Saturday 19 April 2014

Di Sana Terlebih, Di Sini Terkurang

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Ada ketikanya, saya merasakan menjadi penulis ni, ada simpton 'mental' sikit. Yelah, mana taknya, tak ada masalah, pergi cipta masalah, susun masalah, kemudian duduk tak duduk (kata mak saya) pergi selesaikan pulak. Lepas tu, belum kisah writer's block, idea tak masuk, plot tak flow, perkataan tak cukup dan seribu satu kisah yang entah apa-apa.

Semuanya saya rasakan ketika mengedit cerpen protege saya, Intan Haji Daud yang terlebih kuah. Maka saya minta dia kurangkan kuah, sebab ada majalah-majalah yang menetapkan patah perkataan untuk siaran majalah mereka. Selepas ini, saya mengedit pula cerpen seorang lagi protege saya, Cikgu Syida yang terkurang kuah, juga untuk mematuhi syarat siaran majalah. Akhirnya saya tergelak seorang diri. Yang di sana terlebih, yang di sini terkurang.

Namun begitu, itulah dia kebahagiaan saya, terutama melihat protege-protege yang datang dengan gelas yang kosong, ada juga separuh berisi ada juga penuh, mendapat sedikit manfaat daripada ilmu yang dikongsi. Sebagus mana saya ni? Allah yang tahu sebab Dia yang jadikan saya. 

Sekali lagi, apa-apapun saya hanya ingin mendorong kebaikan, insya-Allah. Mengongsi saat indah apabila impian terlaksana dalam cara kita sendiri. Selebihnya, Allah sahaja yang mengetahui.

Nota : tanda (-) perlu diletak untuk kata ganda sahaja. Tetapi, untuk kata majmuk, ia tidak perlu diletakkan.

Friday 18 April 2014

Kabus Rindu lagi....

Teks : Monalita Mansor
Foto : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Inilah novel Kabus Rindu. Novel ketiga saya dan novel pertama di alaf 21. Novel bergenre komedi romantik (kata penerbitnya) kata saya ia bergenre kasih sayang dan kekeluargaan.

Novel ini berharga RM18 dan sekarang berlegar di kedai-kedai buku utama di seluruh negara atau anda boleh dapatkan terus daripada saya dengan tanda tangan yang tak berapa semenggah namun bererti sebagai tanda penghargaan tidak terhingga.

Atau, boleh juga inbox saya terus untuk belian online atau terus ke page EMP juga untuk belian online.


Nota : 'namun' dan 'tetapi' membawa maksud yang sama, tetapi 'tetapi' tidak boleh digunakan pada permulaan ayat.

Thursday 17 April 2014

Pakai Pen Baru

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Nik Fauziah Nik Hussin, Era Muslimah

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Pen baru, maksud saya bukanlah pen yang baru dibeli. Atau pen orang saya pinjam. Saya memaksudkan era baru yang saya masuki dengan kemahiran penulisan yang sedia ada. Kalau dahulu, saya hanya menulis karya kreatif, kalau non kreatif adalah melalui tugasan, maka hari ini, satu lagi langkah baru untuk saya apabila saya diberi peluang menyiapkan artikel kolum Generasiku di majalah Era Muslimah.

Namun, sanjungan hamdallah dan terima kasih harus diberikan kepada Puan Nik Fauziah Nik Hussin yang memberikan tunjuk ajar. Untuk artikel sulung ini, segalanya dibantu oleh Puan Nik dan saya ditugaskan meletakkan cerita di tempatnya sahaja.

Tak kisah kan...bukankah progres atau proses itu lebih baik daripada berdiam sahaja?

~~ Dialog, imbas kembali dan saspens adalah sebahagian daripada teknik plot di dalam karya~~

Wednesday 16 April 2014

Penghargaan Buat Tetamu Istimewa

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi dan Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

12/4/2014, hari kedua saya berada di Dewan Gemilang, MRSM Tun Dr. Ismail MRSM Pontian. Hari yang mengujakan apabila mengenangkan sambutan hangat khalayak penggemar buku di permukiman Pontian. Malam itu malam saya tidur lena, selain kepenatan selepas berpusing-pusing di bandar Pontian dan menikmati makan malam di Tambak.




Di pinggiran Selat Melaka yang ditambak itu, sempat saya menyiapkan satu bab di dalam kepala untuk manuskrip 'Aku Drebar Forklift'. Hanya menunggu masa untuk ditumpahkan dalam bentuk tulisan. Bunyi ombak mendebur pantai dan kelip-kelip cahaya daripada bot nelayan di tengah lautan, begitu mengasyikkan.

Sekitar jam 2.00 petang dengan perut yang lapar, (sebab tak boleh tinggalkan booth) kami menunggu kehadiran Timbalan Menteri Kewangan Malaysia yang juga Ahli Parlimen Pontian, YB Datuk Hj Ahmad bin Hj Mazlan. Dengan persalinan santai berbaju T merah, t-shirt rasmi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, beliau diiringi oleh Pengetua MRSM Pontian, Pengurus Cawangan BSN Pontian, VIP-VIP berkenaan dengan dunia perbukuan di samping selebriti yang kelihatan seperti Aziz Desa, Ana Raffali, Yatt Hamzah dan tuan Khalid Salleh yang setia berada di gerai ITBN.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu negeri Johor dan Negaraku. Sudah tentulah saya ternganga-nganga sebab memang tak pernah dengar pun lagu ni. Tapi, sebagai rakyat Malaysia, sekadar berdiri tegak memadai sebagai tanda hormat. 

Seterusnya ucapan alu-aluan dimulakan oleh Pengetua MRSM, dan VIP (maaf, saya terlupa namanya) yang bercakap mengenai dunia buku di Malaysia. Selepas ucapan Ahli Parlimen Pontian, YB Datuk Hj Ahmad, majlis diteruskan dengan peluncuran antologi Tetamu Istimewa oleh beliau.


Saya terpinga-pinga seketika, perkataan Tetamu Istimewa itu sangat sinonim dengan minda saya. Namun ketika itu, saya memang betul-betul 'blank'- Kemudian disebut pula nama penulis dan asalnya. Mohd Helmi Ahmad dari Batang Kali Selangor. Ketika itu baru saya teringatkan seorang blogger dengan blognya Tetamu Istimewa, Cikgu Helmi Ahmad.

Saya mencari-cari juga kalau Cikgu Helmi naik ke pentas, malangnya hanya Tetamu Istimewa yang dibawa naik ke pentas. Sempena program Membaca Sejuta Pembaca, YB Hj Ahmad telah membaca seperenggan sedutan cerpen di dalam Tetamu Istimewa. Sekali lagi, disebabkan faktor usia, saya gagal mengingat tajuk cerpen tersebut.

Acara ini, sememangnya begitu menyentuh hati saya sebagai penulis. Sebuah karya dinobatkan di dalam sebuah majlis oleh bijak pandai pencinta ilmu yang berkedudukan di dalam masyarakat. Pesan YB Hj Ahmad, "kalau nak beri hadiah pada saya, berilah buku."

Saya juga menyimpan impian manis sebegini. Semoga segala-galanya dipermudahkan.

Nota : tiada imbuhan 'mer' di dalam Bahasa Malaysia. Maka, perkataan 'mertua' dan 'merbahaya' adalah salah. Ia sepatutnya diganti dengan 'mentua' dan 'berbahaya'

Tuesday 15 April 2014

Baju Melayu Wan di Wadah Siswa

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Alhamdulillah, cerpen berjudul 'Baju Melayu Wan' tersiar di dalam majalah Wadah Siswa terbitan April 2014. Cerpen yang saya angkat daripada seorang remaja bernama Wan yang saya temui Pusat Jagaan Al Fikrah, (rumah penempatan warga terdampar) di Kajang ketika majlis doa selamat EMP dan pelancaran 3 novel terbitan EMP tahun lepas.

Saya akui, saya gagal memahami Wan. Saya gagal memahami kehendaknya kerana inilah kali pertama saya bertemu dengannya. Sebaik diceritakan kisah hidup Wan sehingga dia ditempatkan di rumah perlindungan untuk warga terdampar, barulah saya memahami sedikit sebanyak maksud senyumannya itu.

Anda boleh baca cerpen ini, mengisahkan kasih sayang yang tidak akan putus, walau bagaimanapun keadaan dan dugaan yang melanda.


Nota : Ayat Tunggal ialah ayat yang mempunyai satu subjek dan satu predikat sahaja

Monday 14 April 2014

Menjadi 'kakak' di Pontian

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Hari-hari semakin kronik dirasakan.

Saya bukannya ditimpa sakit kronik, tetapi masa semakin kronik hari demi hari. Minggu lepas sudah merancang dengan 4 orang sahabat untuk bersama membangkitkan semangat di Seminar Bangkit 2014 di SACC anjuran Richworks. Namun, Allah lebih bijak menggariskan apa yang mahu diberikan pada hambanya.


Minggu lepas juga, sempat menyiapkan sebuah tugasan, mengedit dua buah karya dan menyiapkan artikel untuk dihantar ke majalah, meskipun segala-galanya dilakukan dalam larian yang cukup kencang. Pada hari Khamis, petang saya telah bertolak ke Pontian bersama Pengurus Pemasaran, Promosi dan Acara, EMP, Siti Aishah Rosli untuk menyertai Karnival Jelajah PBAKL 2014 di MRSM Tun Dr. Ismail Pontian Johor.

Masya-Allah, debar di hati, Allah sahaja mengetahui. Memandangkan masing-masing adalah kali pertama menjadi 'penunggu' booth seperti ini. Saya tidak membawa nama saya sendiri, tetapi membawa juga nama EMP untuk diperkenalkan kepada pengunjung.

Alhamdulillah. Segalanya mengujakan. Ayat paling mudah ialah balik modal. Bukan sahaja dari segi pulangan jualan, malah pulangan ilmu tentunya dan ia memberi pengalaman baru buat saya.

Seronok di Pontian.

~Kata Ganti Nama : perkataan yang menjadi pengganti kata nama khas dan kata nama am ~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung