Tuesday 17 September 2013

Catatan Perjalanan Rentasan 4 Negeri


Teks  :  Monalita Mansor
Gambar:  Koleksi Peribadi
Pemandangan indah, kabus pagi ketika melewati pendaerahan Kuala Lumpur

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga.

Buat pertama kalinya, saya merakamkan perjalanan saya dalam bentuk teks untuk simpanan sendiri dan sesiapa juga yang ingin turut mengalaminya, sekadar teladan dan sempadan.  Ke mana destinasinya?  Sila teruskan bacaan anda.

7.30 pagi - kami memulakan perjalanan.  Sudah menjadi tabiat pula saya dengan 'pak long kesayangan' ni.  Kalau nak berjalan mesti huru-hara.  Cari baju tak jumpa, cari seluar tak jumpa.  'Pak long sayang' saya ni, bila kita dah nak bergerak, barulah dia sebut dia nak pakai baju apa, seluar warna apa, kalau saya panik, inilah jadinya.

Janji dengan adik dia, 7.00 pagi, sekarang 7.40 baru mengisi minyak di stesen minyak di Pandan.  Jika diikutkan, kami sudah tiba di kawasan rehat Plaza Tol Gombak.   Kalau dulu, menghala ke Pahang, RM50.00 sudah penuh takuk-takuk di depan stereng tu.  Sekarang ni, RM70.00 pun belum tentu penuh.  Syukurlah.  Malaysia masih aman.  Perjalanan masih lancar.  Tiada anggota bersenjata dengan kereta kebal menahan kereta di tengah jalan.

Jam 8.00 kami tiba di kawasan rehat Tol Gombak.  Kenderaan menghala ke timur masih kurang.  Rombongan kami sepatutnya mengisi empat buah kereta.  Tetapi dua buah lagi masih belum bertolak ketika saya menelefon lalu, kami memutuskan untuk bertemu di destinasi kami nanti.

9.00  pagi, - Simpang Ketari kami singgahi.  Bentong banyak meninggalkan kenangan buat saya.  Sebuah daerah yang menghimbau rindu pada zaman persekolahan.  Kolej Vokasional yang dulunya dikenali sebagai Sekolah Menengah Vokasional Bentong adalah tempat menempa bakat dan laluan saya dalam bidang penulisan.
Hentian Bas Bentong, waktu pernah terhenti, saat zaman remaja membugar indah.

Perjalanan diteruskan menuju ke pekan Raub.  Destinasi seterusnya ialah Hospital Raub.  Seorang anak sahabat menaikkan status mengenai ibunya yang merupakan sahabat zaman persekolahan yang kini terlantar
akibat serangan jantung.  Maka, saya mengajak 'pak long sayang' saya meredah tanpa sasaran pasti mencari Hospital Raub.  Alhamdulillah, dalam jam 10.00 kami sampai di Wad Perempuan, Hospital Raub.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung