Wednesday, 10 September 2014

Sarapan Pagi di Restoran Mee Rebus Pak Yusof, Taman Medan - acara sekeluarga

Teks : Monalita Mansor
Gambar : BB 

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Bersarapan di luar bukan kebiasaan saya sekeluarga. Bukanlah diakibatkan oleh kerajinan melampau makanya tak perlu langsung makan di luar. Bukan juga disebabkan dek kemalasan menukar 'seragam Cik Gayah' yang 'vogue' setiap kali bangun dari tidur. Tetapi, untuk keluarga kami yang bersaiz XL daripada segi saiz tekak dan badan, maka bersarapan di rumah adalah langkah keselamatan poket yang paling terbaik. 
ampun, tiada gambar mee rebus dalam aksi 'seksi' - sudah sesuku pinggan baru teringat 

Namun begitu, sesekala, kami bersarapan juga di luar. Lokasi sarapan tetap kami ialah Restoran Mee Rebus Pak Yusuf di Taman Medan. Dulu, kami biasa bersarapan di gerainya di Pasar Pagi Taman Medan. Tapi kemudiannya, kami berpindah lokasi disebabkan pilihan terhad. Tiada Nescafe Tarik!

sentiasa dipenuhi pengunjung
Sebelum berkahwin, saya mengenal mee rebus sebagai mee berkuah putih yang likat dan pekat. Sebabnya, ayah selalu membelanja kami sekeluarga di sebuah kedai di pekan Mentakab setiap kali tiba hari menuai. Seronoknya tak terkira. 
lokasi 'open air'

Selepas berkahwin, saya diperkenalkan dengan mee jawa yang pada mulanya tak saya sukai. Mungkin kerana aroma yang terbit daripada sepinggan mee itu yang memeningkan kepala. Tapi, kata pujangga, tak kenal maka tak cinta. Ini bukan kes tak kenal, ini kes terpaksa menatap  dan membau setiap hari, sepanjang Ramadan. Hah! sebab tu solat pun kena buat hari-hari, supaya rasa dan keinginan itu melekat erat. 

Selepas beranak-pinak dan Pak Haji Sarip yang menjual mee jawa itu sudah tidak kelihatan lagi, (wallah hu alam, semoga Allah memberikan rahmat kepadanya), kami bertukar pula kepada mee rebus. Proses memujuk saya menikmati sepinggan mee rebus, saya rasa adalah proses yang sukar juga buat suami saya. "Mengada-ngada! Makan memilih!" komennya.
Restoran Mee Rebus Pak Yusof - pandangan dari seberang jalan (bukan di atas seperti yang ditunjukkan oleh budak itu)

Dan, akhir kalam ceritanya, di sinilah saya. Setelah selesai menikmati sepinggan mee rebus di restoran Pak Yusuf di Taman Medan ini. Kalau anda berminat untuk menikmatinya, lokasinya terletak di tingkat bawah Pasti As Siddiq. Jika anda biasa dengan pasar pagi dan pasar malam Taman Medan, lokasinya terletak berhampiran sahaja. Betul-betul di simpang tiga, sederet dengan Pusat Materniti Pertiwi. 

Selain daripada mee rebus, kedapatan menu lain yang ditawarkan juga seperti aneka mee, nasi ayam, pau dan makanan panas lainnya. Pau-nya juga bukan 'pau tapau balik semalam.' Terbaik dan segar dari ladang, lembut dan gebu. Mee rebusnya pula terdapat dalam dua pilihan. Mee rebus biasa dan mee rebus daging. Kebiasaannya kami memilih mee rebus biasa dengan semangkuk taugeh diletak berasingan. Rasanya, masya-Allah, tabarakAllah. Anda perlu cuba sendiri.

Ia dibuka pada setiap hari, kata Pak Usup. Pekerjanya ramah-tamah. Malahan restoran ini menyediakan lokasi tempat makan yang agak unik dan strategik. 'Indoor', 'outdoor' dan 'open air' - Maaflah menggunakan bahasa Inggeris. Huru-hara juga mak cik nak mendapatkan terjemahan untuk ketiga-tiga perkataan ini.

Kalau anda nak merasai mee rebus yang enak merangkap sarapan pagi dan makan tengah hari. Bolehlah ke restoran Pak Yusuf ni. Tapi GPS ke, apa ke, silalah cari sendiri ya. Sahabat-sahabat.



Berminat menyertai Kelas Asas Blog?
Berminat beriklan di lebih 800 rangkaian blog kami?
Berminat mendapatkan Nasi Arab Al Bayts?
Berminat dengan Serunding Kg Laut?

Hubungi saya : Monalita Mansor

011 19737269 sms/whatsapp

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung