Sunday, 10 November 2013

Bukan Kempen Nonton Filem.

Teks  : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Badan Kebajikan Pekerja JTI Malaysia Sdn Bhd akan mengadakan hari keluarga santai dengan menonton wayang di panggung-panggung terpilih di Lembah Kelang.  Dua tahun sebelumnya kami sekeluarga menonton Puss In Boot 3D di TGV Sunway Pyramid, Life of PI di MBO Subang Parade dan pada tahun ini sekali lagi kami menikmati kecanggihan sistem bunyi pawagam di TGV Sunway Pyramid sambil menonton Thor, The Dark World.

Acara sebegini memang dinantikan anak-anak kerana semenjak dewasa, mereka tidak didedahkan dengan dunia 'kepanggungwayangan' dan boleh dibilang berapa kali sahaja mereka dibawa menonton.  Maaf, mungkin bunyinya terlalu konservatif, tetapi saya tetap merasakan banyak yang buruk daripada baiknya berada di persekitaran sebegitu.  

Berbalik kepada filem Thor, The Dark World yang kami tonton bersama bertih jagung dan minuman percuma itu, jika difikirkan daripada segi gagasan cerita, Hollywood tidak pernah mengubah dasarnya sejak dulu.  Yang gelap itu antagonis dan yang putih itu protagonis.  Titik.  Malah, pembahagian wataknya juga begitu.

Sila abaikan aspek kecanggihan sinematografi, CGI dan kisah dongeng fizik dan kesejajaran sembilan planet dan hero dengan tukul besinya, heroin dengan teori saintifiknya dan entah apa-apa lagi.  Juga abaikan dialog-dialognya yang menyesatkan.  Saya lebih tertumpu kepada aspek penceritaannya, watak dan perwatakan, sari kata, plot dan beberapa teknik yang boleh diadaptasi dalam penciptaan karya bertinta atau bertaip yang dipanggil novel atau cerpen.  

Watak utama di dalam filem ini digambarkan bersifat manusia.  Walaupun ia mempunyai kelebihan terbang ke sana-sini dengan tukul besinya, sisi manusianya dimasukkan ketika dia kematian ibunya serta adiknya juga ketika berdiskusi mengenai kedudukan takhta bersama ayahandanya.    Dia (saya tak tahu namanya walaupun wajahnya iras Brad Pitt) digambarkan sebagai manusia biasa yang ada peri kemanusiaan dan peri kebinatangan. 

Perkara kedua, saya terkesan dengan plotnya yang awalnya di dalam alur sejajar tetapi apabila semakin ke tengah, ia memperlihatkan beberapa teknik flash forward yang sangat cantik tetapi saya istilahkan 'licik' kalau dapat dicerapkan di dalam karya.    Saya tidaklah begitu mahir dengan teknik pembikinan karya di layar tetapi ada beberapa perkara yang boleh dipelajari oleh penulis apabila menonton filem ini.

Ketiga, sari kata yang menggunakan Bahasa Melayu standard atau BMT (Bahasa Melayu Tinggi) - perkataan yang berdasarkan dialog-dialog yang menggunakan Bahasa Inggeris standard dalam slanga British.  Apa yang ingin saya sampaikan ialah, penggunaan bahasa yang standard akan memudahkan penterjemahan.  Begitu juga untuk menarik perhatian pembaca bukan pengguna Bahasa Malaysia, untuk mudah membaca karya kita.

Perkara keempat yang digelar 'twist' atau saya istilahkan sendiri sebagai gasing cerita.  Karya ini bersifat lurus dan terus tetapi ketika hampir klimaks, satu gasing cerita yang membabitkan watak Thor dan adiknya Loki dijalin dengan sangat menarik dan saya terkesan sehinggalah pada saat cangkuk minda disangkutkan pada akhir cerita dan cerita pun tamat.

Saya masih tertanya-tanya dengan muslihat penulis cerita ini dan sangat ingin menggarap karya sebegitu.  Ini bukan kempen nonton filem ya.  Ini hanya catatan harian dan pengalaman saya bersesuaian dengan teori yang saya pelajari semalam di Bengkel Penulisan Islami.

Bermula Disember 2013, satu lagi kelas akan dibuka iaitu Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif.  Kelas akan bertumpu kepada teknik menulis karya kreatif dengan bimbingan guru-guru online yang berpengalaman dalam bidang penulisan dan penerbitan.  Jika berminat, hubungi monalitamansor@gmail.com atau PM saya di facebook.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung