Monday 28 October 2013

Contoh Folio Sejarah Anis Suraya Maznum



Teks : Monalita Mansor daripada Folio Sejarah Anis Suraya Maznum, pelajar Tingkatan 3 Sek. Men Kebangsaan Puchong Jaya A

Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.  Bismillah.
Sebagai ibu tidak dapat tidak merasa bangga dengan keupayaan anak-anak mereka.  Tidak terkecuali juga saya, alhamdulillah kemahiran menulis tertumpah sedikit kepada anak gadis sulung yang kini menjadi teman bergurau, Anis Suraya Maznum.

Di bawah saya sertakan contoh folio untuk mata pelajaran Sejarahnya bagi pemarkahan PMR.  Tujuan saya mengongsi folio ini adalah sebagai rujukan dan semooga ilmu yang dicurahkan di dalam kertas kerja tersebut dapat dikongsi juga dengan orang lain.

OBJEKTIF KAJIAN
Kajian ini dilakukan untuk memenuhi tuntutan matapelajaran Sejarah bagi pemarkahan PMR. Folio ini menyumbang 40 peratus daripada keseluruhan kertas ujian ini. Tajuk bidan kampung dipilih atas dasar skop aktiviti yang semakin mengecil. Ia bagaikan tenggelam dalam arus pemodenan dan terpaksa bersaing hebat dengan perubatan moden dan juga kaedah perbidanan yang dikomersialkan. Pada dasarnya, kegiatan ini amat penting untuk kesinambungan generasi kerana bidan adalah orang yang pertama menyambut kelahiran.
            Iktibar dan pengalaman yang saya dapat peroleh daripada kajian ini ialah kepentingan perkhidmatan ini kepada masyarakat Melayu dari segi kesihatan dan pemakanan untuk ibu mengandung. Selain itu, saya juga dapat mengenali herba-herba yang sangat berguna untuk kesihatan. Saya juga berpeluang mengungkap rahsia-rahsia orang lama dalam mempunyai kesihatan yang baik dan tubuh yang bertenaga walaupun sudah berusia.              

                                                                                                                                                                                                           





KAEDAH KAJIAN
Saya menggunakan tiga kaedah sepanjang kajian ini dijalankan. Kaedah-kaedah ini membenarkan saya memperoleh informasi yang benar dan apa yang diperlukan sepanjang kajian ini.

1.      KAEDAH TEMURAMAH
Saya telah menemuramah Puan Zaiton Ahmad, 68 untuk mendapatkan maklumat tentang bidan kampung serta informasi tentang herba-herba dan akar kayu yang menjadi bahan utama dalam kegiatan ekonomi bidan kampung ini.

2.      KAEDAH RUJUKAN DI INTERNET
Saya menggunakan sumber Internet sebagai alternatif mencari bahan kajian yang diperlukan. Melalui laman web yang tertera di bawah, saya memperoleh informasi yang diperlukan.

3.      KAEDAH PENYELIDIKAN DI PERPUSTAKAAN
Saya telah merujuk beberapa buah buku yang berkaitan dengan kegiatan ekonomi tradisional bidan kampung dan herba-herba di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, cawangan Taman Medan yang berdekatan dengan lokasi tempat tinggal saya. Berdasarkan pembacaan, saya dapat mengenal pasti herba-herba atau tumbuhan hijau yang boleh dan tidak boleh digunakan dalam rawatan tradisional.

4.      KAEDAH MELAWAT TEMPAT KAJIAN
Saya telah meluangkan masa di kediaman Puan Zaiton Ahmad untuk menemu ramah beliau bagi mendapatkan maklumat pada 17.3.2013, lebih kurang pada pukul empat petang. Selain itu, saya juga berpeluang melihat kebun kecil Puan Zaiton yang ditanam herba dan tanaman hijau lain.






HASIL KAJIAN
1.      MAKLUMAT ASAS

1.1 Nama/jenis kegiatan ekonomi
Kegiatan ekonomi yang saya kaji ialah perkhidmatan bidan kampung yang dijalankan oleh Puan Zaiton binti Ahmad.

1.2 Sejarah/asal usul kegiatan ekonomi
Kegiatan ekonomi tradisional bidan kampung telah dikenal pasti sejak zaman purba. Ia berpaksikan penceritaan lisan oleh pawang Ana, penglipurlara Melayu. Bidan ialah wanita yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kesihatan wanita yang mengandung dan bersalin. Mereka memiliki ilmu yang tinggi dalam tumbuh-tumbuhan herba.            Ianya boleh dibuktikan dalam pengkisahan, Tuan Puteri Si Helang Bakau yang hamil tujuh bulan. Ayahandanya, Tuanku Si Helang Laut telah mentitahkan hambanya, Bujang Selamat menjemput bidan tujuh beradik untuk melangsungkan acara melenggang perut.
            Menurut pengkisahan tersebut, kedudukan bidan sangat tinggi sehinggakan proses menjemputnya sangat beradab. Seperti yang digambarkan di dalam pantun di bawah;
‘tepak jorong, tepak Mengkasar
Kain cindai panjang berambu
Untuk diisi;
Sirih yang bergagang emas,
Pinang susun dibelah empat
Kapur berlecet dengan air mawar,
Tembakau bernama ranting berjela.
Berdasarkan pengkisahan didalam pantun tersebut, nyatalah bidan menduduki kedudukan yang tinggi di mata orang Melayu.



1.3 Lokasi/tempat kajian
Lokasi yang menjadi tempat kajian saya ialah M-G-22, Blok M, Pangsapuri Petaling Perdana, Jalan PJS1/21, Taman Petaling Utama, 46500, Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan yang merupakan tempat tinggal Puan Zaiton Ahmad.

1.4  Pihak yang mengusahakan/individu/ kelompok masyarakat yang mengusahakan
            Individu yang mengusahakan kegiatan ekonomi  ini ialah Puan Zaiton Ahmad, 68. Beliau berasal dari Sungai Besar, Selangor.

2.      LATAR BELAKANG

2.1 Tujuan dijalankan
Tujuan Puan Zaiton Ahmad menjalankan profesion ini ialah kerana beliau merasakan ia masih relevan kerana industri kesihatan wanita menawarkan alternatif yang pelbagai, salah satunya kaedah rawatan tradisional.

2.2 Proses/cara pelaksanaan
Beliau mengurut selepas pukul sepuluh pagi, ini memandangkan beliau seorang suri rumah. Pada waktu malam pula, sesi rawatan dijalankan selepas isyak kerana beliau sering berjemaah di masjid. Terdapat pengecualian kepada ibu bersalin, kebiasaannya dia akan datang sendiri. Untuk perkhidmatan untuk wanita lepas bersalin pula, beliau akan mengurut selama tiga hari berturut-turut.
Dalam tiga hari tersebut, dia akan memandikan ibu itu dengan air herba, menungku, mengurut, memakaikan bengkung dan memandikan bayi. Jika urutan biasa, dia akan meminta garam jantan ( garam kasar yang besar ) dan duit syiling lima sen sebagai pengeras.
            Beliau tidak menetapkan tempoh, ianya terpulang kepada keadaan kesihatan pesakit. Beliau juga mengurut atas permintaan pesakit. Ada keadaan, beliau akan menjampikan air untuk pesakit.

2.3 Peralatan/kaedah yang digunakan
            Peralatan yang digunakan untuk rawatan ialah minyak bayi, minyak panas atau minyak kelapa. Selain itu juga, beliau menggunakan tumbuhan herba dan air mineral/air suam/air putih sebagai bahan sampingan.


2.4  Kos pengendalian
            Dalam harga RM20.00, beliau boleh membeli segala peralatan seperti akar kayu dan herba untuk rawatan kegunaan pesakit.  Ia juga merupakan hasil penuh daripada duit rawatan yang diterimanya.











3.      SUMBANGAN/PENGARUH KEPADA KELUARGA ATAU MASYARAKAT
           
3.1 Sumber Pendapatan
Kegiatan ini ialah sumber pendapatan utama kepada Puan Zaiton. Ini kerana Puan Zaiton tidak bekerja dan merupakan seorang suri rumah.

3.2 Penerusan Tradisi
Beliau meneruskan tradisi mengurut yang diwarisi daripada keluarganya. Sebelum ini, ibu Puan Zaiton juga seorang bidan.

3.3 Memenuhi Permintaan.
Permintaan mengurut biasanya diminta daripada ibu bersalin.

3.4   Identiti Keluarga/Kawasan
Pekerjaan mengurut ini merupakan identiti bagi keluarga Puan Zaiton memandangkan dia mengurut sejak muda lagi.


4.Prospek

4.1  Cabaran atau kekangan yang dihadapi
Antara cabaran yang dihadapi oleh Puan Zaiton sepanjang menjalankan kegiatan ini pembinaan banyak spa yang menawarkan urutan. Selain itu, terdapat banyak pakej rawatan selepas bersalin secara professional telah diperkenalkan. Kaedah perubatan moden juga sedikit sebanyak menggugat Puan Zaiton dalam menawarkan perkhidmatannya.
            Selanjutnya, sesetengah pelanggan mengenakan bayaran yang tidak setimpal dengan dengan khidmat yang dilakukan. Walaupun Puan Zaiton tidak mengenakan sebarang bayaran, tetapi bagi menghargai segala usaha yang dilakukan Puan Zaiton dalam menyembuhkan penyakit mereka, sepatutnya dihulur beberapa ringgit sebagai tanda menghargai.
            Di samping itu, terdapat juga gangguan-gangguan mistik yang dialami oleh Puan Zaiton. Sebagai bidan kampung yang terlibat dengan masalah sakit puan, gangguan mistik tidak dapat dielakkan. Hanya doa-doa yang dapat diamalkan untuk melindungi diri sendiri daripada gangguan sebegini.
            Akhir sekali, cabaran yang dihadapi oleh Puan Zaiton ialah pandangan serong masyarakat terhadap bidang ini lebih-lebih lagi daripada generasi muda. Kebanyakan generasi muda tidak meyakini kebolehan bidan kampung dalam merawat sakit puan. Ini menyebabkan Puan Zaiton kurang menerima pesakit daripada golongan muda.


4.3  Penglibatan pihak luar/ galakan pihak kerajaan atau swasta
Tiada.

4.4  Reaksi/penerimaan masyarakat
Perkhidmatan bidan kampung sentiasa menerima sambutan kerana sentiasa ada ibu yang melahirkan.  Ramai juga wanita moden yang memerlukan kaedah rawatan tradisional seperti berurut di samping berkongsi petua tentang pelbagai perkara berkaitan penjagaan dalaman wanita.



4.5  Saranan dan harapan
Saya berharap Puan Zaiton dapat menurunkan ilmu kepada generasi muda. Setakat ini segala petua dan amalan hanya diturunkan secara lisan dan tidak pernah dibukukan. Amatlah malang sekali jika segala amalan dan petua itu tidak dapat didokumentasikan atau diturunkan kepada generasi yang akan datang.
            Selain itu, saya juga berharap agar generasi muda lebih terbuka fikiran dalam perkhidmatan atau perkara berkaitan tradisi bangsa. Ini membuka peluang anak muda mengenali asal usul bangsa dan perkhidmatan tradisional, dan mengukuhkan jati diri

RUMUSAN


Kesimpulannya, kajian terhadap perkhidmatan perbidanan tradisional banyak memberi pengajaran kepada saya.  Saya dapat mempelajari beberapa perkara baru mengenai tumbuh-tumbuhan herba tradisional yang mempunyai manfaat besar dari segi kesihatan dan setanding dengan produk luar negara.  Perkhidmatan perbidanan tradisional ini ialah antara salah satu identiti masyarakat Melayu.  Sebagai pewaris bangsa menjadi tanggungjawab saya untuk mengambil tahu dan berbangga dengan apa yang diperturunkan oleh generasi sebelum saya. 
 Dari segi pemerkasaan bangsa secara tuntasnya, pengekalan tradisi perbidanan tradisional buat kaum wanita bukan sahaja memberi kebaikan daripada aspek kesihatan, kebahagiaan keluarga dan anak-anak, malah ia menjangkau lebih jauh daripada itu.  Kesejahteraan keluarga adalah elemen utama dalam pembentukan keluarga harmoni.   Keluarga yang utuh ikatan kekeluargaannya dapat mengekang segala unsur kebejatan sosial seperti buang bayi, gejala merempit, LGBT, dan sebagainya.




RUJUKAN
Internet
Bidan – Wikipedia Bahasa Melayu
Melawat tempat kajian
M-G-22, BLOK M,
Pangsapuri Petaling Perdana,Jln PJS 1/21
 Taman Petaling Utama 45600,
Petaling Jaya, Selangor.
Orang Sumber
Puan Zaiton binti Ahmad
M-G-22, BLOK M,
Pangsapuri Petaling Perdana,Jln PJS 1/21
 Taman Petaling Utama 45600,
Petaling Jaya, Selangor.

Kelas asas blog dan penulisan
 

Apa yang kita belajar dalam kelas asas blog dan penulisan.
 

a.. Menulis cara santai, tetapi masih lagi mengekalkan Bahasa Melayu formal. Ini salah satu cara menarik minat pembaca suka dan datang lagi ke blog.
 

b. Bina tapak awal memperkenalkan diri kepada pembaca/bakal pelanggan.
 

c. Belajar menulis dan latihan menulis untuk dapatkan momentum.
 

d. Teknik tulisan yang mempengaruhi pembaca datang dan datang lagi.

Mula sekarang sebelum terlambat.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung