Saturday 17 October 2015

Apa Saja Mahumu di dalam 3 Wanita Yang Aku Cinta

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Sendiri 

Dia membasuh tangan. Dengan lafaz basmallah, dia menyuap nasi. Aku lihat, tetamu semejanya berpandangan sesama sendiri. Aku terperanjat amat. Macam tak percaya. Nama pena yang jarang aku gunakan tapi diketahuinya.
            “Mana Dato’…”
            “Dah..jangan berdato’-dato’ dengan aku. Panggil aku Mi aja,” ujarnya.
            “Mana boleh! Di tengah-tengah majlis macam ni. Nanti orang gosip kita ada skandal.  Kau tu duda idaman Asia Tenggara,” usikku. 
Hati terus bergetar. Sesekali pandangannya dalam menusuk. Aku cuba memahami. Namun, masih bolos. Pengalamanku belum cukup banyak untuk membaca sorot mata seorang lelaki.
            “Ya tak ya juga. Nanti bising pula anak-anak aku,” katanya. 
Tersenyum. Aku tidak bereaksi. Dah namanya duda, tentulah berwaris. Aku memujuk hati. Dia terus mengusikku dalam riuhnya majlis. Segala momen zaman sekolah diputarnya kembali. Ada yang tidak pernah terlintas di dalam ingatanku pun.
            Dina Din, penyanyi popular dekad 90-an itu sepenuh perasaan mendendangkan lagu dalam blok kedua persembahannya. Lagu ‘Apa Saja’, lagu berhantu yang menjadi momok dalam hidupku sampai kini.
            “Lepas habis sekolah, kita macam burung layang-layang. Bertempiaran. Masa ambil keputusan SPM, aku tak jumpa pun kau.” Bicaranya bernada hampa.
            “Aku dah ke UK masa tu.” Aku meminta diri ketika lagu ‘Apa Saja’ tinggal 3 rangkap terakhir.

Sehingga saat ini,
Aku belum mengerti
Kenapa langkah terhenti saat hati mengejari

Persembahan diteruskan dengan penampilan stand-up comedian, Joseph Ali. Pelawak pilihan Dato’ Azmi sendiri. Lawaknya bersahaja tetapi berisi dan kadang-kadang sangat sinikal. Kali ini aku pula yang ditariknya ke tengah pentas. Mulalah dia menanyakan soalan-soalan yang bukan-bukan. Mahu aku ketuk kepalanya dengan pembesar suara!  Namun, dia masih tersengih-sengih dan tepukan penonton bergemuruh.
            “Kalau anda semua mahu tahu, gadis cantik yang masih solo ini, kawan baik saya.” Joseph Ali memperkenalkan. 

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung