Friday 16 October 2015

Sarong Pekalongan di dalam 3 Wanita Yang Aku Cinta

Teks : Monalita Mansor

Sarong Pekalongan, cerpen yang termuat di dalam kompilasi 3 Wanita Yang Aku Cinta


Klise. Semasa hayatnya, nenek adalah seorang wanita yang lantang. Tegas, berpendirian dan satu perkataan yang paling mudah untuk menggambarkan dirinya ialah, degil. Maka, aku tidak hairan kalau ada cerita yang tersirat yang membawa kepada kehadiran sehelai sarong pekalongan berlatar merah jambu ke sini. Hanya aku ingin tahu, semenarik manakah agaknya cerita itu? Adakah kisahnya setara dengan kisah Ibu Mertuaku? Atau lebih sedih daripada cerita Ombak Rindu misalnya? ‘Haish!’ Aku tersenyum sendiri.
            “Lebih daripada itu. Melibatkan pergaduhan dua buah keluarga. Lama dah. Sebab itulah moyang awak bawa kami pindah ke sini.” Tuk Andak menyilangkan jemari di atas tongkatnya.
            “Apa jadi dengan kekasih nenek tu?” Terus aku bertanya, bagaikan seorang pengarang yang sudah dapat menebak jalan cerita dan ingin terus ke klimaksnya sahaja.
            “Dia anak sulung Baba Lee. Keluarga peranakan yang kaya di Melaka. Keluarga mereka baik dengan keluarga moyang awak. Masa tu, moyang awak adalah peniaga.”
            “Apa jadi dengan kekasih nenek tu?” tanyaku lagi, gopoh.
            “Hilang. Sebelum dia hilang, itulah… hadiah yang dia berikan kepada nenek.”
            “Hilang?”
‘Hilang?’ Seribu satu persoalan timbul di benakku.
‘Entah-entah dia sengaja menyorok untuk melepaskan diri.’ Aku membuat andaian. Manalah tahu. Ketika itu keadaan sangat huru-hara. Atau ini semua adalah sebuah rancangan yang sudah diatur rapi. Dia sebenarnya tidak hilang, tetapi disorokkan untuk menutupi sebuah kebenaran.
            “Lila tahu? Atuk masih ingat lagi. Orangnya tampan. Kulitnya cerah. Rambutnya sentiasa tersisir rapi. Berminyak dan disikat ke tepi. Hidungnya mancung. Dahinya luas tapi matanya sepet la. Kalau dia datang ke rumah, mesti ada buah tangan untuk atuk.” Tuk Andak bercerita riang.
Ceria sungguh wajahnya saat itu. bagaikan lelaki yang dimaksudkannya itu sedang tersenyum dalam sepersalinan kemeja berkotak lengan pendek, berdiri di depannya sambil menghulurkan beberapa ulas gula-gula.
            Aku cecahkan tanganku pada kain tersebut. Kain yang terkenal di kalangan masyarakat Melayu sebagai batik dan sering dipakai sebagai kain basahan itu memang ternyata kelembutan dan kehalusan buatannya.

Seakan menggambarkan keikhlasan pemberinya. Pasti nenek tersangat gembira dengan cenderamata ini. Setidak-tidaknya bergolek gelantang seperti Sabariah Mansor ketika mendengarkan tiupan dan alunan saksofon Kassim Selamat apatah lagi saat mendengar suara lelaki pujaannya itu. ‘Hish! Sebegitu terukkah?’

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung