Friday 11 July 2014

Sepasang Baju Raya Yang Menggembirakan

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.

Ramadan semakin menginjak ke pertengahan. Tak lama lagi kita akan membaca doa Qunut dalam setiap Witir, walaupun kita dah memulakan Qunut Nazilah dalam setiap solat, sebagai usaha dan doa untuk Gaza. Hujan turun kala azan menyeru para lelaki mumaiiyiz dan tidak agar bersama-sama menunaikan kefardhuan yang wajib bagi lelaki di serata alam.

Indahnya hujan. Terasa bagaikan Allah memberi peluang kepada manusia untuk terus berdoa. Dan, dengan janji, akan dimakbulkan-Nya. Insya-Allah. Jumaat tetap manis, pagi tadi, tertinggal kuliah harian. Kereta yang menjadi kaki mengangkut suami ke tempat kerja dan anak ke sekolah (biiznillah) tidak mahu bergerak lagi.

Sudah berminggu-minggu ia meragam, poket untuk bajet raya juga sudah diamuk tsunami dengan pelbagai tekaan dan cubaan pembaikan. Kemuncaknya, hari ini ia koma terus. Langkah akhir, memanggil mekanik dan kereta telah ditarik ke bengkel. Terduga? Ramadan kali ini memang menduga. Jika Gaza dan seluruh isinya dijanjikan dengan syahid, kami sekeluarga diduga dengan hakikat Ramadan, iaitu merasai kesusahan orang lain. Benarlah, kesusahan itu tidak akan menjentik hati andai tidak dirasai sendiri.

Apabila mata menyapa berita tentang ikhlasnya mereka di luar sana membelanjai anak yatim berbuka puasa, mengadakan pelbagai kutipan seperti sehelai baju buat menyapu air mata misalnya, mata saya memandang anak-anak. Dalam hati saya mengharapkan mereka reda dengan sambutan raya tahun ini. Betul-betul reda.
Raya bukan segalanya, namun hati anak-anak tidak dapat menyelami hakikat kemenangan menghabiskan Ramadan. Apa yang terfikir dek mereka ialah berbaju baru waima sepasang dan merasa gembira.

Saya harap, saya mampu menggembirakan mereka walau dengan sepasang baju.

Thursday 10 July 2014

Boikot Atau Tidak? Pilihan di Tangan Anda.

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.

Apabila berbicara mengenai Gaza, Masijdil Aqsa dan seputarnya, pasti anda semua perasan status saya di facebook kerap membicarakannya berbanding dengan mempromosi kelas-kelas yang dianjurkan akademi???
Kenapa begitu. Adakah saya ini attention seeker? Menangguk di air yang keruh? gilakan like? Katakan apa sahaja kegilaan yang boleh anda senaraikan di sini namun, kubang darah di Timur Tengah bermula dengan Mesir diikuti Syria dan kemudiannya Palestin yang tak habis-habis ini sudah saya ikuti sekian lama. Sejujurnya saya mengikuti perkembangan blog dan facebook kerana bagi saya media arus perdana tidak mempunyai banyak maklumat. Jika ada pun maklumat yang mereka perolehi adalah daripada sekutu Israel dan kiblat media dunia - Amerika Syarikat. 

Ini adalah pandangan peribadi saya, dan saya tidak takut mengatakannya. Saya tidak berharta, malah kadang-kadang duit belanja dapur pun tergelincir, namun saya hanya ada hati. Hati dan perasaan yang sayangkan saudara seagama saya. Hati dan perasaan yang sayangkan manusia kerana nyawa manusia itu berharga dan selagi ia tidak merosakkan hak orang lain, nyawa mereka adalah hak mereka dan perlu dihormati.

Permainan Zionis membunuh kanak-kanak sebagai sasaran, juga wanita adalah taktik psikologi untuk melemahkan semangat pejuang yang menentang mereka. Agh! anda dah tahulah, tak perlu saya terangkan lagi. Cuma peranan kita sama ada mahu memboikot atau tidak, mahu bersekongkol atau tidak, anda sendiri tanggunglah. Tak usah diperbahaskan boikot bermusim, boikot keseluruhan....kalau anda percayakan akan adanya hari kiamat, hari manusia dibangkitkan dan ditanya tentang sumbangan masing-masing terhadap agama...lakukanlah sesuatu.

Wallah hu alam.

Untuk sumbangan melalui Aqsa Syarif klik di sini
Untuk sumbangan melalui Aman Palestin, klik di sini

Sunday 6 July 2014

Entahlah - Cuti Menulis

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.

Wah, Ramadan datang, CMV pun puasa menulis ke? tak lah. Namun masih mencari momentum menukar jadual. (alasan divaa!...ha...ha..) 
Tidak, sebenarnya saya terikat dengan tugasan menulis di luar skop online, jadinya saya menghadkan sedikit masa ber'online' untuk memastikan tugasan menemui titik tamatnya sebelum Ramadan berakhir. Cerita Ramadan lain? seperti biasa, macam ibu-ibu lain jugak, hari-hari fikir resepi. Tapi separuh resepi sudah dibereskan encik suami di Bazaar Ramadan. 
Alasan? Perlu alasan kenapa saya yang seorang suri rumah tangga ini masih membeli di Bazaar Ramadan? Oh, saya tak akan dedahkan di sini. Bukan semua perkara yang boleh dikongsi....teeet...

Oh ya, 
Semalam 5/7/2014, telah berpulang biduanita negara Datuk Sharifah Aini. Semua orang tahu, seluruh negara tahu. Hanya kadang-kadang saya keliru dengan permainan berita, membuatkan saya tidak percaya pada awalnya. Seperti mana saya keliru semasa kisah Firdaus diperkatakan, khalayak sibuk menyalahkan ibunya. Kata saya, salahkan juga bapanya. Kemudian ada sahabat FB yang memberi komen, yang ayah Lola sudah kembali ke rahmatullah dua tahun yang lepas. Pada petang itu juga saya membaca di akhbar dengan tajuk 'XXX cari bapa Firdaus' - saya garu kepala.

Entahlah. Bagaimanapun, entri ni entri suka-suka aje. Jangan ada pulak yang nak menyaman saya kerananya...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung