Teks : Monalita Mansor
Gambar ; Suel a/k Gasan
Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.
Sudah lama juga saya tidak bercerita tentang laman indah tempat mencari rezeki satu ketika dahulu. Ternyata hari-hari berlalu sebagai suri rumah cukup menyeronokkan, sehingga kenangan lalu bagai tak terhimbau dek ingatan.
Suel anak Gasan adalah pengawal keselamatan di bank tempat saya bekerja dahulu. Beliau berketurunan Iban dan berasal dari Sarawak. Seingat saya, saya mengenali Suel sebaik habis pantang anak kedua. Pada awalnya saya menyangkakan dia berbangsa Melayu kerana raut wajahnya memang kemelayuan. Suel sangat berhemat di dalam perbelanjaannya walaupun ketika dia bujang. Sebaik berkahwin, isterinya ditinggalkan di Sarawak. Katanya, kos hidup di Semenanjung terlalu mahal. Serba serbi mahu dibeli. Di Sarawak, padi ditanam sendiri, hasil hutan sudah cukup menjadi pasar raya yang paling besar tanpa perlu mengeluarkan wang.
Percaya atau tidak, dengan pendapatannya yang sedikit dan hasil berjimat-cermat, dia mampu membelikan sebuah kereta Kancil untuk bapanya di Sarawak. Memandangkan dia seorang diri di sini, dia tinggal di asrama. Datangnya awal pagi jauh lagi awal daripada kakitangan lain. Ketika bertugas menggalas senjata, tidak pernah sekalipun dia meletakkan senjatanya sesukanya, seperti yang pernah dilakukan oleh pengawal lain. Senjata itu sentiasa tersandang di bahunya.
Untuk pulang ke kampung, sesekala dia menggunakan perkhidmatan tambang murah dan Irene, PFC yang bertugas di kaunter hadapan pintu akan melakukan transaksi. Kebiasaannya, dia akan sedaya-upaya mendapatkan tambang sehabis murah yang sudah tentulah tempahan awal dibuat lama sebelum itu. Suel juga sangat terang hati, kami sebenarnya banyak merujuk kepadanya apabila berhadapan masalah dengan mesin ATM, CDM dan CQM. Mana tidaknya, setiap kali servis bulanan atau servis baikpulih mesin, dia akan berdiri dan berlegar di sekitar juruteknik tersebut dan pada masa yang sama akan belajar. Esok lusa, apabila kami menghadapi masalah yang sama, dia akan memberitahu apa yang dilakukan oleh juruteknik. Kebiasaannya menjadi pula.
Suel menjadi sebahagian daripada kami, kakitangan cawangan kecil ini. Dia seorang yang ringan tulang, baik hati, walaupun mulutnya kadang-kadang lepas juga. Kejadian rompakan di sebuah bank beberapa minggu lepas begitu mengesankan hati. Betapa beruntungnya kami ketika itu, memiliki pak guard, kawan, guru dan lelaki rajin dan gagah seperti Suel.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D