. Semarak rindu mengharum dan terubat, lebih-lebih lagi bertemu hidangan yang tak pernah ditemui pada pagi raya, yong tau foo.

Usai zohor, kami bertolak pula ke rumah sahabat baik emak dan ayah. Redah sahaja, tanpa alamat, tanpa GPS, terpaksalah menggunakan cara manual. Bertanya orang. Menyedihkan kerana resam hidup di pinggir bandar sudah tidak jauh bezanya dengan Lembah Kelang. Golongan muda memang tidak mengenali golongan tua.

Dengan segala susah payah, akhirnya bertemu juga, malangnya orang yang ingin ditemu tiada pula di rumah. Hari raya pertama kan. Maka, rancangan kami seterusnya membawa emak menemui adik kandungnya. Macam rancangan jejak kasih la pulak. Emak memang tak tahu dan tak sebut langsung tentang adiknya yang seorang ini. Maka diam-diam, encik suami membuat pusingan U, memasuki lebuhraya dan menuju ke Jalan Maran.

sambung lagi. panjang cerita raya ni.

Wednesday 6 August 2014

Resensi Novel 'Hilang' karya Dayang Noor

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.

Ini kali pertama saya membaca mana-mana karya terbitan Fixi. Mungkin juga saya ada pandangan yang sedikit skeptikal terhadap penerbitan ini. Namun apabila melihat novel Hilang berada di rak buku Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor cawangan Pekan Seri Manja, ringan tangan saya mencapainya dengan pandangan, ia tidak akan berada di rak perpustakaan jika isinya tidak memberi manfaat kepada masyarakat.

Penerbit ini menjunjung prinsip penulisan tersendiri, sudah diterangkan di helaian awal, maka kemahuan untuk membaca novel-novel terbitan mereka adalah pilihan pembaca sendiri. Saya membaca 'blurb' sebelum mula menyelak helaian awal novel ini. Tiada sebarang ekspetasi saya letakkan memandangkan kali terakhir saya membaca novel bergenre suspen adalah Magis karya RAM yang 'berbeza' sedikit alirannya. 

Novel yang terbit pada 2012 ini mula menunjukkan belang pada awal-awal bab lagi. Berpandukan 'blurb' ada plot yang sudah boleh dijangka tetapi digarap dengan menarik oleh penulis. Perkaitan watak, estetika latar dan jalinan cerita, plot yang menggunakan teknik 'flash back' dan 'flash forward' tidak sedikit pun menjejaskan tumpuan penceritaan kepada subjek utama. Penulis menggunakan latar 1Malaysia dengan watak-watak majmuk yang rencam dan membawa pemikiran masing-masing. 

Tidak keterlaluan saya katakan, novel 'Hilang' ini membawa gambaran realiti tentang Malaysia. Watak-wataknya adalah manusia biasa yang biasa kita temui dalam kehidupan seharian dan dalam diri kita juga. Tidak terkecuali juga naratif-naratif sinikal yang digarap secara santai namun membawa maksud tersendiri. 

Ini bukan novel komedi, jauh sekali romantik. Namun penulis menyuntik elemen tersebut secara abstrak dan tidak terkesankan melalui dialog-dialog Jo dan monolog Shaziman juga Kay. Meskipun saya tidak menyarankan anak-anak remaja (walaupun saya tahu ramai remaja sudah membacanya - sila ambil sempadan pada setiap unsur negatif yang dipaparkan) 'Hilang' memaparkan sisi positif seorang anak yang sanggup berkorban untuk emak dan kakaknya. Tiada naratif yang mencatatkan watak Khairani merungut atau melawan emaknya pada ketika dia diminta memberikan duit untuk mengubat kakaknya, berkali-kali.

Satu paparan yang mengatakan novel Hilang ini sangat 'melayu dan dekat pada masyarakat' ialah nama-nama watak yang dimudahkan. Watak antagonis misalnya, hanya diberikan nama Jusoh yang mungkin kedengaran sangat 'kampung' namun sangat kejam sehingga sanggup mencacatkan pengikut setianya hanya semata-mata untuk memastikan rahsianya tidak terbongkar.

Saya terikat dengan plot sehingga akhir kerana penulis berjaya menghijab antagonis sebenar dengan baik sehinggalah ke bab-bab akhir. Namun, terdapat seperenggan naratif yang saya rasakan longgar sehingga saya membacanya berkali-kali. Bagi pencinta bahasa, tiada apa yang dapat anda harapkan daripada novel ini kerana penulis tidak meletakkan estetika tatabahasa Melayu di dalam novel ini. Namun, bagi penggemar novel suspen tempatan, 'Hilang' dapat mengisi kehilangan yang ditinggalkan oleh penulis-penulis novel suspen atau bercorak penyiasatan sebelum ini.

Jika ia ingin dialihkan ke layar perak, saya mengharapkan tiada sebarang perubahan pada plot dan skrip, kerana penulis sudah mencukupkan rencah di dalam karya ini. Tiada teknik CGI yang mahal diperlukan kerana latar masyarakat sedia ada sudah mencukupi.

Dimulakan pada sebelum Maghrib dan berakhir pada 10.44 malam , 5/8/2014

Tuesday 5 August 2014

Syawal Itu Kemenangan

Add caption
Teks : Monalita Mansor
Gambar : Tak ada gambar raya yang diambil di rumah.

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.

Hampir seminggu sudah Syawal berlalu. Puasa 6 sudah dilunaskan? Saya belum lagi. Masih rindukan Ramadan sebenarnya. Masih terkenang-kenang saat-saat manis berada di dalam zon makbul doa. Masih terngiang-ngiang rintih tangis dan rayuan sukma pada Dia yang satu. Masih teringat-ingat indahnya sillaturrahim yang terjalin sesama rakan maya, biarpun ada separuhnya tidak pernah bertemu muka.

Ramadan yang berakhir disambung dengan dugaan balik kampung yang menghadapi kesesakan tahap mega. Maka, dengan bantuan rakan-rakan maya, kami membelok masuk ke jalan Gombak-Bentong lama. Wah, segarnya udara hutan dan curam dan dalamnya jurang, semuanya mendebarkan. Tak sangka, masih terpelihara kesucian hutan yang memeluk kami di sepanjang perjalanan.

Persediaan hari raya di rumah mak, serba sederhana. Tiada lemang (ayah memang tak pernah buat lemang sejak dulu) Rumah mak tak boleh dikemas lebih-lebih, nanti dia bising. Cari tu tak jumpa. Cari ni tak jumpa. Jadi, kami biarkan aje dengan rupa asalnya.

Menjelang Aidil Fitri, ayah yang buat rendang. Mak tak benarkan saya buat sebab katanya saya buat tak sedap. Saya dan encik suami menyibukkan diri di pekan sehari Temerloh, menyertai hamba-hamba Allah pelbagai ragam dan rupa dalam keghairahan menyambut raya. Untuk memberi rasa gembira untuk anak-anak, dibelikanlah mercun pop ke apa ke (saya pun tak tahu).

Malam menjelang Aidil Fitri, sedaya upaya saya melakukan ibadat setakat yang terdaya. Esok, kena bangun pagi-pagi, kena sediakan juadah sebelum menunaikan solat sunat Aidil Fitri. Meraikan sunnah, kan pahala tu.

Pagi 1 Syawal, anak-anak menunjukkan wajah ceria, biarpun tiada seorang pun yang berbaju raya baru tahun ni. Alhamdulillah, mereka reda walaupun saya tahu di dalam hati mereka, ada sesuatu yang pedih tersimpan. Along, kami tinggalkan di rumah buat menemankan wannya. Yang lain, diangkut ke masjid untuk bersolat sunat.

Selepas anak-anak membesar, inilah kali pertama saya berpeluang bersolat sunat Aidil Fitri di masjid yang penuh nostalgia di kampung itu. Usai tahlil di masjid, kami bersiap pula untuk bergerak menuju ke Felda Sg Retang, Jerantut. Rumah siapa? Nanti saya sambung ya.

Eh...masih ada yang perlukan stok serunding atau nasi arab untuk jamuan rumah terbuka. Hubungi saya ya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung