Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi
Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.
Dek kerana kekangan dan tuntutan tugas, waktu kerja saya kini kian berangkat mengambil sebahagian daripada waktu tidur. Malam tadi, saya terjaga jam 2 pagi. Melakukan apa yang sepatutnya seorang hamba lakukan, kemudiannya meneruskan tugasan.
Pagi tadi saya menyiapkan 2 scheduled entry dan satu bab daripada manuskrip Sutera Dewangga. Alhamdulillah. Di dalam kepala, ada dua lagi manuskrip yang akan menyusul. Salah satunya ialah berkenaan syair Siti Zubaidah. Satu lagi ialah projek bersama Affan. Saya juga sibuk menjemput rakan-rakan ke page Asas Blog dan Penulisan Kreatif, kelas baru yang akan bermula Disember depan.
Sementara itu, minggu depan, sebuah bengkel anjuran grup Mari Menulis yang melibatkan kerjasama di antara Grup Mari Menulis dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor cawangan Pekan Seri Manja akan berlangsung. Tugasan mengenai penulisan sepanjang 18 muka surat juga baru disiapkan dan memerlukan sedikit lagi pemurnian.
Pagi ini, selepas jam 10.00 saya akan ke PPAS untuk menyiapkan sijil penghargaan buat peserta bengkel di atas. Nampaknya saya perlu menyediakan beberapa lagi scheduled entry untuk menampung hari-hari yang akan saya gunakan untuk menyiapkan tugasan lain. Itu namanya penjimatan dan perancangan masa. Phew...what a life!
Tetapi, di dalam keharu-biruan ini, sedang saya larut dalam perwatakan seorang anak angkat yang menagih kasih abang angkatnya, tiba-tiba sepasang merbuk peliharaan kami berbunyi. Nyaring sekali. Hati berkata sendiri, mungkin ia memberitahu kedatangan sesuatu yang tidak kenampakan. Begitulah sepasang merbuk ini, setiap kali beberapa minit sebelum azan, ia akan berbunyi.
Daripada pembacaan saya mendapati burung dikatakan mempunyai deria magnetoresepsi iaitu kemampuan mengesan perubahan di dalam medan magnet. Burung juga dikatakan mempunyai kelebihan mendengar frekuensi yang jauh lebih kecil dan tajam daripada manusia.
Percaya atau tidak, beberapa minit selepas itu hujan pun turun. Menikmati hujan di kala malaikat turun mencari hamba pendosa menadah tangan dalam zon makbul doa adalah sesuatu yang sangat mengasyikkan. Segera sebaris ayat daripada surah Ar-Rahman mengetuk minda saya.
Rahmat Allah yang mana lagi yang hendak kamu dustakan?
Wallah hu alam
&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&
Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif akan bermula pada Disember 2013. Pelajar akan diajar untuk berblog secara sistematik dan kemudiaannya akan diajar pula untuk menulis secara kreatif. Bagi anda yang meminati bidang penulisan, boleh menghubungi saya Monalita Mansor atau Mazlia Murat di facebook untuk pendaftaran.
Sumber :
http://birding.about.com/od/birdbehavior/a/Bird-Senses.htm
http://ms.wikipedia.org/wiki/Deria
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D