Showing posts with label travelog hidup. Show all posts
Showing posts with label travelog hidup. Show all posts

Sunday, 4 September 2016

Sepotong Tembikai

Ketika wanita lain fokus untuk menjadi suri rumah sepenuh masa, emak membuat keputusan sebaliknya. Ketika baru berpindah ke tempat baru, emak bekerja di Mentakab Veneer % Plywood. Nama kampungnya -kilang plywood.

Ketika itu, MVP masih menggunakan tenaga tempatan sepenuhnya. Di seberang jalan berdepan dengan kilang tersebut berceracak umpama cendawan tumbuh rumah-rumah setinggan sehingga ke kilang sawmill. Di tepi jalan pula kedapatan kedai runcit kepunyaan Pak Cik Mad Shah.

Emak bekerja syif. Jujur, banyak masa saya dihabiskan bersama ayah. Ayah bawa saya bersama-sama ketika bekerja di kem. Saya kenal kebanyakan kawan-kawan ayah. Saya tahu aktiviti senggang mereka ketika itu.

Cuma saya ingat satu perkara. Kalau emak bekerja syif petang (balik sebelah malam) mak akan bawa balik sepotong tembikai yang sejuk, di dalam plastik. Berbeza dengan tembikai sekarang yang dipotong kecil-kecil.

Walaupun di tengah malam, saya akan bangun atau dikejutkan ayah atau emak. Dan saya akan makan tembikai itu sehingga air dan kulitnya mencecah pipi.

Saya rindu emak. Saya rindu ayah.
Semoga Allah mengasihani mereka sebagaimana mereka mengasihani saya semasa kecil.

Thursday, 1 September 2016

Suami Acuan Islam Merentas Zaman

Saya berpindah ke Kampung Batu 7 atau nama barunya Kampung Desa Bakti sekitar umur 3-4 tahun saya kira.

Saya ingat lagi. Kami menaiki lori dan lori tu diparkir di depan rumah arwah Pak Cik Majid dan De Kama. Masa tu, anak-anaknya menjenguk di tingkap. 8 orang semuanya.

Ayu, Iza dan Yai, semuanya kemudian jadi kawan-kawan sepermainan saya. Pak Cik Majid bekerja di kem sama dengan ayah. De Kama pulak kerja di kilang Mardec. Tapi susuk Pak Cik Majid yang rajin tolong De buat kerja rumah saya ingat sampai sekarang.

Zaman tu, kalau orang lelaki angkat kain atau jemur kain waima buat kerja rumah pun jadi benda pelik.

Pak Cik Majid dah kembali ke pangkuan Penciptanya beberapa bulan lepas. Sebulan selepas Yai kembali ke rahmatullah. Namun figura kurus dan berwajah manis ini kekal dalam memori saya sebagai suami acuan Islam idaman merentas zaman.

Al fatihah

Wednesday, 31 August 2016

Kenangan Kemerdekaan Yang Berbalam

Kampung Buntut Pulau yang saya diami selama 2 tahun lebih sebenarnya mengisi lebih daripada nilai sejarah diri saya.

Di kampung ini selain Kampung Tengah, Pengkalan Manggis dan Pangsenam mencatat keberadaan individu pejuang kemerdekaan yang tak didendang. Malahan, tidak terkecuali diiktiraf petualang kerana bersekongkol dengan pihak-pihak berhaluan kiri.

Mungkin kerana kedudukannya yang tidak jauh daripada Kuala Semantan atau Temerloh atau mungkin faktor-faktor lain.

Bagaimanapun, rumah yang mengisi ahli keluarga kecil kami itu sudah lama menyembah bumi. Status tanah tersebut tidak diketahui dan tiada keperluan untuk saya mengambil tahu.

Bagaimanapun, padang di tepi jalan utama Triang-Temerloh itu masih membawa kenangan yang berbalam-balam untuk saya ketika kecil.

Friday, 26 August 2016

Subuh Berdarah - Catatan Sejarah Yang Terpinggir

‘Subuh Berdarah’ - Serangan Balai Polis Kuala Krau

Balai Polis Kuala Krau, di sini, mungkin kelihatan sama seperti balai polis yang lain, namun apabila disingkap kembali sejarah 53 tahun lalu, ia sebenarnya menyimpan satu kisah tragik yang tidak diketahui ramai.

Balai itu pernah diserang hendap komunis pada awal pagi 11 September 1949 dan drama tembak-menembak sama seperti apa yang berlaku ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Johor, itu mengorbankan seorang anggota polis.

Lebih menyedihkan, anggota polis yang dikenali dengan nama Hamzah itu sedang menghitung hari untuk bergelar raja sehari dan merancang untuk pulang ke kampung halamannya di Kuala Krai, Kelantan, sehari sebelum kematiannya.

Penghulu Mukim Jenderak 1, Zainal Azman Bidin berkata, ramai yang tidak mengetahui kisah yang menyayat hati itu kerana umum menganggap satu-satunya balai yang pernah diserang komunis hanya Balai Polis Bukit Kepong.

Katanya, apa yang membezakannya kedua-dua tragedi itu adalah pihak berkuasa menang di Balai Polis Kuala Krau manakala di Bukit Kepong, semua polis yang bertugas di balai berkenaan, meninggal dunia.

“Apa yang berlaku di Balai Polis Kuala Krau itu digelar ‘Subuh Berdarah’. Ketika itu, balai berkenaan dikepung kira-kira 250 pengganas komunis sedangkan polis pula hanya mempunyai kekuatan kira-kira 30 anggota.

“Bayangkan dengan anggota sedikit dan kelengkapan senjata terhad, mereka terpaksa berjuang untuk mempertahankan balai polis itu dan masing-masing tidak berganjak biarpun sehingga ke titisan darah yang terakhir.

“Serangan itu bermula sekitar jam 4 pagi dan berlarutan sehingga dua jam. Ketika azan Subuh berkumandang, barulah pengganas komunis berundur,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Menurutnya, dia mendapat maklumat lengkap mengenai tragedi itu menerusi dua anggota polis yang terbabit dalam kejadian berkenaan, iaitu Allahyarham Koperal Wok Zainal dan Baharin Md Duhun.

Katanya, sebelum serangan itu, komunis menutup jalan utama di pekan berkenaan untuk melumpuhkan sistem perhubungan polis dengan kawasan lain.

“Mereka turut menyerang dan menterbalikkan sebuah kereta api yang membawa pasukan bantuan dari Balai Polis Mentakab di Tanjong Kubu kerana mereka sudah dapat menghidu bantuan akan tiba menerusi kereta api.

“Bukan hanya anggota polis, komunis turut membunuh ahli keluarga barisan hadapan negara itu dan paling menyayat hati apabila isteri kepada seorang anggota polis yang hamil lima bulan turut dibunuh kejam,” katanya.

Zainal berkata, serangan itu mungkin dapat dijangka oleh polis berikutan kelibat ketua komunis ketika itu yang dikenali dengan nama Ah Kit mula kelihatan beberapa hari sebelum serangan.

Sebelum serangan kali pertama pada 28 Jun 1948, kelibat ketua pengganas itu juga dikesan di pekan berkenaan, namun dalam serangan itu hanya membabitkan jumlah komunis yang kecil.

Menurutnya, kejadian itu wajar diketahui oleh setiap rakyat di negara ini untuk mengingati dan menghargai segala pengorbanan pihak berkuasa dalam mempertahankan negara daripada pihak musuh.

Sumber - Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Nota : catatan ini saya peroleh dari grup whatsapps. Disalin seperti nota asalnya. Sengaja saya simpan di sini untuk nota saya.

Sumber dinyatakan.

Wednesday, 24 August 2016

Pontianak Menghilir

Assalamualaikum.

Saya tidak minta anda percaya. Ini kisah lisan. Pak Kaso, kawan ayah selama hampir 50 tahun mempunyai hobi yang sangat dekat dengan alam.

Selain daripada berburu, beliau juga aktif dengan aktiviti menjala dan menjaring di Sungai Pahang. Biasanya ayah akan diajak menjadi teman.

Udang galah Sungai Pahang, satu ketika dahulu dapat memberikan pendapatan super lumayan. Namun, setiap yang mahal itu ada harganya.

Kata ayah, biasanya mereka mencari udang selepas tengah malam. Risiko berjumpa buaya memang ada. Tetapi risiko disakat pontianak lebih besar.

Secara umumnya makhluk Allah yang satu ini tentulah boleh merupai sesukanya kerana jisim mereka sebegitu. Lagu-lagu sendu dan hilai sayu di tengah sungai pada tengah malam ketika berdayung bukan benda pelik di telinga ayah ketika itu.

Ayah tak takut ke? Saya tanya.
Mula-mula takut. Tapi lepas tu dah biasa.

Sekarang masih ada ke? Atau sudah berhijrah sebab sungai sudah kekurangan sumber.

Monday, 22 August 2016

Peneroka Awal Batu 7, Jalan Karak, Mentakab

Lama sebelum saya lahir, ayah dan emak sudah menetap di pinggiran Sungai Pahang tetapi di lokasi yang berbeza. Yang sama ialah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir pada setiap tahun.

Oleh itu, pada tahun seterusnya ayah telah membeli sebidang tanah di Kg  Baru Batu 7 Jalan Karak. Sebuah kampung baru yang peneroka asalnya terdiri daripada pekerja awam di Kem Batu 5.

Peneroka awalnya termasuklah ayah, Almarhum Pak Cik Majid, almarhum Pak Cik Yusuf, Almarhum Pak Cik Ramli Mat Zali, Almarhum Pak cik Ramly Ismail, Almarhum Pak Cik Hassan Almarhum Pak We Sulaiman dan Pak Ngah Mat Lani.

Kesemuanya pekerja awam di Kem Batu 5 (saya juga bersekolah di tadika Kemas di dalam kem) kecuali Pak Cik Yusuf. Beliau berkhidmat sebagai tukang masak dan meninggalkan Mak Cik Meriah sebagai balu pada awal 80-an.

Di Kampung Buntut Pulau sendiri, ayah mempunyai seorang sahabat dunia akhirat yang kami panggil Pak Kaso. Nama sebenarnya ialah Mansor, sama dengan nama ayah. Isterinya Mak Uda Jemah (kami sebut : Mok De Jemah) kembali ke rahmatullah tahun lepas kerana diabetes.

Utuhnya persahabatan mereka akan saya ceritakan di entri akan datang.

Yang saya nak beritahu ialah nama saya Monalita ialah gabungan nama emak dengan ayah. Li untuk Lijah dan Ta untuk Mokhtar.

Kedua-dua itu adalah nama gelar untuk Puan Khadijah Abdullah dan Tuan Mansor Samsudin.

Sunday, 21 August 2016

Sungai Pahang Mengamuk

Saya kira, banjir 2014 merupakan banjir paling traumatik buat rakyat Malaysia amnya dan rakyat negeri terlibat khususnya.

Saya berpeluang melewati Sungai Pahang pasca banjir dan tergamam dengan kemusnahan yang berlaku.

Namun, Sungai Pahang bukan asing dengan banjir. Dulu-dulu, ketika banjirnya masih jinak airnya hanya mencecah ke tepi jalan raya.

Musim cuti sekolah bulan 12 memang masa yang ditunggu-tunggu. Biasanya ayah akan hantar saya ke rumah We di Kampung Durian Tawar. Sebenarnya rumah We beralamat di Kg Jelam. Betul-betul di selekoh selepas Masjid Kg Jelam.

Dulu-dulu, kalau naik bas, masjid itulah landmarknya untuk kami bersedia menekan loceng bas. Rumah We, bertiang tinggi di atas bukit yang jaraknya lebih kurang 500 meter dari Jalan Temerloh-Triang.

Begitupun sebab ia bersebelahan dengan Kg Durian Tawar, kami gelar Durian Tawar sahaja. Pak We Lias, bekas guru besar SK Durian Tawar.

Kalau balik ke sana, tentulah mandi sungai perkara yang paling seronok dibuat. Istilahnya 'kair' atau 'diair' maksudnya mandi.

Pernah, saya, Kak Intan dan Kak Kida mandi di tepi jalan raya semasa banjir disebabkan air besar mencecah hingga ke jalan raya.

Allah, kalau kenangkan...langsung tak terfikirkan bahaya. Allah sahaja yang mengetahui.


Saturday, 20 August 2016

Kuala Semantan Tempat Koi

Assalamualaikum.

'Koi' ialah ganti nama diri pertama yang bermaksud 'saya' di dalam dialek Pahang sebelah Temerloh.

Kenapa saya katakan sebelah Temerloh? Sebab setiap daerah di dalam negeri Pahang ada signatur dialeknya sendiri. Malahan di Temerloh sendiri, 'kawan', 'kome' atau 'keme' adalah variasi ganti nama diri pertama selain 'koi'.

Apa ada dengan Sungai Pahang?
Sungai Pahang ada cerita kasih, ada cerita derita, ada cerita cinta.

Sehingga berumur dua tahun, saya dibesarkan di tebing Sungai Pahang. Sebuah kampung kecil yang besar namanya dalam peta perjuangan pra dan pasca merdeka. Di dadanya lahir pejuang dengan ideologi dan visi pelbagai tapi dengan misi nan satu. Bebas Merdeka.

Kampung Buntut Pulau, dalam jajaran Pengkalan Manggis, Kg Tengah dan Pangsenam.

"Takut saya nak sebut nama kampung dia ni," gurau Tuan Chuari Selamat satu ketika dulu. Satu dewan Hotel Holiday Inn ketawa.

Malu? Tak. Saya bangga.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung