Gambar : Carian Google
Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.
Kemungkinan entri ini tidak begitu relevan buat masa ini. Ramadhan dan Syawal hanya akan hadir tujuh ke lapan bulan lagi. Bagaimanapun entri ini sekadar pengingat atau mungkin apabila tiba masanya nanti, ia akan timbul umpama ilham bergentayangan di atas kepala. Membantu anda berjimat di kala hari raya tiba.
Kalau diikutkan hati, bersesuaian pula dengan istilah raya, semuanya nak dirayakan. Termasuklah perbelanjaan untuk rumahtangga dan keperluan lain, semuanya hendak 'diraya-rayakan' sekali harung. Akhirnya masuk 2 Syawal, sudah berkira-kira untuk mengendeng duit raya anak-anak untuk belanja menjelang gaji.
Jika raya tahun lepas, perbelanjaannya masih tergelincir, apa kata mulai hari ini kita bertaubat dan bermuhasabah sementara masih ada tujuh bulan di dalam jangkauan. Penting sekali ialah menyenaraikan perbelanjaan. Di antaranya;
Pakaian - kewajipan terutama orang Melayu golongan pertengahan dan ke bawah, hari raya adalah hari membeli baju baru. Baju baru itu bukan dipakai untuk hari raya sahaja malahan dipakai pada Deepavali, Krismas, Tahun Baru Cina, maka jangan hairan kalau perbelanjaannya adalah menyamai kadar perbelanjaan untuk 12 bulan! Berpada-pada berbelanja tambahan jika mempunyai anak yang ramai dan pelbagai kehendak. Cadangan saya, ringankan jari untuk berlegar-legar di Google mencari maklumat mengenai jualan gudang yang sebenarnya menawarkan mutu yang sama dengan harga yang lebih rendah. Iman Shafie, ulama tersohor menukilkan bahawa;
Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian
terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat,
dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis
(seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih
dan memakai wangi-wangian.
Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.
tidak disebutkan pula 'memakai baju baru' sebagai syarat menyambut raya yang menjadikan ia seolah-olah kewajipan. Apabila kehendak ini tidak dapat dipenuhi oleh sebilangan ibu bapa, ia mendatangkan rasa rendah diri yang berpanjangan kepada anak-anak dan keluarga itu sendiri.
Rancang perbelanjaan daripada awal. Ada baiknya baju kurung atau baju melayu ditempah daripada dibeli siap di kedai. Beli kain sendiri dan hantar kepada tukang jahit dengan meminta mereka melebihkan beberapa inci untuk anggaran tambahan ketinggian anak-anak menjelang hari raya. Bunyinya agak keterlaluan tetapi praktikal. Jangan dihantar sekaligus kerana ia akan memberi kesan kepada bajet rumahtangga anda pada bulan itu. Kecualilah tukang jahit itu kenalan anda dan anda boleh membuat bayaran ansuran sehingga menjelang hari raya.
Kasut raya - jika kasut raya itu hanya dipakai sekali sahaja, ada baiknya anda belikan anak-anak alas kaki yang lebih praktikal seperti sandal atau capal atau apa sahaja alas kaki yang selesa dan memudahkan pergerakan mereka. Kasut yang lengkap hanya menyusahkan mereka untuk ditanggal dan dipakai terutama ketika berziarah dari rumah ke rumah pada hari raya sambil mengutip duit raya.
Aksesori tambahan - tidak sah namanya raya kalau tiba-tiba ada perasaan ingin menunjukkan hebat. Itu juga yang berlaku apabila di hari raya semua benda baru hendak ditayangkan. Bagi anak-anak yang tidak biasa menggunakan aksesori pada hari biasa, ada baiknya kekalkan begitu. Kerana, kebanyakan kanak-kanak mungkin akan mencampakkan aksesori tersebut entah ke mana dan ia adalah satu pembaziran. Contoh aksesori ialah jam tangan, cekak rambut, barang kemas dan sebagainya.
Demikianlah sebahagian daripada panduan berhari raya. Yang disentuh di atas hanya sebahagian daripada 6 senarai yang panjang.
Jumpa di lain entri.
Kelas Asas Blog dan Penulisan Kreatif akan dibuka. Jika anda berbakat dan berminat, sertai kami.
sumber;
http://www.islamgrid.gov.my/articles/ibadah/Amalan_sunnah_aidilfitri.php
Rohani Mohd Shahir. 2009. Ke Mana Wang Anda. Galeri Ilmu Sdn Bhd. Selangor
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D