Thursday, 15 October 2015

Kekal - 3 Wanita Yang Aku Cinta

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Sendiri


Petikan cerpen 'Kekal' tersiar di dalam majalah Jelita 1995

Kenapa tak beritahu dia?” Haiza menyoal lirih. Ellyta mengusap pipi bayi yang kemerah-merahan itu. Sahir pula dari tadi tidak sudah-sudah mencium dahi bayi comel itu. Sesekali, bayi lelaki itu mengeliat kecil.
“Adib mana?” soal Ellyta, menarik Sahir yang agak nakal itu agar duduk diam di atas ribanya. Sahir meronta-ronta, minta dilepaskan.
Out station. Eh kau ni, aku tanya, kau tak beritahu Zam pasal perkara inikah?”
“Entahlah…Haiza.” Ellyta mengeluh
“Empat tahun bukan masa yang singkat Elly. Sepatutnya kau dan dia harus belajar menerima kenyataan,” ujar Haiza, sambil menyentuh pilis di dahinya.
“Tapi Zam bukan macam yang kau fikirkan. Lembutnya tu menyusahkan orang,” tetas Ellyta. Serasa lautan luas ternyata menjarakkan penyesuaian yang dibina sekian lama.
“Aku kenal Zam sama seperti aku kenal kau. Takkan begitu mudah kau nak lupakan semua yang kita lalui bersama?”
“Haiza…please!” mohon Ellyta. Ada talian halus yang menarik nuraninya. Sekaligus, ia menyemarakkan kenangan ketika bergelar pelajar. Terutama ketika mencipta kasih di rantauan sambil mencorak impian menuju jaya. Ellyta merenung sayu bayi mirip Haiza itu. Seolah-olah ada pertanyaan yang memerlukan huraian panjang daripada wajah paduan kasih Adib dan Haiza tu.
 “Mama…jom balik.” Rengekan Sahir tidak dipedulikan Ellyta. Wajah acuan Nahar itu bagaikan tidak wujud.
Ellyta tersenyum pahit. Menelan liur. Zamani dan kenangan adalah sesuatu yang sukar diusir pergi. Setiap kali melewati daerah gapura Pantai Timur itu, pada waktu yang samalah, wangian kenangan itu menusuk pembauan perasaan.
“Aku rindukan segala-galanya, Haiza. Aku rindukan zaman kampus kita. Rindukan zaman anak dara kau dulu. Kau ingat tak lagi, ‘kawad leher’ setiap kali bas kita naik lalu kat Alor Akar?” Ellyta ketawa. Haiza juga.
Namun, ketawa Ellyta sekadar menutup duka yang berarak datang menyelubungi jiwanya. Angin petang bertiup perlahan menampar wajah kedua-dua mereka.

“Kau sebenarnya rindukan Zamani yang dulu,” tuduh Haiza.

No comments:

Post a comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung