Gambar : Koleksi Persendirian
Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.
Sila baca tajuk betul-betul ya. Saya memaksudkan makan di luar dan bukan makan luar. Ia seakan fenomena yang menentukan status rakyat Malaysia apabila merwar-warkan keberadaan mereka di satu-satu tempat makan yang semestinya di luar rumah. Tidak kira di hotel atau di gerai, mahupun pasar malam, di mana-manapun, ramai beranggapan makan di luar adalah satu pembaziran yang memberi dampak besar kepada perbelanjaan rumah tangga, lebih-lebih lagi jika kita mempunyai anak-anak yang ramai dan masih kecil.
Agak menyedihkan juga apabila kita (wanita) dilabel suka makan di luar kerana malas memasak, sudah kaya benar atau beberapa tanggapan negatif dan sinis lainnya. Terdapat banyak faktor lain yang menyebabkan sesebuah keluarga itu terpaksa berbelanja untuk makan di luar. Salah satunya ialah waktu kerja kaum ibu yang tidak menentu. Ada yang perginya awal pagi dan harus pulang larut malam berikutan menyelesaikan lebihan tugas. Tidak dinafikan ada imbalan bayaran lebih masa tetapi ia tidak berbaloi dengan kepenatan yang tidak tergambar di wajah tetapi terasa di tubuh.
Sesampai sahaja di rumah, sebaik beg tangan diletak harus terus ke dapur. Buka peti ais, keluarkan lauk-pauk, sayur-mayur untuk dimasak, solat, memasak nasi, menyediakan bahan dan seterusnya memasak. Kemudian, tidak habis lagi, selesai membersih diri, lihat pula kain yang menggunung tinggi, baju sekolah anak yang belum diseterika (lebih-lebih lagi kalau tidak mempunyai anak perempuan yang boleh diharap). Sambil menjalankan mesin basuh atau mencangkung tertonggeng di bilik air kalau ada kain yang tidak boleh dibasuh dengan mesin dan tugasan akhir yang nampak mudah tetapi kadang-kadang menjadi isu besar berpunca daripada tubuh yang penat, melayan suami.
Lantas, satu alternatif biarpun bukan solusi ialah makan di luar. Saya kongsikan beberapa tips yang mungkin boleh dipraktiskan untuk mengurangkan belanja sekaligus menurunkan kadar kekerapan kita makan di luar.
1. Bawa air mineral sendiri dari rumah. (Sebab itu ada baiknya selepas membeli botol air mineral, simpan untuk kegunaan begini)
2. Biasanya anak-anak kecil sukakan ayam. Kongsi lauk tersebut dengan anak anda. SILA berkorban sedikit wahai ibu dan bapa. Kurangkan lauk di dalam pinggan anda. Minta satu pinggan kosong dan letakkan sebahagian lauk tersebut di dalam pinggan kosong tersebut untuk anak anda.
3. Kongsi minuman. Pesan minuman yang sama dan jika anak kecil, bahagikan di dalam gelas/cawan lain. Jika anak yang sudah boleh memahami perintah ibu bapa, minta mereka berkongsi.
4. Amalkan bertanya harga makanan sebelum makan terutama untuk makanan panas yang disediakan dengan permintaan. Ini dapat memudahkan anda membuat congakan belanja makan pada ketika itu dan anda boleh mengubahsuai menu.
5. Jangan menyambil makanan lain. Fokuskan dan rancang apa yang hendak dimakan. Jika anda hendak memakan char kuey tiaw misalnya, pesan sahaja char kuey tiaw walaupun di sebelah anda ada kukus pau mencecah bumbung yang harum baunya sekalipun.
6. Tapau. Selain menjimatkan masa, anda boleh menjimatkan belanja membeli minuman.
7. Makan berbilang tempat makan untuk semakan bandingan. Tetapi pastikan, jika boleh lihat senarai harga. Jika lebih mahal daripada restoran biasa yang kita makan, ada baiknya kita angkat kaki.
8. Makan perlahan-lahan. Sunnah Rasulullah S.A.W. agar kita mengunyah makanan sebanyak empat puluh kali bukan sesia. Selain ia membantu pengaliran makanan ke dalam perut, ia membuatkan kita berasa kenyang dengan kadar masa yang lebih lama.
9. Masak di rumah. Saya kira, selepas kita berusaha mengurangkan perbelanjaan jalan akhir penjimatan ialah memasak di rumah. Ada beberapa tipsnya yang diberikan Hjh Rohani untuk ibu-ibu bekerja boleh memasak dengan pantas.
- Masak sup atau tom yam. Masukkan semua ramuan di dalam slow cooker sebelum masuk tidur. Ataupun masak sup tanpa tumis. Biasa saya lakukan. Setelah bahan disiapkan, saya campakkan semua bahan sekali dan saya boleh membuat kerja lain. Saya namakan ia sup campak-campak.
- Masak kari/kurma dan asing untuk dibekukan dan boleh dipanaskan apabila diperlukan.
- Masak serunding ikan/ayam dalam jumlah yang banyak dan simpan untuk dimakan dengan nasi. (bagaimanapun teknik ini hanya praktikal untuk mereka yang mempunyai anak di bawah 7 tahun)
- Sesekali masak bubur lambuk atau bubur nasi ataupun goreng mi atau goreng nasi.
Kelas Asas Blog dan Penulisan FanPage untuk anda yang berbisnes kecil dan besar masih terus berjalan. Rangkaian blog pelajar juga sudah mencecah 200 orang dan semakin membesar. Rebut kesempatan untuk meluaskan jaringan bisnes anda dengan menyertai kami. Hubungi monalitamansor@gmail.com atau PM Monalita Mansor untuk maklumat yuran dan masuk kelas.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D