Monday, 7 October 2013

Himbauan Mengusik Rasa

Teks  :  Monalita Mansor
Gambar : Bidikan Sendirian Berhad

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.
Bangunan asal Pekan Mentakab

Alhamdulillah, Ahad petang, sampai ke Petaling Jaya dengan selamatnya dalam masa tak sampai dua jam.  Perjalanan melewati Lebuh Raya Karak lancar tanpa sebarang penutupan jalan seperti lazimnya, mahupun kemalangan (nauzubillah)
Bandar lama Mentakab

Petang Sabtu, usai menikmati makan tengah hari dan melelapkan mata, saya, Pak Long Sayang, Umar dan Affan bergerak ke bandar Temerloh.  Ayah pada mulanya nak mengikut tetapi mengenangkan emak yang tinggal keseorangan, dia mengalah, walaupun dia memang berhajat untuk berurut di kerusi urut di Pasar Raya Tunas Manja.

Taman Perindustrian Mentakab petang itu hangat dengan deruman enjin motosikal bawah 150 cc, tempat berlangsungnya acara Pusingan ke 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas, katanya sehingga hari Ahad, wallah hu alam kerana kami sekadar berhenti seketika di tepi jalan.  Lokasi acara betul-betul di tepi lebuh raya bersebelahan dengan bangunan Kastam dan simpang tiga jalan pintas menuju ke Temerloh.

Langsung kami ke pasar raya Tunas Manja, membeli keperluan dapur untuk emak dan ayah.  Setiap kali balik kampung, selain daripada Pekan Sehari Temerloh, di sinilah tempat saya membeli belah.  Semua barangan boleh didapati, basah dan kering, maka ia memudahkan pilihan.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah sekejap di pekan Mentakab.  Menghimbau nostalgia.  Ketika senja kian diarak datang, waktu-waktu begini, satu ketika dahulu, saya baru balik kerja.  Menunggu kedatangan ayah di satu sudut kedai berdekatan pasar malam Mentakab.
di cawangan inilah kerjaya saya bermula

Mentakab kian banyak berubah, setelah sekian waktu ditinggalkan.  Begitu juga kita.  Terkadang langsung tidak tersedar akan derasnya waktu dek kesibukan yang tidak henti-henti.  Pasti, kata Pak Long satu ketika nanti, kerinduan untuk kembali ke sini akan semakin menyurut apabila kedua orang tua sudah tiada.
wajah indah masjid Mentakab menjelang Maghrib

Anda ada produk yang hendak diiklankan dengan kadar munasabah tetapi dipaparkan di blog yang mempunyai jaringan blogger yang semakin membesar?  Hubungi Monalita Mansor untuk maklumat lanjut.


No comments:

Post a comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung