Gambar : Monalita Mansor
Ekstrak daripada majalah Mingguan Wanita.
Nota penulis : perjalanan emosi paling sukar untuk menghasilkan cerpen ini. Bersumberkan 'pillow talk'
Ruang
tamu dengan sentuhan rona Inggeris daripada sofa, langsir, almari sehinggakan
pinggan mangkuk antik di dalam almari sudut itu begitu berbahang petang itu. Aiza masih belum mahu duduk. Aida memaku di sofa, menunduk sambil sesekala
menyeka air mata. Dia menarik-narik tangan kakaknya yang memerah wajah dan wajah
tersiram cuka.
Apabila Aiza menjegilkan mata kepadanya,
barulah dia menghentikan laku merengnya.
Ombak amarah bermain di dada yang turun naik menahan sabar. Zaid, adik lelaki mereka yang berbadan tegap
tapi cengeng itu juga menyeka air mata dan air hidung yang sama lebat turunnya.
Wajahnya semendung cuaca di luar. Hanya
Ziad yang belum letih, berganti-ganti menukar pandang kepada ketiga-tiga saudara
tuanya itu. Tidak betah dia melihat mereka
tikam-menikam pandangan tetapi tiada keberanian di hatinya untuk memecah
kebuntuan bicara di antara mereka.
Difahaminya ada sesuatu yang sangat penting semenjak dia semakin cuba
belajar untuk faham dunia dewasa dan seputarnya.
“Baru tiga bulan, ayah. Tiga bulan!”
Aiza bersuara sambil membelakangkan lelaki yang dipanggil ayah itu. Dari belakang, kelihatan dia tertunduk-tunduk
mengesat air mata dengan buku jari. Lelaki
itu juga pegun di sofa tetapi matanya bersinar galak, menahan sabar. Bagaikan tidak sedikitpun terkesan dengan air
mata anak gadisnya itu.
“Kau orang tak akan faham masalah
ayah.” Hanafi bersuara. Tiga bulan bukan tempoh yang singkat untuk
seorang lelaki seperti dia.
Meski
lirih, menimbulkan rasa jengkel bukan kepalang di nubari kedua-dua anak
perempuannya. Aiza membetulkan duduk
kaca matanya sambil berpeluk tubuh.
Angin petang membawa resah alam menampar pipinya. Langit akan menangis sebentar tadi,
mengiringi tangisan mereka adik-beradik.
“Ayah cuba tengok kat ruang tamu
ni. Ada yang kami alih? Ada yang kami usik? Tak ada ‘kan?
Kenapa pula ayah nak bawa orang lain masuk rumah kami nak ‘alihkan’
semua barang ni?” Dentangan suara anak
gadis sulungnya itu belum menunjukkan bahawa penurunan gema. Hanafi menyapu mukanya sendiri. Beberapa kali.
”Ayah perlukan isteri.” Akhirnya Hanafi mengaku.
“Yang dalam penjara tu isteri
ayah!” Zaid tiba-tiba bangun dengan
telunjuknya menghala ke arah pintu.
Aida
menggigit bibir. Kejutan yang diberi
ayah ini tidak tergambarkan. Kalau ini
dikira kejutan hari jadi, bukan lagu dan lirik sebegini yang dimintanya. Wajah ibu yang terpercik duka saat menerima
hukuman tiga bulan lepas masih bergentayangan di ruang pandang. Sekejip
pejam tidak pernah terlupakan.
Meski tenang, air mata ibu menceritakan segala-galanya.
Zaid belum lupa lolongan Ziad yang
memang rapat dengan ibu. Malah Ziad,
walaupun sudah boleh mengimamkan kakak-kakaknya dalam solat masih perlukan
pelukan ibu ketika mahu melelapkan mata.
Mahukan tangannya melingkar di pinggang ibu sehingga terlelap. Walaupun ibu selalu memiat telingannya kerana
tidak betah mengenal huruf dho walaupun sudah di tahun tiga, Ziad tidak pernah
ambil tahu. Hari-hari seterusnya, dia
tetap menyerahkan telingannya dengan rela.
Mereka, adik-beradik penuh yakin percaya yang ibu mereka tidak
bersalah. 300 peratus.
Masih belum surut di bibir kedua-dua
kakaknya cerita tentang ibu. Cerita
rindu mereka pada ibu tidak pernah surut.
Pada detik-detik awal ibu ditahan di Penjara Kajang, ayah selalu membawa
mereka melawat ibu. Berebut-rebut
telefon semata-mata mahu mendengar suara ibu sehingga timbul rajuk dan rengsa
rasa. Resah rindu terlerai biarpun
seketika. Air mata ibu berbaur dengan
air mata mereka, melampias rindu yang tidak terbendungkan. Saban malam, masing-masing tidur bertemankan
apa sahaja peninggalan ibu. Ziad apatah
lagi. Masuk bulan kedua, ayah mulai
menyenaraikan tugasan yang perlu dilunaskan setiap Sabtu. Ayah mereka menyenaraikan alasan atau tundaan
alasan yang pelbagai.
“Gaji ayah tak besar. Hari Sabtu ajalah peluang ayah nak buat over-time. Dulu ibu ada bantu kita…” Ayah bersuara sambil mengusap kepala Ziad
apabila adiknya itu merengek ingin berjumpa ibu seperti sebelumnya.
Dulu, ibu bukan sahaja membantu, malah
kadang-kadang menggantikan ayah. Apabila
ayah keputusan belanja, ibu menjadi
tempat ayah meminjam duit. Biarpun ibu
tidak berkisah kerana redha dan dengan niat membantu suami, ayah sering
mengingatkan dirinya bahawa dia akan membayar semula. Meski ibu sekadar suri rumah tangga, ibu juga
ligat dengan pelbagai bisnes kecil-kecilan, sekadar menambah tabungan di dalam
kocek sendiri untuk membeli lauk-lauk istimewa untuk dihidang buat sang suami.
Ibu
memang bukan isteri sempurna di mata ayah.
Ada beberapa perkara yang kurang ayah senangi pada ibu tetapi ibu tidak
pernah mengeluarkan sebarang bunyi saat dikritik ayah di depan anak-anak. Walaupun mereka tahu ibu terluka, ibu tidak
pernah membicarakan jauh sekali memburukkan ayah di depan anak-anaknya.
“Perempuan,
bila dah berkahwin, syurganya dah pindah kepada suami. Sebab tu, cari suami yang baik supaya lebih
mudah lagi jalan kita ke syurga.”
“Ayah
tak baik ke, bu?” tanya Aida,
tulus. Ibu merenung wajah polos Aida saat
mereka duduk bersantaian di belakang rumah.
Dengan kaki dimasukkan ke dalam longkang dan bersandar di dinding dapur.
“Baik.
Sebab ayah baiklah ibu kahwin dengan ayah. Macam mana nak tahu seorang lelaki
tu sesuai atau tidak dibuat suami?”
tanya ibu kembali. Aiza
menjongket bahu.
“Buat
apa nak ambil tahu. Orang bukan nak
kahwin pun…” bangkang Aida membuatkan Aiza dan ibu menghamburkan tawa.
“Lihat bagaimana adab ibunya dengan
ayahnya. Kalau ibunya bercakap
menengking-nengking dengan ayahnya, tak beradab, ada kemungkinan dia juga tak
pandai menghormati orang lain.”
Kerana membantu ayah, ibu mengambil
upah mengasuh budak. Disebabkan membantu
ayah, ibu merelakan diri dipenjara atas tuduhan cuai sehingga mendatangkan
kecacatan kepada kanak-kanak yang diasuhnya.
Ketika hangat rentetan kisah kecuaian pengasuh dan kesengajaan untuk
melampiaskan emosi kepada anak asuhan, ibu mereka terpalit sama. Ibu di dapur, menyediakan hidangan tengah hari
ketika Nadim terjaga daripada tidur di dalam buai. Meniarap dan menggelupur tanpa menangis
kemudian kepalanya menjunam mencium simen.
Nadim, anak kecil yang mungil bibirnya, manja dengan
mereka semua, kini masih bergelut dengan maut kerana terjatuh daripada
buaian. Puas mereka merayu ibu bapa
Nadim agar menarik balik dakwaan terhadap ibu, namun sia-sia. Kekesalan yang tidak tergambarkan oleh Aiza
dan Aida mahupun Zaid sendiri. Di kala
kesusahan, ibu mereka dicari, dirayu walaupun ibu sudah menyatakan
ketidaksanggupannya. Namun memikirkan
Nadim yang tidak berdosa dan rezeki terpijak, ibu mengalah juga. Zaid ataupun kakak-kakaknya tahu, semuanya
tidak disengajakan ibu. Tetapi ketentuan
Allah dan dugaan tidak mengira pada siapa dan bagaimana akan diberikan kepada
hamba-Nya.
Masuk bulan ketiga, belum sekalipun mereka menjenguk ibu mereka. Tiba-tiba sahaja ayah pulang awal, tidak seperti selalu membawa berita bahawa seorang perempuan yang akan mereka panggil mama akan masuk ke dalam rumah tersebut. Sekali petik jari sahaja. Anak mana yang tidak sawan mendengarnya? Walaupun Zaid lelaki dan memahami apa yang ayah maksudkan dengan memerlukan seorang isteri.
Untuk menyertai kelas asas blog dan penulisan kreatif, penulis boleh dihubungi terus di laman facebook atau whatsapp/SMS 011-19737269
saya ada koleksi majalah ini. cerpen ini meninggalkan kesan. ermmm lelaki...hehehe
ReplyDelete