Friday, 20 September 2013

Sedar Ruang, Sedar Peluang

Teks    : Monalita Mansor
Gambar: Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.

Inilah kisah yang mengubah sedikit demi sedikit pandanganku terhadap rezeki, meminta dan tawakkal.

Berlaku sekitar 2008.  Aku bertugas di kaunter pada hari Rabu.  Kelemahanku ialah aku cepat panik.  Apabila melihat pelanggan bertali-arus memasuki bank, perasaan ingin melihat lobi bank kembali kosong berkobar-kobar.

Berakhir hari perbankan, bermulalah pula sesi 'balancing'.  Aku dapati tunai di dalam kotak juruwang (teller box) berkurangan sebanyak RM1000.00.  Berkali-kali dikira, baki di dalam sistem dengan baki fizikal tunai di tangan masih berbeza RM1000.00

Setelah berhempas pulas melakukan pemeriksaan di sana sini, kiri kanan, atas bawah, depan belakang, aku mengambil keputusan mengajukan laporan tentang kekurangan tersebut.  Allah sahaja yang tahu, perasaan aku tatkala itu.  RM1000.00  Gaji sebulan separas hidung, kalau digunakan mengganti jumlah tersebut, lemas terkapai-kapailah aku jawabnya.  

Hari terus berlalu. Pada hari Jumaat, ketika aku bersarapan dengan Laila di kedai mamak di sebelah bank, masuk sekumpulan wanita.  Salah seorang daripadanya aku kenal, tapi aku panggil ustazah sahaja sebab dia pernah mengajar Anis, anakku di tadika.

Kami bertukar-tukar cerita, sehinggalah terbuka kisahku dan RM1000.00 yang masih belum dijumpai.  Spontan dia berkata, ''minta tolong dengan Allah."  Aku terdiam.  Minta tolong tu bagaimana?

"Bangun malam, buat solat hajat.  Dalam sujud mohon pada Allah, Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik buat diriku.  Jangan 'arah' Allah dengan meminta apa yang kita mahu.  Berserah pada-Nya.  Gantungkan harapan pada-Nya.

Seterusnya, mohon doa pada Allah. Ya Allah, jika rezeki masih di langit, turunkanlah, jika di bumi, keluarkanlah.  Jika haram, sucikanlah.  Jika jauh dekatkanlah.  Lepas tu baca surah Yassin.  Buat tiap-tiap malam," pesannya.  Panjang lebar.

Akur, aku turuti arahan Ustazah.  (kemudian baru aku tahu yang doa yang dibacanya itu ialah doa solat dhuha).  Tanpa gagal, setiap malam aku bangun di sepertiga malam.  Melakukan apa yang disuruh.  Niatku hanyalah satu, agar segala senak beban yang merengsa dada dapat dikurangkan.

Hari Selasa, sewaktu aku sedang bertugas di kaunter, aku dipanggil oleh pengurus, Mr Seow.  Seorang lelaki Cina juga bersama-samanya.

"Saya pulangkan duit awak satu ribu.  Ini duit tak halal.  Saya makan, saya susah.  Awak pun susah,"  kata lelaki tersebut.  Bergenang air mataku ketika itu.  Sungguhlah betapa besarnya kuasa Yang Maha Pencipta.  Betapa ampuhnya kuasa doa. 

Semenjak dari itu, aku sedaya-upaya membaiki diri.  Sukar sebenarnya kerana iman bukanlah sesuatu yang boleh diwarisi.  Turun naik dan perlu kuat untuk memastikan ia kekal konsisten atau dalam bahasa Arabnya istiqamah.  

Aku kongsikan kisah ini sebagai pengajaran bahawa jika kita dilanda kesusahan, mengadulah pada tempat yang betul.  Lambat dan cepat adalah hak Allah sebagai pencipta.  Hak kita sebagai manusia, tawadduk dan terus berdoa.


**********   **************  ************  ***********  ************ 

Ingin sekali saya membaca catatan pengalaman anda selepas mengikuti kelas Asas Blog dan Penulisan di Akademi Bekerja dari Rumah.  Daftar sekarang untuk mendapatkan e-book berharga RM125.00 percuma.

Tiga buah e-book ini menjadi milik anda sebaik sahaja anda mendaftar sebagai pelajar
1. Super WAHM, Super Mom
2. Kelas Asas Blog
3.Panduan Mula Bisnes Butik Online dan Offline

PM saya di facebook Monalita Mansor untuk analisa dan terus masuk kelas.

No comments:

Post a comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung