Friday, 26 August 2016

Subuh Berdarah - Catatan Sejarah Yang Terpinggir

‘Subuh Berdarah’ - Serangan Balai Polis Kuala Krau

Balai Polis Kuala Krau, di sini, mungkin kelihatan sama seperti balai polis yang lain, namun apabila disingkap kembali sejarah 53 tahun lalu, ia sebenarnya menyimpan satu kisah tragik yang tidak diketahui ramai.

Balai itu pernah diserang hendap komunis pada awal pagi 11 September 1949 dan drama tembak-menembak sama seperti apa yang berlaku ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Johor, itu mengorbankan seorang anggota polis.

Lebih menyedihkan, anggota polis yang dikenali dengan nama Hamzah itu sedang menghitung hari untuk bergelar raja sehari dan merancang untuk pulang ke kampung halamannya di Kuala Krai, Kelantan, sehari sebelum kematiannya.

Penghulu Mukim Jenderak 1, Zainal Azman Bidin berkata, ramai yang tidak mengetahui kisah yang menyayat hati itu kerana umum menganggap satu-satunya balai yang pernah diserang komunis hanya Balai Polis Bukit Kepong.

Katanya, apa yang membezakannya kedua-dua tragedi itu adalah pihak berkuasa menang di Balai Polis Kuala Krau manakala di Bukit Kepong, semua polis yang bertugas di balai berkenaan, meninggal dunia.

“Apa yang berlaku di Balai Polis Kuala Krau itu digelar ‘Subuh Berdarah’. Ketika itu, balai berkenaan dikepung kira-kira 250 pengganas komunis sedangkan polis pula hanya mempunyai kekuatan kira-kira 30 anggota.

“Bayangkan dengan anggota sedikit dan kelengkapan senjata terhad, mereka terpaksa berjuang untuk mempertahankan balai polis itu dan masing-masing tidak berganjak biarpun sehingga ke titisan darah yang terakhir.

“Serangan itu bermula sekitar jam 4 pagi dan berlarutan sehingga dua jam. Ketika azan Subuh berkumandang, barulah pengganas komunis berundur,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Menurutnya, dia mendapat maklumat lengkap mengenai tragedi itu menerusi dua anggota polis yang terbabit dalam kejadian berkenaan, iaitu Allahyarham Koperal Wok Zainal dan Baharin Md Duhun.

Katanya, sebelum serangan itu, komunis menutup jalan utama di pekan berkenaan untuk melumpuhkan sistem perhubungan polis dengan kawasan lain.

“Mereka turut menyerang dan menterbalikkan sebuah kereta api yang membawa pasukan bantuan dari Balai Polis Mentakab di Tanjong Kubu kerana mereka sudah dapat menghidu bantuan akan tiba menerusi kereta api.

“Bukan hanya anggota polis, komunis turut membunuh ahli keluarga barisan hadapan negara itu dan paling menyayat hati apabila isteri kepada seorang anggota polis yang hamil lima bulan turut dibunuh kejam,” katanya.

Zainal berkata, serangan itu mungkin dapat dijangka oleh polis berikutan kelibat ketua komunis ketika itu yang dikenali dengan nama Ah Kit mula kelihatan beberapa hari sebelum serangan.

Sebelum serangan kali pertama pada 28 Jun 1948, kelibat ketua pengganas itu juga dikesan di pekan berkenaan, namun dalam serangan itu hanya membabitkan jumlah komunis yang kecil.

Menurutnya, kejadian itu wajar diketahui oleh setiap rakyat di negara ini untuk mengingati dan menghargai segala pengorbanan pihak berkuasa dalam mempertahankan negara daripada pihak musuh.

Sumber - Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Nota : catatan ini saya peroleh dari grup whatsapps. Disalin seperti nota asalnya. Sengaja saya simpan di sini untuk nota saya.

Sumber dinyatakan.

No comments:

Post a comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung