Saturday, 12 October 2013

Ayat Tunggal dan Ayat Majmuk - Sintaksis

catatan daripada monazman.blogspot.com bertarikh 23/6/2013

1.0.      PENGENALAN
Pengkajian pembinaan ayat atau sintaksis adalah proses mengkaji bagaimana serangkaian perkataan yang disusun menjadi frasa seterusnya membentuk klausa sebelum menjadi sebuah ayat yang lengkap.  Ayat yang lengkap akan menghasilkan makna yang membolehkan kelangsungan komunikasi di dalam sesebuah masyarakat.
Aspek kajian sintaksis dilakukan dengan melihat unsur-unsur sintaksis berpadu menjadi frasa dan ayat.  Juga binaan sintaksis dianalisis dengan melihat bagaimana pola-pola sintaksis dibangunkan bersama fungsinya. 

2.0.      OBJEKTIF
Objektif kajian ini ialah untuk menganalisis jenis binaan ayat sama ada dari ayat tunggal dan ayat majmuk dan memahami fungsi dan jenis-jenis pola tersebut.    Tujuannya agar dapat meneguhkan ilmu linguistik yang merupakan satu cabang hukum tatabahasa yang pada akhinya akan menentukan identiti bahasa itu sendiri. 

3.0.      RANAH KAJIAN
Kajian akan memokuskan kepada elemen sintaksis di dalam teks berasaskan analisis ayat tunggal, ayat majmuk dan subjenis yang terdapat di dalamnya. 

4.0.      BAHAN
Teks diperolehi daripada tulisan Zul Fikri Zamir Mohamad Munir bertajuk Blog Remaja Mendepani Era Masa kini yang tersiar di ruangan Fokus majalah Dewan Siswa edisi Februari 2013 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.  Khalayaknya adalah pembaca yang tahu berbahasa Melayu.

5.0.      KAEDAH
Kajian akan dilakukan dengan menyaring keluar ayat-ayat tunggal dan ayat-ayat majmuk dan mengenalpasti bentuknya dan melakukan analisis peratusan terhadap ayat-ayat tersebut yang ditemui di dalam teks kajian.  Ia akan dicerakin dan direkodkan di dalam tiga jadual jadual iaitu Jadual Ayat Tunggal dan Ayat Majmuk,  Jadual Analisis Ayat Tunggal dan Jadual Analisis Ayat Majmuk dan pendetailan subjenis serta peratusan masing-masing.

6.0.      KONSEP
Ayat tunggal secara umumnya ialah ayat yang mempunyai ciri yang sama dengan ayat dasar.  Kedua-duannya mempunyai elemen satu klausa yang ketara iaitu satu subjek dan satu predikat. Bagaimanapun, ayat tunggal dibezakan dengan ayat dasar dengan kebolehannya menerima kehadiran unsur keterangan pada pahabgian subjek atau predikatnya.  Selain daripada itu, ayat tunggal boleh disongsangkan kedudukan subjek dan predikatnya.
Abdullah Hassan, Seri Lanang Jaya Rohani, Razali Ayob dan Zulkifli Osman(2006)  menyatakan ayat tunggal dan ayat dasar adalah satu perkara yang sama kerana ia dibentuk berdasarkan bilangan subjek dan predikat yang paling asas dan semestinya terdiri daripada satu subjek dan satu predikat. 
Abdullah Hassan di dalam buku Linguistik Am (2007)  membariskan definisi ayat dasar oleh para ilmuwan bahasa seperti Arbak Othman dan Asmah Hj Omar serta penggarisan konsep ayat dasar oleh Tatabahasa Dewan.
Arbak Othman mengelaskan ayat dasar kepada beberapa bahagian seperti di bawah:
a)      Subjek nama    +          predikat nama (FN + FN)
b)      Subjek nama    +          predikat sifat    (FN + FAdj)
c)      Subjek nama    +          predikat kopula (FN + FPemeri)
d)     Subjek nama    +          predikat rangkai kata depan (FN + FSn)
e)      Subjek nama    +          predikat kata kerja tak transitif  (FN + FKttr)
f)       Subjek nama    +          predikat kata kerja transitif     (FN + Ftr)

Asmah Hj Omar pula mencatatkan di dalam Nahu Melayu Mutakhir edisi ke-4 meringkaskan ayat dasar kepada dua pola sahaja iaitu:
a)      Frasa benda     + frasa benda
b)      Frasa benda     +  frasa karyaan

Manakala Tatabahasa Dewan 1981 menggariskan pola ayat dasar iaitu
a)      Frasa nama      +          frasa nama
b)      Frasa nama      +          frasa adjektif
c)      Frasa nama      +          frasa kerja
d)     Frasa nama      +          frasa sendi nama

Ayat majmuk pula adalah rangkuman ayat-ayat tunggal sehingga menghasilkan ayat-ayat baru yang terdiri daripada dua atau lebih klausa.  Secara amnya, ayat majmuk dapat difahami sebagai gabungan dua ayat tunggal yang lengkap dan disatukan menjadi sebuah ayat yang bermakna.  Jika ayat tunggal didefinisikan sebagai ayat yang mempunyai satu klausa iaitu satu predikat dan satu subjek, maka ayat majmuk akan mempunyai lebih daripada dua klausa, sekurang-kurangnya.
Za’aba atau Zainal Abidin bin Ahmad (2000: 279)  menggunakan istilah ayat berlapis, ayat berkait dan ayat bercampur untuk sebagai definisi ayat majmuk. 
Asmah Hj Omar (1973 : 58)  pula mendefinisikan ayat majmuk sebagai klausa kompleks yang terbahagi kepada dua iaitu klausa kompleks yang terbentuk daripada penggabungan dan pelapisan.  Beliau kemudiannya membahagikannya sebagai klausa kompleks tak setara dan klausa kompleks setara.
Abdullah Hassan (1993 : 201)  memecahkan ayat majmuk kepada dua iaitu ayat majmuk setara dan ayat majmuk bertingkat.    Manakala Arbak Othman (1989 : 172) membahagikan ayat majmuk kepada ayat berlapis dan ayat berkait. 
Bagaimanapun diringkaskan oleh Abdullah Hassan, Seri Lanang Jaya Rohani, Razali Ayob dan Zulkifli Osman (2006) juga dipersetujui oleh Nik Safiah Karim bahawa ayat majmuk dibahagikan kepada tiga jenis iaitu
6.1.      Ayat Majmuk Gabungan
Ayat majmuk gabungan ialah pencantuman dua ayat atau lebih dengan susunan tertentu sehingga terbentuknya satu ayat yang baharu.  Ayat-ayat ini dihubungkan dengan penggunaan kata hubung tertuntu ataupun hanya dengan tanda koma. 
Ayat-ayat yang tercantum itu mestilah mempunyai kedudukan yang setara iaitu kedua-duanya boleh berdiri sendiri.  Mudah kata, ayat majmuk gabungan adalah gabungan dua ayat tunggal yang lengkap klausanya dengan menggunakan kata hubung yang tertentu. 
Untuk melengkapkan makna ayat majmuk gabungan sehingga menjadi ayat yang gramatis, penggunaan kata hubung yang menjunjung makna yang tepat haruslah digunakan.  Diperturunkan di bawah ini makna dan contoh kata hubung sebagai alternatif kepada penggunaan parataksis di dalam ayat.
Makna
                    Contoh Kata Hubung
Penjumlahan
…dan, serta, juga,
Pilihan
…atau
Urutan
…lalu, lantas, terus
Penambahan
…dan, serta, tambahan pula
Penyertaan
…sambil, serta, seraya
Pertentangan
…tetapi, namun, melainkan
Peluasan
…tambahan pula, dan, serta

Bagaimanapun, terdapat kelonggaran di dalam penghasilan ayat majmuk gabungan iaitu seandainya ia melibatkan dua unsur  yang sama di dalam pembinaan ayat tersebut maka unsur yang sama digugurkan dan sekiranya unsur yang berbeza digunakan, maka unsur yang sedia ada tidak dibuang. 
Begitupun, ia masih juga tertakluk keadaan hubungan semantic dan makna yang logic untuk membetuk ayat yang gramatis dan serta saling berkaitan. 
6.2.      Ayat Majmuk Pancangan
Nik Safiah Karim (2008) mendefinisikan ayat majmuk pancangan adalah ayat yang mengandungi satu ayat induk yang bergabung dengan satu atau lebih ayat kecil lain yang dipancangan kepada atau ayat induk.  Ayat kecil ini juga boleh menjadi sebahagian daripada ayat induk.  Abdullah Hassan (2008) mentakrifkan ayat majmuk pancangan berlaku apabila kedapatan dua atau lebih klausa tak setara.  Ini kerana ayat majmuk pancangan terdiri daripada klausa utama dan klausa  bukan utama.  Klausa bukan utama ini akan diselit masuk ke dalam klausa utama. Terdapat tiga jenis ayat majmuk pancangan iaitu:
6.2.1.      Ayat Majmuk Pancangan Relatif
Ayat Majmuk Pancangan Relatif dikenali dengan kata penghubung yang (Nik SafiahKarim et. Al. 2008) .   Abdullah Hassan (2008) menegaskan ayat relatif ini dapat dikesan apabila terdapat kelahiran klausa yang menerangkan kata nama sama ada kata nama tersebut berfungsi sebagai subjek, predikat, objek atau keterangan ayat.  Klausa relatife hanya menerangkan frasa nama, dan tidak berkait dengan unsur lain di dalam ayat dan dihubungkan dengan kata ganti nama hubung relatif yang (Abdullah Hassan, Seri Lanang Jaya Rohani, Razali Ayob, Zulkifli Osman (2006 : 58)
Unsur penerangan kata nama ini pula dibantu oleh empat jenis peluasan yang dipanggil peluasan frasa nama oleh klausa relatif yang boleh berlaku kepada empat bahagian ayat iatu:
a)      Peluasan subjek
b)      Peluasan predikat
c)      Peluasan objek
d)     Peluasan keterangan

6.2.2.      Ayat Majmuk Pancangan Komplemen
Ayat majmuk jenis ini dikesan dengan kehadiran klausa komplemen dan klausa ini dipancangakan kepada klausa utama untuk menjadikan klausa tersebut lengkap (Abdullah Hassan, 2008)  Ia terbentuk dengan dua kata hubung komplemen bahasa Melayu iaitu bahawa dan untuk.  Nik Safiah Karim mensyaratkan pula kata hubung komplemen bahawa hanya boleh digunakan pada bahagian subjek atau predikat ayat tetapi kata hubung komplemen untuk hanya terpakai pada bahagian subjek sahaja.  Ayat komplemen juga terbahagi kepada tiga jenis iaitu
a)      Ayat komplemen frasa nama – boleh digunakan dalam dua posisi iaitu subjek dan predikat
b)      Ayat komplemen frasa kerja
c)      Ayat komplemen frasa adjektif

6.2.3.      Ayat Majmuk Pancangan Keterangan
Ayat majmuk jenis ini jelas kelihatan apabila terdapat satu ayat induk tergabung dengan satu atau lebih ayat kecil yang dipancangkan ke dalam ayat induk.  Ayat kecil ini pula bertindak sebagai keterangan kepada predikat.  Kebiasaannya, frasa kerja digunakan di dalam predikat tersebut dan terdapat huraian lanjut oleh ayat kecil atau  huraian oleh klausa keterangan.    Kata hubung keterangan berfungsi menikahkan kedua-dua ayat induk dan ayat kecil ini untuk membina ayat majmuk pancangan keterangan.  
Nik Safiah Karim et. al (2008) menggariskan sembilan jenis ayat majmuk keterangan yang beserta contoh-contohnya.



Kata Keterangan                                       Contoh
musabab
Kerana,
Akibat
Hingga, sehingga
Syarat
Sekiranya, andai kata, jikalau, kalau
Waktu
Sejak, setelah, sewaktu, sementara
pertentangan
Biarpun, walaupun, kendatipun, sedangkan,
harapan
Supaya, agar, semoga
Cara
Dengan
Tujuan
Untuk,
perbandingan
Seperti, macam, seolah-olah

6.3.Ayat Majmuk Campuran 
Abdullah Hassan, Seri Lanang Jaya Rohani, Razali Ayob dan Zulkifli Osman (2006) menggariskan ayat majmuk campuran ialah ayat yang mengandungi lebih daripada satu jenis ayat.  Ia terjadi apabila ayat tunggal digabungkan dengan ayat majmuk atau campuran ayat majmuk gabungan dengan ayat majmuk campuran.  Nama lainnya ialah ayat kompleks.  Ahmad Khair Mohd Nor (2003) mendefinisikan ayat majmuk campuran adalah apabila terdapat sekurang-kurangnya tiga klausa yang dijalinkan bersama-sama yang melibatkan campuran antara ayat majmuk setara dengan ayat majmuk tidak setara. 

7.0.Analisis
Hasil analisis diperturunkan sepenuhnya seperti di dalam beberapa jadual yang terdapat di dalam lampiran.  Analisis tersebut telah mengekstrak ayat tunggal dan ayat majmuk serta subjenisnya di dalam teks tersebut.  Sebagai pengitlakan daripada analisis ini didapati terdapat sejumlah 5 ayat majmuk (100.00%) dan tiada ayat tunggal, 0 (100.00%).  Maka dapatlah dikatakan bahawa hanya ayat majmuk dan suubjenisnya yang kedapatan untuk dikaji di dalam teks ini.  Contoh-contoh ayat majmuk:

7.1. Di Malaysia, fenomena blog berkembang dan menjadi trend bermula pada awal tahun 2000.

7.2. Dengan capaian yang lebih muda, interaksi melalui blog menjadi semakin pantas dan cepat.

7.3. Remaja mula menulis mengenai isu semasa, politik serta agama yang berkaitan rapat  dengan kehidupan harian mereka.

7.4. Untuk remaja yang mempunyai minat dan kecenderungan menulis, blog digunakan untuk melatih diri dan menajamkan kemahiran menulis pada usia yang muda. 

7.5.Perkembangan teknologi yang semakin pantas juga menyebabkan fenomena blog semakin penting kerana blog kini menjadi sebahagian daripada sumber perkongsian maklumat yang penting. 
Daripada lima contoh ayat yang diperturunkan,  terdapat pelbagai jenis ayat majmuk dan subjenisnya seperti ayat majmuk gabungan, ayat majmuk pancangan relatif dan ayat majmuk campuran. Jadual Analisis Ayat Majmuk berdasarkan tiga jenis ayat majmuk iaitu Ayat majmuk gabungan, ayat majmuk pancangan dan ayat majmuk campuran.  Hasil yang diperolehi ialah
Jadual Analisisi Ayat Majmuk mencatatkan kehadiran 1 ( 20.00%)  ayat majmuk gabungan dan  4 (80.00%) ayat majmuk campuran.  Sebuah lagi jadual menunjukkan bahawa ayat majmuk pancangan relatif menguasai 80.00% iaitu 4 ayat di dalam rangkuman ayat majmuk campuran dan ayat majmuk pancangan keterangan mencatat 20.00% iaitu 1.  Di dalam analisis ayat majmuk campuran. 



Contoh ayat majmuk gabungan ialah :
1.      Di Malaysia, fenomena blog berkembang dan menjadi trend bermula pada awal tahun 2000

Contoh ayat majmuk campuran

1.      Dengan capaian yang lebih mudah, interaksi melalui blog menjadi semakin pantas dan cepat.

2.      Remaja mula menulis mengenai isu semasa, politik serta agama yang berkaitan rapat dengan kehidupan harian mereka. 

3.      Untuk remaja yang mempunyai minat dan kecenderungan menulis, blog digunakan untuk melatih diri dan menajamkan kemahiran menulis pada usia yang muda. 


4.      Perkembangan teknologi yang semakin pantas juga menyebabkan fenomena blog semakin penting kerana blog kini menjadi sebahagian daripada sumber perkongsian maklumat yang penting. 


8.0. Penutup
Daripada analisis didapati kajian dan perbandingan ini menemukan beberapa jenis ayat majmuk tetapi tidak kedapatan ayat tunggal di dalam teks ini.  Ayat majmuk yang wujud kebanyakannya adalah ayat majmuk campuran sebanyak 60.00% dan ayat majmuk gabungan sebanyak 40.00%.  Kajian ini juga memberi kefahaman tentang variasi ayat-ayat majmuk di dalam bahasa Melayu yang memungkinkan penggunaan bahasa yang lebih tuntas dan bersistem.




Bibliografi

__________(2011)BML 3063 Sintaksis, Pusat Pendidikan Luar Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim

Abdullah Hassan, Seri Lanang Jaya Rohani, Razali Ayob dan Zulkifli Osman (2006)  Sintaksis SIri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu, Kuala Lumpur. PTS Professional Publishing Sdn Bhd
Abdullah Hassan, (2008) Tatabahasa Pedagogi Untuk Sekolah Menengah, Kuala Lumpur. PTS Professional Publishing Sdn Bhd
Asmah Haji Omar (2008)  Nahu Kemas Kini, Kuala Lumpur, PTS Professional Publishing Sdn Bhd
Abdullah Hassan, (2007)  Linguistik Am, SIri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu.  Selangor, PTS Professional Publishing Sdn Bhd

Ayat Majmuk, Abdul Ghalib Yunus – Munsyi Dewan Rabu 31 Mac 2010 diperolehi pada 14 April 2013 daripada agy7500.blogspot.com/2010/03/siri-370-binaan-ayat

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung