Monday, 16 February 2015

Hijrah Kasih Bahagian 1


Teks : Monalita Mansor
Gambar : sendiri




“A
ku terima nikahnya Noor Asweeta binti Kamaruddin dengan mas kahwinnya 22.50 ringgit tunai!” 
Senafas dia melafaz, serentak kata-kata, ‘sah’, keluar daripada mulut Atuk.  Gembirakah aku?  Menitis air mata daraku tatkala ini?  Girangkah hatiku menanti tiba suami menyarung cincin menyempurnakan adat membatal air sembahyang?
Tidak!  Jawapannya tidak.  Aku tidak pernah bersetuju dengan perkahwinan ini.  Hijrah Kamarulzaman muncul di muka pintu bilik dengan senyuman manis.  Diiringi ibunya yang berwajah sendu.  Pandangan kami beradu.  ‘Kita mangsa keadaan!’  Hatiku menjerit.
Sebentuk cincin belah rotan tersarung dan itu sahaja.  Tiada kompang, tiada bersanding berarak.  Aku kemudiannya menyertai yang lain keluar dari bilik tanpa pengapit.  Menghadap jamuan yang seperti kenduri tahlil 100 hari kematian layaknya.
Nenek yang kukasihi dan perancang hari indah untukku ini juga duduk menghadapi hidangan bersama kroninya.  Tiada sebarang reaksi di wajah berkedutnya.  Kehadiranku di situpun seolah-olah dinafikan.  Aku bersama-sama ibu Hijrah yang kulihat menyuap lambat-lambat.  Selambat hatinya menerima kenyataan ini.  Alangkah bersalah hatiku melihat wajahnya!
Kenduri doa selamat dengan hidangan tidak sampai sepuluh dulang itu pun berakhir.  Aku mencapai beg yang kusiapkan sejak semalam dan membonceng Hijrah balik ke rumahnya.
Marah?  Orang gila sahaja yang tidak marah diperlakukan begini.  Anak haramkah aku?  Tidak! Anak tirikah aku?  Tidak.  Aku cucu halal Hajah Ramlah dan Haji Manaf, imam masjid Kampung Tersusun ini.  Emak, ayah di mana?  Entah.  Itu yang aku tahu walaupun aku teringin benar ingin tahu.  Apa yang melukakan sangat hati nenek sehingga segala tindak-tandukku seakan arang yang menghidupkan api dendam.  Bara kesumat.

II
“Aku minta maaf Dung…” Hijrah baru selesai mandi tetapi sudah lengkap berpakaian. 
Acapkali dia mengelap rambut yang mencecah bahu.  Berdua-duaan begini merimaskan.  Di dalam bilik yang sempit dan terpengap begini.  Bukan masalah sempit.  Masalahnya aku bersama Hijrah.  Hijrah Kamarulzman.  Teman baik yang kini jadi suami.

No comments:

Post a comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung