Thursday, 3 October 2013

Maaf Memaafkan

Teks    :  Monalita Mansor
Gambar: Koleksi Persendirian

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga

Semalam 2/10/2013 kira-kira jam 9.30 malam, melambailah Pak Lang dan Mak Lang kami bersama bondanya kepada kami, melangkah masuk ke kompleks Tabung Haji untuk memenuhi jemputan Allah untuk kali ini.

Manusia bagai dalam lautan, bersesakan menghantar tersayang masing-masing.  Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya banjir dengan air mata.  Air mata yang meninggalkan juga air mata yang ditinggalkan.  Itulah keseronokannya sebenarnya.  

Ada yang datang dari jauh, membawa bekal sebesar-besar bekas, sehinggakan saya tertegur, "nak berniaga agaknya ni."  Ada yang datang hanya bertiga, sejemaah.  Anak-anak sudah ditinggalkan di rumah bersama jiran, segalanya dikorbankan terutamanya hati untuk memenuhi jemputan mulia ini.

Ramai jemaah-jemaah muda yang sebaya saya, 18 ke atas (alahai).  Ramai juga jemaah yang uzur, yang sudah tidak terdaya mengheret beg yang berkilo-kilo beratnya.  Petugas membantu sedaya mungkin, saudara mara hanya mampu memandang dari luar pagar sahaja. 

Dalam hati, mengharapkan pemergian mereka dikurnia haji yang mabrur.  Selamat pergi.  Pulang, wallah hu alam.  Semua orang mempunyai keinginan untuk bersemadi di tanah yang sama bersemadinya kekasih Allah.  Mak Lang berkali-kali mengingatkan saya agar membuat rayuan untuk omak yang sepatutnya pergi bersama-sama mereka tahun ini.

Saya pandang wajah omak.  Sayu.  Saya tahu omak teringin sangat ke sana lagi untuk haji pula.  Saya tahu omak sudah bersedia.  InsyaAllah, omak.  Kalau diizinkan Allah, mendapat jemputan, kita pula yang akan melambai, meninggalkan tanah air selama empat puluh hari.  Besar harapan kami, Ya Allah.  

Pada yang tinggal di tanah air, doakan yang baik-baik sahaja buat mereka.  Kalau suami yang ditinggalkan, ampunkan dosa isteri kalian, setiap saat, seikhlas mungkin.  Detikan rasa duka kalian nanti akan membawa dugaan maha hebat buat
mereka di sana.

Pada mak yang ditinggalkan, doakan yang baik-baik untuk anak lelaki kalian di sana.  Andai tersinggung hati oleh sebab-sebab yang telah lama berlalu, lepaskan segala rasa marah itu.  Janganlah kerana perasaan itu, anak-anak kalian terduga dengan dugaan yang tak mampu ditanggung mereka.  

Jika anda ingin mengiklan di rangkaian blog WAHM SOHO, anda boleh hubungi Monalita Mansor di facebook atau emel : monalitamansor@gmail.com dengan kadar harga serendah RM50.00

si kecil turut menghantar atok dan nenek

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung