Thursday, 19 November 2015

Ulasan Kumpulan Cerpen : Tetamu Istimewa tulisan Mohd Helmi Ahmad

Teks dan Gambar : Monalita Mansor

Assalamualaikum dan Salam Kreatif.
*Gambar akan dimuatnaik kemudian.

Tanpa membaca blurb, saya terus menyelak himpuan 15 buah cerpen karya penulis prolifik,  Mohd Helmi Ahmad. Kumpulan cerpen yang diterbitkan ini semuanya telah tersiar di dalam media cetak sekitar tahun 2010 hingga 2012.
Walaupun dinamakan kumpulan cerpen remaja, sya kira pengarang tidak meletakkan khalayak pembaca remaja secara spesifik. Maka ada beberapa buah cerpen berjaya dihadam dan diulas oleh anak lelaki saya yang berumur 11 tahun.

Meskipun dikatakan cerpen remaja, pengarang sama sekali tidak mengabaikan kualiti estetika kepengarangan. Tema-tema yang dibawakan rencam namun memperlihatkan kedekatan pengarang dengan jadi diri keMalaysian (lihat Kuih Bakul Limau Mandarin, Piala Penentuan dan Rombongan Masuk Jawi).  Sekaligus dapat disimpulkan bahawa kumpulan cerpen ini sesuai dijadikan ejen penyatuan kaum di sekolah.

Persoalan yang diangkat agak sinonim dan dekat dengan khalayak seperti seputar dunia perguruan (lihat Kedondong Untuk Cikgu dan Haruan Di Pinggir Sawah), kelihatannya seperti klise namun pengarang masih menjunjung nilai moral yang tinggi dan terakam jelas di dalam kedua-dua cerpen itu.

Saya kira, pengarang sudah menemukan identitinya apabila menguasai aspek adat dan budaya dengan cemerlang. Malah menterjemahkannya pula tanpa terlalu memaksa pembaca sehingga tidak terasa kita sedang menghadam ilmu baru . Matlamat itu dizahirkan jelas oleh penulis melalui cerpen Rancanganku Rancanganmu, Bunga Telur Kenduri Kahwin, Haruan di Pinggir Sawah, Rombongan Masuk Jawi, Pulut Durian Santan Kelapa dan Tetamu Istimewa.  Saya terbau, betapa kerasnya keinginan pengarang untuk memberi kesedaran kepada pembaca remaja mengenai keindahan adat dan budaya Melayu.

Faktor peralihan usia, mungkin menyebabkan penulisan pengarang sudah lebih memokus kepada cerpen yang lebih islamik.  Tanpa terlalu bersyarah atau menghukum, pengarang menggarap mesej dakwah dengan cemerlang di dalam Mohamad Nur Islam dan Tentang Waris.
Menariknya, sepanjang pengalaman saya membaca cerpen, inilah kali pertama, saya gagal memecahkan klu yang dibawa oleh pengarang di dalam cerpen Tetamu Istimewa. Usai membacanya, saya mengetawakan diri sendiri kerana kegagalan itu yang saya kira kejayaan muluk pengarang. Maka bertepatanlah kumpulan cerpen ini diterajui oleh cerpen Tetamu Istimewa yang dianggap ‘mengungkapkan ciri berhias budaya Melayu dalam mendidik anak-anak ketika menghadapi saat-saat sukar diuji dugaan wabak penyakit.’

Bukanlah sesuatu itu sempurna selagi ia dihasilkan oleh manusia. Kerana nyata kekangan kita sebagai manusia adalah asbab untuk Allah memberi ruang penambahbaikkan.  Kedapatan beberapa hal seperti tatabahasa masih terelepas pandang.  Tidak ketinggalan beberapa isu teknikal kepengarangan yang saya kira menagih ketelitian pengarang pada masa yang akan datang.


Istimewanya, Tetamu Istimewa ini, ia tetap mencabar saya dengan perkataan-perkataan baru.  Sehingga membuatkan karya ini sudah menjadi buku nota, lunyai, dan berkelepet di sana sini dan terconteng. Secara keseluruhannya, untuk diri saya kumpulan cerpen ini menepati selera bacaan seisi keluarga. Bukan sahaja untuk remaja.

Wallahu alam

No comments:

Post a comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung