Thursday 3 April 2014

Kerancuan Bahasa : Betapa Kroniknya Ia



1.0       Pengenalan
Bahasa bertindak sebagai wahana penyatuan.  Apabila manusia memahami bahasa yang dituturkan oleh manusia lain, akan wujud komunikasi yang akan merapatkan apa juga jurang ketidakfahaman mengenai sesuatu perkara.
Raminah Sabran (1993: iii) memperjelaskan bahawa bahasa adalah alat perhubungan yang penting dalam kehidupan manusia.  Penyampaian kehendak, perasaan, pendapat, pengalaman, pengetahuan, memperoleh maklumat juga memahami orang lain boleh dilakukan dengan adanya bahasa. 
Bahasa Melayu sedang menghadapi cabaran dalam pelestariannya.  Terutama sekali dalam mendepani cabaran sebagai sebahagian daripada agenda peneguhan adab dan kesantunan bangsa.  Meladeni era globalisasi untuk duduk sama tinggi dan berdiri sama rendah dengan agenda pembangunan ekonomi, sains dan teknologi, kerancuan berbahasa menjadi ban yang tidak harus dipandang sebelah mata. 
Kegawatan penggunaan tatabahasa, peristilahan, kosa kata, ataupun sebutan dalam penggunaan Bahasa Melayu akan merencatkan usaha pemerkasaaan Bahasa Melayu sebagai bahasa supranasional  yang dituturkan secara tuntas oleh masyarakat dunia. 

2.0       Objektif
Objektif tugasan ini ialah mengumpulkan sebanyak mana maklumat yang membuktikan kerancuan Bahasa Melayu oleh murid-murid sekolah disebabkan oleh faktor-faktor seperti bahasa ibunda, bahasa dialek, bahasa asing,  juga beberapa faktor lain yang akan dibincangkan.


3.0       Kaedah
Tugasan ini memanfaatkan penggunaan teknologi internet menerusi enjin carian Google juga dengan bantuan buku-buku rujukan dan majalah daripada perpustakaan.  Tidak ketinggalan juga temuramah dan pemerhatian secara rawak dengan beberapa orang murid di sekolah. 

4.0       Batasan
Tugasan ini memfokuskan kerancuan Bahasa Melayu di kalangan murid-murid sekolah berasaskan sebab-sebab yang akan dibincangkan terutama kesilapan penyerapan tatabahasa, sebutan, istilah, kosa kata dan laras bahasa. 

5.0       Definisi
Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan rancu bermaksud tidak teratur,  bercampur-aduk atau kacau.  Kerancuan bahasa membawa maksud keadaan penggunaan bahasa yang tidak teratur, mencampuradukkan bahasa iaitu bahasa Melayu dengan bahasa lain. 
Prof. Nik Safiah Karim (1986) memberi istilah yang sinonim iaitu pencemaran bahasa.  Pencemaran bahasa adalah pelanggaran hukum-hukum bahasa yang telah dipersetujui sama ada pada peringkat sebutan, pilihan kata atau susunan frasa dan ayat.

Pada pandangan Zaaba pula, kesilapan itu ialah kerana ia menyimpang daripada penggunaan umum yang biasa dipakai.  Menurut beliau, kesilapan bukanlah pencemaran, tetapi sekadar menyimpang daripada peraturan-peraturan bahasa.  Bagaimanapun, kerancuan, kecelaruan, pencemaran, kesalahan, penyimpangan tetap mengarah kepada sesuatu yang luar daripada jalurannya dan menyalahi ketetapan.




6.0       Faktor-Faktor Penyumbang Kerancuan Bahasa Melayu di Kalangan Murid-murid Sekolah

6.1       Bahasa Ibunda – (Sebutan/Ejaan)
Abdullah Hassan (1980:28) menegaskan bahawa penutur bukan Melayu gagal membezakan é dengan e (schwa)  yang membawa kekeliruan dari segi sebutan.  Sebagai contoh sepak yang membawa maksud tampar dengan sépak yang bermaksud menolak sesuatu menggunakan kaki dengan kuat. 
Mereka juga didapati agak payah menyebut bunyi sengau lelangit keras seperti ny dan ng dengan tepat.  Perhatikan contoh di bawah:
Bunyi
Betul
Salah
ny
   La-nyak
Lan-nyak, lan-niak, la-yak

Ke-nyang
Ken-nyang, ke-jang, ke-yang

Ba-nyak
Ban-nyak, ban-niak
ng         
Ta-ngan
Ta-gan, tan-gan

Ung-gas
u-ngas, un-gas

Le-ngan
Len-gan, leng-gan, lé-ngan

Ini kerana ejaan setiap bunyi mempunyai dua lambang iaitu n dan y dibaca secara dua bunyi.  Tidak mustahil juga kerancuan ini akan menyebabkan ejaan dan makna perkataan itu berubah seratus peratus.





6.2.      Bahasa Ibunda  -  (Tatabahasa)

Penterjemahan bahasa ibunda secara terus akan mencaca-merbakan Bahasa Melayu daripada aspek tatabahasa.  Corder (1981) mengungkapkan kesalahan bahasa berpunca daripada penukaran, pengalihan atau penghilangan sesuatu bahagian ujaran seperti bunyi, morfem, perkataan dan rangkai kata yang menyebabkan ayat yang dibentuk mengandungi kesalahan.  Di bawah, diperturunkan beberapa contoh terjemahan langsung:-
Ayat Asal
Terjemahan Langsung
Salah
Ayat Sebenar
Rumba nandri
Banyak terima kasih
Terima kasih banyak-banyak
Hsieh hsieh ni
Terima kasih awak
Terima kasih
Mera nam Joker
Saya nama Joker
Nama saya Joker
Ni chou shenme ming
Awak ini apa nama
Siapa nama awak?

Murid-murid bukan Melayu cenderung menggunakan ayat-ayat terjemahan langsung sebegini kerana perkataan-perkataan tersebut menjadi bahasa basahan atau bahasa pertuturan mereka di rumah. 

6.3.      Bahasa Dialek/Daerah – (Sebutan/Ejaan/Kosa Kata/Tatabahasa/Laras Bahasa)
Kamus Dewan mendefinisikan dialek adalah kelainan bahasa dari segi loghat dan pelat  yang digunakan hanya di tempat atau daerah tertentu sahaja.  Dialek yang dituturkan boleh menjadi identiti sesuatu lokasi ataupun penempatan selain daripada faktor geografi.  Perhatikan kerancuan Bahasa Melayu yang berlaku di dalam senikata lagu Apo Kono Eh Jang yang menjadi siulan setiap peringkat usia, kini,  termasuk murid-murid sekolah.
Serangkap lagu tersebut sudah meliputi keseluruhan aspek kerancuan bahasa Melayu berasaskan faktor bahasa dialek. 

Sebutan
Ejaan
Kosa kata
tatabahasa
Laras bahasa
Apo kono eh jang
Apa kena dengan kau
Apa kena eh jang
Penggunaan kosa kata yang lemah
Apakah yang  berlaku pada kau/mu
Tiada penggunaan partikel kah, tiada tanda soal,
Tidak dapat diklasifikasikan
Kau monong ajo
Kau menung aja
Kau menung aja

Kau termenung sahaja, tiada imbuhan ter, penggunaan bahasa basahan ‘aja’

Orang ko bulan
Orang ke bulan
Orang ke bulan

Orang sudah sampai ke bulan, tiada kata pemeri sudah dan predikat sampai

Ekau di mano
Engkau di mana
Engkau di mana

Engkau entah ke mana, tiada predikat entah


Kebiasaannya,  bahasa dialek digunakan untuk memudahkan komunikasi dalam proses pembelajaran dan pengajaran.  Ia juga dapat mewujudkan suasana mesra di antara guru dan murid-murid.  Terkini, kekacauan dalam bahasa Melayu disebabkan faktor bahasa dialek tidak lagi berlaku di lokasi atau tempat-tempat tertentu seperti daerah atau negeri.  Ia juga menular ke bandar-bandar besar berikutan pengaruh media massa menggunakan jarumnya seperti lagu-lagu, filem, iklan dan juga laman web. 

6.4.      Bahasa Inggeris – Peristilahan / Sebutan /Laras Bahasa
Kamal Shukri Abdullah Sani (2007) mengungkapkan bahawa murid-murid sekolah juga didedahkan dengan penggunaan bahasa yang bercampur aduk dengan Bahasa Inggeris.  Terjadilah tragedi code-switching yang berlebih-lebihan atau istilah Hassan Ahmad, (1996) bahasa Melayu ‘buruk’ atau bahasa Melayu ‘main-main’.  Diperbesar-besarkan oleh golongan ibu bapa kelas menengah dan ditiru oleh mereka.  Selain itu, kerancuan juga berlaku di dalam peristilahan dan laras bahasa perubatan dan sains seperti contoh di bawah;-
Bajet                - belanjawan
Infotaimen      -gabungan perkataan information dan entertainment yang dimelayukan
Kanser             - barah
Strok               - angin ahmar
Diabetes          - kencing manis
Maritim           - samudera
Metereologi     - kajicuaca

6.5.      Media massa (filem/iklan/tv/radio/laman web)  – (Ejaan / Sebutan)
Media massa berperanan mencacamerbakan lagi bahasa Melayu dengan memperkasakan penggunaan bahasa rojak dan bahasa slanga.  Tidak ketinggalan juga penggunaan ayat yang tidak menurut laras tatabahasa. Bahasa rojak boleh didengari jelas dalam iklan-iklan ataupun produk-produk seni lain seperti filem dan drama.  Contoh-contoh berikut boleh ditemui dengan mudah dan menjadi ikut-ikutan murid-murid di sekolah.
Ini semua poyo!
Apa celop toq...
Jom heboh
Lawak ke Der...

6.6.      Majalah , cerpen dan novel – (Sebutan / Ejaan/ Laras Bahasa)
Mutakhir, karya-karya picisan turut menyumbang ke arah kebobrokan Bahasa Melayu dengan berleluasa penggunaan bahasa rojak, bahasa slanga dan bahasa basahan.  Malangnya, karya-karya begini mendapat sambutan hangat kerana dirasakan bahawa bahasa-bahasa yang digunakan ringkas dan lebih dekat dengan pembaca.  Para pencinta bahasa mungkin menitiskan air mata mendengar tajuk-tajuk novel seperti Cinta Awek dan Pakwe (2012), Aduhai Mat Skema (2013), dan sebagainya. 
Apabila menyelak isinya pula, anda akan menemui cakapan-cakapan juga ayat-ayat naratif yang sangat leweh daripada segi laras bahasa juga kosa kata.  Kebiasaannya, laras bahasa yang digunakan adalah laras bahasa rendah yang tidak sesuai dengan konsep sastera hasanah yang selari dengan pengukuhan Bahasa Melayu standard itu sendiri.

6.7.      Teknologi  (sms,twitter, blog) – (Sebutan / Ejaan)
Penggunaan bahasa baru yang dikenali sebagai bahasa sms adalah kerancuan yang paling kronik kerana digunakan secara meluas dan selesa oleh pelbagai golongan sama ada tua ataupun muda.  Kini ia terbawa-bawa pula di dalam komunikasi twitter dan ada kalanya melarat sehingga ke dalam blog.
Contoh-contoh bahasa sms yang kadang-kadang langsung tidak dapat difahami ialah:
Aq       -           aku
P          -           pergi
Soh      -           suruh
Kemsalam -     kirim salam

6.8.      Bahasa pasar/bahasa slanga/bahasa basahan
Bahasa basahan didefinisikan di dalam kamus dewan sebagai bahasa yang digunakan di dalam perbualan seharian di dalam situasi tidak rasmi.  Bahasa slanga pula ialah bahasa yang tidak diucapkan ketika perbualan tidak rasmi dan dikategorikan bukan baku.
Bahasa pasar pula adalah bahasa Melayu yang dituturkan oleh penutur bukan Melayu yang tidak fasih berbahasa Melayu.  Atau ia juga berlaku apabila dijadikan sarana berkomunikasi oleh penutur Melayu dengan penutur bukan Melayu menggunakan bahasa yang bercampur aduk.  Digaul adun dengan bahasa ibunda penutur dengan bahasa kedua atau bahasa basahan.  Contoh-contoh bahasa pasar/bahasa basahan/bahasa slanga
                        Bahasa pasar
1.      Gua/wa                  -           saya
2.      Tumpat                  -           tempat
Bahasa slanga
1.      Ayat tak boleh blah           - perkataan yang menggelikan hati
2.      Ada aku kesah?                 - aku tidak peduli

Bahasa basahan
1.      Engko                                - engkau
2.      Tak de mende                   - tak ada apa-apa
6.9.      Rabun Tatabahasa      
Tambah merumitkan keadaan terdapat kalangan murid-murid yang bertutur di dalam Bahasa Melayu di rumah ataupun di sekolah tidak menggunakan hukum tatabahasa dengan betul.  Saya istilahkan sebagai ‘rabun tatabahasa’ kerana kesalahan itu kurang jelas biarpun murid-murid tahu tentang kesalahan itu. Pelanggaran hukum tanda bacaan, sebutan, penanda wacana dan seribu satu rencam yang nampak remeh.  Walau bagaimanapun, jika dibiarkan, lama kelamaan Bahasa Melayu akan beransur pupus ditenggelami faktor-faktor yang dibincangkan di atas tadi. 
Contoh paling mudah, penggunaan ‘di’ dan ‘ke’ sebagai awalan dan kata sendi. Hj Muhammed Salehudin Aman (2008)
Fungsi ‘di’ dan ‘ke’ sebagai kata awalan.
1.      ‘di’ – pembentuk kata kerja pasif untuk pelaku ketiga, contoh: diangkat, dibawa, dicuri
2.      ‘ke’ – membentuk kata nama terbitan, contoh : ketua, kerajaan,
3.        kata apitan dalam kata kerja pasif, contoh : kenaikan, keturunan
Fungsi ‘di’ dan ‘ke’ sebagai kata sendi
Digunakan untuk ayat yang terdiri daripada frasa nama yang menunjukkan tempat dan arah, seperti di sana, di atas, ke mana, ke selatan
‘ke’      - digunakan dalam frasa nama yang subjek/objeknya menunjukkan masa contohnya ke saat, ke hari
Jika ia bertemu dengan angka kata sendi hendaklah dijarakkan dengan tanda sempang sesudahnya sebagai contoh ke-7, ke-25.  Bagaimanapun jika angka itu angka roman sebagai contoh Sukan SEA V (Sukan SEA kelima)
Sering juga menjadi mauduk di kalangan murid-murid sehingga ke golongan pelajar dan dewasa ialah penggunaan kata ‘bila’ dan apabila.
Bila ialah kata tanya dan digunakan di dalam ayat tanya di dalam bahasa Melayu, contohnya;
1.      Bilakah awak akan ke sana?
2.      Sampai bila harus begini?
Apabila pula ialah kata hubung keterangan yang bertindak sebagai penanda klausa  atau pembentuk klausa dalam ayat majmuk pancangan keterangan.  Contohnya;
1.Dia tersenyum apabila melihat sahabatnya juga tersenyum
2. Apabila tamat berkursus, dia akan pulang ke kampung sebagai guru bertauliah.
7.0.      Itlakan
Sebagai rumusannya dapatlah disimpulkan bahawa bukti-bukti kerancuan bahasa yang menjadi racun dalam penggunaan Bahasa Melayu berpaksikan atas faktor-faktor yang dibincangkan tadi.   Semua pihak baik ibu bapa, guru-guru, penguatkuasa bahasa juga pemerintah harus cakna dan mempertimbangkan prakarsa untuk mengatasi gelombang faktor-faktor tersebut sebelum ia menjadi tsunami bahasa yang akhirnya menjadikan nasib Bahasa Melayu senasib dengan bahasa Chamicurodi di Peru, bahasa Tanema di Kepulauan Solomon dan bahasa Njerep di Nigeria yang tidak lagi dituturkan.

Langkah-langkah Yang Diambil Untuk Membantu Murid-murid Menguasai Bahasa Melayu Standard.
Mengambil kira mauduk berasaskan faktor-faktor kerancuan Bahasa Melayu yang kronik diperturunkan beberapa langkah yang patut diambil oleh seorang guru Bahasa Melayu untuk membantu para pelajar menguasai Bahasa Melayu standard.
1.      Guru Bahasa Melayu sendiri sebagai model, haruslah menggunakan Bahasa Melayu standard pada setiap ketika, dalam apa juga keadaan ketika berada di sekolah.  Tidaklah nanti, disamakan dengan peribahasa seperti ketam mengajar anak berjalan betul. 
Penerangan secara konsisten mengenai kepentingan menggunakan Bahasa Melayu yang memberikan kesan jangka panjang kepada murid-murid.  Pemupukan berterusan harus dilakukan dengan memberi dorongan kepada mereka kerana melalui dorongan, tujuan akan terlihat jelas.
Mereka hendaklah dijelaskan bahawa, tanpa kelulusan sekurang-kurangnya dengan kepujian di dalam bahasa Melayu, peluang pekerjaan buat mereka akan mengecil.  Sekaligus akan menyempitkan ruang ekonomi dan menjejaskan kejayaan hidup mereka.
Kebolehan menguasai Bahasa Melayu standard juga akan menjamin tempat murid-murid di universiti yang mahu tidak mahu perlu dipatuhi oleh lepasan SPM dan SPTM untuk menjejakkan kaki ke menara gading. 

2.      Guru akan terlibat aktif di dalam menyusun aktiviti-aktiviti yang melibatkan tugas-tugas penambahbaikan penggunaan Bahasa Melayu di sekolah.  Antara kegiatan yang boleh dijalankan dengan menggunakan Persatuan Bahasa Malaysia sebagai penggeraknya ialah:
Acara-acara kesusasteraan seperti  acara baca cerpen, pesta pantun mini, debat mini, syarahan, puisi berirama, deklamasi puisi dan sebagainya.  Aktiviti-aktiviti ini boleh dilakukan di dalam masa yang singkat semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.  Guru-guru juga boleh memperkenalkan Sudut Bicara untuk para murid yang terpilih mempamerkan kreativiti mereka mempelbagaikan penyaluran maklumat menggunakan Bahasa Melayu standard.

3.      Memperkenalkan satu pasukan pengawas bahasa yang terdiri daripada murid-murid sendiri.  Mereka bertindak sebagai penguatkuasa penggunaan Bahasa Melayu standard di kalangan kawan-kawan sekelas mereka.  Setiap daripada mereka akan diberikan sijil penghargaan khas sebagai testimoni penglibatan mereka, sebagai dorongan.

4.      Mengadakan lawatan sambil belajar ke institusi-institusi yang bertanggungjawab dengan pemertabatan Bahasa Melayu standard seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, , Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan, Institut Terjemahan Buku Negara, Perpustakaan Negara dan lain-lain.   Murid-murid akan didedahkan dengan pelbagai ilmu baru oleh para pegawai yang berkenaan tentang usaha-usaha mereka menaikkan taraf Bahasa Melayu.


5.      Dari aspek ko-kurikulum pula, para guru boleh menganjurkan kem motivasi tatabahasa di sekolah atau pusat-pusat bina diri yang terpilih.  Modul-modul  pengajaran boleh diserap daripada gerak kerja sedia ada.  Hanya penambahan daripada aspek penggunaan bahasa juga aktiviti-aktiviti yang mesti melibatkan bahasa sepenuhnya. 

Dengan itu adalah jelas bahawa usaha memertabatkan penggunaan Bahasa Melayu standard di sekolah adalah usaha menyeluruh yang dicetuskan oleh seorang guru Bahasa Melayu tetapi masih  memerlukan penggemblengan tenaga setiap entiti sekolah untuk memastikan kelestarian Bahasa Melayu terus terpelihara.









BIBLIOGRAFI

Kerancuan Bahasa Melayu(2008, Februari 7) Gibon. Diperolehi  Februari 28, 2013 daripada http://www.scribd.com/doc/3784928/Kerancuan-Bahasa-Melayu-
Kerancuan Bahasa Melayu Baku Pelajar Lundayeh (2012, Jun 10)  Cikgu Rozali. Diperolehi Februari 28, 2013 daripada http://cikgu-rozali.blogspot.com/2012/06/kerancuan-bahasa-melayu-baku-pelajar.html


Kerancuan Penggunaan Bahasa dalam Media (Dewan Bahasa, April 2012) Abang Patdeli Abang Muhi, Diperolehi Februari 28, 2013 daripada http://dwnbahasa.dbp.my/?p=638

Isu kerancuan bahasa, (2009 Ogos 1) Zin Mahmud.  Diperolehi pada Februari 28, 2013 daripada http://abihulwa.blogspot.com/2009/08/isu-kerancuan-bahasa.html

Situasi 29 : Kerancuan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Media (2012, April 19) Emilya Jimbun. Diperolehi Februari 28, 2013 daripada http://interpretasijiwapenimbailmu.blogspot.com/2012/04/situasi-29-kerancuan-penggunaan-bahasa.html

10 Bahasa Yang Hampir Punah di Dunia, (2012, Mac 6) diperolehi pada Mac 5, 2013) daripada  bhttp://palingseru.com/8231/10-bahasa-yang-hampir-punah-di-dunia

Aduhai Mat Skema, Levis Delisya, Cinta Awek dan Pakwe, Hasrudi Jawawi diperolehi pada (Mac 5 2013) daripada http://www.bukuprima.com.my/

Kamal Shukri Abdullah Sani, 2007, Bahasa Melayu Apa Sudah Jadi, PTS Professional Publishing Sdn Bhd, Selangor.

Hj Muhammed Salehudin Aman, 2008, Mari Kita Berbahasa Jilid 1, Citra Kurnia Enterprise Selangor
Chong Sok Fong,  Dewan Bahasa November 2012, Bahasa Kebangsaan Bahasa Milik Bersama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung